MELANKOLIA
MELANKOLIA
Genre: Alternatif
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 31 Mei 2017
Penilaian Purata:
315

Bacaan






Dia adalah sahabat baik ku sejak dari sekolah rendah lagi. Aku budak kampung, dia budak bandar. Terpisah seketika bila dia balik ke Kuala Lumpur semasa di tingkatan 3. Namun, ibarat air sungai yang mengalir bertali arus, perhubungan kami tidak berakhir di situ. Setiap bulan kami pasti berkirim surat atau poskad, sebagai tanda setia persahabatan kami.


Sehinggalah kami ditemukan semula di universiti, menuntut dalam bidang yang sama dan kebetulan berkongsi bilik yang sama. Sejak dari hari itu, hampir semua perkara kami lakukan bersama. Mandi sungai, panjat gunung, redah hutan. Mengulang kembali keakraban kami zaman persekolahan dahulu. Segala-galanya kami kongsi bersama. Kawan-kawannya adalah kawan-kawanku jua. Dan begitu juga sebaliknya.


Aku terpanggil untuk datang semula ke sini. Terasa kuat ikatan yang menarikku untuk datang kembali. Memoriku dan memori tempat ini serasa telah menyatu. Namun sikap dingin penghuni-penghuninya membuat aku merasa begitu terasing. Semacam wujud sempadan yang memisahkan kami.


Sepanjang aku melalui koridor asrama, rakan-rakan sekolejku seakan-akan cuba untuk menjauhkan diri dariku. Tak seorang pun yang memandangku apatah lagi bersimpati padaku yang masih kesakitan. Saki-baki derita yang terpaksa ku heret bersama, entah sampai bila penghujungnya. Mungkin mereka masih menyalahkan aku di atas kecelakaan yang berlaku pada malam itu. Atau mungkin ini sememangnya hukuman yang paling wajar aku terima.


Aku cuai.


Ingin ku ceritakan hal yang sebenarnya. Memadamkan gossip-gossip yang berlegar selama ini, namun tekakku masih terasa perit untuk bersuara. Betapa suasana koridor yang suram sebegitu, menggambarkan dengan tepat kesuraman hatiku. Dan awan hitam turut sama bersetuju bila ia mula membasahkan tanah nan gersang ini dengan airmatanya.


Ada berita pasal kematian yang hinggap di telingaku saat aku lalu di hadapan pintu separa terbuka, salah seorang penghuni koridor. Nama yang disebut mengingatkan aku kembali akan peristiwa hitam yang berlaku pada malam penuh tragis itu.


Aku tak sengaja.


**********


Aku membuka mata bila suatu tiub dipaksa masuk ke dalam tengkorokku. Sakit. Aku cuba melawan dengan sisa-sisa kekuatan yang masih ada, bila mana kepalaku berpusing lalu terpandang teman baik ku terlentang di katil sebelah.


Tidak bergerak.


Dari celah-celah kekalutan manusia yang mengelilingi kami berdua ketika itu, aku terlihat seliratan wayar atau tiub penyambung nyawa yang disambungkan pada jasad itu. Suaraku tersekat di kerongkong bila aku cuba memanggil namanya, sebelum pandangan mataku tiba-tiba bertukar gelap.


Maafkan aku.


**********


Laluan ini ku lewati setiap kali pergi balik ke asrama. Aku tercari-cari satu pohonan hijau nan rendang, teduhan kami sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan hari itu, yang kini sudah tidak kelihatan. Beberapa langkah sebelum sampai ke blok asrama, terpampang koleksi foto warga kebanggaan kolej kediaman, pada suatu ruangan khusus. Aku berhenti seketika.


Kenangan terindah.


Johan “wall climbing” kategori berkumpulan inter-residential colleges.

Naib johan Debat Piala Tun Hussien Onn antara universiti-universiti.

Johan bakat nyanyian kategori duet Malam Apresiasi Seni.


Aku dan dia punya minat dan kebolehan yang sama. Bila bergabung, kami adalah kombinasi yang tidak terkalahkan. Anehnya, hati kami juga terpaut pada gadis yang sama.


Hujan masih turun mencurah-curah. Perjalanan ku teruskan.


**********


Malam itu dia mengajakku keluar selepas tamat kertas akhir peperiksaan semestar. Untuk meraikan kemerdekaan, katanya.


Dia, Lia dan aku.


Mungkin perananku lebih sebagai pemandu. Sebab dia sendiri belum mahir memandu. Mungkin perkara itu sahaja yang membezakan keupayaan aku dengan dia. Walhal, aku sendiri belum memiliki lesen. Beriya-iya Lia menyakinkan bapanya untuk membenarkan aku memandu kereta milik bapanya itu. Walaupun dia terpaksa berbohong.


Lia duduk di belakang. Temanku duduk di sebelah. Aku hanya mendengar mereka bertukar-tukar cerita. Amelia, anak Datuk Ismail, satu-satunya gadis dalam kumpulannya yang berjaya menarik perhatianku bila pertama kali aku tersedar akan kewujudannya di kampus.


Menarik perhatian kami berdua.


Waktu Lia menyeka ke sisi helaian rambutnya yang berterbangan menutup wajah, aku terasa ikut terbang bersama di awang-awangan. Baju dress bunga-bunga paras siku dan labuh mencecah hingga ke buku lali yang menjadi identiti penampilannya, begitu menyejukkan pandangan mata. Feminin, moden, tapi cukup konservatif pada pandangan mataku.


Cinta pandang pertama bagiku. Cinta yang ketiga kali bagi temanku itu.


Gurau senda mereka menghiburkan aku. Aku gembira bila mereka gembira. Walaupun payah pada mulanya, namun aku akhirnya akur dengan pilihan hati Lia. Aku mengundurkan diri bila ku tahu yang dia juga menaruh hati dengan gadis itu.


Sebab aku lebih rela melepaskan Lia dari melepaskan persahabatan kita.


“Joe, boleh cepat sikit tak?” Lia bersuara lembut.


“Nanti papa marah.”


Aku tersenyum memandang temanku. Dia tersenyum balas memandangku. Ada keunikan dalam lenggok nada suara gadis itu yang membuatkan kami tersenyum tanpa sebab. 


“Dah janji dengan papa, mesti balik sebelum pukul 10...” sambungnya, sebelum benderang cahaya dari hadapan menyilau pandangan kami.

 

Allah!!!

 

Aku membuka mata. Keliru dengan kekecohan yang melingkari aku. Orang-orang yang tidak ku kenali mengerumuni kereta yang ku pandu.


Yang sudah hilang bentuk asalnya.


Dan kereta yang satu lagi.


Hancur.


Aku tercari-cari Lia dan temanku yang tidak ku temui di kerusi penumpang. Ku lihat ada beberapa jasad yang terbaring di atas lantai tanah. Ada yang menangis kesakitan.


Ada yang kaku.


Aku juga cuba membantu, tapi tanganku terasa jauh dan tidak tercapai dari kejauhan itu. Aku menghampiri barisan tubuh-tubuh malang itu, cuba mengenalpasti, bila satu jasad lain menarik perhatianku. Jasad yang melekat pada cermin hadapan kereta yang bertentangan.


Berbaju dress bunga-bunga.


Oh! Lia... 


**********


Aku duduk di atas katil. Akhirnya sampai ke destinasi yang paling kuat ikatan memorinya, berjalan jauh dari kedinginan bilik hospital. Menghadap katil temanku yang kosong dalam kegelapan bilik itu. Cahaya lampu tiang yang mencuri masuk dari luar, tetap tidak dapat mengubah kemuraman ruang di dalamnya. Sendirian, aku mengingat kembali setiap detik keberadaan kami disitu.


Memori demi memori. Ibarat album foto. Mengikat aku dalam ruang ini.


Tidak ada lagi gelak tawanya di sini. Yang tinggal hanya memoriku yang sudah bergabungjalin dengan bilik ini. Aku bangun, berdiri, berjalan, baring kemudian duduk kembali. Semuanya berputar seperti putaran masa.


Ulangan demi ulangan. Ibarat wayang gambar. Masa seakan-akan tidak wujud lagi.


Aku membuka mata bila aku merasakan ada sesuatu berada di atas katil sebelah. Aku hanya mendiamkan diri. Cuba menangkap setiap gerakannya. Cuba memahami bunyi sekejap-sekejap yang datang dari arah itu. Ketika ia beranjak maju ke hadapan, baru nyata yang aku sebenarnya sedang memandang bentuk tubuh seorang manusia, sedang duduk menghadapku. Aku bangkit dari baring lalu ikut sama duduk. Ikut sama beranjak ke hadapan. Memerhatikan.


Dan menunggu.


Sehinggalah tiba saat sambaran kilat dari luar yang menerangi seketika ruang gelap itu lalu menyedarkan aku.


“Lan?” Suaraku perlahan. Sedikit bergetar. Sedikit ragu.


“Azlan?” Ku tinggikan sedikit suara. Dan mula tersenyum. Pasti.

 

Tiada jawapan. Tiada senyuman balas. Dia hanya memandang kehadapan, ke arah aku. Wajahnya semakin jelas kelihatan.


Aku bangun lalu berdiri. Cuba menghampiri Azlan, bila pintu diketuk dari luar dan pintu dibuka. 


Aku menoleh.

 

“Lan, bila kau sampai? Kenapa duduk dalam gelap-gelap ni?” Firdaus, penghuni bilik sebelah menghidupkan suis lampu lalu duduk di sebelahnya.


Azlan menyeka airmatanya.


“Sudah-sudahlah tu, Lan. Biarlah dia tenang di sana. Kita yang masih bernyawa, harus meneruskan hidup. Dah, jom ikut aku. Kita keluar...” sambil memegang bahu teman ku itu.


Aku kembali memandangnya. Cuba menyambut tangannya, tapi tanganku terasa jauh dan tidak tercapai dari kejauhan itu.


“Aku di sini, Lan...”


Lampu ditutup.

 

Aku bagai seorang pendatang

Ke sempadan yang mengasingkan

Sedang dulu di sini aku

Bermesra denganmu

Kedatangan tiada sambutan

Dan senyuman tiada balasan

Langkah kaki

Sampai di sini terhenti


SEKIAN

 

*Kredit lagu – Aku Hanya Pendatang (Fransisca Peter)



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku