Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 72
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
903

Bacaan






...2002...

 

Aku baru sahaja berkira-kira hendak meluruskan pinggang di atas katil ketika pintu bilikku diketuk secara berirama.


“Masuklah...takkunci pun.”


Kepenatan menyudahkan sentuhan terakhir pada hantaran-hantaran yang sudah memang kelihatan cantik membuatkan aku yang sedang duduk membelakangkan pintu, malas untuk menoleh. Pasti mama ataupun kak Zara.


“Teka siapa?” Satu suara seakan dibuat-buat menjadi garau menyapa dari belakang serentak dengan tekupan tapak tangan pada kedua belah mataku.


“Alahhhhh...malas la nak teka-teka. Akak kan?” Balasku, tidak berminat melayan permainan. Suara di belakang sedikit mengeluh.


“Salah. Teka lagi. Bagi clue sikit...orang dia comel-comel, manja-manja. Bukan anak raja tapi orang tetap panggil - ”


“PUTRI!!!!”


Suara Putri mengelekek mendengarkan jawapanku. Aku yang sangat-sangat terkejut dengan kehadiran yang tidak diduga itu spontan memeluknya. Lama kami begitu, sebelum kembali duduk di birai katil.


“Bila sampai ni? Kenapa tak bagitau. Dah lah email pun tak balas. Sombong ye orang tu sekarang...”


Putri tergelak lagi. Dia kelihatan semakin manis walaupun sedikit berisi. Pastinya dia senang hati dengan kehidupannya sekarang.


“Mana ada sombong. Sibuklah kat sana. Ni pun baru habis test ni.”


Lembut dia membalas, sambil tangannya masih menggenggam jari-jariku. Matanya merayap ke segenap wajahku, seakan cuba memahami setiap inci lekuk duka yang ada.


“Bila sampai?” Sekali lagi aku menyoal apabila melihatkan matanya tiba-tiba jadi basah. Ah,Putri, pasti dia sudah menghidu bau kesedihan yang aku sedang sedaya-upaya sorokkan.


“Kitorang dari Brunei ni. Dah tiga hari kat sana. Pergi jumpa mummy.”
            

“Hari tu kata tak dapat balik. Tipu tau...” Putri tergelak lagi.


“Tak berani janji hari tu...tapi ni kan dah ada.”


Putri masih lagi merenungku. Pandangannya lembut tetapi tajam. Banyak soalan aku baca dari redup matanya tetapi aku tidak mampu untuk memberikan jawapan.


Akhirnya kami kembali berpelukan, Cuma kali ini aku menangis, sungguh-sungguh di bahunya, seakan melerai beban yang tersimpan dalam diri.


“Lisa dah fikir masak-masak ke?”


Itu soalan pertama Putri setelah pelukan aku leraikan. Aku menyapu mata yang masih basah lambat-lambat – berkira-kira sama ada untuk mengangguk ataupun menggeleng.


“Kimi?”


Esakanku pecah semula. Kiranya janjiku untuk tidak lagi menangis kerana Hakimi termungkir juga di depan Putri.


“Dia tinggalkan Lisa...dia tinggalkan Lisa. Pergi macam tu aje. Dia biarkan Lisa  tanggung semua ni sorang-sorang.” Aduku dalam suara terputus-putus.


Putri mengusap lembut bahuku, seakan memujuk. Pastilah dia tahu betapa sakitnya aku sekarang kerana dia pernah menjadi sebahagian daripada cerita hubungan kami yang tidak bernama.


Sedar tidak sedar hampir setengah jam Putri melayan aku melepaskan perasaan melalui airmata tanpa cerita. Dia yang sangat memahami tidak lagi mengajukan apa-apa soalan. Kami cuma sama-sama berbaring - bersebelahan, menghadap siling.


“Jom keluar, jom. Kita cari makan manis-manis. Cari kek nak?”


Akhirnya aku mengalah, malas untuk terus berlanjutan dilarut emosi sedangkan Hakimi memang tidak mahu kembali.


Putri turut bingkas, membetulkan tudung yang sudah senget di kepala. Kami saling berpandangan, dengan mata yang sama-sama bengkak, dan kemudiannya tertawa.


“Kita makan aiskrim sekali.” Usulnya, menambah dalam senyum yang sangat lebar. “Jom, siaplah, takkan nak pakai kaftan aje kot?”


Aku cepat-cepat mencapai sehelai blouse dan jeans yang tersangkut di belakang pintu, masuk ke bilik air untuk menukar pakaian. Mata yang sembab kami tutup dengan bedak,dalam diam berdoa agar tidak ada sesiapa yang perasan.


Kami tiba didapur ketika ahli keluarga yang lain sedang mahu mula menikmati minum petang. Bau goreng pisang memenuhi ruang dapur.


“Hah, baru turun? Kalau dah jumpa...memang dah tak ingat apa dah.” Usik abang Zafri. Aku terus sahaja memeluknya.


“Rinduuuuuu...” ucapku dalam nada yang sengaja aku leretkan. “Eh, ni naik berapa kg dah ni?”Giliran aku pula untuk mengusik sambil mencucuk-cucuk perutnya yang timbul. Mama dan abah tergelak melihatkan tingkah kami.


“Takpe...gemuk tu tandanya senang hati...kan, mama?” Abang Zafri yang selalu tidak mahu kalah selamba menjawab. Dia mengambil tempat di meja makan dan mencapai jemput-jemput udang.


“Eh, ni nak pergi mana ni?” Mama yang baru tersedar yang aku sudah siap bertudung, bertanya dengan dahi berkerut.


“Nak keluar kejap. Dengan Putri...eh, kak Putri.” Jawabku sambil menjamah sedikit hidangan yang sudah terhidang.


“Pergi mana?” Mama masih lagi menyoal.


Wajahnya penuh rasa tidak puas hati. Mungkin dia tidak mahu aku keluar ketika majlis pertunanganku semakin hampir.


“Nak pergi makan kek. Kak Putri nak belanja, kan?” Aku memandang Putri yang hanya menjungkit bahu. Aku jadi geram tiba-tiba kerana dia seperti tidak membantu aku dalam proses memujuk mama.


“Naik apa?” Soalan mama terus bersambung.


Aku lihat Putri sudah mula melabuh punggung di sisi abang Zafri. Mungkin faham yang mama tidak akan memberi kebenaran. Aku menghantar isyarat mata kepadanya untuk sama-sama bersuara tetapi dia hanya membalas dengan gelengan kecil.


“Kak Putri drive la - ”


“Hahhhh? Tak payah – tak payah!”


“Ala mama, sekejap aje. Nak release tension, ma. Please.” Mama terdiam. Dia bertukar pandang seketika dengan abah, kemudiannya Putri. Aku lihat sengih Putri semakin lebar.


“Belum bagitau lagi...tak sempat.” Aku memandang ke arah Putri yang masih menyeringai. Beritahu apa? Apa yang tidak sempat?


“Habis tu punya lama korang kat atas, borak apa?” Giliran abang Zafri pula menyoal. Aku jadi semakin rimas dengan sesi soal-jawab yang semakin meleret-leret ini.


“Ni cerita apani?” Asakku, mula tidak sabar apabila terasa yang aku seakan tertinggal sesuatu. Mama dan abah mula berkongsi senyum. Begitu juga abang Zafri.


“Keluarlah, tapi biar abang kamu yang drive.” Akhirnya abah bersuara, memberikan keizinan bersyarat.


“Alahhhhh...kalau abang ada susahlah nak cerita-cerita.” Bangkangku, tidak setuju.


Di dalam kepalaku sudah tersusun bermacam bentuk cerita yang ingin kukongsikan bersama Putri, termasuklah mengenai pemanggil misteri yang asyik menganggu.


“Abang hantar ajelah, nanti dah habis makan, call, abang jemput.”


Cadangan abang Zafri masih tidak dapat memenuhi rasa tidak puas hatiku. Kenapa sukar sangat untuk aku mendapat keizinan keluar hari ini? Dan yang peliknya, aku merasakanyang ketidakizinan itu lebih memberat kepada Putri, bukan kepadaku.


“Tak elok Putri nak drive time-time macam ni. Awal sangat lagi. Kesian kat baby. Biar abang yang drive, ye Putri.”


Aku terdiam mencerna kata-kata abah. Mulutku yang sudah separuh terbuka kehilangan suara. Baby? Ya, Allah! Aku terjerit luar kawal, mendapatkan Putri dan memeluknya erat-erat.


“Kenapa tak bagitau? Berapa bulan dah?” Tanyaku sambil mencuit hidungnya.


“Ingat nak cakap waktu makan nanti. Baru nak masuk dua bulan.” Balas Putri dengan wajah yang merona merah. Hilang seketika masalah yang terbelit di ruang kepalaku apabila menerima berita segembira ini. 


Patutlah aku lihat dia agak berisi, rupanya memang sudah ada isi!





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku