Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 63
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
343

Bacaan






...2001...

 

Dua hari itu aku habiskan masa berjalan bersama Hakimi. Kami mengelilingi bandar Kuching, bergambar kenangan di tugu-tugu kucing sekitarnya, makan-makan di Kuching Waterfront dan kemudiannya menaiki sampan menyeberangi Sungai Sarawak menjengah Kubu Margherita, membeli-belah di pasar Satok dan tidak ketinggalan juga melawat ke Kampung Budaya Sarawak.


Pelbagai maklumat yang kami terima sepanjang di muzium hidup tersebut. Betapa aku mengagumi keunikkan budaya suku kaum yang terdapat di Bumi Kenyalang ini. Sementara menanti waktu untuk menonton persembahan kebudayaan, kami mengisi perut di kafe. Aku dan Hakimi sama-sama memesan Laksa Sarawak, kononnya untuk menimbulkan lagi semangat Sarawak dalam diri.


“Seronok?” Soal Hakimi.


Aku yang tidak putus-putus menyuap mee hoon berselang-seli kuah sarat berempah itu dengan penuh rasa nikmat, terdongak.


“Comot...” komen Hakimi, sambil menghulurkan tisu, “tapi tetap comel...” tambahnya sekaligus membuatkan selera makanku yang tadinya membuak-buak, bertukar suam-suam kuku.


“Seronok tak?” Dia kembali mengulang soalan.


“Best birthday ever! Ni hadiah paling best.” Jawabku, tanpa berfikir panjang. Aku hanya meluahkan apa yang aku rasa.


“Hadiah mana satu yang best?” Hakimi menyoal lagi. Aku memandang wajahnya dengan kerutan di dahi. “Hadiah jalan-jalan ke, atau hadiah orang yang meneman jalan-jalan?”


Senyumku jadi lebar mendengarkan soalan Hakimi. Entah berapa lama agaknya dia merangka ayat untuk membentuk kata soal semanis itu.


“Dua-dua pun best...tapi, yang hadiah orang buat peneman jalan-jalan tu, hadiah paling suprise.” Konklukisiku, sekaligus mencerahkan jawapan. Kiranya dia berpuas hati dengan jawapanku, kerana dalam kulum senyum, dia menyambung menyuap makanan yang sudah hilang panas.


Pulang dari Perkampungan Budaya Sarawak, kami merayau menyusuri kaki lima dari hotel Habour View ke pelbagai jenis kedai menjual cenderahati untuk membeli sedikit ole-ole buat kenangan.


Kami keluar masuk kedai dan Hakimi setia menemani aku memilih pua kumbu, barangan perhiasan yang diperbuat daripada manik-manik yang bewarna-warni, pemegang kunci, magnet peti sejuk, kain batik Sarawak dan juga beberapa helai t-shirt.


Selesai membuat pembayaran, ketika kami beriringan untuk keluar dari kedai, tiba-tiba langkah Hakimi terhenti. Kiranya ada sesuatu yang telah menarik pandangannya.


“Mana cantik?” Tanyanya, dengan kedua belah tangan terangkat ke paras telinga. Terselit di antara jari telunjuk dan ibu jarinya, ada dua bentuk cincin manik. “Cepatlah...pilih, yang mana cantik?” Desaknya.


Aku yang sudah kepenatan, memilih hanya sambil lewa kerana pada pandanganku, kedua-duanya pun menarik cuma yang bewarna merah-kuning-hitam itu lebih menangkap perhatianku.


“Nak bagi siapa?”


“Special...” balasnya sedikit berbisik. Aku mencebik bibir.


“Bondalah tu...”


“Taklah...dia punya special bawah dari bonda. Eh, kejap eh, Akim pergi bayar.” Aku hanya memandang susuk tubuhnya yang bergegas-gegas masuk semula ke dalam kedai. Mungkin kerana kepenatan, soal cincin yang sebentuk itu hilang di situ juga.

 

Bersama Hakimi Jumaat dan Sabtu itu bagaikan tidak terasa. Sedar-sedar Ahad sudah tiba, dan aku harus pulang ke Kuala Lumpur. Pagi itu Abang Zamil sekeluarga dan Hakimi menghantarku ke lapangan terbang. Rasa teruja untuk pulang menemui mama dan abah hanya tinggal separuh-separuh.

 

 

Selesai mendaftar masuk dan menghantar beg-beg besar, Abang Zamil meninggalkan aku dan Hakimi seketika untuk melayan kerenah anak-anaknya yang mahu membeli coklat.


Tiba-tiba sepi antara kami. Aku belum pun lagi meninggalkannya di sini tetapi hatiku sudahpun merasa kosong.


“Bila balik KL?” Tanyaku.


“Kenapa? Dah rindu ye?” Usikannya membuatkan wajahku jadi hangat. “Insya Allah Rabu. Nanti kita keluar celebrate birthday Lisa, ok?”


“Eh, kan dah belanja macam-macam kat sini...cukuplah.”


“Tak sama...sini lain..sana lain...” baru sahaja aku membuka mulut untuk membalas kata-katanya, abang Zamil sudah kembali ke sisi sambil melihat jam di tangan.


“Jom...dah boleh masuk dah.” Abang Zamil mencapai bag sandangku. Belum sempat dia berpaling, aku terdengar suara Hakimi.


“Zamil, mintak lima minit, boleh?” Abang Zamil memandangku, kemudian memandang kembali kepada Hakimi.


“Sepuluh minit...abang tunggu kat gate.”


Dengan kata-kata itu, abang Zamil berlalu pergi.


Aku bangkit dari kerusi dan ketika itu juga tanganku ditarik lembut. Hakimi, dalam senyum yang sangat indah, sedang meletakkan sebentuk cincin manik tiga warna yang dibelinya di salah sebuah kedai menjual cenderahati semalam ke tapak tanganku. Sungguh! Aku benar-benar terpana dengan situasi itu.


“Anggap ini cincin tanda dari Akim...Insya Allah, nanti Akim bincang dengan bonda untuk step seterusnya, ok?”


Aku yang masih tergamam hanya mampu memandang wajahnya dalam genang airmata. Hatiku saat itu dipenuhi tujuh warna pelangi.


“Jari manis ni,” Akim menyentuh lembut jari manis kiriku, “takde cincin lain yang akan duduk kat situ. Kecuali cincin Akim, Insya Allah...ini janji Akim.”


Dan aku terus teresak. Kami ada bertahun-tahun dan dia memilih waktu sesingkat ini, seperti ini untuk meletak janji? Telefon di dalam poket track top’ku bergetar. Aku tahu, itu panggilan daripada abang Zamil. Masa kecemasan sepuluh minit yang diberikannya sudah pun tamat. Aku kesat airmata dengan tisu yang Hakimi hulurkan.


“Jom, nanti dah sampai KL jangan lupa call, tau!”


Dan seperti Hakimi yang selalu, dia mengiringiku ke pagar balai perlepasan dengan wajah yang selamba. Seperti tidak ada adegan jiwang-jiwang yang baru berlaku sebentar tadi. Aduhai Hakimi, sampai bila agaknya aku akan betul-betul dapat memahami sikapmu?





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku