Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 20
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
203

Bacaan






...1999...

 

Musim peperiksaan sedang berlangsung. Di mana sahaja di sekitar universiti, di setiap ceruk tempat, para pelajar sibuk menelaah dan mengusung nota ke sana-sini. Hakimi juga tidak ketinggalan. Sejak awal pagi lagi dia sudah ada di perpustakaan kerana jika terlewat pasti tiada tempat kosong. 


Hari ini Hakimi tidak menduduki apa-apa kertas. Jadi masa yang terluang dihabiskan dengan membuat latihan daripada contoh soalan peperiksaan beberapa semester yang lepas.


Sendirian mengulangkaji membuatkan semangatnya untuk belajar cepat beransur hilang. Lisa pula sejak peristiwa di tasik minggu lepas agak sukar untuk ditemui. Jika dihubungi pun talian telefonnya asyik dimatikan.Biarlah, fikir Hakimi, mungkin dia memerlukan masa untuk dirinya sendiri dan Hakimi yakin, jika ada yang menganggu perasaan Lisa, dia tetap akan menjadi antara orang terawal yang mengetahui.


“Sorang saja?” Sapaan dari suara yang biasa didengari membuatkan Hakimi segera terdongak.


Di luar jangkaan, Lisa sedang berdiri di hadapannya,kelihatan manis walaupun sekadar memakai kemeja berkotak-kotak kecil lengan panjang biru putih, slack hitam dan tudung juga berwarna putih.


“Kerusi ni memang untuk Lisa, kan?”


Hakimi tergelak. Nampaknya gadis itu sudah kembali mengusik. Namun begitu Hakimi tetap ingatkan diri agar tidak cabul bertanyakan soalan mengenai Am.


“Dari mana?” Soalnya ketika Lisa sibuk mengeluarkan nota-nota dari dalam fail.


“Dari kolej’lah! Oooo..ada orang tu sekarang pergi library dah tak nak ajak kita.” Hakimi tergelak lagi tetapi dengan tona perlahan.


“Takdelah...Akim ingat Lisa nak study sendiri kat bilik. Lagipun Akim ada call Lisa, banyak kali juga, tapi asyik masuk message.”


“Hiii...kalau kat bilik tu bukan study tapi stido!”Kemudiannya Lisa tergelak.


Senang benar hati Hakimi apabila dapat melihat lesung pipit di pipi gadis tersebut kembali menyerlah.

            

“Dah buat sampai mana?”


Helaian kertas yang sudah dipenuhi dengan jawapan diselak satu demi satu oleh Lisa. Hakimi hanya membiarkan.


“Banyaknya yang dah berjawab...wahhh...DL lagilah nampaknya ni!” Lisa masih ingin mengusik.


“Tapi kalau Lisa asyik ajak borak macam ni, rasanya pointer Akim boleh terus menjunam sampai 2.0!”


Lisa memuncung mendengarkan gurauan Hakimi tetapi seperti biasa sedikit pun tidak ambil hati.


Hampir empat puluh minit kemudiannya, setelah Hakimi mula melihat huruf-huruf pada nota seakan mengembang dan senget-benget tidak menentu, dia mengalih pandang ke arah Lisa yang sedang tenggelam di dalam dunia pembacaannya.


Merenung gadis tersebut dalam keadaan jarak yang tidak sampai sedepa masih membuatkan Hakimi merasa jauh dan Hakimi tidak tahu kenapa dan di mana silapnya. Dia telah memberi hatinya kepada Lisa, tetapi dia tidak dapat memiliki hati Lisa. Nampak sangat ketidakadilannya di situ. Peristiwa minggu lepas tiba-tiba menggasak lamunannya.

 

Hakimi baru sahaja selesai menunaikan Solat Isyak dan sedang berkira-kira ingin kembali menyambung membaca nota ketika telefon genggam miliknya bergetar di atas katil. Melihat pada skrin, dia tahu bahawa panggilan tersebut datangnya daripada Lisa.


“Lisa,” Hakimi menegur terlebih dahulu. Tiada balasan.


Beberapa saatnya talian tetap senyap dan ini membuatkan Hakimi mula risau.


“Ok ke ni?”


Tiba-tiba Hakimi menangkap suara Lisa teresak-esak dicorong sebelah sana membuatkan hati Hakimi terus dipagut rasa panik.


“Lisa, kenapa ni? Shh...jangan nangis...” pujukan Hakimi tidak berhasil kerana tangis Lisa kedengaran semakin kuat.


Sudahnya sehingga hampir awal subuh dia melekapkan telefon ke telinga, melayan tangis. Dia hanya memutuskan talian apabila menyedari yang Lisa sudah tertidur kerana tidak menjawab setelah berkali namanya diseru.


Keesokan paginya, setelah bersarapan, Hakimi menjemput Lisa dari asrama dengan harapan dapat menenangkan gadis tersebut kerana dia tahu Lisa masih belum melepaskan sehabisnya apa yang terpendam di dalam hatinya. Di samping itu juga, Hakimi merasa bertanggungjawab di atas kesedihan Lisa.


Memujuk Lisa bukanlah semudah yang Hakimi sangkakan kerana komunikasi Lisa hari itu agak kritikal. Soalan panjang Hakimi hanya dijawab dengan sepatah perkataan. Ini membuatkan Hakimi menjadi buntu, tidak tahu bagaimana untuk membantu. Hanya di hujung perbualan sahaja Lisa baru mahu mula bersuara lebih banyak. Itupun tersekat-sekat dengan tangisan.


“Lisa tak nak hubungan ni tamat macam ni aje. Lisa sayangkan dia...Lisa sayangkan dia sangat-sangat...Akim...macam mana ni?” 


Hakimi hanya menepuk bahu Lisa berkali-kali kerana dia sendiri dalam diam sedang memujuk hati sendiri. Luahan hati Lisa benar-benar menjerut perasaannya tetapi hanya ditelan. Waktu itu perasaannya sendiri tidak begitu penting kerana jiwa Lisa yang kacau lebih menuntut perhatian daripadanya.

 

Hakimi tersentak apabila segumpal kertas kajang singgah tepat pada dahinya. Di depannya Lisa sedang menongkat dagu, memandangnya dengan kening terangkat sebelah.


“Panggil banyak kali pun tak dengar. Dah sampai planet mana?”


“Kalau ya pun tak payah la baling-baling.”


Lisa menyambut kata Hakimi dengan tawa yang agak kuat sehingga beberapa orang pelajar di meja berhampiran tertoleh ke arah mereka dengan jari telunjuk di bibir. Lisa mengulum tawa yang tertahan-tahan.


“Shhh...Lisa ketawa kuat sangat. Dah, jom. Nak masuk Zohor dah ni. Sebelum kita kena halau, baik keluar sendiri, jom!”


Sambil berbual dan saling usik-mengusik seperti biasa, Hakimi dan Lisa beriringan keluar dari perpustakaan menuju ke kafeteria. Hakimi berharap agar Lisa akan berterusan begitu, bergembira tanpa perlu merasa sedih. Ini kerana pada Hakimi, setiap kesedihan yang Lisa lalui hanya akan melukakan hatinya sendiri.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku