Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 42
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
216

Bacaan






...1999...

 

Dengan susah payah Hakimi mengampu badannya untuk duduk tegak tetapi gagal. Tangan kirinya masih menekap perut. Akhirnya aku barjaya membawa Hakimi berdiri, itupun setelah berampu tahan pada kereta. Namun begitu dia masih lagi tunduk memegang perutnya.


“Akim…” kata-kataku terhenti bila aku lihat ada beberapa titis darah menitik ke atas tar. Nafasku jadi tidak tentu arah. Darah?


“Arghhhhh!!!!”


Sebilah pisau ditarik keluar dari perutnya, terpelanting ke atas tar.


Tubuh Hakimi yang tadinya sudah separa berdiri kembali jatuh, kali ini terlentang di atas ribaku yang turut hilang sokongan akibat terlalu terkejut. Bahagian depan Hakimi dipenuhi darah dan darah-darah panas masih ada yang berlumba keluar dari bahagian kiri perutnya.


“Akim, Ya,Allah…” aku dakap tubuh Hakimi yang sejuk. Mataku terasa kabur. “Lisa - Lisa mintak tolong, panggil ambulans…sekejap…”


Aku letakkan Hakimi ke atas tar, kemudiannya berlari ke tengah jalan. Kosong – tiada kereta. Aku berlari semula, memangku Hakimi yang desah nafasnya mula lemah. Bibirnya kelihatan biru.


“Akim…tahan ye? Tahan…sekejap…”


Aku letak Hakimi kembali ke atas jalan dan berlari pula untuk mengambil telefon genggam. Alamak! Aku terlupa yang baterinya mati. Aku menggagau mencari telefon genggam Hakimi. Aduh! Mana pula Hakimi letakkan telefonnya? Dengan mata yang semakin kabur dengan air, aku mendapatkan Hakimi.


“Akim…mana telefon Akim? Mana telefon?”


Tiada jawapan. Cuma erangannya yang semakin lemah sahaja yang singgah di telingaku.


“Akim…telefon Akim…telefon…mana?”


Aku goncang tubuhnya dengan kuat. Aku seluk poket jaket yang tersarung di badannya dan berjaya menemui telefon genggamnya.


Belum sempat aku memicit keypad, aku dengar suara Hakimi tersekat-sekat memanggil namaku. Aku tidak jadi membuat panggilan dan mengalihkan perhatianku kepadanya.


“Kenapa Akim? Kenapa?”


Aku lihat Hakimi semakin lemah dan semakin ‘hilang’. Nafasnya jarang-jarang manakala tangan kirinya yang tadi menekup kesan tikaman sudah terkulai jatuh.


“Akim…jangan pejam mata…jangan pejam mata…” Aku peluk badannya erat-erat, lebih sejuk dari tadi. 


“Akim…jangan buat Lisa takut…tunggu…tunggu… Lisa telefon ambulans…Akim jangan pejam mata…jangan pejam mata!”


Masih keadaan memeluk Hakimi, aku menekan nombor kecemasan. Tidak perlu menunggu lama, aku terus dihubungkan kepada operator.


Dengan hidung sebu dan suara tersekat-sekat, aku menceritakan apa yang berlaku. Aku tidak tahu tentang susunan predikat atau subjek, aku langgar semua tatabahasa dan aku abaikan titik-noktah kerana yang aku tahu, sekarang ini aku hanya mahu Hakimi diselamatkan.

Sebaik sahaja menamatkan perbualan, aku leraikan dakapan dan Hakimi terkulai di atas ribaanku. Matanya terpejam rapat dan aku tidak lagi mendengar sebarang bunyi daripadanya.


“Akim?” Aku gerakkan badannya – sunyi. “Akim?”


Aku genggam tangannya – dingin.


“Ya, Allah…”


Dengan penuh ketaran, jari tanganku merayap ke bawah hidung – kosong, tiada udara.


“AKIMMMMM!!!!”


Aku meraung sungguh-sungguh, kuat-kuat dan sepenuh hati. Aku peluk semula tubuhnya erat-erat.


"Mana boleh buat Lisa macam ni? Mana boleh tinggalkan Lisa macam ni? AKIMMMMMM!!!!”


Masya Allah! Aku terduduk dengan peluh membasah seluruh inci tubuhku. Dengan nafas yang masih laju, aku kelintari sekitar bilik tidur yang gelap tanpa cahaya. Ya,Allah, bermimpi rupanya aku.


Ketika itu jam sudah melepasi pukul lima. Aku duduk berjuntai kaki di hujung katil. Mata sudah tidak boleh dilelapkan kerana aku betul-betul rasa terganggu dengan mimipi yang kualami sebentar tadi. Apa agaknya tafsiran kepada mimpi tersebut?

            

Masih dalam perasaan yang bercelaru tidak menentu, aku usap muka dengan kedua belah tapak tanganku. Ingatanku kembali mengimbau peristiwa malam semalam.

 

Suasana semakin dingin sementara Hakimi masih dalam keadaan lemah – tersandar di bahagian belakang Kembara. Ada darah di bahagian kiri bibirnya. Dahinya terkerut sekali-sekala, mungkin menahan sakit yang aku sendiri tidak pasti di mana.


“Lisa telefon abang – “


“Tak-tak payah. Sikit je ni. Rehat sekejap lagi, ok la...” aku ketap bibir, memandang wajahnya yang berbalam-balam di bawah cahaya lampu jalan. “Jangan la buat muka risau macam tu. Akim tak apa-apa la...”


Kata-kata Hakimi membuatkan rasa bersalahku memanjat semakin tinggi. Semua ini berlaku disebabkan aku, kerana kedegilanku, keegoanku.


“Lisa... Lisa minta maaf, Akim.”


Perlahan-lahan aku meluahkan kekesalanku.


“Shhh...dah, jangan ungkit lagi.”


Dahi Hakimi berkerut seketika.


“Benda dahlepas. Akim pun nak mintak maaf sebab hari tu...”


Aku genggam tangannya kuat-kuat.


Agak lama Hakimi memejamkan matanya dan aku hanya membiarkan. Dalam pada itu, mataku tidak lari dari melihat pergerakan dadanya yang turun-naik. Hanya itu sahaja cara yang aku tahu untuk memastikan yang Hakimi masih bernafas.


“Dah, jom. Okay sikit dah ni... Akim hantar Lisa balik.”


Dengan segala susah-payah, aku mengampu Hakimi ke bahagian seat pemandu. Sebenarnya aku sendiri tidak pasti bagaimana Hakimi hendak memandu di dalam keadaan sebegitu.


Sepanjang perjalanan pulang, aku asyik memandang ke arah Hakimi. Berbeza dari yang selalu-selalunya, kali ini Hakimi memandu dalam kelajuan yang teramat perlahan. Dan di atas desakan aku, Hakimi memasang isyarat lampu kecemasan pada keretanya.


Tiba di depan rumahku, aku agak keberatan untuk turun. Lebih-lebih lagi apabila melihat ada aliran darah yang masih hangat dari hidungnya.


“Akim, tidur kat sinilah...kita boleh bersihkan luka tu.”


“Tak-takpe...sikit je ni. Jangan risau. Dah, pergi masuk...”


Aku ketap bibir, geram dengan sikap degilnya yang masih tidak dapat diubah. Masih dalam perasaan berat hati, aku turun juga dari Kembara Hakimi.


“Eh, Lisa!” Laungan Hakimi membuatkan aku tertoleh. “Jangan bagitau sesiapa, ok?” Aku hanya menganguk, itupun setelah menghela nafas panjang.


Berbinar-binarbibir mataku dengan air ketika menyaksikan Kembara Hakimi berlalu meninggalkanku di depan pintu pagar sedang dalam hati pula aku sungguh-sungguh berdoa agar tidak ada apa-apa yang buruk berlaku terhadap Hakimi sepanjang perjalanan dia pulang ke rumahnya.


Selesai mandi dan solat Isyak, aku memanjat katil. Telefon genggam yang tadinya sedang dicas,aku hidupkan. Tanpa berfikir panjang, nombor pertama yang aku tuju adalah nombor telefon genggam Hakimi. Tidak sampai dua kali deringan, aku mendengar salam daripada Hakimi di talian sebelah sana.


“Kenapa tak tidur lagi?”


“Nak tidurlah ni. Tapi tak boleh selagi tak pastikan yang Akim dah selamat sampai rumah...” gelak Hakimi kedengaran di sebelah sana membuatkan hatiku sedikit lega.


“Dah, Akim dah sampai dah pun. Lisa pergilah tidur. Takde apapun yang nak dirisaukan lagi, ok? Akim pun nak tidur dah ni.”


“Akim...” aku telan liur. “Terima kasih, Akim. Terima kasih banyak-banyak. Kalau Akim takde tadi, entah apa dah jadi pada Lisa...”


“Dahlah...yang penting Lisa tak apa-apa. Pergi tidur, ok? Good night and sleep tight.”


Aku membalas dengan ucapan yang sama. Setelah memberi dan membalas salam, aku putuskan talian. Kemudiannya aku baringkan diri ke atas katil, menarik selimut dan memeluk erat bantal busukku. 


Entah bila aku terlelap, aku sendiri pun tidak pasti sehinggalah aku dikejutkan oleh mimpi burukku sebentar tadi. Sudahnya sampai azan Subuh berkumandang dari surau berdekatan pun aku masih lagi terkebil-kebil di atas katil, melayan fikiran tentang Hakimi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku