Lamunan Cinta Yang Terhenti
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 01 Jun 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
383

Bacaan






Sesi pengkuliahan pada hari itu telah selesai sedikit awal daripada kebiasaannya. Kesemua kelas yang berlangsung selesai dan tamat pada sekitar jam satu tengahari. Hari pertama di universiti itu memang agak menggembirakan hati Asyifa. Teman-teman baru yang mula dikenalinya telah menambah rasa minat Asyifa untuk menjalani sesi-sesi pengkuliahan selanjutnya. Pada tengahari itu, Asyifa pulang dengan seribu satu perasaan yang mengujakan. Tidak sabar hatinya untuk meluahkan segala-gala kepada ibunya berhubung pengalaman yang ditempuhinya hari ini. Kereta Produa Kancil dipandunya dengan agak laju seolah-olah sudah tidak sabar untuk sampai dirumah. 

Sedang kereta itu asyik dipandu olehnya, tiba- tiba dia terperasan terdapat sebuah motor sedang mengekorinya dengan agak rapat. Apabila dia membelok ke kanan maka motor tersebut ikut membelok dan apabila dia membelok ke kiri, motor itu ikut sama ke kiri. Perasaannya mulai khuatir dengan tindak tanduk penunggang motosikal itu. Pelbagai persoalan timbul di benak mindanya.


‘Kenapa motor ni ikut aku? Dia ada niat tak baik ke?’ Hati Asyifa mula tidak tenteram.


Apabila semakin hampir tiba di lorong rumahnya, barulah Asyifa mampu melihat bahawa penunggang motorsikal tersebut adalah Syafi. Bermain lagi difikirannya beberapa kemusykilan dan syak wasangka.


‘Syafi ni ada niat tak baik ke pada aku? Kenapa dia mengekori aku sampai ke rumah? Entah-entah dia buat baik dengan aku tadi sebab nak sesuatu tak? Baik aku berjaga-jaga!’ Getus hatinya yang berbaur resah.


Tidak lama kemudian, Asyifa pun memberhentikan kereta dihadapan rumahnya. Dan dalam masa sama, Syafi pun turut berhenti tidak jauh dari kereta yang dipandu Asyifa. Melihat Syafi yang turut sama berhenti membuatkan Asyifa tambah gusar. Asyifa telah bertindak mencapai ‘kunci stereng kereta’ untuk dibawa turun bersama sebagai langkah berjaga-jaga. 


Sebaik sahaja turun dari kenderaan, Asyifa terus saja meluru kearah Syafi seraya berkata,

“Awak kenapa ikut saya?!” Tengking Asyifa sambil kunci stereng yang dibawanya diangkat seperti mahu dihayun kearah Syafi.  


“Eh, apa awak buat dekat sini?” Tanya Syafi kembali yang sedikit bingung dengan kelakuan Asyifa.


“Tak usah nak berdalih! Baik awak cakap kenapa awak ikut saya? Awak ada niat tak baik ke dekat saya?” Desak Asyifa.


Ibu Asyifa yang mendengar sedikit kekecohan diluar rumahnya segera bergegas keluar bagi mendapat tahu apa yang terjadi.


“Kenapa ni? Kenapa?” sampuk ibu Asyifa yang panik.


“Ada orang jahat!” Jawap Asyifa sambil menuduh Syafi.


“Awak ni pesakit mental yang lupa makan ubat ke apa? Tiba-tiba je nak serang saya? Saya bukannya orang jahat!” Tegas Syafi pula yang cuba menafikan tuduhan Asyifa.


“Abistu kalau awak bukan orang jahat, kenapa awak ikut saya?” Tanya Asyifa lagi.


“Dah memang ni rumah saya. ” Jelasnya ringkas.


“Hah?!Sebelah tu rumah awak?”


Asyifa mula tercengang selepas mendengar jawapan dari Syafi tersebut. Tidak disangka bahawa jiran sebelah rumahnya adalah Syafi. Fikirannya mula mengimbau kembali hal yang telah dilakukan kepada Syafi pagi tadi. Pantas Asyifa meminta maaf ekoran sangka buruknya yang mendalam terhadap Syafi. Syafi tidak berfikir panjang untuk memaafkan gadis yang disukainya itu. Terlintas di fikiran Syafi bahawa mungkin jodohnya kuat kerana dia juga tidak menyangka bahawa jiran yang telah mendatangkan masalah kepadanya itu adalah gadis pujaan hatinya sendiri.


Asyifa yang kesal dengan perbuatan-perbuatannya terhadap Syafi telah bertindak untuk mempelawa Syafi masuk ke rumahnya. Telah dihidangkannya secawan air kopi bersama kuih-muih sebagai tanda meminta maaf kepada Syafi. Ibu Asyifa yang melihat Asyifa yang sedang menuangkan air tanpa berlengah langsung sahaja mempelawa Syafi untuk minum dan menjamah kuih yang tersedia.   


 “Jemputlah minum Syafi. Jangan malu-malu.” Bicara Puan Hindun yang merupakan ibu Asyifa. 


“Malu tu tidak makcik, cuma segan. Hihi..” Senda Syafi kepada Puan Hindun.


“Owh, tak sama eh malu dengan segan?” Tanya Puan Hindun kepada Syafi sambil disusuli ketawa kecil.


“Jangan dilayan sangat budak nie mak. Syafi nie memang banyak loyar buruknya. Baru tak sampai sehari kenal je dah macam-macam kerenah dia dekat kolej tadi…hihi.” Celah Asyifa sambil berseloroh mengusik Syafi.


“Abis yang awak buat nie bukan layanan kepada saya ke?” kata Syafi yang membalas usikan Asyifa.


“Hello,saya hidangkan semua nie sebab nak layan awak sebagai tetamu. Bukannya sebagai tukang loyar buruk!” Bidas Asyifa kepada Syafi.


“Sudah-sudah! Jangan bergaduh. Syafi kan tetamu, takpelah dia nak bergurau.” Sampuk Puan Hindun yang ingin meleraikan pertelingkahan mesra antara Asyifa dan Syafi. Sekali lagi jelas keserasian antara mereka berdua meskipun hanya baru sehari berkenalan. Situasi yang amat berbeza sekali jika melibatkan hubungan antara Syafi dengan Batrisya yang sering dingin dan tidak mesra.

 

“Dah lama ke Syafi duduk sini? Tinggal dengan siapa?” Soal Puan Hindun.


“Dah lama makcik, sejak saya kecil lagi. Sebenarnya saya ni anak yatim piatu. Ibubapa kandung saya dah lama meninggal dunia. Selepas ibubapa kandung saya meninggal saya kemudian dibela oleh ibu angkat saya. Dah lama dah ibu angkat saya jaga saya, sejak bayi lagi. Dia susukan saya, dia sekolahkan saya, dia didik saya sampailah sekarang nie.” Terang Syafi sebagai menjawap pertanyaan Puan Hindun.


“Owh,jadi sekarang ni tinggal dengan ibu angkat lah?” Tanya Puan Hindun lagi.


“Aah,saya tinggal dengan ibu angkat saya.” Jawap Syafi ringkas.


“Habistu, dia ada ke dekat rumah sekarang nie?”


“Takda,dia takda kat rumah. Waktu-waktu macamni ibu saya kerja.” Jelas Syafi.


“Owh,baru ingat nak kirimkan kuih dekat ibu Syafi. Ibu Syafi kerja apa?” Puan Hindun bertanya bagi mendapatkan kepastian.


“Kerja sebagai penyelia dekat pasaraya. Dia kerja 12 jam. Dari 10 pagi sampai 10 malam. Hari-hari boleh dikatakan ibu saya takda dekat rumah. Melainkan hari Jumaat dengan Sabtu je dia ada dekat rumah.” Terang Syafi pula.


“Rajinnya ibu Syafi membanting tulang empat kerat untuk cari rezeki. Kalau makcik dah confirm tak terlarat. Alang kerja sebagai cikgu nie pun makcik rasa macam dah tak larat dah. Dengan nak layan kerenah budak-budak lagi. Rasa macam nak pencen je. Padahal takdalah kerja sampai 12 jam macam ibu Syafi. Itulah kadang-kadang kita nie kena bersyukur….” Keluh Puan Hindun sambil menzahirkan kekaguman kepada ibu Syafi.


“Aah,betul…..” ucap Syafi ringkas sebagai menyetujui kata-kata yang diungkapkan Puan Hindun. Raut wajahnya sedikit berubah. Matanya memandang tepat kearah cawan kopinya yang sudah tinggal separuh. Fikirannya seolah-olah melayang seketika mengenangkan jasa-jasa baik ibu angkatnya terhadap dirinya. Nampaknya kata-kata Puan Hindun agak memberi kesan kepada Syafi.


“Ermm...makan tengahari dengan makan malam selalunya Syafi masak sendiri lah ye?” soal Puan Hindun lagi sebagai menyambung perbualan.


“Kadang-kadang saya masak sendiri, kadang-kadang saya makan luar dengan kawan-kawan. Depends.” ucap Syafi sambil tersenyum manis sehingga kelihatan giginya yang putih berseri. Terserlah kekacakan diri Syafi setiap kali mengungkapkan kata-kata. Sehingga Asyifa juga tidak terlepas dari perasaan terpesona kepada Syafi. Sepertimana yang diketahui, perasaan suka dan cinta sememangnya suatu fitrah dan lumrah yang wujud dalam setiap insan. Ianya sesuatu yang sukar untuk ditinggalkan, namun apa yang penting adalah memandu perasaan itu kearah aturan yang betul agar tidak hanyut dan lemas dalam maksiat kepada Allah.


‘Boleh tahan comel juga mamat nie.’ Getus hati Asyifa yang terbuai sejenak dek terpegun dengan ketampanan wajah Syafi.


“Kalau macamtu harini Syafi tak payah masaklah. Makan je dekat sini ye. Betul tak Syifa?” Pelawa Puan Hindun sambil tangannya menyiku perlahan ke lengan Asyifa. Asyifa yang ketika itu masih asyik mengelamun tidak perasan akan teguran Puan Hindun. Melihat keadaan itu, Puan Hindun menegur Asyifa sekali lagi.


“Asyifa!Asyifa! Dah kenapa!?”


“Eh,astaghfirullahaladzim. Apa tadi mak?” ungkap Asyifa yang agak celaru dengan apa yang sedang berlaku.


“Kena sampuk syaitan ke sampai istighfar?” Tanya Puan Hindun yang sedikit berang dengan tingkah Asyifa.


“Takdalah mak. Apa tadi yang mak cakap?” Soal Asyifa yang masih dalam kekalutan. Syafi yang melihat keadaan itu mula mengerutkan keningnya seumpama kehairanan.


‘Dahkenapa pulak dengan minah nie?’ Desis hati Syafi.


“Tulah mengelamun lagi. Sampai orang cakap dengan dia pun tak dengar. Macamni, mak nak ajak Syafi makan tengahari dekat sini je. Kesian dia selalu kena masak sendiri. Apa salah sekali sekala makan dekat sini kan?” ujar Puan Hindun.


“Aah betul tu mak. Awak makan dekat sini je Syafi. Mak saya masak sedap tau.” Asyifa cuba meyakinkan Syafi agar bersetuju untuk menjamu selera di rumahnya. Terdetik dihati Asyifa, ‘Dapatlah aku tengok lama-lama sikit muka mamat cute nie’.


Syafi tidak berfikir panjang sebaliknya terus sahaja bersetuju. Terdetik juga dihati Syafi, ‘Mesti Asyifa yang sendukkan lauk nanti. Seronoknya!’

 

Tidak lama kemudian Puan Hindun dan Asyifa pun menghidangkan juadah makan tengahari untuk dijamu bersama. Terdapat tiga jenis lauk yang dihidangkan iaitu Asam Pedas Ikan Pari, Sayur Kobis Goreng dan Tomyam Ayam. Setiap satu jenis lauk tersebut dibahagikan kepada tiga bekas mangkuk yang berasingan. Setiap seorang dari mereka mendapat tiga bekas mangkuk yang mengandungi tiga jenis juadah tadi. Sekaligus menjadikan meja makan itu dipenuhi dengan sembilan buah mangkuk lauk kesemuanya. Syafi yang melihat hal itu berasa sedikit canggung. Pada Syafi, apa yang dilakukan oleh Asyifa dan ibunya adalah sesuatu yang pelik.


“Maaf,kalau saya nak tanya makcik, kenapa tak satukan je lauk-lauk yang sama ni dalam satu bekas? So, just perlu tiga mangkuk je lah sepatutnya. Ni dah sampai sembilan mangkuk atas meja. Macam membazir lah pula. Bukan apa, cuma takut makcik yang penat pula nak cuci pinggan mangkuk banyak-banyak.” Soal Syafi

 

Puan Hindun kelihatan teragak-agak untuk menjawab persoalan yang diutarakan Syafi. 

“Ermm…sebenarnya makcik ni seorang yang perfectionist.Terutama dalam soal kebersihan. Makcik tak suka kotor-kotor, makcik suka betul-betul bersih dan terjamin. Sebabtu makcik asing-asingkan macam ni. Maklumlah bakteria alaf baru nie macam-macam jenis. Bak kata orang, mencegah lebih baik daripada merawat.” Terang Puan Hindun panjang lebar. Mata Puan Hindun menoleh perlahan kearah Asyifa seperti menyembunyikan sesuatu.

 

“Oh, patutlah sebelah mangkuk nasi tu ada sampai tiga senduk. Warna-warni pulak,” tutur Syafi sambil tersenyum kecil.

 

“Aah, setiap seorang satu senduk. Kalau ada lima orang maka lima senduk lah makcik letak jawabnya. Maaflah kalau Syafi takbiasa ye.”


“Eh,takpe. Saya tak kisah pun. Cuma saya pelik je. Tapi baguslah jaga kebersihan,”balas Syafi.


Nampaknya keinginan Syafi untuk melihat Asyifa menyendukkan lauk untuknya tidak kesampaian. Walaubagaimanapun, Syafi tetap tidak berputus harap. Dia masih meyakini bahawa Asyifa akan menyendukkan nasi kedalam pinggannya dengan menggunakan salah satu senduk yang berwarna warni tadi. Kebetulan beberapa saat selepas itu Asyifa mencapai senduk berwarna merah bersama mangkuk nasi. Syafi yang melihat gerak geri Asyifa itu pantas mahu memanfaatkan peluang. Tanpa berlengah, Syafi langsung saja mengangkat pinggannya seperti meminta disendukkan nasi. Malangnya, senduk berwana merah beserta mangkuk nasi yang diambil Asyifa tersebut bukan untuk disendukkan kepada Syafi sebaliknya untuk dirinya sendiri.

 

“Eh,awak nak nasi juga ke? Nah, ambil senduk warna hijau ni and senduk sendiri,” dengan selamba Asyifa menghulurkan senduk dan mangkuk nasi tanpa mahu berteka-teki sedikit pun apa kehendak Syafi yang sebenarnya.

 

Syafi yang kecewa pantas merampas senduk berwarna merah dan mangkuk nasi yang dihulur Asyifa. Tindakan pantas beliau itu tidak lain tidak bukan bagi menyembunyikan rasa malunya. Apa tidaknya, sangkaannya sudah meleset.


Seusai menikmati hidangan tengahari, Syafi meminta izin untuk beredar pulang. Syafi mengucapkan terima kasih kepada Puan Hindun diatas segala layanan. Asyifa yang mendengar Syafi mahu pulang segera mengiringinya sehingga ke luar halaman rumah.


“Terima kasih awak, jangan lupa esok ye.” Pesan Syafi sambil menyarung kasut kulit miliknya.


“Esok?Ada apa ye?” Soal Asyifa yang lupa akan aktiviti yang sepatut dilakukannya pada hari esok.


“Esok kan ada orientasi dan ragging untuk pelajar-pelajar baru.” Syafi mengingatkan.


“Ya,baru saya ingat. Tapi saya kan pelajar semester 2 kenapa masih perlu ikut orientasi dan ragging sama-sama dengan budak semester 1?” Ujar Asyifa yang sedikit kehairanan.


“Hmm…untuk pengetahuan awak, meskipun awak sudah senior dan sudah masuk semester 2 tapi untuk universiti cawangan sini awak masih dikira junior sebab tu awak kena ikut orientasi dan ragging sekali.” Jelas Syafi.


“Tak boleh ke dikecualikan? Sebab saya kan dah pernah ikut program-program macam ni masa dekat cawangan universiti saya yang dulu. Awak yang jadi fasilitator untuk esok kan? Takkan tak boleh tolong saya?” Rayu Asyifa.


“Takboleh. Ini peraturan.” Balas Syafi pantas. Keningnya dinaikkan sedikit, manakala bibirnya pula tersenyum perlahan. Kelihatan Syafi seperti sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan Asyifa.


“Baiklah kalau macamtu.” Asyifa akur.


“Saya minta diri dulu ye. Assalamualaikum.” Ucap Syafi yang segera mahu meninggalkan rumah Asyifa.


“Waalaikumusalam.”



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku