Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 30
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
215

Bacaan






...1999...

 

“Apa jadi hari tu?”


Bibirku terasa kaku. Hiba yang masih berlegar di dalam diri, kembali mengasak. Yang aku tahu, kelopak mataku yang sudah kering kembali basah. Biarpun kesedihan akibat ditingalkan Am sudah kurang memberi tekanan pada perasaanku, namun untuk mendengar pertanyaan mengenainya keluar dari mulut Hakimi membuatkan aku kembali terluka dan aku sendiri tidak tahu mengapa.


“Lisa...selama ni, apa aje yang jadi, Akim tak pernah taktau...kadang-kadang tu, Akim jadi orang pertama yang tau.” Aku terus diam, tercekik amat-amat dengan apa yang dituturkan oleh Hakimi.


Sebenarnya aku sendiri tidak tahu bagaimana perasaanku mengenai perpisahan yang terjadi antara aku dan Am. Antara sakit, pedih,kecewa, lega, marah dan segalanya bagikan bercampur, membelit-belit membuatkan aku sendiri jadi keliru.


Aku rasakan ada satu perasaan yang mengapung dalam hati tentang perpisahan ini. Sesuatu yang tidak tentu sama ada aku boleh lepaskan atau tidak. Jika aku tidak meluahkannya, perasaan itu akan selamat tetapi jika aku luahkan, aku akan menjadi sedih. Tetapi, dalam perasaan selamat itu, aku tetap merasa pedih dan marah bercampur-baur. Aduhhhh...kelirunya aku untuk mentafsir perasaanku sendiri!


“Lisa? Ceritalah...Akim tau ada benda yang Lisa tak cerita kat Akim...ceritalah...Akim nak dengar. Jangan pendam sendiri...”


Bibirku bergerak-gerak; tutup-buka, tutup-buka. Keinginanku untuk meluahkan segalanya memang kuat tetapi kerongkongku terasa bagaikan tersekat. Mataku yang tadinya berkaca mula mengalirkan air, satu-satu dan semakin laju.


“Okey-okey...kalau Lisa tak nak cerita sekarang takpe la...tapi please, please jangan nangis...Hish!!” Kemudian kulihat dia menepuk dahinya sendiri. “Kenapalah bodoh betul Akim ni? Kenapa la Akim paksa Lisa? Hish!!” Melihatkan dia mahu terus memukul dahi, aku cepat-cepat mencapai tangannya dan menggeleng.


Bagaimana boleh aku menyampaikan pada Hakimi yang aku ingin bersuara dan menyatakan bahawa aku sememangnya ingin berkongsi cerita dengannya tetapi suaraku masih boleh keluar dek kerana terlalu hiba dan sebak?


Sepuluh jarinya aku genggam kuat. Dari situ aku pohon pengertian dan juga mohon kekuatan. Hakimi yang sememangnya amat memahami, membalas semula genggamanku. Tindakbalasnya membuatkan aku semakin teresak.


“Am mintak putus...dia dah tinggalkan Lisa...” patah demi patah perkataan meloncat lambat-lambat dari mulutku.


Kulihat riakwajah Hakimi berubah. Aku sendiri tidak pasti raut perasaan jenis apa yang dia sedang cuba pamerkan.


“Eh!Lisa...kenapa ni? Kimi? Apasal?”


Mendengarkan suara Bonda Engku yang cemas membuatkan aku cepat-cepat menyeka airmata dan menarik tanganku yang masih berada di dalam genggaman Hakimi.


Kulihat wajahHakimi juga berubah - kemerahan-merahan. Sesungguhnya kami sama-sama terkejut dengan kehadiran Bonda Engku di ruang tamu.


“Apasal apa bonda? Eh, Lisa...kata tadi nak balik...jomlah...Akim hantarkan.”


Terkocoh-kocoh aku bangun, menyalami Bonda Engku yang masih terpinga-pinga sedang Hakimi pula sudah menghilang ke tingkat atas, mungkin untuk mengambil dompet dan kunci kereta.


“Tak minum dulu ke, Lisa?”


Wajah Bonda Engku masih lagi cemas sewaktu menyoalku. Matanya yang bening seakan merayap ke pelusuk wajahku yang penuh dengan saki baki airmata. Melihatkan itu, akuperlahan-lahan meletakkan gumpalan tisu menutupi hujung hidungku yang merah.


“Takpelah Bonda Engku, terima kasih, lain kali saja lah ya?”


Mahu tak mahu dalam tona suara yang sebu dan tersangkut-sangkut, aku terpaksa menolak sambil berbahasa. Dalam hati aku agak resah menanti kelibat Hakimi. Cepatlah, Hakimi, cepatlah!

Belum sempat Bonda Engku membuka mulut untuk bertanya, Hakimi kembali muncul, memeluk bondanya dari belakang dan meminta izin untuk keluar. Aku lihat Hakimi membisikkkan sesuatu ke telinga bondanya. Bonda Engku hanya menggeleng sambil mengeluh kecil.


“Nanti datang lagi ye, Lisa?”


Aku salam dan kucup tangan Bonda Engku dan terkejut kemudiannya apabila Bonda Engku menarikku ke dalam pelukannya. Airmata yang tadinya berhenti terasa merembes kembali.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku