Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 50
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
271

Bacaan






...2000...

 

Sejak menamatkan pengajian, aku hanya duduk-duduk di rumah sambil menghantar resume ke beberapa syarikat. Namun buat masa ini nampaknya nasib tidak menyebelahiku kerana masih belum ada panggilan untuk temuduga.


“Tengok tu, tak habis-habis mengelamun. Buat kerja sepuluh minit kat bumi, terbang pergi planet lain setengah jam. Bila nak siap kerja?” Tegur mama.


Aku hanya tersengih sambil menyambung menggembur tanah di dalam pasu.


“Nanti lepas siap pasu ni, buat pasu yang sana tu pulak.”


Aku jawab arahan mama dengan muncung panjang. Bukan minatku untuk berkebun tetapi apabila mama sudah mula bising melihatkan aku hanya melepak di hadapan televisyen setiap hari, aku terpaksa juga menyertai mama di taman mininya ini untuk mengambil hati.


“Assalamualaikum...Assalamualaikum...” aku dan mama sama-sama menjenguk ke arah pintu pagar.


Di situ berdiri seorang wanita muda, berbaju kurung bunga biru dan bertudung putih sambil mendukung seorang kanak-kanak perempuan. Wajahnya berkerut-kerut menahan terik matahari. Aku membontoti mama menghampirinya.


“Nak jual barang ke?” Teka mama. Wanita itu mendadak tersenyum sambil menggeleng.


“Mintak maaf,makcik. Saya cari Izara. Ni rumah Izara, kan?”


“Anak makcik dua-dua nama Izara. Nak cari Izara Kharleesa ke, atau yang ni, ini adiknya, Izara Marleesa?”


Wanita tersebut memandang wajahku agak lama sebelum kemudiannya menggeleng lagi. Anak kecil di dalam pelukan yang tadinya sedang lena sudah mula merengek. Mungkin kerana kepanasan.


“Eh, masuklah dulu...panas ni. Kesian kat budak tu.”


Kami masuk ke rumah. Mama sepantas itu juga mengarahkan aku memanggil abah yang sedang mengaji di bilik.


“Mintak maaf sangat-sangat, makcik. Saya datang mengejut macam ni. Saya rasa, saya cari Izara yang kakak. Yang...urmmm...kerja pereka fesyen tu.”


Wanita itu memulakan sebaik sahaja aku selesai menghidangkan air. Mama mencuitku untuk duduk di antara dia dan abah, bertentangan dengan wanita tersebut.


“Dia takde, dia out station sampai hujung minggu ni. Awak ni siapa? Ada hal apa cari Zara?” Soal abah.


“Saya Auni...” dia terdiam dalam tunduk. Seperti ada sesuatu tersekat di hujung kerongkongnya.“Saya isteri Syafiq.”


Tiba-tiba ruang tamu itu menjadi sunyi-sepi. Mama menggenggam tanganku. Aku dapat rasakan debar dadanya menjadi begitu laju.


“Saya mintak maaf. Saya nak mintak tolong pakcik dan makcik, mintak Izara tolong lupakan Syafiq. Kesiankanlah saya dengan anak-anak.”


Wanita bernama Auni itu sudah mula menangis. Esakannya mengundang airmata mama dan juga airmataku. Aku tidak tahu mama menangis kerana apa, tetapi kesedihanku adalah untuk kak Zara.


Bagaimana agaknya perasaan kak Zara apabila mengetahui yang kisah cintanya dengan abang Syafiq memang tidak akan ada kesudahannya?


“Mana awak tau yang Zara dengan Syafiq?”


Mama dalam percaya dengan tidak, tetap mahu mempersoalkan kebenaran yang dibawa. Sebagai seorang ibu, dia tidak akan sesekali menjatuh hukum terhadap anak-anak selagi tidak ada bukti.


“Saya terbaca sms-sms abang Syafiq dengan Izara...” ringkas jawapan Auni.


Matanya masih basah. Sedunya masih ada. Dengan anak-anak seramai empat orang yang masih kecil, pastilah dugaan ini amat berat untuk ditanggungnya.


“Ini pun...”

Beberapa helai kertas agak keronyok dikeluarkan dari beg sandang dan dihulurkan kepada abah. Abah menyelak kertas tersebut sambil menggeleng kepala beberapa kali. Kemudiannya kertas tersebut berpindah ke tangan mama dan aku berkongsi baca dengannya.


Salinan perbualan di alam maya antara kak Zara dan abang Syafiq. Tidak perlu menafsir lebih dalam untuk memahami kerana sememangnya bahasa yang mereka gunakan adalah bahasa orang yang dibuai perasaan – bahasa orang yang sedang mabuk cinta!


“Saya tau, diorang selalu jumpa. Abang Syafiq sanggup pergi tempat Izara ada fashion show. Saya intip, dah banyak kali.” Terangnya, menguatkan hujah walaupun di saat itu, aku tahu mama dan abah sudah tidak ada rasa sangsi lagi.


Auni mengeluarkan gambar-gambar yang sempat diambil. Mama menoleh, tidak mahu melihat. Abah meneliti sekali imbas. Aku sempat mencuri pandang beberapa aksi romantik bersuap makan di dalam gambar tersebut.


Aku dengar abah mengeluh berat.


“Pakcik mintak maaf bagi pihak anak pakcik. Kami memang tak tahu langsung pasal perkara ni.”


“Saya tau, pakcik. Sebab tu saya nak mintak tolong pakcik dengan makcik, tolong pujuk Izara. Tinggalkan abang Syafiq. Kalau bukan untuk saya, tolonglah buat untuk anak-anak saya.”


Rayuan demi rayuan keluar dari mulut wanita muda itu.


Aku agak usianya lebih kurang kak Zara. Rautnya lembut dan cantik. Bentuk tubuhnya juga masih genit. Tidak langsung kelihatan seperti ibu kepada empat orang anak. Apalagi agaknya yang abang Syafiq mahukan? Tiba-tiba hatiku jadi marah.


“InsyaAllah...pakcik cuba.”


“Pakcik kena janji!”


Desak dengan nada yang agak tinggi, membuatkan wajah abah berubah.


“Mintak maaf, pakcik. Pakcik kena pastikan Izara berhenti hubungi abang Syafiq lagi. Sebab...” dia mengeluarkan lagi sehelai kertas, meletakkannya ke atas meja.“Saya jumpa ni dalam laci kerja abang Syafiq malam tadi.” Ujarnya, kembali menangis.

Aku capai surat tersebut dan serentak juga itu jantungku berdegup laju; surat kebenaran berpoligami!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku