Hanya dia bidadariku
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Jun 2017
Cinta pertama tidak mampu dibuang, tapi cinta terakhir akan kekal selamanya. Tapi mampukah dua hati mengecap bahagia jika masih dihantui kisah yang lalu? Luka lama masih berdarah, apakah rela membiarkan hati tercalar lagi? Namun mampukah hati memendam rasa cinta yang telah lama berputik? Tiada erti kata bahagia sebelum melalui jalan derita, begitulah kisah Aminuddin dan Farisha.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
83

Bacaan






                 Dato' Zaman terdengar suara anak kecil menangis di sebalik pasu yang besar, dia cuba mendekati suara itu perlahan-lahan. Sungguh dia terkejut apabila melihat satu susuk tubuh anak kecil yang amat dikenalinya sedang menangis teresak-esak. 

      "Ya Allah Jiha, apa Jiha buat kat sini? Meh dekat uncle sayang. " Dato Zaman menarik tangan anak kecil itu, dan dengan tiba-tiba anak kecil itu meraung sekuat hati, membuatkan Dato' Zaman terperanjat dan melepaskan tangan Najiha. 

        "Sakit, tangan Jiha sakit. " Anak kecil itu meraung. Dato' Zaman melihat tangan Najiha kemerahan seperti melecur kecil. Terbuntang matanya terperanjat, perasaan gelabah dan risau menyelubungi segenap hatinya. 

       "Astaghfirullah, kenapa tangan Jiha ni? Macam mana boleh jadi macam ni? Jom uncle bawak pergi klinik, cepat. " Tidak menunggu lagi dia mencepung anak kecil itu  dan berlari menuju ke kereta kemudian terus memecut laju ke klinik yang berdekatan. Dalam perjalanan pulang selepas selesai diberi rawatan, Najiha menceritakan semuanya pada Dato' Zaman, bagaimana dia boleh mendapat kecedaraan seperti itu. Sesampai di rumah, mereka masuk menuju ke ruang tamu. 

       "Angah! Angah!" Bergema satu rumah dengan teriakan Dato' Zaman yang seperti kilat menyambar membuatkan Datin Fatimah yang berada di dapur sedari tadi terkejut dengan pekikan itu, lantas berlari menuju ke ruang tamu. 

        "Kenapa ni bang? Kenapa marah sangat ni? " Tanya Datin Fatimah pada Dato' Zaman. 

        "Anak lelaki awak mana? Panggil dia sekarang juga!" Dato' Zaman masih lagi menyinga. Naik turun dadanya cuba mengawal amarah yang meluap di dada. Kemarahan jelas terpampang di wajahnya. Datin Fatimah tahu, pasti anak bujangnya itu ada membuat angkara, sehinggakan Dato' Zaman naik hantu. Dipandang Najiha yang duduk  di atas sofa bersebelahan dengan Dato Zaman. 

       "Kenapa tangan Jiha berbalut ni sayang? Apa dah jadi ni?" Tanya Datin Fatimah kalut. Dia duduk mendapatkan anak kecil itu, diperiksa balutan tangan Najiha. 

       "Sorry daddy, angah mandi tadi. Kenapa daddy....  ."
        PANG!!!  Belum sempat lelaki itu menghabiskan kata-katanya, satu penampar padu singgah di muka membuatkan Mukhlis terjelupuk di hujung kerusi. 

       "Abang! Dah gila ke pukul anak sampai macam tu sekali?" Datin Fatimah meninggi suara, berlari dia mendapatkan Mukhlis yang sudah terduduk di lantai itu. Pening kepalanya, sekeliling terasa berpusing-pusing.  Matanya berpinar dan kelihatan kabur seketika, telinganya berdesing seperti bunyi cengkerik yang memecah kesunyian malam. 

       "Memang dah gila! Tengok apa budak ni dah buat dekat anak orang! Apa kita nak jawab dengan mak bapak budak ni nanti? Pandai-pandai simbah air panas, nak jadi apa? Samseng? Penjenayah?" Dato' Zaman menghamburkan amarahnya. Najiha terdiam melihat amukan Dato' Zaman itu. Mukhlis sudah teresak menangis, begitu juga dengan Datin Fatimah. 

       "Ya Allah angah, apa angah dah buat ni? Betul ke angah?" Dipegang kedua pipi anak lelakinya itu. Di soal berulang kali dengan soalan yang sama. Esakan semakin deras, sedih dengan keadaan itu. Seakan tidak percaya Mukhlis sanggup melakukan sedemikian rupa. 

       "Padan la muka dia! Sapa suruh ganggu orang buat kerja? Menyibuk je duduk  dekat sini!" Mukhlis memandang tajam ke arah Najiha. Perlahan budak perempuan itu menunduk, menyembunyikan wajah  ke lantai. Takut memandang wajah Mukhlis yang sedang menjeling tajam padanya. Tamparan padu yang diberikan tidak dirasakan sakit lagi. Dalam hatinya penuh rasa benci! Benci kepada budak perempuan yang bernama Najiha Arisa. Kerana Najiha dirinya di sajikan dengan tamparan sulung ayahnya. Nisa yang ketika itu mengintai disebalik dinding dari arah dapur juga ikutan terkejut dengan amukan ayahnya. Pertama kali dia melihat kebengisan Dato' Zaman. Mukhlis berlari menaiki tangga untuk masuk ke biliknya, tidak mahu dia berlama di situ kerana hatinya semakin sakit dan semakin benci. 

              "B, menung apa tu? Jauh sangat mengelamun." Najiha memeluk lengan Mukhlis lembut, membuatkan lelaki itu tersentk dari lamunannya, seraya dia memandang ke arah Najiha dan tersenyum manis. 
  
         "Sayang... " Lembut suara Mukhlis menyapa telinga Najiha. Ditarik jemari halus gadis itu, lalu dikucup penuh rasa cinta. Najiha terkedu, terasa diri terlalu di hargai dan di cintai. 

         "B tak bencikan sayang? " Soal Najiha perlahan. Kerana peristiwa lalu itulah membuatkan dia merahsiakan siapa dirinya yang sebenar dari pengetahuan semua orang, terutamanya lelaki itu. Perlahan Mukhlis menggeleng, lalu dihadiahkan satu senyuman manis terlebih madu pada Najiha. Gadis itu menarik nafas lega. Yang berlalu biarkan berlalu, lagipula itu cuma kisah silam. Sekarang masing-masing sudah dewasa dan tahu menilai perasaan sendiri. Mereka menikmati keindahan lautan yang terbentang luas itu, hanyut di bawa perasaan gelora cinta yang melayari jiwa. 

         "Mana la minah gedik ni? Keluar tak bagitahu langsung, telefon pun tak angkat? Perut pula lapar! Nak keluar sorang? Urmm malasnya." Farisha membebel seorang diri di ruang tamu. Perut yang bergendang sedari tadi sudah menjerit minta diisi. Mahu masak kemalasan melanda diri, mahu keluar seorang diri? Itulah perkara yang dibencinya. Sedang kepalanya ligat memikirkan apa yang perlu dilakukan, telefon bimbitnya berdering. Dicapai telefon yang berada di atas meja itu. Membuntang matanya melihat nama si pemanggil.  Mulut mengukir senyum tanpa tersedar. 

       "Assalamualaikum Isha, hang tengah buat apa?" Aminuddin bersuara di hujung talian. 

      "Waalaikumsalam, duk tengah joget poco-poco. Awat? " Soal Farisha kembali. 

      "Poco-poco? Gila ka apa tengah hari buta duk menari? " Meledak tawa besar lelaki itu, seraya membayangkan bagaimana cara gadis itu menari poco-poco? Pasti kelihatan comel. 
 
       "Eh, lantaklah, dia pula sibuk? Ni pasai apa telefon ni?" Farisha mendengus geram. Boleh lelaki itu kata dia gila? Gurau kasar lelaki ini! Jika Aminuddin di hadapannya sekarang, sudah pasti di cekik lelaki itu sampai habis nyawa. 

       "Amboi, garangnya Kak Isha ni,takut adik Din." Aminuddin menambah usikannya, dia pasti muka Farisha pasti sedang kemerahan menahan marah apabila dipanggil kakak. Terdengar pekikan nama lelaki itu dengan keras dihujung talian. Aminuddin menjarakkan telefon dari halwa telinganya lalu mengekek ketawa. Farisha pula sudah seperti lembu gila, nafasnya naik turun menahan amarah. Dimatikan talian dengan segera. Perkara yang paling dibencinya apabila ada lelaki yang memanggilnya dengan gelaran kakak. 

          "Ishh! Dah la kata aku gila! Boleh dia panggil aku kakak? Tua sangat ke aku ni? Panggil la sayang ke? Baby ke? Ni tak! Kakak? Arghhhhhh!!" Farisha menggila, perbezaan umur mereka hanya dua tahun, jadi panggilan kakak itu dirasakan tidak sesuai untuk mereka. 

         "Hah! Nak apa adik Din?" Farisha menyindir sinis, panggilan lelaki itu tetap dijawab walaupun hati melonjak marah. Aminuddin tertawa mendengar sindiran gadis itu. 

        "Lembutnya tuturan bahasa kak Isha?" Aminuddin masih dengan gurauannya. 

        "Macam ni, adik Din nak minta tolong kak Isha bawakan adik Din pi cari kedai motor sebab nak betulkan tayar yang pancit, lepas tu adik Din belanja kak Isha makan, amacam? Mau dak?" Sebutir sebutir perkataan keluar dari mulut Aminuddin apabila lelaki itu cuba berbahasa formal tanpa menggunakan loghat utaranya. Kali ini giliran Farisha ketawa mengekek mendengar kekokan lelaki itu berbahasa formal. Tapi sedaya upaya di tahan supaya tawanya tidak meledak. 

        "Apa tu mau dak? Sejenis dedak ayam ke?" Farisha sengaja mengusik dengan perkataan terakhir lelaki itu, dalam cuba berbahasa formal, ada juga terselit bahasa utara. 

       "Ish, payah sunggoh la cakap KeyyeL ni! Hang mau dak tulong aku? Yasin ngan Akmal takdak, tu aku tipon hang ni. " Aminuddin berbicara seperti biasa. Sungguh dia merasa pelik dan kelakar menggunakan bahasa bandar seperti itu. Oleh kerana perut yang sedang kelaparan dan keseorangan, Farisha terus bersetuju. Aminuddin gembira. Tidak sia-sia dia memancitkan tayarnya dan menolak pelawaan teman rumahnya untuk keluar mencari makan. Dia melakukan itu demi untuk mencari alasan, supaya boleh berjumpa dengan Farisha. Gigih betul lelaki itu mencari alasan untuk dapat keluar bersama gadis itu. 

      'Hang memang gila la Din!' Desis hati lelaki itu sendiri. Tanpa berlengah dia membuka tayar motornya dan bersiap menunggu kedatangan Farisha menjemputnya. Seperti dijanjikan mereka pergi mencari kedai untuk makan tengah hari selepas selesai membaiki tayar yang pancit itu. Farisha membawa Aminuddin ke kedai makanan kegemarannya untuk hidangan tengah hari. Mereka berhenti di hadapan kedai makan Silaturahim yang terletak di kawasan Teluk Muroh, tidak jauh dari kawasan rumah Farisha. Kedai itu memang padat dengan pelanggan yang datang dari segenap tempat untuk mendapatkan makanan tengah hari, apatah lagi waktu hujung minggu seperti ini, keadaan kedai itu tidak ubah seperti lalat yang sedang menghinggap pada makanan. Penuh dan padat. Sebaik melangkah ke dalam mata Farisha tertancap pada satu susuk tubuh yang amat dia kenali. 

        "Wah pasangan bahagia ni, makan tak ajak aku kan?" Farisha menepuk bahu Najiha dari belakang membuatkan gadis itu tersedak, hampir tersembur makanan yang sedang dikunyah. 

        "Eh babe, kau datang dengan siapa? Tak plan pun sebenarnya, ni ha, Mukhlis ni nak makan kat sini tiba-tiba. " Najiha menuding pada Mukhlis membuatkan lelaki itu tercengang. Dia pula dituduh padahal Najiha yang beria mahu makan di sini. Najiha mengenyitkan matanya pada Mukhlis, lelaki itu tersenyum menggeleng. 

        "Aku datang dengan mamat ni ha. " Farisha menjuih ke arah Aminuddin yang tersengih sedari tadi disebelah Mukhlis. Mereka berdua bersalaman. Najiha sudah tersenyum penuh makna. 

        "Ar...  jom amik nasik, aku lapaq la, kami join sekali na? " Cepat Farisha bertindak, apabila terpandang muka Najiha yang tersenyum sinis itu, pasti ada benda mengarut yang hendak dicakapkan olehnya. Sebelum perkara itu terjadi lebih baik dia mengelak dahulu. Najiha sudah ketawa mengekek melihat wajah kalut Farisha. 

         "Isha, kita pi makan tempat lain la, aku segan la. " Aminuddin menyuarakan rasa ketidakselesaan dirinya untuk makan bersama Najiha dan Mukhlis. Takut mereka membuat kesimpulan yang bukan-bukan tentang dia dan Farisha. 

        "Ala, takda apa, don't worry, they won't harm you. " Farisha menceduk nasi ke dalam pinggan, lalu diserahkan pada Aminuddin. Lelaki itu mengeluh hampa. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia berlagak tenang dan cuba bergaul dengan mereka. Farisha melihat Aminuddin berdiri di hadapan hidangan lauk yang banyak itu. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan melihat hidangan yang tersaji. Tidak tahu apa yang mahu di makan? Semuanya kelihatan sedap. 

       "Hang nak tunggu lauk tu melompat masuk dalam pinggan ka macam mana?" Teguran Farisha mematikan lamunan Aminuddin, lelaki itu tersengih dan terus memilih lauk yang digemarinya. Matanya sedari tadi sudah tertancap pada rendang ayam yang nampak menyelerakan itu. 

           "Korang ada plan apa-apa tak hari ni?"Tanya Najiha pada Farisha, selepas mereka selesai makan. Mereka berdua serentak menggeleng. Wah, sehati sejiwa betul mereka berdua ini. Tanya seorang, dua orang yang menjawab. 

       "Apesal Jiha? Kau nak pergi mana-mana ke lepas ni?" Soal Farisha sambil mengelap tangan yang basah selepas di cuci. 

         "Mana la tahu kot-kot, ni kot la kan..., korang ada plan nak dating ke? Apa ke?" Najiha mengusik. Aminuddin tertunduk malu. Farisha tersengih-sengih menahan malu, sakit hati pula dia dengan mulut pedas Najiha. Disinggahkan satu cubitan halus di peha Najiha membuatkan gadis itu sedikit meloncat menahan kesakitan. 

        "Eii, sakitlah! "

        "B, tengok tu dia main cubit-cubit peha sayang sakit la B. " Najiha merengek kecil mengadu pada si buah hati memohon simpati. 

       "Rasakan, mulut tu celupar sangatkan. " Farisha tersenyum puas. Mukhlis juga tersenyum. Aminuddin sudah senak menahan ketawa melihat sikap Najiha yang mengada-ngada seperti anak kecil itu. Sungguh manja dan mesra melihat pasangan itu. Cemburu pula dia melihat kemesraan mereka berdua. Andaikan dia mampu melalui saat-saat indah seperti itu bersama insan yang tersayang, alangkah bahagia hidupnya. Adegan romantik sebabak itu membawa dia kembali terkenang akan masa lalu, saat dia asyik bercinta dengan si dia. Tersedar kenangan lama kembali menjelma, cepat-cepat dia beristighfar, tidak mahu lagi mengenang kisah yang sudah berlalu. 

        "Okay, memandangkan kita takda apa-apa plan, why don't we're out for movies? You guys on?" Mulhlis memberi cadangan selepas masing-masing diam tidak tahu apa yang mahu dibualkan. Najiha mengangguk, Farisha memandang Aminuddin meminta jawapan. Mahu di tolak nampak tidak beradab pula,mahu mengikut dia segan, dalam terpaksa dia rela lagipula memang niat ingin mengajak gadis itu menonton wayang hari ini. Perlahan Aminuddin mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Mukhlis itu. Najiha dan Farisha melonjak gembira, Mukhlis bangun dan menuju ke kaunter untuk membayar makanan mereka, kemudian mereka bergerak menuju ke pusat membeli belah Aeon Sri Manjung dengan kereta masing-masing. 

        "Isha, thanks untuk hari ni, lepas ni hang terus balik rehat na. " Aminuddin bersuara romantis. Farisha tersenyum meleret dan mengangguk. Terpana dia dengan suara romantis Aminuddin, terasa tiba-tiba tumbuh kepak di belakang dan ingin terbang di awangan. 
 
       "Okay, thanks jugak sebab hang sudi teman aku hari ni, minggu depan kalau tak qeja aku ajaq hang bawak kereta na," Aminuddin mengangguk tanda bersetuju. Lelaki itu keluar dari perut kereta dan masuk ke dalam rumah. Farisha memandu pulang ke rumah dengan hati yang berbunga-bunga. Sungguh indah perasaan dalam diri yang dirasakan. Tidak pernah dia merasa sebahagia itu. Senyuman dan gelak tawa lelaki itu terus mengekori hujung mata dan fikirannya. Ada satu getaran yang dirasakan di dalam diri apabila berada dekat dengan lelaki itu, biar dia tidak tahu apakah maksud perasaan yang sedang berkemuncak hebat di dalam hatinya dia merasa senang dengan apa yang dirasakan. Malahan sejak kali pertama bertentang mata, fikirannya tidak pernah lepas dari memikirkan soal lelaki itu, dan bayangan Aminuddin sentiasa menani hari-harinya. 

         "Baru balik ke Miss In love? " Najiha memberikan gelaran baru pada Farisha. Gadis itu merebahkan tubuhnya disebelah Najiha. 

        "Miss In love apa pula ni? Suka kau je kan bagi gelaran dekat orang." Farisha suka dengan gelaran yang diberikan. Apakah benar dia sudah jatuh cinta? Apakah debaran yang dirasakan itu debaran cinta? Tapi layakkah dia untuk mencintai lelaki baik seperti Aminuddin itu?. 

       "Yela kau kan tengah hangat bercinta sekarang ni, ok la tu gelaran yang aku bagi tu kan?" Najiha menambah usikannya. Dia dapat melihat aura cinta dari mata sahabatnya itu. Walau dia tidak dapat tahu kebenarannya, yang pasti dia tahu perasaan sahabatnya itu. Jika benar apa yang dirasakan itu dia berharap ini yang terakhir dan terbaik untuk Farisha, jika ianya hanya di sebelah pihak, pastinya sejarah lama akan berulang kembali. Farisha bangun dan menuju masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri dan solat Isyak. Wajahnya tidak lekang dengan senyuman. Najiha menggeleng kepala tersenyum. 

      "Wei, blah camtu je? Duduk la sekejap, banyak benda aku nak tanya ni. Isha. "Bicara Najiha selepas Farisha bangun menuju ke dalam bilik. Gadis itu tidak menoleh sebaliknya menghilang ke dalam bilik. Najiha ketawa kecil sambil kepalanya digelengkan. Mata yang kuyu dan berat juga membuatkan dia juga bangun menuju ke bilik tidur untuk berehat. 


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku