Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
327

Bacaan






...1994...

 

Berbunyi sahaja loceng tamat sekolah tengah hari itu,Hakimi terus melangkah ke kantin. Di meja biasa, bersama segelas sirap, dia duduk menanti sambil membaca Dewan Siswa edisi terbaru. Namun begitu konsentrasinya jelas tidak di situ kerana dihambat kelewatan Lisa. Hari ini dia harus pulang awal dari biasa, sebelum pukul empat, kerana sudah berjanji untuk menemani bonda ke lapangan terbang untuk menjemput ayahandanya.


Untuk mengejar pukul empat itu, Hakimi sepatutnya terus sahaja balik sejurus selepas loceng berbunyi tetapi entah mengapa, keinginan untuk berjumpa dengan Lisa sebelum pulang seperti hari-hari sebelumnya, lebih menuntut untuk dipenuhi. Hakimi menggeleng di luar sedar. Sehari tidak bertemu dan berbual dengan Lisa boleh menyebabkan dia merasa seperti ada yang tidak lengkap. Sudah apa agaknya dia?


Sepuluh minit terus juga berlalu. Hakimi menjatuhkan majalah ke atas meja dan kemudiannya melonggarkan ikatan tali leher. Butang teratas kemeja sekolah lengan pendeknya dibuka. Haba yang diserap oleh atap kantin yang diperbuat daripada zink tengah hari itu membuatkan badan Hakimi mula berpeluh.


Kantin semakin dipenuhi dengan para pelajar menengah atas membuatkan Hakimi semakin merasa tidak selesa. Dia memanjangkan leher, meninjau ke arah bangunan blok tingkatan 4. Dari jauh dia dapat melihat Lisa berlari-lari anak merentasi dewan. Beg sekolah bewarna merah jambu yang tersandang di belakang turun terbuai-buai mengikut pergerakannya mencelah di antara puluhan pelajar yang sama menyusur di koridor.


“Kenapa lambat?” Soal Hakimi sebaik sahaja gadis gadis itu melabuhkan punggungnya di kerusi bertentangan. Tanpa mempedulikan soalan Hakimi, Lisa menarik gelas, menyuakan ke mulut dan menyedut sirap sehingga tinggal separuh. “Ya, Allah...teruknya perangai!” Hakimi mengusik, sedikit terjerit.

          

“Laparlah Akim...pergilah beli makanan.”


Lisa dengan mimik wajah keanak-anakkan, selamba memberikan arahan. Hakimi mendengus, pura-pura marah tetapi tetap juga bingkas.


Sepuluh minit kemudian Hakimi kembali ke meja bersama sepinggan nasi ayam dan semangkuk mee sup. Lisa yang sebelumnya itu sedang menyelak helaian Dewan Siswa, segera merubah posisi. Buku teks Pengajian Am tingkatan enam milik Hakimi dialihkan ke tepi. Hakimi menyuakan mangkuk yang masih berwap kepada Lisa.


“Tak nak, hari ni Lisa nak makan nasi ayam!”


Kedudukan pinggan dan mangkuk ditukar tanpa sempat Hakimi membantah.


“Sejak bila pulak suka nasi ayam ni?”


Lisa menyeringai, menampakkan barisan giginya yang cantik tersusun.


“Kenapa? Tak boleh? Kan Akim suka nasi ayam, so, apa salahnya Lisa belajar suka benda yang Akim suka? Kita kan kawan?”


Kata-kata yang lahir dari mulut Lisa itu seakan menjentik perasaan Hakimi.


“Kawan aje?”


“Tak...kawan baik!”


Kesungguhan Lisa menuturkan ayat tersebut membuatkan hati Hakimi bagai terjerut. Jadi sahlah selama ini hanya dia seorang yang dibuai perasaan. Sangka Hakimi, segala kasih-sayang, kesungguhan dan tangunggjawab yang ditunjukkan terhadap Lisa selama satu tahun perhubungan mereka terjalin dapat menyampaikan hasrat hatinya secara tidak langsung kepada gadis manis enam belas tahun itu. Rupanya percaturan Hakimi selama ini salah. Lisa memang menganggap dia tidak lebih daripada seorang sahabat baik dan mungkin juga seorang abang.

 

...1998...

 

Hakimi terkeluh. Memori yang berlaku sewaktu dia di dalam tingkatan enam rendah itu sehingga kini masih terasa peritnya. Hakimi ingat lagi, peristiwa itu jugalah yang menyebabkan dia belajar menerima hakikat yang dia hanya ditakdirkan untuk menjadi sahabat baik kepada Lisa dan tidak lebih dari itu. Dan peristiwa itu juga membuat Hakimi berjanji pada diri sendiri,yang dia akan membahagiakan Lisa walaupun dalam masa yang sama kebahagiaan itu akan melukai dirinya. Itu janji Hakimi, janji yang dipegang kuat sehingga kini.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku