Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 34
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
423

Bacaan






...1999...

 

Sudah lama meja makan di rumah tidak sepenuh dan sesesak ini. Keriuhan petang tadi terbawa sehingga ke malam. Mama dan Bonda Engku sibuk berborak tentang pengalaman umrah. Hakimi pula yang diapit oleh kedua abang-abangku, juga rancak berbual. Sesekali abah turut mencelah.


Aku, dalam pada sibuk melayan Fatin mengisi lauk dan menambah nasi ke dalam pinggannya, sempat juga sesekali mencuri pandang ke Hakimi. Pemuda yang sudah lebih kurang seminggu tidak kutemui itu ternyata kelihatan sedikit pucat dan semakin kurus. Masih tidak sihatkah dia?

            

“Eh, Hakimi, tambah lagi nasi tu. Sikit sangat kamu makan hari ni? Ni sambal tumis ni, ambil lagi.” Aku lihat Hakimi menolak pelawaan mama dengan isyarat tangan.

            

“Sejak keluar hospital ni, selera makan dia memang kurang sikit. Ni pun dah kira banyak jugalah dia makan. Kalau tidak tu, sehari sekeping roti pun tak habis.” 

            

Terbantut suapanku mendengarkan penjelasan luar jangkaan dari Bonda Engku. Hakimi masuk hospital? Serentak itu aku menjeling ke arah Hakimi yang pura-pura tidak memandang ke arahku.

            

“Kenapa masuk hospital? Lisa takde pulak bagitau kami apa-apa. Sakit apa kamu Hakimi?” Giliran Abah pula menyoal.

            

“Suspected dengue, pakcik.” Perlahan sahaja jawapannya namun tetap singgah juga ke telingaku.

            

“Mulanya dia mengadu tak sedap badan. Akak ingatkan dia demam biasa. Bagi makan panadol, lepas tu tidur. Esok pagi, akak tengok dia dah terbaring dalam bilik air, pengsan. Ya, Allah, panik betul akak waktu tu. Nasib baik la masih boleh ingat nak telefon ambulans!”


Perlanjutan penerangan dari Bonda Engku semakin membuatkan hatiku bagi diracik-racik.Sampai ke tahap sebegini kritikal pun Hakimi masih lagi mahu berahsia denganku.

            

“Cukuplah bonda...jangan cerita lagi. Kan sekarang Kimi dah sihat?” Aku terdengar hujung bicara Hakimi disambut dengan tawa oleh keluargaku.

            

“Itulah anak-anak. Selalu ambil ringan benda macam ni. diorang tak tau, yang kita orang tua ni separuh mati risaukan diorang.” Ulas Abah, masih dalam gelak-gelak.

            

“Memang takde apa-apa, pakcik, makcik. Cuma demam panas aje...”

            

“Cuma demam panas aje?”


Intonasi Bonda Engku yang seakan mengajuk gaya percakapan Hakimi membuatkan Mama dan Abah tergelak besar.


“Haiii...tak taulah akak...”


Aku yang sedari tadi seakan terkeluar dari situasi, perlahan-lahan mendongak, cuba mencari kekuatan untuk memandang wajah Hakimi. Dan saat itu, bagaikan satu kebetulan, dia juga sedang memandang ke arahku. Buat seketika pandangan kami bersabung.Tajam dan dalam.


Dan di luar dugaanku, Hakimi memberikan aku sebuah senyuman, yang entah mengapa, aku rasakan senyuman itu penuh dengan ejekan, sindiran dan kemenangan kerana telah berjaya mempermain-mainkan dan menipu aku. Tiba-tiba airmataku bergenang. Aku cepat-cepat tunduk. Titisnya jatuh ke atas pehaku.

            

“Eiiiiiiiiiii...Cik Lisa nangisssss...” Suara Fatin yang agak kuat mengalih perhatian semua yang ada di meja makan ke arahku.

            

“Eh, Lisa? Kenapa?”


Kala itu aku rasa bagaikan terperangkap. Malunya Tuhan sahaja yang tahu. Aduh...mengapalahaku terlalu lemah mengawal emosi. Apa yang harus jawab sedangkan di depanku ini beberapa pasang mata sedang menanti jawapan dari mulutku.

            

“Betulllll...Fatin nampak Cik Lisa nangis...” Fatin menekan nada suaranya, seolah-olah memberitahu yang dia tidak salah pandang.

            

Apa lagi yang harus aku lakukan. Aku tidak ada jawapan namun begitu aku tidak mampu untuk mengangkat kepala untuk menatap wajah-wajah di hadapanku sekarang ini.

            

“Takpelah...takde apa-apa tu. Tambah lagi kak, tambah. Hah, Hakimi, ambil lauk ni...” suara mama menyelamatkan aku. Aku tahu yang aku sudah berhutang satu ucapan terima kasih amat besar terhadap mama.

            

Suasana di meja makan kembali seperti yang awalnya tadi. Masing-masing saling berbual cuma aku kehilangan suara Hakimi. Aku tahu dia juga terkulum sepertiku. Biarkan dia rasa terhukum, bisik naluri jahatku.

           

Selesai makan,aku sendirian di dapur, menyelesaikan tugas mencuci pinggan mangkuk kerana kak Zara sudah mengambil tugas menolong mama dan kak Syam memasak petang tadi.


Sememangnya aku memang ingin lari dari kelompok keluarga dan Bonda Engku dek kerana rasa maluyang masih bersisa.

            

“Ehem...” batuk ringkas di belakangku membuatkan aku tertoleh.


Wajah Hakimi yang agak pucat dan sugul memenuhi ruang pandang mataku dan aku menjadi amat marah dan geram. Cepat-cepat aku kembali membelakangkannya.


“Lisa...”panggilnya perlahan. “Lisa, sorry...”


Aku membungkamkan diri. Sengaja tidak mahu memberikan apa-apa tindak balas terhadap kata-katanya kerana aku mahu Hakimi tahu yang aku betul-betul tersinggung dengan sikap perahsianya kali ini. Begitu perahsianya dia sehinggakan soal yang berkaitan dengan hidup dan mati sebegini pun dia mahu menyimpannya kemas-kemas daripada pengetahuanku.


“Lisa...Akim mintak maaf sangat-sangat. Akim bukan tak nak bagitau...cuma tak nak Lisa risau.”


Aku dengar bunyi kaki kerusi bergesel dengan lantai dan aku tahu Hakimi sedang menarik salah satu kerusi untuk duduk. 


Aku terus menanti Hakimi kembali menyambung kata kerana aku memang sungguh-sungguh memerlukan penjelasan yang kukuh daripadanya. Namun apa yang aku dapat setelah hampir lima minit menunggu hanyalah kesunyian dan bunyi desah nafas yang agak rapat.


Ini membuatkan aku terpanggil untuk memandang ke arah Hakimi dan aku pun diserang rasa bersalah yang bertimpa apabila melihatkan Hakimi berteleku di situ dengan tangan kanan memegang kepala manakala tangan kirinya ditekap ke dada. Hela nafasnya tidak teratur dan sedikit berbunyi. Aku segera menghampirinya.


“Akim, kenapa ni? Kenapa? Lisa panggil Bonda Engku ya?” Belum sempat aku melangkah untuk ke depan, aku rasa lenganku ditarik.

“Akim – Akim –mintak – maaf – k?” Pintanya sungguh-sungguh dengan dahi berkerut-kerut dan nafas tersekat-sekat. Aku angguk berkali-kali.

Jari-jari Hakimi yang menggenggam tanganku terasa sejuk yang amat seperti ais. Ini membuatkan aku menjadi takut dan risau. Akhirnya aku menjerit memanggil Bonda Engku dari dapur sahaja apabila Hakimi tidak langsung mahu melepaskan lenganku.

 

Merenung Hakimi yang terbaring lesu di atas kerusi panjang di ruang tamu rumahku membuatkan rasa bersalahku semakin bertimpa-timpa datang. Menyesalnya aku kerana mogok sebentar tadi sedangkan Hakimi belum berapa sembuh dari demamnya.


“Tidur sini saja la malam ni kak?” Pelawa mama sambil menghidangkan minuman panas. Abah dan abang-abangku yang duduk di ruang makan turut menyokong kata-kata mama.


“Menyusahkan saja kami ni.”


“Jangan cakap macam tu, kak. Takde menyusahkannya. Kita pun bukannya baru kenal. Dah macam keluarga.”


Aku lihat Bonda Engku tersenyum nipis dan kemudiannya mengeluh. Rambut Hakimi dielusnya perlahan, penuh dengan sifat keibuan.


“Dah lama dah dia tak kena asma ni. Rasanya last sekali dia kena waktu dia form one dulu.Lama betul dah. Tapi sejak demam hari tu...tiap-tiap malam semputnya menyerang. Risau betul akak.”


Aku memegang tangan Bonda Engku. Ini kali pertama aku melihat ekspresi wajah Bonda Engku serisau itu. Bonda Engku yang aku kenali selama enam tahun ini adalah seorangwanita yang ceria dan mudah tersenyum.


“Lisa mintak maaf, Bonda Engku. Minta maaf banyak-banyak. Sebab Lisa Hakimi jadi macam ni. Lisa mintak maaf.”


Bonda Engku merangkul bahuku dan menarikku rapat ke dalam pelukannya. Kelakuannya membuatkan aku bertambah sebak dan mula teresak.


“Jangan cakap macam tu. Kimi memang tak sihat. Bonda tak nak Lisa salahkan diri Lisa. Bonda tak suka...” bisik Bonda Engku sambil menepuk-nepuk belakangku.


Awal subuh itu aku masih lagi berteleku di sisi katil, merenung Hakimi yang sedang tidur. Nafasnya masih keruh dan berbunyi. Sesekali dahinya berkerut apabila nafas panjang ditarik dan kemudiannya dia terbatuk. Memandangnya sahaja sudah membuatkan aku merasa sakit, apatah lagi dia yang memikulnya.


“Lisa pergilah tidur. Biar bonda aje yang jaga. Dah takde apa-apa dah ni.”


“Takpelah Bonda Engku. Biar Lisa yang jaga. Bonda Engku rehatlah. Nanti kalau apa-apa, Lisa kejutkan Bonda Engku, ya?”


Seperti tahu yang aku akan berdegil dan tidak mahu mengalah, Bonda Engku mengangguk dan berlalu ke arah katil sofa di hujung penjuru bilik.

 

Pukul empat dua puluh lima minit pagi. Bonda Engku sudah lama lena. Ahli keluargaku juga sudah lama dibuai mimpi. Cuma aku sahaja yang masih segar, sedikit pun tidak mengantuk biarpun kedua belah kelopak mataku bengkak akibat asyik menangis.


Menatap wajah Hakimi yang sedang tidur seperti anak kecil membuatkan hatiku begitu damai. Seingatku, ini adalah kali ketiga di dalam sejarah persahabatanku dengan Hakimi, aku dapat melihatnya tidur dan kali ini adalah yang paling indah kerana aku dapat melihatnya dalam jarak yang paling dekat, tanpa disempadani oleh apa-apa.


“Akim...”panggilku perlahan, takut dia terjaga.


Pelik bukan? Aku memanggil tetapi aku tidak mengharapkan dia menjawab.


“Lisa tak marah pada Akim lagi. Lisa cuma nak Akim cepat sembuh. Lagi satu, Lisa nak Akim lebih open dengan Lisa. Lebih jujur. Sebab Lisa percaya Akim seratus peratus jadi Lisa nak Akim buat macam tu jugak kat Lisa.”


Aku terhenti seketika di situ, menelan liur dan sebak.


“Lisa nak kongsi segala-galanya dengan Akim, tak mahu lagi ada apa-apa rahsia...sebab-sebab...” aku terhenti lagi.


Kali ini agak lama sebab aku tidak dapat mengawal air mata.


“Sebab Lisa sayang sangat-sangat pada Akim. Sayang sangat-sangat...lebih dari...” telan air liur lagi, “lebih dari Lisa sayang pada Ikhwan, pada Am. Akim, Lisa sayang Akim...”


Ringan sahaja rasanya pengakuan itu meluncur keluar dari mulutku. Tulus dan tidak dipaksa-paksa. Selepas meluahkannya, dadaku menjadi lapang. Menjadi tenang. Biarpun aku tahu Hakimi tidak mendengar namun aku tetap merasa puas. Akhirnya aku telah berjaya melepaskan ‘beban’ yang telah kutanggung selama ini. Dengan perasaan itu, aku sendiri tidak tahu bila aku terlelap di sisi Hakimi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku