DIRGAHAYU TUANKU
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mei 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
228

Bacaan







"Adinda Paduka Mimat?” 


Tersengih-sengih si empunya tubuh mendengar namanya disebut. Sempat dikesat darah yang mengalir dari lubang hidung sebelum bangun. Paduka Mimat tundukkan kepala kepada kedua-dua kekandanya


“Salam sejahtera wahai kekanda. Bukan masa yang baik untuk menyapa rasanya.”


Terbedik-bedik mata Raja Muhammad memeriksa sekali imbas tubuh adindanya.


“Bukan masa yang baik untuk berlibur juga rasanya. Keamanan siapa pula yang adinda ceroboh kali ini?”


Keluhan berat terkeluar dari mulut Paduka Mimat.

“Huh! Sudah menjadi tabiat adinda barangkali. Mengintai rahsia manusia lebih teruja daripada mengintai anak dara di kamar mandi.”


Kali ini kata-kata Paduka Mimat disambut dengan jelingan tajam Raja Muhammad dan raja Hussain sebelum kedua-duanya berpaling ke hadapan, melihat bayang-bayang hitam yang muncul di tanah.


“Jika sedemikian, barangkali elok agaknya dibiarkan sahaja mereka memberi tunjuk ajar kepada adinda, agar perilaku buruk tidak kembali berulang.”


Kata-kata sinis  Raja Muhammad dijawab Paduka Mimat dengan senyuman lebar. Malah Raja Hussain yang mula menghidu bahaya turut ketawa kecil. Muncul di hadapan mereka lima pemuda yang berbadan sasa dan bermata kecil. Kesemuanya sedang menggenggam senjata tajam . Raja Muhammad mencebik sambil merenung adindanya yang bermata sepet itu.


“Hmm… Sia-sia sahaja tenaga dan masa kekanda berdua mengajar adinda bertarung. Masakan lawan sebegini ramai, berupaya membuat seluruh Istana Merah hingar bingar?”


Paduka Mimat melarikan tangan ke dahi, memicit-micit perlahan sebelum menggeleng-geleng. Dilemparnya senyuman senget kepada Raja Muhammad dengan kening sebelahnya terjongket tinggi.


Di waktu yang sama,  lebih banyak bayang-bayang  muncul  bertindih-tindih. Tersusun di belakang lawan mereka pengikut-pengikut yang ramai, hanya menunggu arahan untuk bertindak. Ada yang sudah mula melibas-libas cemeti cuba menggertak.


Tak sempat Raja Muhammad mengira jumlah lawannya, berdesup desap bunyi benda bertebaran di udara. Serentak dengan itu juga, berdesing bunyi pedang dicabut dari sarung. Raja Muhammad sempat membetulkan posisi badan dan kakinya sebelum tangan dihayun ke udara menyambut kedatangan kapak-kapak dan belati yang dibaling laju.

Pedang Bonda Hang Li Po masih lincah beraksi semasa bilah-bilah tombak pula dilontar ke arah mereka. 


Paduka Mimat tahu apa yang Raja Hussain maksudkan ketika dia menoleh ke arah timbunan bakul rotan di sebelahnya. Segera dikuis bakul itu dengan kaki dan diterbangkan di hadapan Raja Hussain. Bagai sedang bermain sepak raga, Raja Hussain melayangkan kaki tinggi  dan  mengenakan tendangan  padu sehingga terpusing-pusing bakul rotan dengan laju lalu memerangkap kesemua tombak yang dilemparkan ke arah mereka bertiga.


Kini, gelombang nafas Raja Muhammad  semakin laju. Marah dan hilang sabar bersatu di dalam dadanya. Raja Hussain dan Paduka Mimat tahu apa rentak perhitungan yang bakal kekandanya arahkan. Dengan kesabaran yang semakin menipis, pasti kekanda mereka memilih untuk melancarkan serangan bertubi terlebih dahulu. Itulah bentuk pertahanan yang paling berkesan di saat ini bagi mengurangkan jumlah lawan . Sebaik sahaja mata Raja Muhammad bertemu dengan adinda-adindanya, kaki-kaki itu mulai memecut menghampiri lawan. 


 Raja Hussain yang lebih lincah bermain pedang dengan mudah menjatuhkan lawan di tengah. Tiga musuh rebah apabila pedangnya menghiris  di perut, belakang dan kaki. Raja Muhammad mengambil posisi di sebelah kanan manakala Paduka Mimat bertarung di sebelah kiri. 


Kini, hampir separuh musuh bergelimpangan di tanah. Baki musuh hanya tinggal 20 orang sahaja. Mereka mula mengitari putera-putera Sultan Mansur Syah. Saling berhadap belakang, ketiga adik beradik ini turut berkitar bersama musuh. Kali ini musuh menyerang lima orang serentak dengan bantuan rakan mereka yang senantiasa bersedia di belakang mereka. Bagai sedang mengatur tarian, Raja Muhammad dan Paduka Mimat mengelak setiap serangan sambil menolak tubuh musuh ke arah Raja Hussain untuk diakhiri nyawa mereka. Sambil itu, mereka menghalang senjata rakan musuh dari mengenai tubuh Raja Hussain. Dan saki baki lawan yang tinggal dihabiskan dengan mudah oleh Raja Hussain. Darah yang menitis di bilah pedang Raja Hussain sama laju dengan titis peluh di dahi. Berombak laju dadanya ketika perhitungan telah berakhir.


 Raja Muhammad melarikan anak mata ke tubuh Raja Hussain dan Paduka Mimat. Dia tahu darah yang penuh di baju mereka bukan darah yang mengalirkan keturunan Raja Melaka. Rasa cemas telah hilang, berganti pula perasaan marah . Tangan dicekak ke pinggang sambil merenung tajam Paduka Mimat.


“Adinda berhutang penjelasan dengan kekanda akan perkara ini. Kali ini tiada lagi sebarang alasan. Kanda bagi tempoh sehingga terbenam matahari esok. Andai melepasi masa, adinda perjelaskan sendiri ke hadapan ayahanda dan Bonda Hang Li Po.”


Bagai pesalah yang baru sahaja mendengar penghukuman, Paduka Mimat hanya merenung ke tanah.  Dengan wajah kusam dia mengangguk perlahan. Setiba di pintu Kota Melaka, Raja Muhammad memberi arahan kepada kedua adindanya. 


“Adinda berdua boleh pulang dahulu ke istana. Paduka Mimat, bermalam sahaja di kamar adinda Raja Hussain. Kekanda akan uruskan hal di pelabuhan tadi dan juga memaklumkan perihal adinda kepada Bonda Hang Li Po.”


Lengan Raja Muhammad disambar Paduka Mimat sebelum dia beredar. Dengan mata yang berkaca dan suara sebak, Paduka Mimat tundukkan kepala. 


“Kekanda, ampunkan adinda di atas segala-gala yang telah terjadi. Terima kasih di atas limpah kasih sayang kekanda.”


Kepala Paduka Mimat dibawa ke dalam dakapan Raja Muhammad dan dikucupnya lembut . Panglima Hitam telah bersedia menanti untuk menemaninya di pintu Kota.


Raja Hussain meletakkan sepersalinan pakaian di atas katil. Paduka Mimat masih berdiri di anjung kamar, menyilang tangan sambil melepaskan pandangan ke luar. Lama direnungnya kegelapan yang masih berbaki satu perempat malam lagi sebelum fajar sidik menjelma. 


“Mujur kamar adinda di Istana Merah di atas sana. Kalaulah adinda terpaksa tinggal di Istana Besar ini, sudah pasti hati ini akan resah gelisah terkurung di dalam sangkar gah ini.” 


Raja Hussain lepaskan ketawa. Wajah yang asing di tanah orang-orang Melayu itu tetapi tidak di hatinya ditenung lama. Meskipun mereka tiada langsung persamaan rupa paras, Paduka Mimat masih berkongsi darah dengannya. Mereka bersatu leluhur daripada berlainan bangsa. Kasihnya juga begitu. Berlainan bonda tidak menghalang rasa sayang mengalir dari hatinya. 


 “Jangan sering menghilangkan diri adinda. Kasihanilah Bonda Hang Li Po. Jangan dipinggir kasih sayangnya. Adinda masih beruntung dapat berpayung di bawah kasih seorang bonda berbanding kekanda yang hanya mampu menumpang sahaja.”


 “Jiwa ini ingin lepas bebas bagaikan helang di angkasaraya. Kuasa, kekayaan dan pengaruh tiada nilaiannya di dalam hidup adinda. Masakan bonda dapat mengerti semua ini.”


Raja Hussain kenal benar dengan perangai adinda Paduka Mamat. Memang dia tidak betah diam lama-lama di dalam istana meskipun kelahirannya disambut dengan penuh adat istiadat istana Melayu. Mungkin jiwa mudanya memberontak ingin keluar menjelajah dunia, ingin tahu serba serbi tentang dunia. 


Meskipun bertabiat yang berlawanan dengan adindanya ini, Raja Hussain mengerti, kehendak hati mereka sebenarnya sama sahaja. Tetapi diterjemahkan dengan cara yang berbeza. Dia lebih gemar terperuk di istana, jarang sekali menjejakkan kaki ke luar. Baginya, segala keindahan dunia dan isi alamnya terdapat di dalam khazanah ilmu di khutub khanah istana. Di situ, dia meneroka dan mengenal dunia menerusi mata-mata yang merakam kisah dan hikayat di dalam kalam indah mereka.


“Kekanda sudah sediakan pakaian bersih untuk adinda. Mari kekanda lihat luka di badan. Biar tiada yang melarat jika tidak diubati.”


 Paduka Mimat hanya menurut. Dia duduk bersila sambil membuka baju yang berlumuran darah. Tubuh kuning langsat itu banyak berbirat parut dan lebam. Kini ditambah lagi dengan garisan luka ringan di celah pinggang, lengan dan dada. Raja Hussain membersihkan kotoran di luka dengan air bersih. Sempat dia berpesan kepada dayang istana agar meletakkan sepersalinan pakaian, ubat, air bersih dan kain balutan luka di dalam kamar setibanya mereka di Istana Besar tadi. Sambil tangan lembut menampal kain yang telah dicelup ke dalam minyak khusus bagi penyembuhan luka-luka yang diperbuat daripada isi lautan, Raja Hussain ajukan soalan. 


“Ada apa hal adinda di pelabuhan tadi? Kenapa orang-orang Ayuthia menyerang adinda?” 


Paduka Mimat pamer senyuman lebar sehingga menampakkan deretan gigi sebelum ketawa sehingga terhinjut-hinjut bahunya.


“Adinda pasti mereka sangat  berang kerana kubu utama persembunyian mereka telahpun terbongkar.”


Paduka Mimat tidak banyak berahsia dengannya. Apa sahaja soalan yang dia ingin tahu pasti Paduka Mimat akan khabarkan. Berbanding dengan kekanda mereka Raja Muhammad, Paduka Mimat amat berhati-hati untuk membuka mulut. Sama hal juga dengan keadaannya. Meskipun hubungan mereka rapat, akan tetapi bimbang juga di hati jika hal yang ingin disembunyikan terlepas ke pengetahuan ayahanda dan bonda-bonda. Raja Muhammad,  anak yang paling disayangi ayahanda serta  nenda mereka. Dia lebih banyak menurut kata daripada membantah. Lebih panjang berfikir daripada terus bertindak. Suka melebihkan orang lain daripada dirinya sendiri. Sudah pastilah kekandanya itu amat rapat dengan ayahanda mereka ditambah lagi dengan kedudukannya sebagai orang kedua terpenting di istana selepas ayahanda.


“Mereka? Siapa?”

“Lanun-lanun tak guna itu bersekongkol dengan orang-orang asing. Adinda yakin mereka punya rencana yang lebih besar. Sesuatu yang berkaitan dengan khazanah Melaka.”


Tergamam Raja Hussain mendengar perkhabaran yang mengejutkan daripada Paduka Mimat. Mindanya diasak soalan demi persoalan. Tetapi semuanya terbantut dengan ketukan kuat di pintu kamar. Siapa yang berani mengganggunya di kala ini? Malim?


Tepat dugaan Raja Hussain. Sebaik sahaja pintu terbuka, Malim berlari-lari anak mendapatkan Raja Hussain. Ada cebisan kain kusam di tangannya.


“Malim, kalau kain secebis itu yang kau mahukan, ambil sahajalah. Tak perlu dapatkan keizinan beta.”


Malim menggeleng lemah. Kelopak matanya hanya separuh dibuka. Sebaik sahaja kain di tangan berpindah kepada Raja Hussain, Malim segera berbaring dan memejam mata. Hanya suaranya sahaja yang kedengaran.


“Seharian hamba mengekori seorang lagi pemuda yang mencuri kitab dari simpanan khutub khanah istana tempohari. Orangnya terlepas. Mujur sahaja bajunya tercarik di dahan pokok.”


 Puas Raja Hussain meneliti kain kecil di tapak tangan.

“Kamu mahu beta buat apa dengan kain ini?  Bukannya ada apa-apa petanda pun. Suka benar kamu berbuat perkara yang sia-sia Malim.”


Raja Hussain mencampak kain ke muka Malim tetapi disambut oleh Paduka Mimat. Dihidu cebisan perca itu lama-lama. Keningnya bertaut rapat. Lalu disua pula ke hidung Raja Hussain. Ada bau yang kuat melekat di kain itu. Bau apa? 

Paduka Mimat ketawa. Dilemparnya perca kain itu semula menutupi wajah Malim.


“Tengku, inilah bauan syurga dunia. Kalau lama sedikit Tengku mencium bau ini, semua perkara boleh terlihat di hadapan mata Tengku. Yang tak masuk dek akalpun ada.” 


Malim bersuara sambil mengalih cebisan kain ke lantai. Matanya masih belum dibuka.  


“Kamu selalukah ke sana Malim? Berani kamu!” Paduka Mimat menegur. Bertambah kuat ketawa Paduka Mimat sedangkan Raja Hussain sedikitpun tidak memahami apa yang mereka maksudkan. Malim yang hampir terlena digoyang kuat supaya terjaga. Sekejap sahaja mata Malim terbuka dan dipicing kembali. Kali ini Malim tidak menyahut. 


“Malim, apa maksud kamu? Beta tidak mengerti!” 

Panas rasa hati Raja Hussain tatkala tidak berupaya menemui sebarang jawapan.


“Ini bau asap candu. Jenis yang paling kuat. Adinda tahu di mana kita boleh berjumpa dengan pemilik kain ini.” 


Luas mata Paduka Mimat memohon restu sedangkan dahi Raja Hussain berkedut seribu. Dibiarkan sahaja kata-kata Paduka Mimat tanpa sebarang balasan. Paduka Mimat luruskan kaki dan berbaring di sebelahnya. 


Kini dengkuran kedua-dua lelaki itu mulai kedengaran di kedua cuping telinga. Raja Hussain berpaling ke kanan. Wajah berisi Malim mengganggu benaknya. Ada kalanya pembantunya itu bukannya boleh diharap sangat. Dikalih pula tubuh ke kiri. Wajah tirus Paduka Mamat berterusan merobek dada Raja Hussain. Adindanya itu sukar dikawal dan selalu bertindak semberono. Aduh! Kedua-dua pilihan yang ada tidak menepati kehendak Raja Hussain. Rancangannya semakin diancam bahaya. Mudah sahaja kakinya tergelincir seandainya cuba berpaut pada mereka berdua. Mata Raja Hussain masih lagi merenung langit-langit kamar tatkala ayam mulai berkokok.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku