Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 48
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
264

Bacaan






...1999...

 

Alhamdulillah. Selesai satu cerita. Aku dan Hakimi keluar dari bilik mesyuarat dengan senyum lebar di bibir masing-masing. Pembentangan kerja final kami selamat disempurnakan. Puan Alia nampaknya sangat berpuas hati dengan hasil kerja kami dan sekiranya tiada masalah, koleksi buku cerita yang kami hasilkan itu bakal diterbitkan selewat-lewatnya awal tahun depan dan yang lebih mengembirakan, kami diberi cuti sehingga hari Jumaat sebagai bonus.

            

“So, apa jawapannya?”


Aku menjungkit kening mendengarkan soalan Hakimi yang tiada hujung-pangkal sewaktu kami sama-sama mengemas meja.

            

“Jawapan apa? Soalannya mana?” Hakimi mengulum senyum. Dia mengeluarkan sehelai kertas keronyok dari folionya.

            

“Ini...” aku menyambut kertas yang dihulur, dan kemudiannya tersenyum.

            

“Oooooohhhh...valid lagi ye?” Soalku dalam gurau. “Lisa ok aje kalau ada orang tu nak bawak...”

            

“Orang ni memang nak bawak...tunggu orang tu kata ‘ya’ aje...so?” Aku menjeling Hakimi dengan ekor mata.

            

“Ya...” aku perlahan-lahan menyambung sebelum sempat Hakimi membalas, “tapi orang ni takde baju nak pakai...orang tu kena teman pergi shopping la...boleh?”

            

Hakimi tergelak.

            

“Orang kat sini okay aje. KLCC?”

            

“Orait!!!”

           

Keluar masuk kedai, cuba-pakai-cuba-pakai, akhirnya kami duduk minum di Food Court dengan tangan kosong. Ada yang cantik di mata, tapi kurang cantik di badan. Yang cantik di badan pula, kurang cantik di harga. Sudahnya aku mengalah.

            

“Kenapa tak beli aje dress tu tadi...cantik...yang bunga-bunga warna pink-putih tu...” usul Hakimi membuatkan kunyahanku terhenti.


Gambaran baju tersebut serentak menjelma semula. Cantik, memang cantik. Tetapi harganya, boleh buat abah buntang mata sewaktu terima resit kelak.

            

“Memanglah cantik tapi harga dia...dekat empat ratus tu...bukan nak pakai tiap-tiap hari pun...” aku membalas perlahan, dalam diam turut memujuk hati sendiri. “Takpelah..kalau takde jugak, nanti Lisa pakai ajelah apa yang ada.”

            

Hakimi tarik muka kurang puas hati dengan jawapanku. Aku tergelak.

            

“Ni, sibuk-sibuk tanya orang, baju Akim tak beli ke?”

            

“Baju lelaki senang...selalunya nak cari baju perempuan yang susah. Lagipun Akim nak tengok baju Lisa dulu, baru Akim cari baju...” aku mengerut dahi mendengarkan jawapannya.

            

“Kenapa pulak?”

            “Nak cari sama tema...” balasnya perlahan sambil sedikit tersipu. Tetapi yang peliknya, wajahku pula yang terasa bahang.


Rupanya Hakimi merancang dalam diam untuk berpakaian sedondon denganku. Patutlah beria benar  dia menemaniku membeli-belah untuk majlis tersebut.

            

“Takpelah..nanti Lisa cari baju yang ada, Lisa bagitau Akim warna apa ya?” Walaupun Hakimi mengangguk mendengarkan keputusanku, namun riak tidak puas hati masih jelas terpancar pada wajahnya.

           

Ahad pagi. Cuaca agak mendung. Abah, mama dan Zairy keluar membeli barang keperluan harian. Kak Zara ke Perlis manakala Abang Zafri hilang tidak terkesan.


Aku pula sejak dari selepas minum pagi sudah duduk bersila menghadap almari. Habis semua koleksi baju sudah aku lambakkan ke atas lantai dan katil,  namun bayangan dress putih gading dengan bunga kecil pink-putih tetap terbayang di mata.


Sedang aku berkira-kira untuk ke bilik Kak Zara untuk menjenguk koleksi bajunya pula, telefon genggamku berbunyi. Nama Hakimi tertera pada skrin, membuat senyum dibibirku.

            

“Assalamualaikum..” sapaku.

            

“Wa’alaikumsalam...dah jumpa baju?” Aku tergelak mendengarkan soalan ‘straight-to-the-point’ Hakimi.

            

“Tengah cari lagi ni, Encik Hakimi...ni tengah nak selongkar gobok ajaib Kak Zara pulak ni...” aku dengar suara Hakimi ketawa.

            

“Akim kat depan gate ni...”


Aku mati kata seketika kemudiannya tergelak.

            

“Laaa...dia ketawa pulak. Urmm...kat ampai baju hari ni ada t-shirt Minnie Mouse warna pink, baju kelawar warna hijau batik, ada jeans 2 helai, ada -”

            

“Okay-okay..”


Cepat-cepat aku pintas analisis Hakimi sebelum segala apa yang tersangkut dijenguknya. Tawa Hakimi semakin galak. Dan entah kenapa, hatiku jadi berbunga mendengarkannya.


“Lisa turun...5 minit please...”

            

Di depan pintu pagar, dia yang bernama Hakimi itu berdiri – memakai t-shirt merah cili dipadankan dengan sepasang jeans lusuh. Rambutnya dibiar lepas tidak berikat. Rasanya baru sahaja Rabu lepas aku melihat dia, tetapi rindu ini tiba-tiba terasa sangat membuak.

            

“Kenapa tak bagitau nak datang?” Soalku sambil membuka kunci mangga.

            

“Pernah dengar tak perkataan suprise?” Soal balasnya membuat senyumku semakin lebar. “Sekejap je ni...nak hantar barang.” aku mengerut dahi.

            

“Barang apa?”


Hakimi membuka pintu belakang Kembaranya, mengeluarkan beg kertas bersaiz agak besar dan menghulurkannya kepadaku. Kerutan dahiku semakin keruh.

            

“Apa ni?”


Tanyaku sambil membelek isi kandungannya – sebuah kotak berbalut – berat!

            

“Hadiah...” bisiknya dengan nada nakal. “Nanti bukalah. Akim tak boleh lama ni, nak teman bonda pergi beli barang.”

            

“Oooo..okay..thanks yer...Nanti yang pasal baju tu, Lisa bagitau latest dalam hari Khamis, boleh?”

            

“Tak kisah..Akim dah ada baju...” ada senyum nipis di hujung bicara Hakimi manakala aku pula sedikit tercuit dengan kata-katanya. Oh, Hakimi tidak lagi kisah nampaknya untuk berbaju warna tema denganku.

            

"Takpelah kalau macam tu...Lisa pun tak risau sangat.” Balasku, cuba-cuba paksa diri untuk tersenyum.

            

Sambil berjanji untuk menjemputku ke pejabat seperti biasa Isnin depan, Hakimi pun berlalu. Aku mengunci pagar dan tergesa-gesa masuk dengan rasa sangat ingin tahu akan isi di dalam kotak berbalut itu.

            

Tidak sempat masuk ke bilik, di tengah ruang tamu aku koyakkan balutan hadiah tersebut secara carca merba.Bertaburan serpihnya.


Tanganku menyentuh sebuah kotak berwarna hitam. Perlahan-lahan aku buka penutupnya dan...Masya Allah! Aku tidak pasti reaksi mukaku saat ini apabila menatap dress yang kulihat Rabu lepas berada di depanku – di hujung jari-jariku. Ada kad kecil dan sekuntum mawar merah di atasnya.

 

“ Jangan tanya hadiah ni untuk apa. Selamat Hari Ahad.

 

Aku tutup semula kad kecil tersebut dan beralih ke mawar yang setangkai. Aku rapatkan ke hidung, aku sedut baunya dan aku rasa, inilah bunga yang paling harum pernah aku cium.


Tiba-tiba telefon genggamku menyanyi mohon dijawab – panggilan daripada Hakimi. Aku tarik nafas dalam-dalam dan kemudian menekan punat answer.


“Akim...”


“Wa’alaikumsalam,Lisa...” aku tergelak apabila menangkap yang dia sedang mengenakan aku.


“Kenapa buang duit banyak-banyak?”


“Kan dah kata jangan tanya. Suka tak?”


Aku mengeluh apabila soalanku dibiar tidak berjawab. Ada tawa halus dari corong sebelah sana.


“Mestilah suka.Tapi mahal kan? Kenapa –“


“Tengok tu, dah katakan jangan tanya...”


“Iye...tau...tapi macam membazir je...kenapa Akim?” Sepi – agak lama.


Hanya bunyi nafas mengisi antara kami.


“Sebab Lisa...” sepi lagi, “because you’re so special...” aku terdiam – Hakimi pun terdiam.


Aku tidak tahu bagaimana dia sekarang, tetapi aku sudah terapung di awangan. Kakiku seakan menjejak awan ke tujuh. Darah panas sedang dipam ke setiap pelusuk tubuhku dan hatiku terasa begitu hidup sekali. Inikah rasa cinta?


“Pakai ye baju tu nanti...” Kemudian aku kembali mendengar suara Hakimi, ada getar yang sangat manis di situ.


“InsyaAllah...thanks Akim.”


Perbualan tamat. Aku memegang dada, mengamati degup jantung yang tidak menentu paluannya. Ada irama indah di situ. Ada tarian, ada perayaan. Ah, Hakimi...kalaulah...


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku