Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 59
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
213

Bacaan






...2001...

 

Malam itu kami tiba di perkarangan banglo tiga tingkat yang indah disirami cahaya tepat pukul lapan setengah malam. Kami disambut meriah dengan paluan kompang dan taburan bunga rampai. Rombongan pihak lelaki kelihatan harmoni dengan warna tema biru laut manakala di pihak Uncle Muiz pula dengan warna merah jambu-kelabu. Mama dan abah tidak putus-putus tersenyum.


Menyaksikan abang Zafri dan Putri duduk bersanding di atas pelamin sedikit sebanyak menyentuh hatiku. Dalam diam aku tunduk menyeka airmata yang entah mengapa tiba-tiba mengalir dan apabila aku mengangkat kepala, nah, di hadapanku Hakimi sedang berdiri, memandangku dengan dahi berkerut. Malas bersoal jawab, aku undur diri, keluar ke bawah khemah yang sedang dipenuhi tetamu.


“Lisa...” lembut bahuku dicuit. Aku berpaling, kemudiannya terkejut.


“Kak Hana!” Aku terjerit kecil, tidak percaya.


Setelah aku berpisah dengan Am, aku memang tidak pernah lagi berjumpa dengannya.


“Buat apa kat sini?” Soalnya sambil menarikku ke salah sebuah kerusi berhampiran.


“Pengantin lelaki tu abang Lisa.” Beritahuku.


“Really? Mummy akak dengan mami Putri tu sepupu, tiga-empat pupu macam tu’lah.”


Aku masih tidak percaya. Betapa kecilnya dunia. Kak Hana Dan Putri bersaudara, maknanya, Am –


“Am takde, dia ada shooting kat Johor.”


Aku cuba pura-pura tidak kisah dengan maklumat itu, tetapi di dalam hati sangat bersyukur kerana aku belum bersedia untuk bertemu dengannya.


“Tak nampak pun akak waktu akad nikah tadi?”


“Ni baru sampai. Tadi ada kenduri kat Ipoh.” Aku menggangguk.


Kami mula leka berbual tentang perkembangan terkini diri masing-masing sehinggalah datang seorang wanita separuh usia berpakaian bergaya menyapa kami.


“Kat sini rupanya dia. Puas mummy cari kat dalam.” Kami sama-sama bangun. Kak Hana memegang tangan wanita tersebut. “Ni siapa? Kawan Hana ke?” Soalnya, merujuk kepadaku.


“Mummy, kenalkan...ni Lisa.”


Aku menghulur tangan untuk bersalam dan wanita tersebut menyambut dengan senyuman.


“Auntie Arifah,” dia memperkenalkan diri. “Kawan Hana?” Belum pun sempat aku menjawab, kak Hana lebih pantas memberitahu.


“Mummy, kalau mummy nak tau, inilah menantu tak jadi mummy.”


Usikan kak Hana membuatkan mukaku serentak itu terasa panas lebih-lebih lagi apabila melihatkan senyuman Auntie Arifah semakin lebar.


“Am tak pernah bagitau pun dia ada girlfriend cantik macam ni...”


“Cerita lama, auntie.” Dalam senyum yang terasa dipaksa, aku cuba menamatkan isu tersebut.


“Dah kahwin ke–“


“Mummy!” Auntie Arifah tergelak.


Wajah kak Hana kelihatan serba-salah. Mungkin tidak sangka yang mummynya akan bertanyakan soalan sebegitu walaupun pada mulanya dia yang membuka topik.


“Lisa,”


Kehadiran kak Zara menyelamatkan aku daripada terus berada di dalam situasi yang amat janggal ini.


“Mama cari, diorang nak makan dah...” aku memperkenalkan Kak Zara secara ala-kadar, kemudiannya terus meminta diri.


Tiba di meja makan pengantin, belum sempat aku duduk, Hakimi terlebih dahulu datang mendapatkanku.


“Hilang mana?”Soalnya ringkas.


“Kat bawah khemah...” jawabku, juga ringkas.


“Borak dengan siapa tadi tu?”


Aku pura-puramengeluh.


“Laparlah...makan dulu, boleh?”


Hakimi tergelak. Kami duduk bersebelahan. Hakimi, di luar jangkaanku, mencedokkan nasi dan lauk ke pingganku. Aksinya amat bersahaja. Seperti biasa sangat melakukannya sebelum-sebelum ini. Mama dan Bonda Engku aku lihat sesekali memandang. Aku, walaupun terasa sedikit pelik dengan lakunya, tetap juga melayan, dengan wajah yang cuba diselambakan.


Selesai makan kami duduk di gazebo, melihat beberapa ahli keluarga, saudara mara serta jemputan bertukar tangan memegang mikrofon. Masing-masing sibuk mahu menyumbangkan suara dan mempamer bakat. Aku, Hakimi, kak Zara, abang Zamil, kak Syam, Zairy serta pasangan pengantin baru cuma jadi penyorak sambil tidak henti-henti tergelak apabila lagu yang disumbangkan menjadi sangat sumbang.


“Jom cari air.”Bisik Hakimi di antara lagu.


Tekakku yang sememangnya sudah mula kering akibat asyik menjerit sedari tadi, akur sahaja dengan ajakannya. Kami beriringan ke bawah kanopi tanpa suara.


“Lisa kat sini rupanya...”


Entah dari mana dia muncul, sedar-sedar Auntie Arifah sudah tersenyum lebar di hadapan kami.


“Ni, siapa ni?” Soalnya, merujuk kepada Hakimi.


“Ni Akim,Hakimi...Akim, ni auntie Arifah - ”


“Mummy Idham,kan?”


Tekaan tepat Hakimi membuatkan aku dan auntie Arifah sama-sama terkejut.


“Kita pernah jumpa, auntie. Am dulu satu bilik dengan saya kat ITM.”


Oh, aku terlupa dengan ingatan yang satu itu. Penerangan Hakimi auntie Arifah sambut dengan gelak kecil.


“Laaaa...Hakimi ke? Sorry, auntie tak perasan. Eh, Hakimi dengan Lisa ni...”


Kiranya auntie Arifah sengaja menggantung ayat untuk memberi ruang kami menafsir hubungan kami ketika ini. Aku menelan liur. Jawapan tidak ada padaku jadi aku diamkan sahaja. Mungkin ini peluang terbaik untuk aku dengar sendiri makna hubungan kami dari mulut Hakimi.


“Diorang ni best friend, mummy. Dah macam adik-beradik dah.”


Aku mengetap bibir mendengarkan jawapan dari mulut kak Hana. Memang mereka anak-beranak suka muncul mendadak di satu-satu tempat, agaknya.


“Ooooohhhh...iyeke. Auntie ingatkan...tapi kiranya tak la, ye?” Hakimi tersenyum nipis dan senyuman itu mencalar hatiku. “Tadi waktu makan nampak mesra sangat. Auntie ingatkan adaapa-apa.”


“Takdelah auntie, kitorang ni memang rapat sangat. Akim ni dah macam abang Lisa.”


Jawapan spontan yang keluar dari mulutku mematikan senyuman di bibir Hakimi. Biarlah, kukira giliran hatinya pula yang tercalar.


“Eh, sorry ye auntie. Kami nak hantar air ni. Nanti abang dengan kakak Lisa tunggu pulak. Sorry ye...”


Dengan pamitan itu, aku cepat-cepat melarikan diri ke gazebo. Hakimi mengekori agak jauh di belakang. Wajahnya kelihatan berbeza. Aku tidak mahu menafsir kerana hatiku sendiri agak tersinggung saat ini.

 

 

Sangkaku episod tersebut akan berakhir di situ, rupanya aku tersilap. Entah bila masanya Auntie Arifah berjumpa dengan mama kerana sehingga majlis hampir tamat mereka berdua, Auntie Syahira dan Bonda Engku seronok berbual bawah kanopi. Sesekali kedengaran tawa besar tercetus. Dalam hati, aku berdoa sungguh-sungguh agar tiada kisah cinta lama terungkit semula malam itu.

 

 

Ketika kami mula beransur untuk pulang, belum pun sempat aku menuju ke kereta, lenganku disambar. Aku ditarik ke belakang salah sebatang pokok berhampiran. Nyaris sahaja aku menjerit jika tidak kerana jari Hakimi menekan bibirku.


“Akimlaaa...shhhh...”


Masih sakit hati dengan peristiwa kecil sebentar tadi, aku merentap tangan daripada pegangannya.


“Nak apa?” Tanyaku, agak kasar. Hakimi menyebak rambut. Serentak itu harumannya tiba ke hidungku.


“Marah ke?”


Aku mendengus, sambil itu mata mengelintar melihat sekeliling. Takut juga kalau-kalau kami ditangkap walaupun ada simbahan cahaya dari lampu jalan berhampiran.


“Lisa, Akim ni macam abang je ke?” Soalan Hakimi berjaya mencuri balik perhatianku. Pandanganku kini tepat kepadanya.


“Kenapa? Habis tu nak jadi best friend je ke sampai bila-bila?” Provokku, sedikit menyindir.


Giliran Hakimi pula mendengus. Geram agaknya dia apabila aku sengaja buta memahami soalannya.


“Lisa! Mana pulak perginya budak ni?”


Suara mama singgah ke telinga kami. Aku ambil peluang itu untuk melarikan diri dari situasi ini tetapi tangan Hakimi lebih pantas. Dia kini sudah menggenggam kedua-dua belah lenganku.


Kedudukan pokok yang berhampiran dengan longkang besar menjadikan ruang di antara kami sedikit terbatas dan kini kami sedang saling bertentangan dalam keadaan yang sangat rapat. Rentak nadiku mula bertukar laju. Panas nafas Hakimi datang pergi di dahi.


“Kita bukan best friend...and i’m not your brother. Akim tak nak jadi abang Lisa. Lisa tau Lisa lebih dari tu, kan? Cuma Akim mintak sikit masa...Lisa boleh tunggu?”


Aku menelan liur yang terasa bagaikan tersekat-sekat di hujung kerongkong.


“Lisa! Ya,Allah...mana aje la budak ni? Cuba pergi tengok kat dalam!” Suara mama pecah lagi. 

Perlahan-lahan Hakimi melepaskan pegangannya dan sekaligus menjarakkan diri.


“Pergilah, panik dah mama tu anak kesayangan dia hilang.”


Aku melangkah perlahan melepasinya, menyusup ke pagar belakang. Dia mengikuti, dengan sedikit jarak.


“Akim,” panggilku, sebelum aku masuk ke perkarangan rumah. Hakimi terdongak. “Lisa tunggu.”


Senyum Hakimi mekar mendengarkan ayat itu. Di luar sedarnya, hatiku turut mekar melihatkan senyumannya.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku