Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 76
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Jun 2017
Tengku Hazqeel Hakimi sukakan Izara Marleesa. Izara Marleesa pun sukakan Tengku Hazqeel Hakimi. Tapi kenapa susah sangat hubungan sejak dari alam persekolahan ini untuk dikategorikan?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
226

Bacaan






...2008...

 

Lima tahun sudah berlalu. Lima tahun tanpa Hakimi dan hari ini juga kali kelima aku menyambut ulangtahunnya tanpa dia di sisi. Aku gagal membencinya kerana walaupun dia telah membuat luka dalam hatiku, tetapi dia tetap pernah membahagiakanku.


Lamaran datang dan pergi. Mama dan abah tidak pernah memaksa. Adik-beradik semua memahami. Tipulah sekiranya aku katakan yang aku tidak merasa sepi. Apatah lagi dikelilingi teman-teman sebaya yang sudah berkeluarga.


Putri dan abang Zafri bakal menimang cahaya mata yang kedua. Dania pula baru sahaja selamat menjadi ibu manakala Afira akan melangsungkan perkahwinannya hujung tahun ini. Aku? Masih menunggu, menunggu seorang manusia bernama Hakimi. Dia yang telah menyimpan hatiku dan aku tidak tahu telah ke mana dia buang kuncinya.


Aku kembali merenung skrin komputer sambil jari bermain dengan cincin manik pemberian Hakimi yang kujadikan buah rantai. Papan kekunci aku ketuk-ketuk dengan rasa tanpa hala tuju. Skrin-saver berpusing-pusing, bertukar warna, bersilih ganti gambar keluarga dan Hakimi.


Ah, kiranya aku memang hidup di dalam penjara rindu terhadap Hakimi. Sedang buat apakah dia? Di manakah dia? Dan yang paling menjerut hatiku; sudah berpunyakah dia?


“Lis, ni mock-up yang you nak tu. Nanti you habis tengok, letak aje atas meja I. I ada meeting sampai petang.” Bersepah lamunanku. Cepat-cepat aku fokuskan diri pada Intan yang sedang tersenyum di tepi meja.


“Ok. Thanks.” Aku capai mock-up dari tangan Intan.


“Menung ajer...ingat dia ye?”


Intan yang serba-sedikit tahu kisahku dengan Hakimi menyerkap. Mungkin air mukaku memang amat senang untuk dibaca. Keruhnya tidak terselindung.


“Hari ni birthday dia...” ucapku perlahan. Intan menyentuh bahuku.


“Sorry...tapikan Lis, I rasa you should move on la...dah lima tahun kan? Entah-entah, dia dah ada anak lima...” Serentak itu juga aku tergelak.


“Mak aiii...lima tahun lima anak? Kesian isteri dia...”


Intan menyeringai mendengar kata balasku.


“Tapi...kalau betul dia dah ada isteri, dah ada keluarga, kenapa dia masih kirim hadiah setiap kali birthday aku tiba? 5 tahun dia hilang, 5 tahun jugak dia tak pernah lupa hantar kad dengan hadiah kat aku...”


Perlahan ingatanku terhadap Hakimi kembali menggebu. Itulah salah satu dari sebab kenapa aku sanggup menunggu. Hadiah-hadiah harijadi yang tidak pernah putus daripada Hakimi. Parcel-parcel yang dikirimkan ke rumah dan pejabatku - membuat dia makin dekat denganku – jam tangan, kain; yang kemudiannya kutempah menjadi baju kurung, gelang tangan, potret gambarku dan tahun ini aku menerima sebuah buku gambar kami berdua sejak dari zaman sekolah sehingga ke percutian kami di Kuching.


“Hei...sempat dia sambung menung tu!”


Aku terpisat, kemudiannya mengulum senyum. Betapa mudahnya aku hanyut dengan ingatan-ingatan terhadap Hakimi. Intan menggeleng melihatkan sikapku.


“I nak pergi dah ni. You kalau nak apa-apa, you cari aje atas meja I. Design yang latest ada dalam komputer. You cari dalam folder biasa.” Aku angguk. “Jangan asyik dikenang orang yang jauh...” guraunya, mengenyit mata dan berlalu. Ah, Intan, kiranya kau tidak berada di tempatku.


Sejurus Intan berlalu, aku menyambung kembali kerja yang terbengkalai. Belum pun sempat selesai satu muka, telefon di mejaku menjerit.


“Ya, kak Da...” sapaku setelah memberi salam.


“Ada parcel...eh, birthday Lisa dah lepas kan?” Kak Da, penyambut tetamu pejabat; yang selama ini menjadi penerima setia parcel-parcelku bertanya. Terkerut dahiku. Parcel? Daripada diakah? Untuk acara apa?


Dengan soalan-soalan itu aku turun juga ke tingkat bawah – ke meja hadapan lebih tepatnya. Di situ kak Da sudah menunggu dengan senyum lebar. Ada kotak berbalut kertas coklat di tangannya.


“Nah...secreta dmirer awak bagi.” Usiknya sambil menghulur bungkusan Aku sambut dengan hati sedikit berdebar.


Aku goncang-goncang kotak tersebut – agak ringan.


“Orang biasa ke yang hantar?” Aku menyoal kak Da, merujuk kepada budak penghantar yang sering singgah ke pejabat menyampaikan kiriman daripada Hakimi. Cuma yang bezanya kali ini kotaknya kotak biasa. Bukan kotak dari syarikat kurier yang selaluku terima.


“Tak...yang ni special delivery...orang tu la cakap. Hensem -“

“Tinggi-tinggi? Kulit cerah? Kurus? Rambut panjang-panjang?” Tekaku tidak sabar. Kemudiannya sedikit hampa apabila melihat kak Da menggeleng.


“Tinggi, tapi badan sedap-sedap macam tu..rambut tak panjang – tak pendek sangat pun...kulit takdelah cerah sangat...” gambaran kak Da membuatkan aku mengeluh. Bukan dia juga rupanya.


“Bukalah...” gesa kak Da. Nampaknya dia juga teruja sepertiku, lebih-lebih lagi kiriman ini tiba bukan pada tarikh yang biasa.


Perlahan-lahan aku tarik pita pelekat, merungkai pembalut. Ada kotak empat segi tepat di situ. Hati-hati, aku membuka penutupnya dan mataku cepat sahaja membulat – telefon bimbit jenama terkini!


Tidak sempat aku membelek dengan lebih lanjut, tiba-tiba telefon di dalam kotak itu berbunyi. Aku dan kak Da sama-sama terkejut. Dengan perasaan bercampur-baur aku mengeluarkannya dan menekan skrin.


“Assalamualaikum...” suara itu! Suara Hakimi!


Mataku tiba-tiba jadi hangat. Suara yang lima tahun aku rindui akhirnya berada di hujung telinga. Suara yang masih mengundang getar dalam hatiku.


“Wa’alaikumsalam, Akim...” jawabku sambil menarik diri dari riuh meja penyambut tetamu.


Aku dengar gelak halus di talian sebelah. Bagai ada satu irama aneh datang bersama gelak itu. Aneh tapi mendamaikan.


“Kenal lagi ye?” Aku gigit bibir. Mana mungkin aku lupa manusia seperti dia?


“Kat mana ni? Sihat?” Pelbagai bentuk soalan mengasak dalam fikiranku. Seakan berlumba untuk keluar, untuk kulontarkan pada dia, tetapi aku pujuk akal supaya tidak gelojoh.


“Ada dekat-dekat sini.”


Aku mengelintari sekeliling. Entah mengapa, sememangnya aku terasa sangat dekat dengannya. Tapi aku tetap mahu melihat bayangnya, susuk tubuhnya.


“Boleh kita jumpa? Hari ni?” Ajakan spontan Hakimi membuat debar dadaku semakin menggila. Ah, betapa kebetulannya pula kerana aku sedang menyarung kain kurung pemberiannya.


“Lepas time kerja boleh?” Dan kami pun membuat janji.

Kembali ke meja kerjaku, aku hilang kosentrasi. Aku mencapai telefon dan menghubungi mama, memaklumkan tentang rancanganku untuk bertemu dengan Hakimi. Mataku tidak lepas dari memandang jam dan aku rasakan betapa perlahannya masa berjalan hari ini!





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku