Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 60
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
285

Bacaan






...2001...

 

Ahad itu kami sibuk mengemas rumah. Barang-barang yang digunakan ketika majlis bertandang tiga minggu lepas masih bersepah di setiap sudut ruang tamu. Aku, kak Zara dan Zairy membalut satu-persatu dulang dan pahar dengan kertas surat khabar sebelum menyusun baik-baik ke dalam kotak.


Abang Zafri dan Putri telah selamat berangkat ke Australia dua hari lepas. Pemergian Putri membuatkan aku kehilangan salah seorang daripada teman akrab. Aku tidak menyangka yang jodoh Putri adalah abangku sendiri. Betapa indahnya urusan Allah SWT. Betapa mudahnya juga mereka memaknakan hubungan.


Kami sudah mula menyapu dan mengemop lantai ketika mama turun dari bilik. Dia terus duduk di sofa berhampiran. Di tangannya ada telefon. Pasti dia baru selesai menerima atau membuat panggilan.


“Berhentilah sekejap.”  Mama memberikan arahan.


Sepantas itu juga Zairy mencampak penyapu dan melompat ke sebelah mama. Aku dan kak Zara tergelak melihatkan tingkahnya yang sememangnya sedari tadi asyik mengeluh kepenatan.


“Banyak lagi ke? Abah mana?”


“Tinggal nak mop ni aje. Abah tengah susun kotak kat dalam stor. Ma nak minum?”


“Takpe Zara...ni Lisa,” aku tidak jadi mencapai alat kawalan jauh dari atas meja. Perhatianku beralih kepada mama, menanti dia melanjutkan cerita. Kak Zara juga tidak jadi ke dapur. “Auntie Arifah ajak dinner kat rumah dia Sabtu ni.”


Auntie Arifah! Nama itu sejak akhir-akhir ini membuatkan aku merasa sedikit seram-sejuk. Aku tidak suka cara dia memandangku dan cara dia melayaniku. Setiap gerak-gerinya terhadapku bagaikan cuba menyampaikan sesuatu. Sesuatu yang dapat kuagak tetapi takut untuk membayangkan kemungkinan kebenarannya.


“Zara tak boleh, ma. Kan dah bagitau hari tu ada program kat Kedah.” Cepat sahaja kak Zara mengingatkan.


“Takpelah kalau macam tu...kita-kita ajelah yang pergi. Tak sedap pulak orang dah menjemput ni.” Kata-kata mama membuatkan otakku pantas mencari alasan. Aku tidak mahu pergi!


Rasa rimas kerana asyik dihimpit dan diekori oleh wanita itu ketika majlis persandingan di pihak lelaki tempoh hari pun masih belum hilang. Kini mama mahu aku ke rumahnya pula untuk makan-makan. Selebihnya, aku tidak mahu bertemu dengan Am.


“Ma, tak pergi boleh tak?” Aku cuba menolak dalam diplomasi. Namun jegilan mata mama memberikan aku jawapan yang muktamad.

 

 

Kami tiba di rumah auntie Arifah sejurus selepas azan Isyak berkumandang. Tidak suka rmencari rumahnya yang terletak di salah sebuah kawasan perumahan elit di pinggir Kuala Lumpur.


Riuh mulut Auntie Arifah menjemput kami masuk. Aku, dalam pada melangkah, mataku sibuk mengawasi pelusuk rumah, kalau-kalau ada bayang Am di mana-mana. Aduh, bagaimana untuk aku berhadapan dengan dia buat pertama kalinya setelah peristiwa di Alam Sentral yang lepas?


“Jemput –jemput duduk...kejap lagi kita makan ye.”


Kami dipersilakan ke ruang tamu.


“Hana takde...hujung minggu macam ni memang sibuk kat salon dia tu.” Ramah Auntie Arifah memberitahu. Matanya sesekali hinggap ke arahku dengan leretan senyum yang tidak putus-putus.


“Mummy...orang nak keluar dah ni!” Satu suara kedengaran melaung dari tingkat atas.


Ya, aku kenal suara itu. Serentak itu kaki dan tanganku menjadi sejuk. Jantungku pula mula berdebar. Sudah tibakah saat yang aku risaukan itu?


“Sini, kat bawah. Mummy ada tamu ni.”


Aku tahu, itu isyarat Auntie Arifah supaya si pemilik suara datang menemui kami. Aku dengar derap kaki. Langkahnya tidak menghala ke sini, tetapi terus menuju ke muka pintu. Auntie Arifah bingkas, meminta diri seketika.


“Tak boleh! Lambat dah ni...orang kan dah janji dengan Azied!” Ada sedikit ton tinggi disitu.


“Sekejap aje. Jumpalah, kawan mama tu...kamu kalau sehari tak keluar dengan Azied tu tak boleh ke? Mummy mintak malam ni aje.”


Mendengus.


Sunyi seketika. Kemudiannya Auntie Arifah kembali ke ruang tempat kami semua berkumpul dengan senyuman seperti tidak ada apa-apa yang berlaku, mempelawa kami beransur ke ruang makan.


“Lisa?”


Di depan ruang tangga, akhirnya aku bertemu semula dengannya – setelah dua tahun tidak bersua. Dia – Am – kelihatan sangat terkejut manakala aku sedaya yang boleh cuba berlagak selamba.


Malam itu di meja makan, kisah cinta separuh jalan kami timbul kembali. Aku hanya sesekali menyampuk sambil mencuri pandang ke arah Am. Dia nampak sedikit berbeza dari dahulu. Pasti dunia artis banyak mengajarnya cara berpenampilan. Am yang ramah berbual dengan mama dan abah juga sesekali memandangku. Aku tahu, dia juga sedang menilai diriku.


Aku cuma tersenyum apabila mama memberitahu yang dia tidak pernah tahu mengenai hubungan aku dan Am walaupun mereka pernah berjumpa. Aku pasti akan ada episod sambungan di rumah kelak. Aku pujuk-pujuk hati – untuk apa ditakutkan? Beritahu sahaja apa yang telah berlaku. Cerita lama – sudah basi. Kami sekarang masing-masing sudah ada hidup sendiri.


Jam melewati pukul sebelas ketika abah meminta diri. Tidak sempat aku membuka pintu kereta, Auntie Arifah menarikku ke dalam pelukannya.


“Thanks sebab sudi datang rumah, auntie. Nanti datang lagi, ye?”


Otakku terusjadi kosong ketika itu.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku