Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 51
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
335

Bacaan






...2000...

 

Aku mengurung diri di dalam bilik. Suara mama bertingkah dengan lengkingan kak Zara masih kedengaran di bawah. Aku cuba untuk tidak ambil tahu tetapi keriuhan yang tidak terkawal itu bunyinya singgah juga ke dalam bilik. Aku akhirnya menghampiri pintu, merenggangkan sikit daunnya dan bersimpuh di situ.

           

“Bukan Zara yang cari dia, dia yang cari Zara!”


Aku terdengar jeritan kak Zara membela diri apabila diasak tuduhan demi tuduhan oleh mama.Aku dengar pula suara abah menegur agar kak Zara menurunkan ton suaranya.


“Semua yang Zara buat salah! Patutnya mama dengan abah lebih pentingkan perasaan Zara, kebahagiaan Zara daripada orang lain!”


Jeritan kak Zara bergema lagi. Ada semacam rasa sayu dalam nada suaranya. Aku telan liur. Dalam hati berdoa banyak-banyak agar semuanya cepat berakhir.


Suara mama mengongoi menyusul selepas itu. Kata-katanya tidak jelas.


“Zara, kami nak Zara happy, tapi bukan dengan buat orang lain jadi sedih...” balas abah, masih dalam tenang yang biasa.


“Abah, please...Zara happy sekarang ni. Lagipun Syafiq memang nak kahwin dengan Zara. Dia dah janji. Dia kata kalau isteri dia tak tak sign surat tu, dia sanggup ceraikan -”


“Zara!” Jerkahan mama meluruhkan hatiku. Degil sunggguh nampaknya kak Zara mempertahankan cintanya.


“Zara tak kisah...kalau mama dengan abah tak suka, Zara boleh keluar dari rumah ni -” dan ayat itu tergantung di situ diikuti bunyi tamparan.


Aku tidak dapat mengawal kaki, terus sahaja terkocoh-kocoh menuruni anak tangga, menuju ke ruang tamu. Di situ aku temui kak Zara terduduk di atas lantai, memegang pipi. Abah berdiri di hadapannya dengan tangan masih di awangan. Mama pula sedang menangis di sofa.


Aku menerpa ke arah kak Zara, mendakapnya kuat-kuat.


“Dah’lah..mama, abah...cukuplah, jangan gaduh lagi.” Rayuku dengan airmata yang mula membasahi pipi.


“Bawak kakak kamu naik atas, Lisa!” Arah abah tegas.


Pertama kali aku lihat raut abah sekeras itu. Tiba-tiba semua yang berada di ruang tamu itu menjadi sangat asing kepadaku. Aku runtun tangan kak Zara untuk berdiri.


“Kamu, Izara Kharleesa, fikir balik apa yang kamu kata. Kalau dia boleh buat benda ni pada isteri dia, satu hari nanti, mungkin kamu pun akan terima nasib macam Auni. Pergi ambil wuduk, solat. Tanya diri kamu betul-betul...ini ke yang kamu nak. Bila kamu dah sedia, kita bincang lagi. Pergi!”


Tanpa memandang wajah kak Zara, abah mengarahkan kami meninggalkan ruang tersebut. Aku pimpin kak Zara ke biliknya. Duduk  di atas katil,dia menangis bersunguh-sungguh. Mana tidaknya, ini kali pertama abah meletakkan tangan ke atas dirinya.


“Akak...” pujukku, tetapi tidak tahu ayat apa yang paling baik untuk aku luahkan. Sudahnya aku diam, membiarkan dia terus menangis di atas bahuku.

 

Aku terjaga pagi itu apabila terdengar hembus nafas di tepi telinga. Terkejut aku melihatkan kak Zara meniarap di sisiku. Dia tersenyum apabila aku mula membuka mata.


“Jom, teman akak. Kita pergi cuti-cuti.”


Aku bangkit dari pembaringan, menjeling jam loceng yang baru suku lepas pukul enam, dalam masa yang sama cuba memproses kata-kata kak Zara. Dengan mata yang bengkak dan merah, dia masih dalam senyum yang sama.


“Kata apa tadi?”


Soalku separuh mamai.


“Jom pergi jalan-jalan. Kita pergi cuti mana-mana, jom. Dua tiga hari macam tu. Jomlah. Akak tanggung semuanya. Lisa teman je.”


Aku memandang wajah kak Zara yang sembab dengan limpahan rasa yang berbaur. Kasihan sungguh kakakku yang satu ini!


“Kita dua aje, kan?” Tekanku, mahu memastikan yang dia tidak mempunyai agenda tersembunyi. Aku tidak berminat untuk menjadi ‘tiang lampu’ serta berkongsi saham dosa dengannya.


“Kita dua. Akak dengan Lisa aje. Tapi, Lisa tolong bagitau mama dengan abah ye. Kita pergi lepas Zohor.”


Aku angguk. Ketika ini, suruhlah apa sahaja, asalkan kak Zara gembira, asalkan bukan yang berkaitan dengan lelaki yang bernama Syafiq itu, asalkan suasana dalam rumah ini kembali seperti sediakala, apa sahaja pun akan aku sanggupkan!


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku