Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
209

Bacaan






...1999...

 

Petang semalam mama, abah dan abang Zafri telah selamat berangkat ke Mekah. Manakala abang Zamil sekeluarga pula bertolak pulang ke Kuching dengan penerbangan pada sebelah malamnya. Ini bermakna, selama tiga minggu akan datang, aku, kak Zara dan Zairy akan menjadi orang bujang.


Kertas akhir untuk semester ini telah selamat aku duduki dua hari lalu tetapi cuma pada hari ini sahaja baru aku dapat meluangkan masa untuk mengemas dan mengotakkan semua barang-barangku di hostel kerana pada semester hadapan aku akan menjalani latihan praktikal. Dania dan Afira pula masih di kampung sebelum kertas terakhir mereka minggu hadapan.


Sedang aku sibuk mengumpulkan barang-barang hiasan di atas meja belajar, nada dering daripada telefon bimbitku menjerit minta diangkat. Aku mengerling jam, baru pukul tiga setengah petang. Hakimi berjanji untuk menjemputku pada pukul lima. Aku cepat-cepat menekan keypad dan melekapkan telefon ke telinga.


“Akim kata nak jemput pukul 5, kan?” Tanyaku, mengesahkan tanpa memberi salam terlebih dahulu.


“Awak...ni saya, ni.”


Aku gigit jari telunjuk. Kenapalah walaupun sudah berkali-kali terkena, habitku yang tidak suka melihat nombor pada skrin tidak juga boleh aku tinggalkan?


“Aaa...awak...sorry saya ingatkan –“


“Hakimi?” Nada Am yang mendatar membuatkan aku memarahi diri sendiri dalam senyap. “Awak kat mana ni?”


“Saya kat hostel. Tengah buat clearance. Kenapa?”


Aku berharap sangat yang Am ingin bertemu denganku kerana setelah terjadinya perang dingin antara kami tempoh hari, kami tidak lagi pernah berjumpa dan seingat aku juga Am hanya menghubungiku sebanyak dua kali sepanjang tempoh tersebut iaitu malam sebelum aku menduduki kertas pertama dan pagi sewaktu aku menduduki kertas terakhir.


“Boleh saya jumpa awak? Atau awak dah ada janji dengan Akim?”


Soalan kedua Am memukul perasaanku. Namun aku cuba untuk mengabaikannya demi rasa rindu pada Am.


“Boleh, saya memang tengah free. Awak nak jumpa kat mana?”


“Awak nak saya jemput ke?”


“Tak-tak payah!” Aku teringat yang aku sudah berjanji dengan Hakimi untuk menghantar barang-barang ke rumah.


“Kalau macam tu, saya tunggu kat Starbuck Alam Sentral dalam pukul 5.30. Boleh?”


“Okay, kita jumpa nanti, ya?”


Sebaik sahaja perbualan tamat, aku terasa seperti ingin terbang. Aku tekup muka dengan bantal dan kemudiannya jerit kuat-kuat. Tidak sabarnya aku untuk bertemu dengan Am dan aku harap pertemuan ini akan dapat menjernihkan kembali hubungan kami berdua kerana kesenyapan Am untuk beberapa minggu ini telah menyedarkan aku bahawa aku memang menyayanginya.


Selesai mengemas dan mengangkat kotak ke ruang foyer asrama, aku menghubungi Hakimi dan memaklumkan tentang pertemuan yang bakal berlangsung. Sempat juga aku meluahkan betapa aku gembira dan tidak sabar untuk berjumpa dengan Am kerana aku terlalu rindu terhadapnya.


“Kan Akim dah cakap. Semua mesti ok punyalah! Lisa aje yang suka fikir bukan-bukan.” Usik Hakimi sekaligus mengingatkan situasi di tasik. Aku tertawa malu.

 

Sebelum meninggalkan aku di kompleks PKNS, Hakimi sempat berpesan supaya jangan bercerita tentang dirinya dan ini membuatkan aku tergelak. Aku faham maksud Hakimi. Pasti dia tidak mahu kejadian malam kenduri berulang semula. Dan aku sendiri sudah berjanji pada diri untuk mengelak daripada menyebut nama Hakimi di hadapan Am sekiranya hanya itu sahaja jalan untuk hubungan aku dan Am kembali seperti sediakala.


Masih ada baki lagi lima minit daripada waktu yang dijanjikan ketika aku tiba di perkarangan Alam Sentral setelah berjalan selaju yang mungkin dari kompleks PKNS. Aku terus meluru ke arah Starbuck dan duduk di salah satu kerusi di bahagian terbuka. Fikiranku sendat dengan rangkaan kata-kata yang ingin aku luahkan kepada Am kelak.


“Hai...lama tunggu?”


Am mengambil tempat di depanku tepat jam lima setengah.Wah, nampaknya Am sudah ada peningkatan di dalam soal masa. Ini membuatkan aku turut berjanji pada diri untuk memberikan yang terbaik buat Am di dalam perhubungan kami.


“Tak, Lisa baru sampai.”


“Hakimi hantar?” Dahiku terkerut. Mengapa sejak dari dalam telefon tadi Am tidak habis-habis menyebut nama Hakimi?


“Awak apa khabar?” Aku mengubah topik.


“Saya ok, Alhamdulillah...cuma penat. Busy shooting.” Aku hanya mengangguk mendengarkan penerangannya. “Awak pulak? Apa cerita best?”


“Takde apa. Baru habis exam. Oh, ya! Semester depan saya praktikal.”


“Oh! Praktikal kat mana?”


Aku terasa bisu kerana untuk menjawab soalan itu aku harus menyebut nama Hakimi. Mungkin nasib memang menyebelahiku kerana pada waktu itu juga pesanan kami sedia.


“Parents saya dengan abang Zafri dah ke Mekah.”


Aku mengubah topik lagi selepas kami mula menikmati minuman masing-masing. Aku tidak tahu sama ada Am perasan atau tidak.


“Alhamdulillah...Exam awak macam mana hari tu? Boleh buat?”


“Insya Allah...setakat mantain CGPA tu boleh janji tapi kalau nak dapat DL, dalam mimpi kot!” Am tersenyum nipis mendengarkan gurauanku.

            

“Sebenarnya saya ada benda nak cakap dengan awak.”


Nada Am yang mendadak bertukar menjadi serius membuatkan aku berhenti dari bermain dengan buih Latte di dalam mug.


“Apa dia? Macam serius aje. Pasal apa?”


Am meletakkan kedua tangannya ke atas meja dan menegakkan sedikit kedudukan postur badannya.


“Serius tak serius jugalah...pasal kita.” Hatiku tiba-tiba diserang debar yang tidak menentu.


“Kenapa dengan kita?”


“Awak, saya nak awak dengar apa yang saya nak cakap ni sampai habis. Jangan mencelah, okay? Dengar baik-baik.” Am menghela nafas, seperti berat sangat untuk meluahkan.


Kerusi kutarik rapat ke meja, menjadikan kedudukan kami ketika itu agak hampir. Debar di dada pula terasa semakin menggila.


“Awak, saya sayang pada awak. Saya tak pernah tipu pasal tu. Tapi saya rasa, buat masa ni, saya tak sedia lagi untuk bagi komitmen pada awak. Bukan sebab hari tu, saya dah maafkan awak lagipun bila fikir balik,memang betul kata awak sama ada awak dengan Hakimi sepupu atau tidak, takde kena mengena dengan hubungan kita. Bukan juga sebab saya ada orang lain cuma saya sekarang nak fokus kat bidang ni dan pada masa depan saya. Saya takut saya tak dapat buat awak happy. Awak dengar tak ni?”


Aku mengangguk, kemudian mencapai mug dan menyuakan kemulut, dalam diam berharap agar kepanasan kopi itu dapat menyedarkan aku dari lena dan apabila aku tersedar, aku masih berada di dalam bilik, di atas katilku sendiri dan semua ini hanyalah mimpi.


“Saya harap, walaupun kita dah tak ada apa-apa, kita boleh terus jadi kawan. Lagipun kita memang start dengan kawan jadi tak salah kan, kalau kita patah balik.”


Senang sungguh dia menuturkan. Seperti dialog-dialog di dalam drama yang pernah dilakonkan sahaja lagaknya.


Saat ini aku yakin yang aku tidak bermimpi. Di depanku Am sedang bersungguh-sungguh memberi penjelasan sedang aku sudah terbang di awangan, kosong, terapung, berpusing-pusing tanpa arah tuju.


Aku ingin sangat menangis tetapi pesanan Hakimi tergiang di telinga. Be strong, Lisa! Pujukku pada diri. Aku tidak akan menangis, paling tidak pun aku tidak akan menangis di depan Am. Tidak sekali-kali.


“Saya tak boleh lama kat sini, saya ada shooting malam nanti. So, kalau awak takde apa nak cakap, saya minta diri dulu. Awak jaga diri baik-baik, okay?”


“Okay, awak pun take care and...aaa...thanks!”


Apalagi yang boleh aku fikirkan pada waktu-waktu sebegini daripada ayat sebaik dan seringkas itu.


Sebelum bangun, Am mengeluarkan satu bungkusan kecil dari poket jeans dan meletakkannya di dalam tapak tanganku.


“Saya beli ni dengan duit gaji pertama saya. Saya memang niat nak bagi pada awak. Tolong simpan sebagai tanda persahabatan kita yang takkan mati sampai bila-bila.”


Ayat Am bagaikan belati yang menghancur-lumatkan perasaanku. Mudahnya dia bercakap. Melihatkan reaksiku yang terus kaku, Am mengeluh dan berlalu, meninggalkan aku tertanya sendiri; beginikah akhirnya hubungan kami? Kenapa? Mengapa?


Dengan perasaan yang kosong, aku membuka balutan bungkusan kecil dalam tangan kananku. Melihatkan isi kandungannya hatiku semakin terasa ingin pecah; rantai emas putih berloketkan hati dengan ukiran namaku di atasnya!


Aku genggam rantai tersebut kuat-kuat dan serentak itu guruh berdentum di langit. Perlahan-lahan aku mendongak, awan mula gelap. Nampaknya cuaca akan turut berkongsi rasa denganku.


Masih dalam perasaan keliru dan bercelaru, aku capai telefon bimbit dan mula menekan nombor Hakimi. Aku rasa aku perlukan sokongan yang kuat. Aku ingin segera balik ke rumah tapi aku tidak berani untukmengambil risiko menaiki bas atau teksi dalam keadaan sebegini. Tidak sampai dua kali deringan aku terdengar suara Hakimi memberi salam.


“Eh, dah sudah ke?” Tanya Hakimi dengan nada tidak percaya apabila aku meminta dia tolong datang menjemputku.


“Dah habis.” Balasku lemah. Aku tidak pasti sama ada Hakimi memahami maksudku. Kemudiannya aku senyap dalam jangka masa yang agak lama kerana keputusan suara.


“Lisa? Lisa ok ke?”


“Entah...”


“Kenapa ni? Gaduh lagi dengan Am?” Serkap Hakimi.


“Dah habis...”


“Apa yang dah habis? Lisa, kenapa ni?” Nada Hakimi mula kedengaran cemas.


“Kitorang, dah habis.”


Jawabku tidak sepenuh hati dan ketika ayat tersebut lepas dari mulutku aku rasa seperti ada butiran pasir tersangkut-sangkut di kerongkong. Aduh, susahnya untuk menelan kenyataan!


“Lisa tunggu kat situ. Jangan pergi mana-mana. Akim datang sekarang. Lisa? Dengar tak ni? Hello?”


“Aaa...”


“Tunggu situ! Akim keluar sekarang.” Hakimi terus memutuskan talian.


Telefon bimbit aku masukkan ke dalam ke dalam beg. Ketika itu juga hujan mula turun, rintik menjadi renyai dan kemudiannya bertambah lebat. Tetapi aku tetap di kerusi yang sama, sedikit pun tidak terniat untuk berteduh walaupun aku tahu kelakuanku mengundang banyak mata yang memandang. Tapi, entahlah! Aku rasa aku tidak mampu untuk bergerak, lagi pun Hakimi sudah berpesan supaya aku terus tunggu di situ dan jangan ke mana-mana.Dan aku terus kuyup disimbah air dari langit.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku