Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
272

Bacaan






...1994...

 

Dua puluh minit selepas loceng tamat sekolah tengah hari itu berbunyi, aku berlari anak mencelah di antara pelajar yang berada di laluan koridor untuk ke kantin mendapatkan Hakimi yang sudah sedia menunggu.

            

“Kenapa lambat?”


Aku tidak menjawab, tetapi terus menarik gelas berisi air sirap yang baru sedikit luak di depannya, menyuakan ke mulut dan sedut sehingga tinggal separuh.


“Ya,Allah...teruknya perangai!” Jeritnya separuh tergelak. Aku hanya buat selamba.

            

“Laparlah Akim...pergilah beli makanan.” Hakimi pura-pura marah tetapi dalam pada itu tetap juga bingkas.


Sepuluh minit kemudian dia kembali bersama sepinggan nasi ayam dan semangkuk mee sup. Mangkuk yang masih berwap disua kepadaku.


“Tak nak, hari ni Lisa nak makan nasi ayam!”


Dengan nakal aku menukar kedudukan pinggan dan mangkuk. Hakimi hanya menjegilkan mata tetapi aku terus buat bodoh, menyuap nasi ke mulut laju-laju.


“Ni...sejak bila pulak suka nasi ayam ni?” Tanya Hakimi.Aku angkat muka dan menyeringai.


“Kenapa? Tak boleh? Kan Akim suka nasi ayam, jadi apa salahnya kalau Lisa belajar untuk suka benda yang Akim suka? Kita kan kawan?”Wajah Hakimi sedikit berubah.


“Kawan aje?”


“Tak...kawan baik!” Bersungguh-sungguh aku menuturkannya sebelum kemudiannya kembali tunduk menyambung makan.

 

...1998...

 

Aku mengeluh. Memori sewaktu di tingkatan empat itu entah mengapa tiba-tiba tersinggah di dalam fikiranku. Ketika itu Hakimi di tingkatan enam rendah. Sehingga kini aku masih tidak tahu mengapa Hakimi tidak menyambung pelajarannya ke mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam setelah keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan sedangkan namanya tersenarai didalam sepuluh orang pelajar terbaik ketika itu.


Nota di tangan aku letak ke atas dada. Hari ini moodku untuk belajar jatuh ke  sifar peratus. Balik-balik yang datang dalam fikiranku adalah Hakimi – semua dan segala-segalanya yang berkaitan dengan Hakimi.


Masuk tahun ini sudah lima tahun persahabatan antara kami terjalin. Lima tahun yang penuh dengan teka-teki. Banyak faktor yang menyebabkan aku cukup selesa berada di sampingnya. Selain daripada sikapnya yang amat melindungi, kami juga berkongsi minat yang sama di dalam bidang seni lukis.


Sebenarnya, sehingga ke hari ini, aku sendiri tidak pasti tentang perasaanku yang sebenar-benarnya terhadap Hakimi. Ketika di sekolah dahulu, aku menganggap dia sebagai teman baik merangkap abang angkatku.


Di kalangan teman-teman pula dari zaman persekolahan sehinggalah ke universiti, kami adalah sepupu ‘bau-bau bacang’ walaupun ada di antara mereka yang kurang percaya. Itu idea Hakimi sewaktu di awal persahabatan untuk mengelakkan hubungan kami dijadikan buah mulut orang.


Setelah hubungan yang terjalin mula berusia, perasaan aku turut perlahan berubah bentuk. Yang aku tahu, padaku, Hakimi bukan lagi sekadar teman baikku malahan lebih daripada itu.

Tetapi, satu peristiwa yang telah berlaku ketika awal tahun aku di tingkatan lima membuatkan aku mengambil keputusan untuk menyimpan dan mengikat perasaan yang mula mekar buat Hakimi kemas-kemas dan jauh-jauh disudut dasar hati.


...1995...

 

Petang Sabtu, Jalan Tuanku Abdul Rahman mula sesak dengan peniaga-peniaga pasar malam. Aku yang berdiri di sudut salah sebuah pintu utama di Sogo hanya memandang kesibukan itu dari jauh. Petang ini aku ada agenda penting. Hakimi buat pertama kalinya mengajak aku keluar, katanya ada perkara yang ingin diberitahu, yang tidak boleh disimpan-simpan lagi


Selama ini kami tidak pernah keluar berdua. Kalau pun berjumpa hanya di sekolah dan hujung minggunya pula di tempat tiusyen atau pun di rumah masing-masing secara bergilir untuk mengulang kaji sementelahan lagi aku sendiri sudah akrab dengan keluarga Hakimi dan begitu jugalah sebaliknya.


Tiba-tiba aku jadi sangsi dengan penampilanku. Mengerling jam di tangan, aku yakin yang aku masih punya masa untuk ke tandas untuk membetul dan menambah apa yang patut.


Di depan cermin, aku menekap muka yang berminyak. Rambut yang dulunya tidak pernah sempat melepasi bahu, tetapi kini sudah mencecah belikat kusisir dengan jari. Baju blouse campuran cotton dan shiffon yang kelihatan sedikit keronyok di bahagian pelipat lengan kutarik-tarik supaya lebih kemas. Kemudian aku keluarkan lip gloss, calit di bibir lebih kurang.Berpuas hati dengan penampilan, aku tersenyum sendiri di hadapan cermin besar itu.


Aduh...sudah apa agaknya aku? Gumamku sendirian.


Keluar dari tandas, aku lihat Hakimi sudah terpacak di hadapan pintu besar. Aku cepat-cepat mendapatkannya.


“Hi, sorry lambat.” Hakimi menoleh, memandangku lama,tidak berkelip sehinggakan aku jadi serba-salah.


“Kenapa pandang macam tu? Ada yang tak kena ke?”


“Tak-takdelah... Lisa nampak lain...nampak macam bukan budak form five!”


Aku menarik wajah masam mendengarkan komennya.


“Hah, nak merajuklah tu! Dah, jom, kita dah lambat ni.”


Hakimi spontan menarik tanganku yang sebelum ini tidak pernah dilakukannya dan pegangannya itu membuatkan bebuli darah di mukaku mengembang. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa mekarnya hatiku di kala itu.


Kami masuk ke sebuah restoran berhampiran dan aku hanya menurut tanpa apa-apa bantahan lebih-lebih lagi hatiku masih berbunga riang. Di atas kepalaku rasanya seakan ada sekumpulan lima enam ekor burung sedang menari di dalam bulatan.


“Lisa!”


Aku tersentap.


“Dah sampai mana? Bulan? Sambil berjalan pun sempat mengelamun tu. Duduklah...”


Hakimi menarik kerusi untukku.


“Nak makan apa?”


Aku menjeling menu yang dihulurkan oleh pelayan restoran sekali imbas. Hakimi terus membuat pesanan. Aku sebenarnya tidak berapa lapar kerana nafsu ingin tahu lebih membuak-buak daripada nafsu makanku.


“So?” aku angkat kening, merenung wajah Hakimi yang duduk berhadapan denganku dengan perasaan yang tidak lagi boleh disabar-sabar.

“So apa?” Tanyaku semula.


Hakimi menolak anak rambut yang terjuntai menutupi dahinya ke belakang. Kala itu datanglah hatta Tom Cruise, Keanue Reeves atau setidak-tidaknya Yusry KRU sekalipun, aku rasa tidak akan ada siapa di antara mereka yang dapat melawan ketampanan wajah mahluk Allah di depanku ini.


“Macam mana nak mula, ya? Aaa... Lisa, alaa, macam mana nak cakap ni...”


Hakimi tergelak, bunyinya lebih macam dibuat-buat sedangakan aku pula semakin teruja menunggu dia meneruskan kata-katanya.


“Macam ni, Akim harap sangat Lisa tak tolak permintaan Akim ni sebab dah lama Akim nak bagitau tapi asyik terbantut...”


“Apa dianya...cakaplah cepat! Main kias-kias la pulak.” Asakku, tidak sabar.


“Macam ni Lisa, sebenarnya ada orang suka kat Lisa tapi dia malu nak cakap...dari tahun lepas.”


Aku terasa seperti ingin menjerit dan memeluk Hakimi disaat itu juga.


“Handsome tak?” Usikku, dalam hati cukup yakin bahawa orang yang dimaksudkan itu adalah dirinya sendiri.


“Not bad looking. Nanti Lisa boleh tengok sendiri sebab memang hari ni dia nak cakap dengan Lisa. Harap sangat Lisa tak tolak dia.”


Aku dengar suara Hakimi tenggelam timbul dalam hingar degup jantungku sendiri. Oh, Hakimi, berterus-terang sahajalah. Mengapa mesti terus berkias?


“Sorry, lambat...lama tunggu?”


Kegembiraanku terpancung. Dengan perasaan penuh dengan tanda tanya, aku merenung wajah pemuda yang sedang mengambil tempat di sebelah Hakimi.


“Hai, Lisa...”


Aku balas sapaannya dengan lambaian ringkas.


“Lisa, kenal, kan, siapa ni?” Aku angguk.


Aku pandang sekilas wajah Ikhwan, penolong ketua pengawas di sekolahku merangkap teman sekelas Hakimi dengan sedikit senyuman di bibir.


“Hah, Ikhwan, aku dah bagi mukadimah, sekarang ni kau habiskan sendiri. Aku dah tak masuk campur dah. Lisa, nanti balik Ikhwan hantar. Kau, Ikhwan, jangan terfikir nak buat tak tentu pasal kat adik aku ni. Kalau jadi apa-apa, aku cari kau! Balik dulu, ya?”


Dengan kata-kata itu, Hakimi bingkas.

            

“Have fun!”


Kumatnya dengan gerak bibir ketika melintasiku. Aku sambut kata-kata itu dengan senyum yang betul-betul dipaksa. Saat itu aku rasa hatiku seperti dikisar, lumat dan hancur.

 

...1998...

 

Aku tersentak bila terdengar bunyi pintu bilik dibuka.Suara Afira dan Dania bergurau betul-betul mengganggu lamunanku. Malas untuk memanjangkan cerita dan malas untuk memperlihatkan kedua belah mataku yang basah dan bengkak kepada mereka, aku berpaling ke dinding, pura-pura tidur.

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku