Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 24
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
256

Bacaan






...1999...

 

Aku duduk di lantai, menangis bersungguh-sungguh di hujung kaki Am, merayu agar dia menarik semula segala apa yang telah dikatakan terhadapku. Am hanya memandangku dengan mimik wajah simpati tetapi langsung tidak bersuara. Sebakku semakin menjadi sehinggakan suaraku tersekat-sekat dihujung tekak.

           

“Lisa...” aku terdengar satu suara menyeru namaku, sayup-sayup bunyinya.


Aku tidak tahu mengapa, mendengarkan suara itu membuatkan aku berasa selamat dan dilindungi. Aku berpaling, mencari-cari  tetapi yang kulihat di sekelilingku hanya kabus.       


“Lisa...” suara itu menyeru lagi.


Aku cuba untuk bingkas dari simpuhan tetapi tubuhku terasa amat berat. Aku ingin meminta bantuan Am tetapi Am sudah tiada didepanku, menghilang entah ke mana. Aku mencuba lagi tetapi tetap gagal.


Kemudiannya baru aku tersedar yang aku bukan lagi di taman luas, tempat aku duduk menangis sebentar tadi tetapi di tebing satu gaung yang amat dalam. Cenuramnya seperti mengamitku. Aku menjadi takut.


Tiba-tiba satu hembusan kuat menolakku jatuh berpuing-puing, berpusing-pusing. Sambil memejam mata rapat-rapat aku menjerit memanggil dan meminta tolong.


“Lisa! Lisa!”


Aku rasa tubuhku digoncang, serentak di sebelah kiri dan kanan. Aku paksa diri untuk membuka mata, lambat-lambat.


“Dia dah sedar! Lisa...Lisa, dengar tak? Ni akak ni. Lisa?”


Sebaik sahaja kelopak mataku berjaya dibuka, cahaya berlumba-lumba masuk ke dalamnya. Aku menelentang memandang siling yang putih, berbinar-binar, berbayang-bayang.


Perlahan-lahan aku memusingkan leher ke sebelah kanan. Disitu aku temui wajah kak Zara dan Zairy sedang tersenyum. Kemudian aku berkalih pula ke sebelah kiri. Hakimi sedang berdiri di sisiku dengan tubuh separuh membongkok. Tangan kanannya memegang ubun-ubunku.


“Lisa? Macam mana Lisa rasa sekarang?”


“Nak minum...” hanya itu sahaja yang mampu kuluahkan. Sememangnya tekakku merasa sangat haus ketika itu.


Kak Zara membantu meninggikan sedikit kedudukan kepalaku manakala Hakimi menyuakan sudu berisi air masak ke bibirku yang kering.


“Lisa kat mana ni?” Tanyaku, masih dalam keadaan lemah.Seluruh tubuhku terasa bisa dan perit.


“Lisa kat hospital...” aku dengar suara kak Zara menjawab.


Tangannya mengelus-ngelus lenganku dan aku berasa selesa diperlakukan begitu.


“Lisa demam panas. Pengsan dari petang semalam.”


Aku menarik nafas dalam-dalam sambil cuba mengingati tetapi fikiran dan keadaanku ketika itu tidak mengizinkan.


“Biar dia berehat dulu, kak.” Aku dengar pula suara Hakimi, semakin lama semakin menghilang. Aku sudah tidak kisah kerana mata terasa amat berat manakala tubuh terasa amat penat. Akhirnya aku tertidur.

 

Sejuk penghawa dingin yang mendesah lemah di dalam bilik membuatkan lenaku terganggu. Selimut nipis yang membalut sehingga ke leher bagikan tiada fungsi. Sebaik sahaja aku membuka mata, aku terlihat Hakimi sedang membaca suratkhabar di kerusi berhampiran sinki.


Aku ingin menggamitnya tetapi tidak mampu. Ingin bersuara pula tekakku bagai tersekat sedangkan ketika itu kesejukan benar-benar menggigit tulang. Akhirnya aku paksa-paksa juga badan untuk bangun.


“Eh, Lisa, kenapa? Nak pergi toilet ke?” Belum sempat aku bawa badan separuh duduk, Hakimi telah datang mengampu di bahagian belakang.


“Sejuk...nak tarik selimut.” Aku tidak pasti sama ada suaraku benar-benar jelas di telinga Hakimi atau tidak kerana padaku, aku sudah sehabis daya mengeluarkannya.


“Sejuk? Nak selimut ni?” Aku mengangguk apabila melihat Hakimi mengunjukkan lipatan selimut tebal di hujung kakiku.


Dengan cermat dia menjatuhkan kembali badanku ke tilam dan kepalaku ke atas bantal. Kemudiannya Hakimi menarik selimut dan menutupi keseluruhan tubuhku sehingga ke leher, membuatkan aku merasa amat selesa.


“Nak makan? Akim kupas epal, ya?” Aku menolak pelawaannya dengan gelengan.


“Kak Zara dengan Zairy mana?”


Masih dalam nada yang sama seperti tadi, aku bertanya kepada Hakimi. Kulihat dahinya berkerut-kerut cuba menangkap gerak bibirku.


“Kak Zara jemput Zairy kat sekolah. Nanti malam dia datang jaga Lisa. Kenapa? Lisa ada nak pesan apa-apa?” Aku menggeleng lagi.


“Sorry, Lisa susahkan Akim...” Hakimi meletakkan telunjuk di mulutnya, isyarat agar aku tidak meneruskan kata-kata.


“Lisa jangan cakap macam tu. Akim tak suka. Sekarang ni Lisa rehat, okay. Tidur...Shhhh...” bahuku ditepuk-tepuk seperti menidurkan seorang anak kecil.

           

Malam itu aku merasa sedikit segar walaupun ada beberapa bahagian di tubuhku yang masih sakit-sakit. Selera makanku juga sudah kembali apabila bubur nasi yang dibawa oleh kak Zara hampir separuh mangkuk kuhabiskan.

            

“Esok akak tak dapat datang. Ada fashion show. Lewat malam baru balik kot. Takpe, ya?” Aku ukir senyuman supaya kak Zara tida berasa bersalah.


“Akak jangan beritahu mama dengan abah tau? Lisa tak nak diaorang risau.” Kak Zara tersenyum mendengarkan permintaanku.


“Jangan risau, akak taulah! Selagi Lisa masih boleh bercakap,akak tak risau sangat. Cuma waktu Lisa pengsan hari tu aje yang akak takut.”


Kak Zara menghulurkan buah epal yang sudah dipotong lapan. Aku hanya capai sepotong yang paling kecil.


“Zairy tinggal dengan siapa malam ni?”


Tiba-tiba sahaja aku teringatkan Zairy, satu-satunya adikku yang kini sedang berada di dalam darjah empat. Kasihan dia!

            

“Hakimi tidur kat rumah temankan dia. Semalam dia tidur di rumah Hakimi.” 


Kak Zara melabuhkan punggung di sisiku sambil mendemahdahiku dengan kain basah.


“Nasib baik Hakimi ada hari tu...” ungkapan kak Zara yang akhir itu menyentuh perasaanku.


Aku terus diam, tidak tahu apa lagi yang harus aku katakan bagi membalas kenyataan kak Zara.

 

Aku terbangun dari tidur buat kali yang entah ke berapa hari ini. Ketika itu matahari sudah terang menerangi setiap inci dalam kamar sakitku. Sambil menurunkan selimut ke paras pinggang, aku memandang ke luar tingkap, meneka-neka sendiri waktu ketika itu. Mungkin sudah tengah hari. Mungkin juga masih pagi. Hari ini berapa haribulan, ya?

            

Dalam pandangan mata yang masih berpinar-pinar, aku dapat lihat Hakimi sedang tidur di atas kerusi dalam keadaan tersandar ke dinding bersebelahan tingkap. Tersengguk-sengguk dia disitu. Kasihan, Hakimi! Pasti dia keletihan.


Kesempatan ini aku ambil untuk memandang wajahnya yang bersih dan tenang. Wajah yang sentiasa menyejukkan hatiku. Sedang aku asyik merenung, satu senggukan kuat telah menyentakkan Hakimi dari tidurnya. Aku cepat-cepat mengalih pandang dan kembali menutup mata.

            

Aku terdengar bunyi keriutan pada kerusi. Aku yakin yang Hakimi telah bingkas dari situ. Aku terus menanti perlanjutan dari perbuatannya. Aku dengar bunyi selipar menghampiri katil.Selimut yang tadi kuturunkan, dinaikkan semula ke paras leher. Kemudiannya aku terasa hangat tangan Firdaus menjamah dahiku.

            

“Sweet dream, princess.”


Bisiknya dan setelah itu bunyi selipar kembali menjauh. Aku terus menelinga tetapi aku tidak lagi mendengar apa-apa. Aku ingin membuka mata tetapi takut kalau-kalau Firdaus sedang memerhatikanku.


Tiba-tiba ada objek keras menekan pada tilam di sisi lengan kananku. Serentak itu aku terasa haba yang mengembang, suamnya jatuh keatas kulitku. Aku biarkan sahaja, masih tidak berani membuka mata.

            

Setelah beberapa minit berlalu, aku terdengar bunyi dengkur halus betul-betul dekat di telingaku. Perlahan-lahan aku menoleh, membuka mata dan terkejut apabila melihat kepala Hakimi di depan mukaku. Harum syampu pada rambutnya secepat itu juga singgah ke hidungku.


Rupanya Hakimi menumpang tidur di katilku dalam keadaan kepala diletakkan menghadap ke bawah, di atas kedua tangannya yang berlipat pada tilam. Sesekali kepala Hakimi terhangguk-hangguk akibat permukaan tangannya yang tidak rata. Dengan cermat aku menolak lenganku ke bawah pelipis pipi kanannya, sekaligus mengampu dan cuba memberikan keselesaan kepada Hakimi. Hakimi sedikitpun tidak tersedar. Penat sangat nampaknya dia.

            

“Terima kasih, Akim.” Ucapku perlahan. Aku tahu yang Hakimi tidak mendengar cuma aku masih mahu mengucapkannya. Ditemani harum rambut Hakimi yang sedikit menyentuh wajahku, aku kembali menyambung lena.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku