Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
348

Bacaan






...1998...

 

Ketika aku tiba di Shakey’s di Alam Sentral, aku ternampak kelibat Am dari jauh, sedang menilik menu. Kedudukan meja yang dipilih agak tersorok. Seakan berjanji, dia memakai kemeja berwarna hitam,sedondon dengan baju kurungku. Walaupun aku tahu aku sudah terlewat lima belas minit, aku masih tidak berminat untuk mempercepatkan langkah.

            

“Sorry, lambat...” dia terdongak memandangku dan kemudiannya tersenyum, mempelihatkan lesung pipit di kedua belah pipinya. “Lama tunggu?”

            

“Tak juga...tapi saya awal dari awak kali ni!” Guraunya, masih dalam senyum.

            

“Iye?”


Itu sahaja yang tindak balas yang dapat kuberikan. Senyumannya beransur mati. Dia baru hendak membuka mulut ketika pelayan datang untuk mengambil pesanan. Tanpa melihat menu Am memesan Hawaiian Chicken, sandwich ayam dan dua gelas Coke.

            

“Awak marah kat saya pasal semalam,ya?” Tanya Am sebaik sahaja pelayan tersebut berlalu. “Saya betul-betul minta maaf...saya memang tak dapat nak lari.”

           

“Sebenarnya bukan pasal semalam saja, awak, dah banyak kali awak buat macam ni.”

            

“Saya tau...saya tau. Sorry sangat-sangat, awak, buat masa ni saya sibuk gila dengan shooting drama tu. Saya mintak sangat-sangat pengertian awak...please...”

            

“Habis study awak semester ni macam mana?”

            

“Saya dah dapat pelepasan untuk semester ni. Awak, saya penat nak gaduh-gaduh dengan awak. Saya rindukan awak, awak yang dulu, awak yang cukup faham dengan diri saya...” aku mula jadi lemas dengan pujuk rayunya.

            

“Ok-ok...tapi lepas ni awak jangan mungkir janji lagi. Kalau janji nak datang jemput, awak mesti datang jemput.Kalau janji nak jumpa awak takkan lambat, boleh?” Am tersenyum kembali.

            

“Saya janji, awak...saya janji untuk beri awak yang terbaik. Awak kan girlfriend saya.”


Ayat Am serentak itu membawa aku kembali kepada artikel yang telah kubaca malam tadi.

            

“Girlfriend?” Aku angkat kening. Nadaku berubah sedikit sinis. “Eh, kan awak single, solo. Masih tak ada yang istimewa -”

            

“Okay...that’s it! Ni sebab awak marah-marah, kan? Ok, saya mengaku memang saya ada cakap macam tu tapi -” aku memalingkan muka ke arah lain. Marah yang tadi telah sejuk mendidih semula.“Awak..awak dengarlah dulu...please.”


Dengan hati yang cukup berat, aku memandangnya kembali.


“Saya terpaksa cakap macam tu. Awak, saya baru nak naik...PR saya cakap buat masa ni saya tak boleh ada komitmen dengan siapa-siapa pun...alaa..macam mana saya nak explain kat awak?”

            

“Explain ajelah...saya tak bodoh lagi. Masih boleh faham struktur ayat yang awak gunakan...”

            

“Lisa, awak janganlah macam ni. Awak tau kan, yang saya sayang kat awak? Awak tau awak special sangat dalam hidup saya cuma dalam masa yang terdekat ni saya betul-betul nak awak faham...” aku memandang mata Am yang jernih dan serta-merta hatiku menjadi lembut.


Memikirkan hubungan yang telah terjalin hampir dua tahun, aku rasa tidak ada ruginya kalau aku membuat sedikit pengorbanan. Lagipun,sebagai teman wanitanya, aku rasa aku perlu menyokong minatnya.

            

“Ok...tapi awak jangan nak cuba buat yang bukan-bukan...jangan terlintas nak cipta gosip, saya tak suka, saya ulang sekali lagi, saya tak suka. Lagi satu, kalau boleh, kurangkanlah bergambar peluk-peluk dengan heroin, model atau yang sewaktu dengannya...boleh?”

            

“Ok...Ok...awak,saya janji, semua syarat saya terima. Oh, ya, awak tunggu sekejap.”


Belum sempat aku bertanya, Am sudah keluar dari restoran. Beberapa pasang mata gadis muda di dalam restoran turut mengikuti langkahnya dengan gelak-gelak gatal. Haiii...keluhku dalam hati. Inilah yang harus aku lalui dalam tempoh yang aku sendiri tidak pasti.

            

Makanan pun tiba tetapi Am masih belum kembali ke tempat duduknya. Aku mula risau. Ke mana pula perginya dia?Belum sempat aku bingkas dari kerusi, bayangnya muncul kembali dengan tangan kiri di belakang tubuhnya manakala tangan kanannya memegang sebuah kotak berbalut.

Ketika melintasi meja gadis-gadis di bahagian depan restoran, sempat juga dia melempar senyum dan mengenyit mata kepada mereka. Aku genggam penumbuk di bawah meja sambil telan rasa cemburu jauh-jauh ke lubuk perut.

            

“Nah, ini untuk awak...” dia menghulurkan kotak berbalut pembungkus warna merah jambu dengan taburan hati merah darah.


Aku menyambutnya dengan emosi yang berbaur antara gembira dan kosong terapung.


“Ini pun untuk awak juga, untuk semua pengorbanan, kasih sayang, pengertian dan pemahaman yang telah dan bakal awak berikan sepanjang perhubungan kita. Saya sayang awak, ingat tu, tau?”


Aku letak bungkusan ke atas meja dan menyambut pula huluran sejambak carnation putih dengan sekuntum mawar merah di bahagian tengahnya.


Saat itu hatiku betul-betul tersentuh dengan sikap romantiknya yang tidak disangka. Patutlah Am bersungguh-sungguh mahu menemuiku hari ini. Rupanya dia sudah punya agenda sendiri untuk mengubat kelukaan hatiku yang selalu terjeruk dengan sikapnya sejak akhir-akhir ini.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku