Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 68
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
331

Bacaan






...2002...

 

Hari sebelum majlis berbaki hanya tidak sampai sebulan. Cenderahati yang akan diedarkan kepada tetamu sudah diterima semalam. Baju yang direka dan dijahit sendiri oleh kak Zara juga sudah siap, tetapi hatiku masih terapung – rasa kosongnya sangat luar biasa.


Aku akan menjadi tunangan dan kemudiannya isteri kepada Am. Betulkah keputusan yang telah kulakukan? Mampukah aku memberi cinta seperti mana yang pernah kulakukan dahulu sedangkan dia pernah melukai?


Bercerita mengenai Am, aku jadi keliru. Sejak aku dirisik oleh ibunya, hanya dua kali kami berjumpa – sekali sewaktu menempah baju dan sekali lagi sewaktu dia menemani ibunya menghantar barang ke rumah. Selebihnya dia seperti tidak wujud – tiada panggilan telefon dan juga tiada pesanan ringkas. Ini membuatkan aku sering tertanya sendiri – adakah dia benar-benar bersungguh ataupun semua ini hanya rancangan ibunya sahaja.


“Lisa, menungapa tu?” Aku tersentak.


Abah melabuhkan punggungnya di sofa bersetentang denganku. Tangannya mencapai akhbar harian di atas meja.


“Bila nak beli barang-barang hantaran? Jangan tunggu last minute baru kelam-kabut.”


Abah - selama ini hanya diam dan memerhati, dan apabila hari ini dia bersuara maknanya ketara nampak ketidaksungguhanku dalam menyediakan kelengkapan majlis.


“Semalam abah dah bank-in seribu, gunalah beli apa yang patut. Tak cukup bagitau.”


Nada suara abah biasa-biasa sahaja. Aku tidak dapat menafsir reaksinya kerana wajah abah terlindung di balik suratkhabar.


“Thanks, abah...” balasku perlahan, “Lisa nak naik...” dan meminta diri.


“Ajak Kak Zara teman pergi beli barang...ajak Am sekali.”


Sempat kutangkap suara abah sebelum aku mula melangkah, dan aku iyakan sahaja dengan perasaan separuh-separuh.


Naik ke bilik, aku mencari telefon. Aku dail nombor Am – lama tidak berjawab. Sedang aku berkira untuk mematikan talian, suaranya menyambut di sebelah sana.

 
“Kenapa?” Soalan pertamanya setelah menjawab salam. Ayatku terus simpang-peranang. Hatiku tercuit dengan soalannya lebih-lebih lagi apabila nada suaranya kedengaran sangat acuh-tak-acuh.


“Awak free tak esok? Saya nak beli barang untuk hantaran kita...” diam. Aku menggaru kepala.Tertidur agaknya dia?


“Awak pergi sorang tak boleh ke? Nak beli apa je pun?”


Lama baru dia menjawab dan jawapannnya tidak seperti yang aku harapkan. Aku mendengus luar sedar. Geram mendengarkan kata-katanya.


“Nak beli barang untuk hantaran kita...” ulangku tapi kali ini aku tekankan dalam-dalam perkataan ‘kita’. “Sekejap aje...” pujukku. Kalau tidak kerana abah sudah bersuara, mungkin aku tidak akan mendesak begini.


“Iyelah..iyelah...pukul berapa? Kat mana?” Dia masih begitu, dengan nada yang amat menjengkelkan.


Aku jadi sakit hati, rasa sangat terhengeh-hengeh sedangkan ibunya yang bersungguh mahu aku menerima dia sebagai pasangan hidupku.


Tanpa berfikir panjang aku menetapkan masa dan tempat. Malas untuk terus meleret cerita dengan orang yang seakan tidak punya masa dengan harapan tidak ada janji yang akan dimungkiri esok.

 

 

Aku menghenyak beg-beg plastik dan kertas ke atas meja sebelum menghempas tubuh ke kerusi.Terasa sungguh lelah membeli-belah, ditambah pula dengan rasa geram yang terpendam. Ruang restoran yang agak penuh membuatkan fikiranku semakin berserabut.


“Sudahlah tu.”


Pujuk Kak Zara setelah pelayan restoran berlalu dengan pesanan kami. Aku hanya membalas dengan jelingan tajam.


“Tak payah nak mogok-mogok depan akak. Marah kat orang lain, orang lain yang kena tempias.” Luahnya, tidak puas hati melihat aku menjerut muka.


“Sorry la kak. Geram betul Lisa. Sejam aje dia nak keluar shopping. Dia ingat beli barang dapur kat kedai runcit ke apa? Dah tau janji dengan Lisa, yang dia pergi janji dengan orang lain jugak buat apa?” Omelku, dalam marah yang tertahan.


Sedaya mungkin aku cuba mengawal emosi lebih-lebih lagi di hadapan Kak Zara yang telah berkorban masa dan tenaga menemaniku membeli-belah hampir seharian.


Sambil menyedut air, hatiku tidak putus-putus memaki-hamun Am. Kiranya telah aku tikam dia di dalam fikiranku berulang-kali. Masih terbayang bagaimana resahnya dia ketika kami sibuk memilih barang. Matanya tidak lepas dari memandang jam di tangan dan telefon bimbit. Sudahlah dia tiba lewat hampir satu jam dari masa yang dijanjikan. Waktu yang ada seperti tidak dihargai malah dia sibuk menekan aku dan Kak Zara supaya cepat. Katanya ada janji yang lebih penting satu jam lagi.


“Apa lagi yang tak beli?” Soalan Kak Zara mematikan khayalku.


Aku menyeluk beg silang – mencari senarai barang yang perlu dibeli dan entah di mana silapnya, aku terlepaskan talinya dan semua isi begku kini bertaburan ke atas lantai.


Belum sempat aku bingkas, datang sesusuk tubuh membantuku. Harumannya menyapa hidungku -menghantar satu bentuk rasa tenang. Bau yang menghilangkan segala beban yang duduk di dalam kepalaku. Bau yang sangat biasa. Ketika dia meletakkan barang-barangku ke atas meja, mata kami berpandangan. Mulutku terkunci dan aku terasa di awangan. Saat itulah aku terdengar suara Kak Zara menyebut namanya.


“Hakimi.”


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku