Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 64
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
382

Bacaan






...2001...

 

Tiba di lapangan terbang aku terus bergegas mencari teksi. Abah menghubungiku pagi tadi sebelum bertolak keluar dari rumah abang Zamil, memaklumkan yang dia tidak dapat menjemputku kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan. Sempat juga abah berpesan supaya aku tidak melencong ke mana-mana dan terus pulang ke rumah. Rindu agaknya dia. Memandangkan barang-barangku tidak banyak, aku tidak kisah untuk menaiki teksi.


Di depan pagar rumah, ketika aku sedang sibuk memunggah beg keluar dari bonet, telefon bimbitku berbunyi. Tanpa perlu meneka, aku pasti yang panggilan itu datangnya dari Hakimi. Sambil menyandar di tembok luar rumah, bermain dengan ‘cincin ikat’ pemberian Hakimi, aku menjawab panggilan daripada pemuda yang sudahpun aku mula rindui itu.


Aku tergelak kecil mendengarkan soalan bertalu-talu daripada Hakimi. Sambil itu aku mengingatkan dia; sepatutnya aku yang menghubunginya setelah semua perkara di rumah selesai. Hakimi mengiakan, juga dengan gelak-gelak. Aku terpaksa memutuskan talian apabila mama sudah berdiri di depan pintu pagar dengan pandangan kurang senang.


“Kenapa lambat?” Soalan pertama mama ketika aku menyalami tangannya. Aku jawab dengan senyuman sambil mata menjeling ke arah dua buah kereta mewah yang cantik terletak di halaman.


“Kereta siapa,ma? Siapa datang?” Mama tidak membalas. Dia menarik tanganku ke dalam rumah meninggalkan beg-beg di depan pagar.


Melepasi pintu utama langkahku terhenti. Kiranya kehadiranku menarik perhatian banyak mata. Di ruang tamu duduk sekumpulan kecil tetamu lelaki dan perempuan. Setiap seorangnya cantik berbaju kurung dan berbaju melayu.


Yang membuat hatiku tiba-tiba disambar rasa debar adalah gubahan indah sirih junjung di tengah meja. Di sekelilingnya pula terdapat beberapa dulang lain – juga bergubah cantik – yang mana salah satunya, aku amat pasti berisi kotak cincin. Merisik Kak Zara’kah?


“Haaahhhhh..sampai dah pun tuan punya badannya!!!”


Dan ayat itu membuatkan debar dadaku bertambah merusuh. Satu susuk wanita datang menghampiriku dengan senyum di wajah. Ya, aku kenal dia! Tapi, semua ini?


Ya, Allah, kakiku terasa seakan tidak lagi berpijak di lantai. Tangan mama yang masih berdiri di sebelahku, aku genggam kuat-kuat.


“Ingat auntie lagi tak?” Tanya wanita itu sambil mendakap tubuhku. Teragak-agak aku membalas.


Auntie Arifah – ibu Am. Tetapi, apa semua ini?


“Jom, jom duduk dengan auntie.” Aku yang masih terpinga-pinga, hanya menurut tanpa banyak soal.


Auntie Arifah tidak memerlukan masa yang lama untuk meneruskan segalanya. Sambil menggenggam erat tanganku, dia memandang mama dan abah.


“Dah alang-alang tuan punya badan ada kat sini, saya nak mintak izin abang dengan akak, nak tanya dia sendiri, boleh?”


Aku turut mengalih pandangan ke arah mama dan abah yang sedang mengangguk, dengan fikiran yang kosong. Aku menagih banyak penjelasan daripada mereka berdua tetapi mulutku seakan terkunci.


“Lisa, auntie nak risik Lisa ni, untuk Am. Auntie harap Lisa terima.”


Saat itu aku tertunduk. Bahasaku hilang semuanya. Aku lupa cara berbicara. Aku cuma ingat yang aku menelan liur banyak kali sambil kepala masih cuba menghadam situasi yang sedang berlaku.


“Haaahhh..tu senyap tu kira setuju la tu...” dalam keadaan terbang-terbang, aku dengar satu suara mengusik. Ada gelak bersambut di hujungnya.


“Alhamdulillah...”


Sedar-sedar, Auntie Arifah sudah mencapai tangan kiriku – memegangnya – cuba menyarungkan sebentuk cincin belah rotan ke jari manisku.


Ketika itulah aku tersedar. Di luar kawalanku, aku menarik tanganku. Cincin tersebut jatuh ke ribaku.


Auntie Arifah terkejut. Mama dan abah terkejut. Tetamu yang ada pun turut terkejut. Mereka semua tidak tahu yang sistem tubuhku juga sedang mengalami kejutan dengan apa yang berlaku ketika ini.


Perlahan-lahan aku menarik nafas, mengumpul kembali diri. Cincin di peha aku ambil dan aku letak semula ke dalam tapak tangan Auntie Arifah yang sedang merenungku tidak berkelip.


“Lisa mintak maaf, auntie. Boleh tak Lisa mintak sikit masa?”


Sunyi – tiadajawapan.


“Lisa nak mintak masa untuk fikir. Lagipun ni masa depan Lisa, kan?” Perlahan aku berdiplomasi walaupun aku tahu aku sudah ada jawapan yang pasti.


“Takpe-takpe...” akhirnya Auntie Arifah bersuara, sekaligus mengendurkan rasa tegang di ruang tamu.


Aku dengar ada hela lega dari mulut mama dan abah. Aku tidak berniat untuk berkurang ajar tetapi apa yang berlaku sebentar tadi memang di luar sedarku.


“Lisa ambillah masa untuk fikir. Seminggu ke, dua minggu ke...tapi, jangan lama sangat.” Balasnya dalam senyum yang sangat lembut. Aku jadi senang dengan senyuman itu. “Cincin ni, Lisa simpan dulu. Jadi tak jadi, Lisa anggap aje ni hadiah daripada auntie, ye?”


Cincin belah rotan bertukar tangan. Tidak mahu mengeruhkan keadaan, aku membiarkan sahaja Auntie Arifah meletakkan cincin tersebut ke dalam genggamanku. Aduh, sudah diwartakankah hari ini sebagai ‘Hari Terima Cincin Sedunia’?

 

 

Petang itu,setelah tetamu pulang dan selesai solat Asar, aku turun ke ruang makan. Di situ aku temukan mama dan abah sedang berbincang dengan wajah yang serius. Aku tahu apa topiknya. Perlahan-lahan aku menghampiri mereka berdua.


“Ma, abah,”panggilku.


Mereka serentak tertoleh. Tidak ada riak kemarahan. Mama cepat sahaja tersenyum. Aku ambil kesempatan itu dengan mencapai tangannya dan mencium lama-lama, kemudiannya aku melakukan yang sama pada abah.


“Lisa mintak maaf. Lisa tau Lisa dah lukakan hati ma dengan abah. Lisa tak sengaja.” Aku mula menangis ketika menuturkan ayat itu. Mama menarik kerusi, mengajak aku duduk di antara mereka.


“Kami pun nak mintak maaf sebab tak bagitau Lisa. Auntie Arifah telefon malam tadi kata nak datang.” Aku hanya diam. Membiarkan mama dan abah memberi pencerahan.


“Lisa, kami ni bukan apa, kami risaukan Lisa. Kami bukan makin muda. Kalau jadi apa-apa, ma takut Lisa takde orang nak jaga.”


Penjelasan mama hanya membuatkan airmataku mengalir semakin laju. Nampaknya dalam diam mama dan abah, mereka banyak memikirkan tentang diriku. Aku ditimpa perasaan bersalah yang semakin dalam.


“Ma takut...” ayat mama putus seketika. Matanya mengelintar ke ruang tangga. Kemudiannya separuh berbisik dia menyambung; “...Lisa jadi macam kak Zara. Cukuplah sorang, tak kuat hati ma nak tengok dua-dua anak perempuan ma jadi macam tu...”


Ya, Allah! Sebak hatiku semakin pecah. Tiba-tiba ingatanku lari ke Hakimi. Haruskah aku memberitahu mama dan abah tentang kata janji Hakimi ketika di Lapangan Terbang Kuching pagi tadi? Haruskah juga aku memberitahu tentang ‘cincin ikat’ pemberian Hakimi? Aku tidak tahu. Aku buntu.


“Lisa dengan Hakimi ni, sebenarnya macam mana?” Akhirnya abah terlebih dahulu menimbulkan isu tersebut.


“Entah, Lisa tak tau nak cakap macam mana.” Jawabku, jujur. “Tapi, Lisa sayang dia...” perlahan aku mengaku. Kiranya masanya telah tiba untuk aku berterus-terang.


“Macam ni lah, Lisa. Cuba bincang dengan Hakimi baik-baik. Lagipun korang lama sangat dah berkawan, kalau betul dia sayangkan Lisa, masa nilah dia nak buktikan. Ajak dia bincang. Jangan tangguh-tangguh. Tak elok biar orang tertunggu tanpa jawapan.”


Aku angguk dengan kata-kata abah yang penuh timbang-tara. Tapi Hakimi, apa sudahnya kita?





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku