Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
236

Bacaan






...1998...

 

Alat kawalan jauh aku tekan tidak berhenti, menukar satu siaran ke satu siaran yang lain, meloncat-loncat tanpa arah.


“Rosaklah remote tu!”


Abang Zafri merampas alat kawalan jauh tersebut dari tanganku, membuatkan aku sedikit terkejut.


“Kata ada dinner. Pergilah siap!”


“Dah...” selamba aku membalas.


Abang Zafri yang duduk selang satu tempat dariku merenungku dari atas ke bawah.


“Pakai macam ni aje?” Suaranya berbunyi agak lucu, tidak percaya.


Mana tidaknya, ketika itu aku hanya menyarung t-shirt hitam lengan panjang, seluar khakis dan tudung bawal putih gading. Aku tidak memaklumkan kepada Abang Zafri tentang perancangan Am kecuali kepada abah dan mama.


“Tak pergi lagi, Lisa?” Abah yang baru turun dari bilik, menyoal kerana dia tahu aku sudah bersiap sejak jam 5.45 lagi dan ketika itu jam sudah hampir menjangkau enam suku petang.


Aku hanya mampu menjawab soalan abah dengan gelengan sedang dalam hati mula panas dengan sikap Am yang suka memandang remeh tentang masa. Berbeza sungguh dia dengan Hakimi dalam soal ini. Kalaulah dia seperti Hakimi...oh, kalaulah!


Bunyi hon kereta mengejutkan aku. Cepat-cepat aku bingkas, berlari ke atas mencari mama untuk memaklumkan pemergianku. Ketika aku turun, aku lihat Am sedang berborak dengan abah dan abang Zafri di meja taman.Aku mencium tangan abah, meminta izin dan kemudiannya bergegas masuk ke kereta.


Di dalam kereta Am tidak habis-habis memohon maaf di atas kelewatannya. Aku hanya mengangguk, malas melayan kerana takut salah keluar bicara, moodku untuk berseronok malam ini terjejas.


“Awak, saya ada lagi satu favour nak minta kat awak.” Am memperlahankan radio.


“Apa? Cakaplah.”


“Aaa..macam ni, awak...boleh tak malam ni, malam ni aje, awak, urmmm...tak payah pakai tudung?” Aku tersentak, kurang percaya dengan permintaannya.


“Awak gila?” Jerkahku.


“Bukan macam tu, alamak, macam mana, ya? Please la awak,untuk malam ni aje lagipun bukannya ada orang yang kenal awak kat situ.”


“Kalau awak malu girlfriend awak bertudung, ajak saja orang lain. Kenapa ajak saya?” Bidasku sungguh-sungguh dengan rasa geram.


“Tapi saya nak ajak awak. Awak, please...please,awak...please.”


Aku mengeluh. Untuk bersetuju hatiku merasa berat, untuk berkata tidak, aku tidak sampai hati. Aduh, apa yang harus aku lakukan?


“Patut awak beritahu saya dari hari tu lagi.” Lirih mulutku bersuara.


“Boleh, ya, awak? Please...” akhirnya aku mengangguk lambat-lambat.


Waktu itu aku rasa sebahagian dari jasadku mengejek-ngejek, memarahi diri yang tidak kuat pendirian. Dan lagi sebahagiannya pula sedang ketawa besar dan memujuk diri; apa salahnya untuk kali ini sahaja. Am di sebelahku tersenyum lebar.


Sesampai sahaja di salon, aku terus di dandan dan disolek oleh kak Hana, kakak Am. Rambutku yang sudah hampir mencecah pinggang dinaikkan menjadi sanggul tinggi dan dihiaskan dengan beberapa biji klip kecil bewarna-warni. Rambut di bahagian depan, diturunkan melepasi wajahku, sedikit di sebelah kiri dan sedikit lagi di sebelah kanan.


“Cantiknya, Lisa.” Puji kak Hana.


Aku cuba paksa diri untuk tersenyum, seakan berpuas hati dengan sentuhan tangannya.


“Nah, sekarang tukar baju ni.”


Baju di tangan kak Hana aku jeling. Dress labuh campuran renda dan baldu. Di bahagian bawah dada dihiasi riben satin sebesar satu inci dijahit merentang.


Di dalam bilik persalinan, setelah mengenakan baju yang agak melekap ke tubuh itu, aku merenung ke dalam cermin dan di situ aku seakan melihat biasan orang lain, bukannya diriku sendiri. Sedang aku berkira-kira untuk meminta baju yang lain, aku terrdengar suara Am melaung dari luar. Aku memandang jam, lagi setengah jam pukul sembilan. Nampaknya aku akan terus merasa seperti sebiji nangka sehinggalah majlis itu tamat kelak.

 

Tiba di majlis ulangtahun kenalan Am membuatkan aku merasa sedikit berdebar-debar. Aku rasakan penampilanku serba tidak kena walaupun sepanjang perjalanan untuk ke sini tadi Am tidak habis-habis memujiku.


Majlis berlangsung dalam suasana muzik yang kuat, lampu agak suram diselangi panahan sportlight aneka warna membuatkan aku cepat menjadi rimas. Am pula kerap bangun meninggalkanku sendirian kerana bergabung dengan kelompok artis di meja utama.


“Lama lagi ke?” Tanyaku ketika Am datang ke meja untuk mengantikan gelasku yang sudah kosong.


“Kenapa?”


“Saya nak baliklah...”


Di luar jangkaanku, Am mendengus keras.


“Duduklah dulu, baru pukul sepuluh setengah...awak. Dahlah tadi kita sampai lambat, takkan nak balik awal?” Katanya dengan intonasi sedikit kuat. Aku terkedu. “Dah, awak tunggu sini. Karang bila dah nak balik,saya panggil, okay?”


Tanpa sedikitpun merasa prihatin terhadap perubahan yang berlaku pada wajahku, Am kembali mendapatkan teman-temannya. Aku hanya memandang dengan perasaan berbaur.


Setengah jam berlalu dan kini waktu sudah menginjak sebelas malam. Aku mencari kelibat Am di celah puluhan manusia yang sedang menari di lantai tari. Di situ, berhampiran dengan pentas mini, aku temui Am sedang sibuk menghayun badan bersama seorang perempuan mengikut rentak muzik. Sakitnya hatiku ketika itu hanya tuhan sahaja yang tahu. Tanpa menunggu lebih lama, aku membawa diri keluar dari lounge, keluar dari hotel dan menuju ke arah jalan besar.


Dengan mata yang berbinar-binar, aku berdiri di tepi bahu jalan, tidak tahu apa yang aku harus lakukan. Ingin menahan teksi? Aku tidak berani kerana malam sudah larut sementelahan lagi sekarang sibuk dengan kes pemandu teksi menyamun penumpang. Untuk menelefon abah atau abang Zafri supaya datang menjemputku pula langsung tidak terlintas di dalam agenda kerana aku dapat bayangkan betapa kuatnya mama akan menjerit sekiranya melihat aku berpakaian begini. Dan akhirnya, aku mengeluarkan telefon. Menekan keypad dan menanti jawapan dari talian sebelah.


“Assalamualaikum...” sapaku sebaik sahaja terdengar telefon dijawab.


“Wa’alaikumsalam...Lisa? Dah habis ke dinner?” Suara Hakimi kedengaran seperti orang baru bangun dari tidur.


“Nak mintak tolong boleh tak?”


“Tolong apa?” Dan aku menceritakan serba-sedikit tentang apa yang berlaku sebentar tadi. Kudengar Hakimi mengeluh beberapa kali.


“Tunggu kat lobi, Akim datang sekarang.”


Aku mematikan talian. Sambil menggosok-gosok bahagian tanganku yang kesejukan akibat agak terdedah, aku berjalan semula ke arah lobi.

 

Tidak pun sampai tiga puluh minit, aku nampak Kembara Hakimi berhenti di depan lobi hotel. Aku berjalan laju mendapatkannya. Hakimi kelihatan agak terkejut melihatkan penampilanku ketika aku membuka pintu keretanya tetapi tidak berkata apa-apa. Sebaik sahaja aku masuk, dia terus menekan minyak, memecut kereta dengan kelajuan yang agak berbeza dari selalu. Aku tahu dia sedang marah.


Ketika berhenti di lampu merah, Hakimi membuka track top di badannya dan meletakkannya ke atas pehaku.


“Pakai...Akim tak suka tengok Lisa pakai baju tu.”


Perlahan-lahan aku menyarungkan track top tersebut ke tubuh, dalam diam merasa agak selesa dengan kehangatan haba badan Hakimi yang masih melekat di situ kerana aku sememangnya kesejukan ditiup angin dari pendingin udara.


Tiba-tiba Hakimi menarik hood sweater yang terselit dibahagian belakang dan menaikkannya menutupi kepalaku.


“Simpan rambut tu untuk suami Lisa.” Ucapnya, perlahan dan serentak itu lampu bertukar hijau.


Kembara bergerak kembali, cuma kali ini sudah tidak lagi selaju tadi. Pasti kemarahan Hakimi reda melihatkan mimik wajahku yang seperti ingin menangis. Mungkin dia juga tahu yang aku juga tidak selesa dengan apayang berlaku.


Lampu rumah sudah gelap ketika kami tiba di depan pagar. Hanya lampu di bahagian beranda bilik abah dan mama yang masih terpasang. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Hakimi dengan suara tersekat-sekat, aku membuka bajunya yang tersarung di badanku.


“Pakailah dulu...” kelembutan pada suara Hakimi membuatkan hatiku menjadi sebak. Aku ucap lagi terima kasih buat kali kedua. “Pergi masuk...”


Aku melangkah turun dari Kembara. Belum sempat aku menghampiri pintu pagar, aku dengar Hakimi memanggil namaku. Aku menoleh ke arahnya.


“Kalau dia sayangkan Lisa, dia takkan ubah Lisa.”


Kata-kata Hakimi membuatkan aku rasa terpukul. Serta-merta segala bentuk perasaan yang kutahan sejak dari dalam kereta Am sewaktu dia datang menjemputku petang tadi, bercampur-baur dan akhirnya pecah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku