Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
263

Bacaan






...1994...

 

Petang itu selepas waktu sekolah, Hakimi sibuk menyiapkan laporan dalam buku pengawas ketika Ikhwan datang menghampirinya.


“Tak balik lagi, Ikhwan?” Ikhwan menarik kerusi dan mengambil tempat di depan Hakimi.


“Belum.” Pendek sahaja jawapan Ikhwan.


Dia kemudiannya menongkat dagu dengan tangan sebelah kanan manakala tangan sebelah kirinya sibuk bergendang di atas meja seperti mengimbangi rasa gelisah dan ini membuatkan konsentrasi Hakimi sedikit terganggu.


“Kau ni dah kenapa?” Rimas dengan keadaan itu, Hakimi bertanya.


“Aku nak tanya sikit, boleh?” Kerusi ditarik lebih rapat.


“Apa dia?”


Buku laporan ditutup. Hakimi tahu yang dia tidak akan menyambung kembali penulisannya dalam masa terdekat.


“Kau dengan Lisa ada apa-apa ke?”


“Kenapa?”

“Takdelah...kau ada apa-apa ke dengan dia?”


“Dia tu...aaa...sepupu aku. Kenapa? Yang kau sibuk tanya-tanya ni kenapa?”


“Kenalkan dia dengan aku, boleh tak?” Hakimi terdiam, agak lama.


Dia seperti sedang menimbang tetapi tidak tahu apa yang ditimbangnya. Wajah Ikhwan direnung dalam-dalam. Setakat ini Hakimi tidak pernah lagi dengar yang buruk-buruk tentang Ikhwan, penolong pengawas sekolah yang baru sahaja berpindah dari salah sebuah sekolah terkenal di Kuala Kangsar.


“Tengoklah...nanti aku tanya dia dulu.”


“Kau tolong aku ya?”


Hakimi tidak pasti sama ada dia mengangguk atau tidak. Yang dia benar-benar tahu ketika itu adalah, satu perasaan yang menyakitkan sedang membelit hati, perlahan-lahan dan diam-diam membunuh semangatnya.


Sejak itu Ikhwan pasti akan mendesak dan bertanya tentang Lisa. Sehinggalah akhirnya dia mengalah dan mengaturkan temu janji untuk Ikhwan menemui Lisa tanpa pengetahuan Lisa.

  

...1998...

 

Walaupun peristiwa itu sudah tiga tahun berlalu namun kesakitan ketika meninggalkan Lisa berdua-duaan dengan Ikhwan sampai ke hari ini masih lagi terasa ngilunya apabila dikenang-kenang.


“Kimi!” Terdengar laungan bonda dan ketukan bertalu dari luar pintu bilik. Hakimi menutup jendela dan berlalu membuka pintu. Wajah bonda yang kerisauan menyapa pandangannya. “Kamu tak tidur lagi?”


“Dah, tapi terbangun...panas, bonda. Bonda tak tidur lagi ke?”


“Tak. Baru habis menulis. Kamu balik dari hantar Lisa tadi pukul berapa?”


“Dalam dua belas lebih, bonda. Tengok bonda tengah asyik menaip, malas pulak Kimi nak kacau.”


“Dah lewat ni, pergilah tidur.”


“Bonda pun tidurlah...”


“Nak masuk bilik’lah ni. Nampak lampu bilik kamu terpasang, sebab tu bonda ketuk. Dah, pergi tidur.” Hakimi memeluk dan mencium kedua belah pipi bonda.


Sebaik sahaja bonda berlalu, Hakimi menutup pintu dan mematikan lampu. Keinginan untuk tidur terbantut apabila teringat masih ada tugas yang perlu diselesaikan. Dia mencapai telefon genggam.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku