Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
466

Bacaan






...1998...

 

Hakimi tiba serentak dengan berkumandangnya azan Maghrib dari Pusat Islam berdekatan.

            

“Setengah jam boleh?” Soal Hakimi sewaktu Kembara miliknya berhenti di dataran asramaku.


Aku yang terpingga, antara dengar dengan tidak soalan yang diajukan, menoleh ke arah Hakimi dengan dahi berkerut.

           

“Lisa pergi solat dulu, lepas tu kemas barang yang nak hantar balik rumah. Akim pergi Pusat Islam, dalam setengah jam Akim datang balik, ok?”

           

Aku yang masih terpingga, cuba memahami mesej yang Hakimi sampaikan kerana setahu aku, dia hanya datang menjemputku di fakulti untuk menghantarku pulang ke asrama.

            

“Jangan buat muka macam tu...” dan dia menoleh kepadaku dengan senyum penuhnya yang menjadi penyebab angauku dalam diam.


“Dah, pergi masuk. Lepas ni Akim hantar balik rumah. Akim tunggu kat sini lagi setengah jam tau. Lambat tinggal. Pergi cepat!”


Walaupun sergahannya hanya gurauan, tapi aku terkocoh-kocoh juga membuka pintu dan keluar. Terdengar suaranya tergelak di belakang, gelak yang sentiasa membuat hatiku berbunga di luar sedar. Ah,kalaulah...

            

Sudah adat duduk di asrama, waktu Maghrib’lah peek hour di toilet. Masa itulah orang beratur mengambil wuduk, masa itu jugalah orang mandi dan yang paling menyakitkan hati, waktu itu jugalah ada orang sibuk hendak membasuh baju.


Jadi ruang lima pintu tandas dan lima pintu bilik mandi itu pun jadi sesak sesesak sesaknya. Dan disebabkan itu jugalah masa setengah jam yang diberikan oleh Hakimi tidak terjangkau dek gerak langkahku. Akhirnya aku hanya dapat betul-betul turun dengan kotak besar di tanganku hampir satu jam kemudiannya.

           

Ketika menghampiri kereta Hakimi di sudut dataran asrama, aku dapat lihat pemuda dua puluh dua tahun itu sedang tidur di kerusi pemandu dengan seatnya sedikit jatuh ke belakang.


Rambutnya yang lurus separa bahu menutupi sebahagian daripada mukanya namun begitu ketampanannya masih lagi terserlah. Kesempatan yang ada ini aku ambil untuk merenung sepuasnya wajah yang sehingga kini tanpa disedari oleh sesiapa telah mendapat satu tempat khas di dalam hati ini.

            

Sedang aku asyik merenung wajah jernih itu, tiba-tiba Hakimi tersedar. Aku cepat-cepat tunduk. Dalam keadaan yang masih terpisat-pisat, dia menurunkan cermin tingkap keretanya.

            

“Lama ke tunggu? Kenapa tak kejut?”


Wajahnya kelihatan agak terganggu, mungkin kurang senang kerana terpaksa membuat aku berdiri di luar keretanya. Hakimi membetulkan semula tempat duduknya. Kemudiannya turun membantuku memasukkan kotak ke tempat duduk bahagian belakang.

            

“Beratnya...Lisa angkat sorang?” Aku angguk. “Ada lagi tak?”


Aku geleng dan entah mengapa fikiranku terbang kepada Am dan tiba-tiba aku jadi rindu terhadap manusia yang kebelakangan ini sudah tidak punya banyak masa untukku.

           

 

Sepanjang perjalanan pulang ke rumahku kami hanya berbual mengenai kegiatan harian dan kerja kuliah. Hakimi sedikitpun tidak bertanya tentang Am dan aku juga amat-amat berdoa agar dia tidak mengutarakan apa-apa soalan mengenai hubungan aku dan Am kerana aku tidak punya mood untuk mereka-reka cerita malam ini.

            

Kami tiba di rumah hampir pukul sembilan malam setelah tolak campur kesesakan lalu lintas yang berlaku di Lebuhraya Persekutuan kerana hujan.


Masuk sahaja ke rumah, mama terus sibuk mengarahkan aku dan kak Zara membantunya menghidangkan makan malam. Hakimi pula yang sememangnya sudah biasa dengan ahli keluargaku, terus sahaja bergabung dengan abah, abang dan adik lelakiku menonton televisyen di ruang tamu.

            

“Tadi Am telefon, akak ingat Lisa balik dengan dia...” bisik kak Zara, ketika hanya kami berdua sahaja tinggal di dapur.

            

“Dia sibuk sangat sekarang, kak...malas nak kacau orang popular macam dia tu.”

            

“Amboi, macam jauh hati betul bunyinya. Eh, lupa pula nak bagitau, akak ada beli magazine baru, yang cover depan dia muka Am dengan heroin drama baru dia. Lisa dah tengok ke?” Pergerakan tanganku yang sedang mengacau air terhenti.

            

“Mana majalah tu?”   

            

“Ada kat atas...nanti akak ambil.”


Belum sempat kak Zara memanjat tangga untuk ke bilik,mama sudah memberi isyarat mata untuk kami sama-sama duduk di meja makan. Operasi kami berdua terbantut.


Suasana makan malam berjalan lancar. Jam sudah hampir sepuluh suku malam ketika Hakimi meminta diri untuk pulang.

            

“Terima kasih, Akim, buat susah Akim aje...esok kelas pagi pulak tu...” Hakimi hanya tersenyum sambil tangannya lincah menyalami keluargaku.

            

“Terima kasih makcik, pakcik. Untung jugak tolong Lisa, dapat saya merasa sambal tumis sotong makcik.”


Sempat lagi Hakimi bergurau sambil mengangkat CPU ke kereta. Abang Zafri mengekor di belakang dengan monitor. Sedang aku terkial-kial menyarung kasut, kak Zara mencapai tanganku.

            

“Nah, ni magazinenya...ambillah, bawa balik ke kolej, buat pelepas rindu!”


Aku hanya sambut gurauan kak Zara dengan senyum sumbing dan kemudiannya bersalaman dengan abang, adik, kakakku dan memeluk serta mencium abah dan mama seperti kebiasaan.

            

Sebaik sahaja Kembara Hakimi memasuki lebuhraya, aku terus merungkaikan getah pengikat majalah sebesar saiz A3 itu. Jelas di situ kelihatan gambar Am sedang tersenyum lebar dan di dadanya tersandar seorang heroin yang sedang menaik namanya. Di bahagian tengah majalah tertera kenyataan dengan font besar warna kuning;

 

“ SAYA MASIH SOLO – IDHAM ”

 

dan DUSH!! Aku rasa bagai ada sebiji batu besar baru sahaja dilepaskan ke atas kepalaku.


Perlahan-lahan aku buka helaian majalah dan mencari artikel lanjut. Dengan perasaan yang aku sendiri tidak dapat duga, mataku melompat dari sebaris ke sebaris ayat yang bertaip di situ, menyoroti kenyataan yang dikeluarkan oleh Am.


Semakin banyak yang kubaca semakin aku rasa seperti ingin meletup. Akhirnya aku gulung majalah tersebut ketat-ketat dan campak ke kerusi belakang. Aku tahu kelakuanku sedang menarik perhatian Hakimi tetapi segalanya bagai di luar kawalanku.


“Kenapa ni?” Dalam keadaan seperti di awangan aku dengar suara Hakimi berbalam di telingaku.


Aku cuba untuk tersenyum tetapi aku sendiri tidak pasti senyum jenis apakah yang sedang tertera di wajahku saat ini dan senyuman itu jugalah kubawa sehingga Kembara Hakimi berhenti di hadapan bangunan asramaku.

           

“Okey tak ni?”


Sebahagian daripada diriku mengangguk tetapi sebahagian laginya sungguh-sungguh menggeleng.


“Nah...” aku angkat kepala, di luar sedar mencapai tisu yang dihulurkan oleh Hakimi dan membawanya ke mukaku.


Aku tekup tisu lama di situ dan saat itu aku dapat rasakan ada satu benda membuak-buak di dalam dadaku yang meronta supaya dilepaskan dan akhirnya aku teresak, perlahan dan lama-kelamaan semakin kuat. Akhirnya aku menangis buat pertama kalinya di hadapan Hakimi kerana Am.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku