PENAKLUK HATI
BAB 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 22 Mei 2017
Izinkan Aku Menakluk Hatimu...
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
444

Bacaan






ADRIAN tersadai sahaja di koridor asrama. Malas sungguh dia hendak turun beriadah di padang pada petang itu. Sekejap lagi warden akan mengadakan roll-call untuk semua pelajar asrama. Jadi, memang dia malas hendak ke mana-mana.

            “Jom turun DM. Kejap lagi sampailah warden kesayangan kau,” sindir Hykal.

            “Kesayangan kau lah. Kau kan ketua asrama kesayangan dia,” ujar Adrian sinis.

            Hykal hanya tersenyum menampakkan baris giginya. Setelah itu dia memeluk bahu Adrian lalu mereka bersama-sama turun ke dewan makan asrama. Mereka perlu melalui hadapan asrama puteri(aspuri) untuk menuju ke dewan makan. Adrian terpandang akan kelibat seseorang yang sedang termenung di bangku depan pintu masuk aspuri. Satu senyuman nakal sudah mula terbit dari bibirnya.

            “Itu budak yang tersesat masuk blok form six pagi tadi. Tingal di asrama rupanya,” ujar Adrian separuh berbisik.

            “Kau cakap dengan aku ke?” soalHykal tiba-tiba.

            “Takdalah. Kau pergi DM dulu. Aku ada hal sikit.” Adrian menolak belakang tubuh Hykal supaya terus berjalan pergi.

            Setelah memastikan Hykal betul-betul telah hilang daripada pandangan matanya, barulah dia mengatur langkah menghampiri Alyssa. Adrian berdehem sedikit untuk menyedarkan Alyssa mengenai kehadirannya. Alyssa yang tersedar dari lamunan kalut-kalut membetulkan tudungnya.

            “Kau tolong panggilkan semua penghuni aspuri turun ke DM sekarang. Dalam masa lima minit, aku nak diorang dah ada dalam DM. Kalau tidak, kau yang aku denda,” ujar Adrian tegas.

            Alyssa sedikit terpinga-pinga apabila menerima arahan dari Adrian. Apabila dijerkah oleh Adrian untuk kesekian kalinya barulah dia berlari masuk ke dalam aspuri lalu menuju kesetiap dorm untuk memanggil semua penghuni turun ke dewan makan. Seronok pula Adrian melihat Alyssa yang kalut terkejar ke sana ke sini menaiki setiap aras untuk memanggil semua penghuni.

            Tiba-tiba bahu Adrian ditolak daribelakang. Tawa yang ingin dihamburkan sebentar tadi terus saja mati.

            “Kau buat apa  Adrian? Kau buli junior lagi ke?” Haizar menggeleng kepalanya.

            Tubuh Haizar kelihatan agak melekit kerana dibasahi peluh. Setiap petang Haizar akan melatih pasukan tennis sekolah di gelanggang. Tidak lama selepas itu kelibat Alyssa pun kelihatan.Tercungap-cungap dia bernafas kerana berlari ke setiap aras sebentar tadi untukmemanggil semua penghuni. Yang paling meletihkan apabila dia terpaksa mengejutkan penghuni yang sedang tidur.

            “Saya dah panggil semua penghuni.Ada apa-apa lagi?” soal Alyssa sambil cuba mengatur nafasnya.

            “Bagus. Kau boleh pergi DMsekarang.” Adrian memeluk tubuh.

            Haizar menggeleng-geleng kepalanya melihat tingkah Adrian. Selalu sahaja dia mengenakan pelajar bawahannya secarasuka-suka. Kadang-kadang kasihan juga pada pelajar-pelajar tersebut. Tapi apakan daya, dia juga selalu juga mengenakan junior. Haizar segera meminta diri untukpulang ke aspura. Dia perlu membersihkan diri untuk menyertai roll-call sebentar lagi. Adrian pula meneruskan langkahnya menuju ke dewan makan.

            Semua penghuni asrama sudah mula memenuhi dewan makan. Selalunya roll-call diadakan di dewan sekolah, tapi hari ini warden mengatakan untuk membuat perjumpaan di dewan makan sahaja.Kelihatan Hykal dan penolong ketua asrama, Laila sedang sibuk berbual mengenai sesuatu. Serius sahaja melihat mereka berbual. Adrian segera mengambil tempat di hadapan sekali. Pelajar senior perlududuk di hadapan sekali.

            “Kau tahu tak sebab apa warden buat roll-call hari ini?” soal Farid yangberada di sebelah Adrian.

            “Entahlah. Tapi macam serius saja.Eh, kau baru balik sekolah ke?” soal Adrian kembali apabila melihat Farid masih lengkap berkemeja dan ada beg sandang bersamanya.

            Farid mengecilkan matanya padaAdrian lalu kepalanya digeleng perlahan.

            “Aku budak seni kan. Exam hari ini sampai petang. Kau last paper sejarah kan.”

            Adrian mengangguk faham. Sungguh diaterlupa bahawa Farid adalah pelajar seni. Tidak lama selepas itu kelihatan kelibat Cikgu Hashim iaitu ketua warden masuk ke dalam dewan lalu naik ke atas pentas. Penolong ketua warden iaitu Cikgu Azifa juga mengikut langkah Cikgu Hashim masuk ke dalam dewan. Muka masing-masing kelihatan serius sahaja. Hykal naik ke atas pentas lalu menghampiri Cikgu Hashim. Dia membisikkan sesuatu dankepala Cikgu Hashim hanya mengangguk sahaja. Cikgu Hashim melangkah ke hadapan sedikit.

            “Assalamualaikum semua. Semenjak duatiga minggu ini, disiplin pelajar asrama dah makin merosot. Pengetua dah mulabuat teguran pada saya. Jadi, pengetua mencadangkan untuk mengadakan kem pemantapan sahsiah di asrama selama tiga hari dua malam. Sila maklumkan pada waris, mingguini kamu semua tidak dibenarkan pulang. Sekian.” Semua pelajar terus mengeluhapabila ucapan Cikgu Hashim berakhir.

            Jika minggu ini tak balik, bermaknasudah cukup sebulan mereka tidak pulang ke kampung halaman masing-masing. Semuapenghuni asrama hanya dibenarkan pulang sekali sahaja dalam sebulan. Adrianjuga apa kurangnya. Dialah yang paling kuat mengeluh. Habis semua rancangannyaminggu ini.

            “Dah kenapa minggu ini juga yangdipilih nak buat kem bagai. Bukannya tidak tahu, kita ni insaf sewaktu kemsahaja,” keluh Farid.

            Adrian yang mendengar kata-kata Farid mengangguk mengiyakan kata-kata lelaki itu. Alyssa hanya mampu memandang rakan-rakannya yang lain. Lagipun dia baru sahaja di asrama ini. Jadi tidak mengapalah dia tidak pulang ke rumah pada minggu ini.

            “Alyssa, muka kau steady je minggu ni tak balik kan,” ujarLaili yang sedang memeluk tubuh.

            “Aku kan baru je masuk. Memang tak rasa apalah. Tak apalah. Nanti boleh balik lah kan. Sabar okay.” Alyssatersenyum.

            Mata Alyssa melilau ke sekeliling dewan dan tiba-tiba sahaja pandangannya dengan seseorang bertaut. Kalut-kalut pemilik mata itu melarikan pandangan matanya. Alyssa mempositifkan diri.Mungkin lelaki itu bukan memerhati seperti apa yang disangkanya. Semua senior dah naik ke atas pentas setelah warden meninggalkan dewan. Terdapat lebih kurang lima belas orang kesemuanya dan hanya ada tiga orang pelajar tingkatan enam iaitu 3K tersebut.

            “Laili, semua tu senior yang ada di asrama ke?” soalAlyssa.

            “Bukanlah. Itu yang hanya ada jawatan sahaja. Mereka semua itu ada pegang biro dan yang paling berkuasa ialah tiga orang yang depan tu.” Laili menuding jarinya ke arah 3K yang sedang memeluktubuh.

            Alyssa mengangguk. Di sekolah lamanya tak ada pula macam ini dulu. Di asrama hanya pelajar tingkatan lima sahaja yang paling senior. Pelajar tingkatan enam tidak dibenarkan menetap di asrama. Dia pun tidak tahu apa sebabnya pula.

            “Aku nak beritahu kau ni. Kalauboleh kau jauhkan diri daripada 3K tu. Diorang ni jahat dalam baik tau.Tambah-tambah si Adrian tu. Muka saja boleh tahan tapi perangai mengalahkan hantu raya. Si Hykal tu pula buaya sekolah yang paling top dan Haizar pula kononnya ketua pelajar yang humble. Tapi dia tu pun jahat macam Adrian.” Laili menjuihkan bibirnya. Nampaknya dia memang tak suka 3K.

            “Eh, kau dengarlah cakap Laili tu.Dia tu haters 3K ni. Diorang baiklah,” celah Nana tiba-tiba. Bibirnya tidak henti mengukir senyuman sambil matanya terus memandang ke arah 3K.

            Alyssa hanya tersenyum sahaja.Apa-apa sajalah kawan-kawannya ini. Seorang peminat dan seorang lagi pembenci.Tak apalah, biar dia sendiri yang tahu akan sikap 3K yang sebenarnya nanti.Tapi dari pandangannya, Adrian seorang yang agak nakal namun sangat tegas dalam kerjanya. Haizar pula seorang yang baik hati dan pendiam juga. Hykal pula agak tegas dan suka berfoya-foya juga.

            “Perhatian semua. Kem itu akan bermula pada hari khamis petang. Saya dan Laila akan mengetuai kem ini. Semua senior yang berada atas pentas ini akan membantu kami. Khamis ini saya akan bahagikan anda semua kepada beberapa kumpulan. Kem kali ini lebih kurang orientasi juga tapi lebih kepada sahsiah. So,it’s all about discipline.” Panjang lebar juga Hykal membebel di atas pantas.

            Kebanyakan pelajar langsung tidakfokus kerana mereka masih lagi gundah-gulana kerana tidak boleh pulang ke rumah pada minggu ini. Semua orang sibuk berbual-bual hingga menenggelamkan suara Hykal yang sedang bercakap. Adrian kelihatan seperti sudah hilang sabar melihat kebisingan tersebut.

            “Diamlah !” jerkah Adrian tiba-tiba.

            Semua pelajar diam tidak berkutik.Mereka sangat mengenali Adrian, sekali sahaja lelaki itu marah memang buruk padahnya.

            “Korang memang tak boleh nak hormat orang ke? Hykal ni ketua korang tau. Bukannya tunggul kayu yang berdiri tegak sahaja. Please show some respect. Korang semua ni lebih takutkan merit dengan demerit aku kan. Kalau macam tu, semuaorang dalam dewan dapat demerit hari ini sebab tak tunjukkan hormat pada orang lain.” Pedas sahaja kata-kata Adrian.

            Adrian melangkah ke belakang kembali memberi laluan kepada Hykal untuk kembali bercakap. Panjang lebar juga Hykal menerangkan mengenai tentatif program nanti. Rupanya Hykal dan Laila memang sudah lama tahu mengenai kem yang akan dianjurkan nanti. Jadi, mereka sudah siap membuat kertas kerja untuk kem ini. Setelah panjang lebar penerangan daripada Hykal, semua penghuni dibenarkan kembali ke dorm masing-masing.

            Alyssa, Laili dan Nana juga berura-ura ingin keluar dari dewan. Tapi Adrian cepat-cepat menghalang sambil tersengih. Hykal juga turut berada bersama dengan Adrian.

            “So Hykal, aku rasa dia ni paling baik nak buat kerja kan. Apa pendapat kau.”Adrian mengusap dagunya sambil memerhati Alyssa.

            Laili pula sudah membuat muka menyampah. Dia nak saja cepat-cepat pergi. Tanpa menunggu lama, Laili terus pergi tanpa menghiraukan Adrian lagi. Biarlah Nana dan Alyssa menghadap muka lelaki poyo itu.

            “Okay good. Aku suka dia ni. Aku nak dia tolong Laila malam ini di Anjung Ilmu.”Hykal menepuk bahu Adrian lalu berlalu pergi.

            Apa lagi yang dia nak? Takkanlah diatak puas hati lagi kenakan aku. Tahulah aku terhutang budi dengan dia pun sebab tak dapat demerit pagi tadi. Alyssa mengeluh kecil. Nana di sebelahnya pula kelihatan teruja sahaja memandang Adrian.

            “Malam ini aku akan pergi kelas kau waktu prep. Then kau tunggu saja apa yang aku nak buat,” ujar Adrian.

            Alyssa mengangguk lemah. Adrian sudahpun pergi meninggalkan mereka untuk menyertai perbincangan senior lain di atas pentas.

            “Macam mana Adrian kenal kau? Akudah bertahun di sini pun dia tak pandang. Untunglah kau Alyssa.” Nana menyiku lengan rakannya itu.

            “Tak ada makna pun. Aku terlepas dari demerit pagi tadi sebab salah masuk blok form six. Si Adrian yang lepaskan aku.” Alyssa melepaskan keluhan.

            Nana mengangguk. Tapi dia tetap rasakan Alyssa gadis yang bertuah. Jarang betul Adrian nak berborak dengan penghuni aspuri yang lain. Walaupun Adrian agak angkuh, dalam sesetengah situasi dia membantu sebenarnya. Alyssa segera menarik tangan Nana pulang ke dorm.

            “Hah, apa si poyo tu cakap dengan korang tadi. Lama betul.” Ujar Laili yang sedang terbaring di atas katil.

            “Entahlah. Dia nak jumpa aku malam nanti. Itu saja.” Alyssa mengeluarkan pakaian bersih dari loker lalu diletakkan atas bahunya.

            Nana mencapai baldi lalu menghampiri rakan-rakannya. Tubuhnya agak montel sedikit dan kelihatan agak comel. Dia sengaja menolak tubuh Laili ke tepi supaya dia juga dapat membaringkan tubuh.Terpaksa Laili mengalah juga pada rakannya itu.

            “Korang tak ada jawatan dalam asramani ke?” soal Alyssa tiba-tiba.

            Nana menyiku lengan Laili kasar.Laili pula hanya menjegilkan matanya pada Nana.

            “Aku tanya ni. Korang tak ada jawatan ke?” soal Alyssa sekali lagi.

            Laili mengeluh. “Aku ketua BiroDisiplin. Nana pula tak ada jawatan.”

            Membulat mata Alyssa. Biro Disiplin adalah diantara biro terpenting di asrama. Tapi kenapa Laili tak naik atas pentas tadi dan berbincang bersama jawatankuasa yang lain. Patutlah Laili tidak kisah sedikit pun untuk pergi begitu sahaja apabila Adrian menahan sebentar tadi.

            “Sudahlah. Aku nak mandi. Korang nak mandi tak?” soal Laili sambil mencapai baldi yang berada di bawah katilnya.

            Alyssa dan Nana segera mengikut langkah Laila menuju ke tandas yang berada di sebelah dorm mereka sahaja. 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 1 | BAB 2 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku