Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 44
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
256

Bacaan






...1999...

 

Petang itu, setelah tamat waktu bekerja, aku dan Putri sama-sama ke rumah Hakimi. Di sana kami disambut dengan jeritan tidak percaya daripada Bonda Engku lebih-lebih lagi apabila melihat Putri keluar dari kereta. Dia mengiringi aku dan Putri masuk ke rumah dengan mulut riuh bercerita.


“Kimi ada kat atas, baru saje tidur lepas makan ubat.” Belum sempat Bonda Engku meletakkan kaki ke anak tangga pertama, aku cepat-cepat menggapai dan mencium tangannya.


“Lisa minta maaf sangat-sangat, Bonda Engku. Dah banyak kali Akim susah sebab Lisa... Lisa memang selfish.”


Bonda Engku menepuk-nepuk belakang badanku dengan lembut, kemudiannya dia menegakkan posisiku, menghadap dirinya. Aku teragak-agak, masih tidak berani untuk menentang mata wanita berdarah bangsawan di hadapanku ini.


“Bonda tak kisah. Kimi, kalau apapun untuk Lisa, dia sanggup. Kalau jadi apa-apa pada dia disebabkan Lisa, bonda tau, tu memang dia yang cari. Sudahlah...”


Aku mengangkat muka apabila mendengarkan kata-kata Bonda Engku yang tidak kusangka-sangka.


“Sudahlah tu...jom kita naik. Mari Putri...” tanpa memberi kesempatan kepada aku untuk bertanya lebih lanjut, Bonda Engku sudah menarik tangan kami berdua ke bilik Hakimi.


Demi terbuka sahaja pintu bilik Hakimi, aku dapat lihat pemuda tersebut sedang nyenyak di atas katil. Lena sungguh nampaknya dia dibuai tidur. Bonda Engku mendorong tubuh aku dan Putri masuk ke dalam.


Dari tempatkami berdiri, aku dapat lihat dengan lebih jelas keadaan muka Hakimi. Di hujung bibirnya ada kesan luka manakala tompok-tompok darah pecah hinggap di tepi mata dan rahang. Tangannya pula dibaluti bandage.


“Ya, Allah...” itu sahaja yang mampu kuluahkan.


“Eh, duduklah dulu. Bonda nak turun bawah buatkan air...”


“Putri nak ikut bonda!”


Aku tahu Bonda Engku dan Putri sengaja memberi peluang untuk aku. Sambil menghela nafas, mencari kekuatan, aku tarik kerusi kayu dari meja bacaan dan duduk agak rapat ke birai katil, menatap wajah Hakimi dalam bentuk rupa yang berbeza.


“Akim...”panggilku perlahan, tetapi tiada tindak balas.


Maka aku biarkan sahaja dia terus tidur. Mungkin kesan ubat sedang bertindak. Perlahan-lahan aku tarik tangannya, dan aku genggam jemarinya erat-erat.


Merenung Hakimi dalam posisi yang amat dekat, memandang mukanya yang penuh dengan kesan lebam dan tangan dibaluti bandage membuatkan aku tertanya sendiri. Kenapa dan mengapa Hakimi sanggup menyusahkan dirinya demi aku?


Sekiranya kufikir-fikirkan, sepanjang perhubungan kami, sudah terlalu banyak yang dilakukan oleh Hakimi untuk diriku. Tetapi, kenapa pula manusia yang sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan aku gembira, bahagia dan selamat ini tidak boleh menjadi lebih dari apa yang sepatutnya?

Mengapa perhubungan ini kami hanya harus berada pada tahap ‘sahabat-ke-sahabat’ sahaja?Mengapa hubungan ini tidak boleh menjadi lebih istimewa? Persoalan-persoalan yang berlegar ini membuatkan aku, antara sedar dengan tidak, merenung wajah Hakimi dalam posisi yang semakin rapat.


“Jangan renung Akim macam tu.”


Aku tersentak dan terundur sedikit ke belakang. Serentak itu jari-jari Hakimi yang berada di dalam genggamanku, aku lepaskan tetapi di luar dugaanku, Hakimi pula menarik jari-jariku ke dalam genggamannya. Terbeliak mataku dengan tindakan Hakimi itu. Mana tidaknya, mata Hakimi ketika itu masih lagi terpejam.


Entah mengapa,tiba-tiba aku teresak dan aku tidak tahu kenapa. Cuma mendadak aku terasa seperti ingin menangis. Hakimi membuka matanya dan tersenyum.


“Laaa...kenapa ni? Kenapa menangis? Akim bukannya mati.” Kata-kata Hakimi membuatkan esakkanku bertambah tinggi. “Lisa...kenapa ni?”


“Lisa tak nak Akim susahkan diri lagi untuk Lisa. Lisa tak suka tengok Akim macam ni...”genggaman Hakimi aku rasakan semakin ketat dan ini membuatkan dadaku semakin ingin pecah.


“Takut ya? Kenapa? Takut Akim mati?”


Aku terus menangis. Serentak itu juga ingatanku melayang pada mimipiku yang kualami malam tadi.


“Jangan risau, sikit aje. Doktor bagi cuti tu sebab suruh rest. “


“Lisa risau sangat...malam tadi Lisa mimpi tak best...”


Hakimi cuba untuk duduk, dan aku membantunya. Saat itu airmataku sudah reda.


“Mimpi apa?”


Aku menggeleng, tanda tidak mahu memberitahunya tentang mimipiku itu. Biarlah aku simpan mimpi buruk itu untuk diriku seorang.


“Tangan tu kenapa? Patah ke?” Soalku, melarikan topik. Hakimi memandang ke arah tangannya yang berbalut.


“Tak, terseliuh aje. Tak teruk pun. Dah urut pagi tadi. Kenapa datang ni?”


“Lisa risaukan Akim...cuti sampai seminggu. Lisa takut teruk...” balasku perlahan.


Tidak tahu mengapa, tiba-tiba aku menjadi malu untuk merenung wajah Hakimi.


“Risau ke...rindu?” Pertanyaan Hakimi membuatkan kedudukan kepalaku semakin rendah.


“Ntah...” aku tidak tahu ke mana menghilangnya suaraku.


Hakimi menepuk tepi katil, mengarahkan agar aku berpindah duduk di situ dan aku akur. Ketika itu, Hakimi masih menggenggam jari-jemariku.


“Akim tak suka tengok Lisa dengan Zakuan.” Luahan Hakimi membuatkan aku terdongak, mencari kejujuran pada mata Hakimi. “Betul...Akim tak tipu. Entahlah...waktu Lisa dengan Ikhwan atau dengan Am dulu, taklah seteruk ni rasanya. Rasa macam cemburu sangat. Tapi, orang kata, cemburu tu tandanya sayang, betul ke?”


Butir-butir ayat yang lahir dari mulut Hakimi mengundang debar dalam diriku. Adakah Hakimi sedang menyampaikan sesuatu kepadaku? Akan bertukarkah arah perhubungan kami?


“Lisa, tanya sikit boleh?”


Aku hanya mampu mengangguk kerana di waktu ini, lidahku rasa terikat.


“Waktu kita gaduh hari tu, Lisa beritahu Akim yang Akim ni bukan siapa-siapa pada Lisa...Lisa betul-betul maksudkan ke?”


Debar di dadaku pun semakin menggila. Apa yang harus aku katakan? Memang aku tidak pernah memaksudkan kata-kataku itu. Itu ayat orang marah, ayat orang sakit hati, ayat orang yang tidak sempat berfikir, tapi itu bukan ayat yang akan ditujukan oleh Izara Marleesa kepada Tengku Hazqeel Hakimi. Bukan! Aku menggigit bibir.


“Takpelah...kalau tak nak jawab, Akim tak kisah.”


Dan perlahan-lahan Hakimi merungkaikan genggamnya dan dengan perlahan juga, tanpa menunggu bantuanku, dia menjatuhkan bantal dan berbaring membelakangiku.


Tidak, aku tidak boleh membiarkan saat ini berakhir sebegini. Aku teguk liur yang terasa kesat. Hakimi masih dalam posisi yang sama. Pasti dia sedang menanti kata-kata dari mulutku.


Aku pun menarik nafas panjang-panjang, menyeru segala semangat yang ada untuk meluahkan bahagianku pula kepada Hakimi. Mana tahu, komunikasi kami hari ini akan membuka peluang untuk hubungan kami pergi lagi jauh.


“Akim...” panggilku perlahan, tetapi Hakimi masih begitu. Aku biarkan sahaja dan meneruskan ayatku. “...you are more than just a friend to me.”


Berhentiseketika.


“Lisa sayangkan Akim...” setelah menuturkan ayat yang terakhir itu, aku terus berlalu ke muka pintu yang sedikit terbuka.


Dengan sebelah tangan sudah memegang tombol, aku berpaling ke arah Hakimi. Betapa terkejutnya aku apabila dia juga sedang memandang tajam ke arahku. Mata kami pun bersabung dan berbicara seketika. Biarlah, aku mahu Hakimi faham, yang kadangkala,komunikasi mata itu lebih bermakna dari kata-kata. Hakimi tersenyum kepadaku,dan aku membalas senyumannya dengan senyum yang aku rasakan paling manis didalam hidupku!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku