KURNIAAN DALAM SAMARAN
KURNIAAN DALAM SAMARAN
Genre: Alternatif
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 30 Jun 2017
Penilaian Purata:
637

Bacaan






Aku berlari.


Hujan yang tadi turun mencurah-curah mulai redah. Betapa setiap titis air itu yang kini membasahi segenap tubuhku serasa begitu memeritkan, begitu memedihkan. Kulitku seakan-akan terbakar. Sepanjang kewujudanku, tidak pernah aku merasai pengalaman sebegitu. Ku kira hanya omong-omong kosong warisan leluhurku.

 

Ku kira, Sang Perantara hanya wujud dalam cerita-cerita dongeng zaman dulu kala.

 

Aku tidak menyesali pertemuan itu. Menyaksikannya membesar adalah suatu kurniaan. Menemuinya dan bersemuka adalah suatu harapan. Mungkin ini takdir kewujudanku. Bertemu untuk akhirnya berpisah. Entah mengapa hanya dia yang menarik perhatianku. Hanya dia yang jelas dalam pandangan mataku. Semacam suatu ikatan.

 

Aku memerhatikannya sejak dia mula belajar untuk bangun. Berdiri lalu jatuh. Lalu bangun kembali. Putaran hidup si kecil ini menjadi hiburan buatku. Kerenahnya mencuit hatiku. Gelak tawanya. Senyum manisnya.

 

Tangis hibanya.

 

Ingin sahaja aku hadir dan menyapu airmata yang membasahi pipi itu agar duka yang menjadi episod berpanjangan dalam diari hidupnya akan segera terhapus. Namun dari kejauhan ini, aku hanya mampu mengintai. Sehinggalah pada saat itu. Saat dinding pemisah yang menjadi tabir aku mengintai celah-celah kehidupannya lesap dengan tiba-tiba.

 

Semacam suatu ketetapan.

 

******************************


Suasana persekitaran terasa begitu kelam. Sekelam dinding pemisah yang kini telah bercantum kembali. Namun ada sesuatu yang asing dalam dunia asalku ini. Sesuatu yang ku rasa tertinggal dari dunia yang satu lagi. Dari celah-celah kegelapan, muncul kepulan-kepulan asap yang semakin berbalam-balam tebalnya. Diiringi bau wangi haruman yang menusuk pedih dan menyakitkan.

 

Langkah kakiku terhenti seketika. Aku keliru. Terasing di dunia sendiri.

 

Terperangkap dalam dunia sendiri!

 

Dalam kekalutan itu, aku mula terdengar bunyi-bunyi asing yang selama ini, ku kira hanya wujud dalam cerita dongeng. Tapi tidak! Bunyi... atau suara alunan ritma berulang-ulang itu semakin jelas dan semakin mendekati aku. Suara yang menjadi isyarat bagi leluhurku untuk segera mencari perlindungan. Pandanganku semakin terhalang. Aku merempuh apa sahaja yang ada di hadapanku.

 

Dan terus berlari.

 

******************************

 

Gelap.

 

Hanya jalur cahaya bulan yang menyimbahi susuk tubuh itu. Aku melihat seorang gadis duduk di hujung kerusi panjang seorang diri. Kepalanya tertunduk, rambut menutup sebahagian wajah. Hujung jari-jari kakinya menguis-nguis daun-daun kering yang menjadi hamparan ruangan itu. Pergelangan tangan kirinya diusap-usap lembut. Perlahan-lahan aku menghampirinya lalu melabuhkan punggungku di sebelahnya. Bunyi berkeriut kerusi usang itu menyedarkannya bahawa dia tidak lagi keseorangan. Lantas dia mendongak ke atas. Seketika memandang bulan sebelum berpaling memandangku. Tiada sebarang riak di wajahnya.Tiada airmata yang jatuh. Hanya pepohon mati yang semakin banyak meluruhkan dedaun kering, berterbangan ditiup angin.

 

“Nama saya Amir,” aku memperkenalkan diri.

 

Dia mengangguk tanpa sebarang bicara.

 

“Saya dah lama perhatikan kamu.” Aku mula tersenyum.

 

Dia mengangguk lagi, cuba untuk mengukir senyuman.

 

“Aku tahu.” balasnya ringkas, sebelum sempat senyumannya mekar.

 

Dia tunduk kembali. Bermain-main dengan hamparan tadi yang kini bertukar menjadi air. Aku ikut sama tunduk. Melihat refleksiku. Melihat refleksinya.

 

Melihat aku dalam dia.

 

******************************

 

“Tengok tu!” Aku memecahkan kesunyian ruang itu sambil jariku menunjuk ke hadapan.

 

“Betapa indah dan berharga. Kamu tak rasa begitu?”

 

Dia ikut sama memandang kegelapan ruang di hadapan itu. Beransur-ansur ruang itu menjadi terang. Dari satu titik putih berkembang menjadi satu layar yang saujana mata memandang.

 

Ibarat wayang gambar.

 

Di hadapan terpancar imej-imej yang suatu masa dulu pernah membahagiakan dia. Rentetan peristiwa yang pernah membuatkan aku ikut gelak tertawa bersamanya.

 

Yang sudah lama berkarat dalam peti simpanan memorinya.

 

“Ingat lagi Si Putih? Comel, kan?” sambungku.

 

Dia membelai-belai kucing yang berusia 2 bulan itu. Terubat hatinya untuk merasai semula pengalaman rasa menyayangi makhluk itu, selepas Si Belang mati dilanggar kereta. Bulu kucing itu yang panjang dan gebu mendamaikan semula hati kecilnya yang terluka kerana kecuaian si ibu. Hadiah daripada abah sempena ulang tahunnya yang ke-7.

 

“Terima kasih, abah.”

 

Aku memandang mata itu. Mata itu adalah saksi kebahagiaanya. Mengharap moga ada sinar pengharapan yang muncul.

 

Belum ada.

 

“Yang ni pulak?” Gelakku sedikit. Lucu dengan gelagat gadis itu bergurau-senda dengan sepupu dan anak-anak saudaranya yang seramai 10 orang. Pangkat “kakak” yang dipegangnya membuatnya sentiasa menjadi tumpuan “askar-askar” kecil keluarganya. Hidupnya tidak pernah sepi dengan kehadiran anak-anak kecil itu, meskipun dia tidak punya adik-beradik kandung sendiri.

 

Bukan salah ibumu bila adikmu tidak berpeluang melihat dunia.

 

“Ani dah mati...” tiba-tiba suara berbisik keluar daripada mulutnya.

 

Tawaku terhenti serta-merta. Aku kembali memandangnya. Bukan ini yang ku maksudkan.

 

“Lili dah mati...”

 

“Dani dah mati...”

 

“Odi dah mati...”

 

“Bobi dah mati...”

 

“Lulu...”

 

“BANG!!!”

 

Bunyi dentuman kuat di hadapan kami memaut pandanganku kembali ke layar tersebut. Cermin hadapan kereta itu pecah berkecai disimbahi darah. Ibarat tin sardin yang dihempas ke lantai menghamburkan isinya. Pemandunya yang masih terikat dengan tali pinggang keselamatan, kelihatan bergerak-gerak sedikit. Sedang penumpang-penumpangnya yang lain, kaku.

 

Seperti ikan sardin.

 

“Aku bunuh mereka...” pandangannya ditundukkan sebelum layar di hadapan kami padam dan simbahan cahaya bulan malap sepenuhnya.

 

Bukan ini yang ku maksudkan.

 

******************************


“Ya, koma. Tapi kami masih belum dapat pastikan punca sebenar anak encik masih belum sedarkan diri. Generally, dia stabil. Semua pemeriksaan fizikal termasuk ujian darah yang biasa kami lakukan, normal. Her blood  system is clear of any substances. Ujian MRI, normal. Lumbar puncture, normal. Estimated amount of blood loss dan keadaannya semasa ditemui, boleh saya katakan, very unlikely for her to have a permanent residual brain damage,” doktor menjelaskan.

 

“Saya pernah terbaca tentang brain death...”  balas si bapa inginkan penjelasan lanjut.

“Tidak dalam kes anak encik,” pantas si doktor memintas.

 

To put it simply, anak encik masih boleh bernafas dengan sempurna tanpa bantuan mesin ventilator adalah indicator yang dia tidak berada dalam situasi itu.”

 

“Jadi apa perancangan doktor?” Si bapa mula akur.

 

“Kami akan teruskan observation di wad sementara menunggu kedatangan seorang visiting neurologist untuk kami bincangkan kes anak encik. Sejujurnya, wad kami tidak tidak pernah menerma kes-kes sebegini...

... Koma tanpa sebab.”

 

“I see.”

 

“Boleh saya tanya sesuatu, jika tak keberatan? Mungkin agak personal.” tanya si doktor.

 

Si bapa mengangguk.

 

“Saya tak pernah tengok emak...”

 

“Kami dah berpisah.” pantas si bapa memintas, menjawab teka-teki yang bermain di benak sang doktor selama ini.

 

******************************

 

Terang.


Bulan penuh memantulkan cahayanya pada hamparan rumput hijau di taman ini. Bunyi berkeriut sudah tidak kedengaran saat aku bersandar ke kerusi yang kini anehnya, tampak sudah tidak usang. Dia masih duduk di situ. Memerhatikan kedua-dua lengannya yang dipenuhi parut berupa garis-garis halus. Aku mendekatinya. Mencapai lengan kirinya dan meneliti.

 

“Kamu tak rindukan mereka? Cindy? Amelia? Fifah?” soalku memulakan bicara.

 

Aku memandang ke hadapan, memberi isyarat untuk dia ikut sama. Layar luas dari kegelapan ruang itu muncul semula dalam sekelip mata. Ada sesuatu yang aku ingin tunjukkan kepadanya.

 

Sesuatu tentang makna kemungkinan dan kebarangkalian.

 

Aku melihat si gadis duduk di atas singgasana di samping seorang jejaka tampan, lengkap berpakaian bangsawan dengan tanjak dan keris tersisip di pinggang. Bunyi alunan kompang mengiringi bahtera kedua-dua pasangan sejoli itu menuju masa hadapan. Untuk sehidup dan semati.

 

“Hidup adalah pilihan. Kita sendiri yang menentukan corak masa depan,” bisikku lagi.

 

Ada semacam senyuman yang mula terukir pada bibir gadis di sebelah ku itu. Pandangannya tidak beralih. Aku ingin melanjutkan bicara bila saja matanya mula membulat dan senyumannya semakin jelas. Aku berpaling ke hadapan.

 

“Mama, mama...”

 

Si anak kecil menarik baju si ibu cuba untuk menarik perhatiannya. Usianya 5 tahun, aku mengagak. Si ibu berpaling seketika dari kerjanya di meja dapur lalu merendahkan tubuhnya, melihat hasil karya si kecil.

 

“Tengok ni.”

 

Si ibu memeluk si anak sebelum mengucup pipinya.

 

“Pandainya Mira.” puji si ibu. Si anak tersenyum gembira.

 

Dari belakang si suami datang merangkul pinggang si isteri sebaik sahaja dia berdiri. Kepalanya dikucup mesra sambil tangannya membelai-belai rahim yang berisi. 7 bulan, aku mengagak. Kemudian si bapa mengangkat si anak lalu membisikkan sesuatu di telinganya.

 

“I love you too, papa...”

 

“Takdirmu di sana. Bukan di sini. Belum terlambat untuk kamu pulang memulakan perjalanan hidupmu yang baru,” aku mengambil kesempatan itu untuk menyambung bicara.

 

Matanya mula berkaca-kaca. Sinar pengharapan yang ku cari akhirnya ku temui. Pergelangan tangan kirinya digenggam erat. Dan hamparan hijau yang menjadi lantai tempat kami berpijak mula ditumbuhi bunga-bunga kecil beraneka warna. Ada yang mula menjalar naik melingkari kerusi. Dan ada yang melingkar naik, meliliti aku. Taman yang kosong bertukar rupa.

 

Mungkinkah hatinya yang kering juga sudah bertukar warna?


“Betapa indahnya cinta untuk dipersia-siakan,” bisikku sendiri pada sekuntum bunga yang mekar di hadapan dadaku.

 

******************************

 

Mereka berkumpul semula di resort yang dijanjikan usai lawatan ke hospital. Tradisi tahunan 6 sekawan ini perlu diteruskan demi legasi persahabatan mereka. Bezanya, kali ini mereka datang berlima dan terpaksa meninggalkan seorang daripada ahlinya. Namun demikian, terselit dalam diri masing-masing, rasa bersalah kerana gagal menangkap perubahan tingkahlaku teman mereka itu.

 

Tidak banyak  gurau senda yang bermain seperti percutian pada tahun-tahun lalu. Sebab subjek kegemaran mereka untuk dijadikan bahan gurau jenaka kini terlantar di katil wad.

 

“Aku rasalah kan, di antara kita semua, kaulah yang paling lambat kahwin. Sebab aku tengok dari dulu sampai sekarang, kaulah yang paling tak pandai-pandai nak jadi cantik,” gurau Fifah, disambut dengan gelak tawa gadis itu dan teman-temannya yang lain.

 

“Itu maknanya aku yang paling lambat nak kerepot berbanding korang.” balas si gadis menambah keriuhan resort itu.

 

Tidak pernah terlintas di fikiran mereka bahawa di sebalik topeng yang dipakainya, ada rahsia dalam fikirannya yang cuba dikongsi. Bukan sekali, malah berkali-kali dia memberi isyarat tentang rasa berkecamuk yang menghantui mindanya, tapi tidak mereka endahkan.

 

“Aku rasa macam nak mati...” kata gadis itu pada suatu hari.

 

“Merepek je lah kau ni,” balas Cindy, disambut kerlingan tajam Amelia.

 

Mereka gagal membezakan di antara lawak jenaka dan persoalan hidup mati.

 

Mereka gagal sebagai sahabat.

 

******************************

 

Bunyi dentuman mengejutkan aku dari lamunan. Aku memerhatikan sekeliling. Wajah keindahan yang tadi muncul dengan tiba-tiba, sekali lagi berubah wajah. Bunga di daratan yang tadi berkembang kini kuncup kembali. Yang melingkar di kerusi, layu terkulai. Rumput menghijau bertukar kering. 


Mata si gadis tajam memandang ke hadapan.

 

“Sejarah adalah kenangan untuk kita jadikan pengajaran. Bukan ukuran untuk suatu kepastian. Hidup adalah tentang kemungkinan dan kebarangkalian,” tegasku sebaik melihat jujukan imej yang terbentuk pada layar itu.

 

Bunyi gelas jatuh berderai menambah kebingitan ruang itu. Sepasang adam dan hawa saling bertingkah bicara sambil disaksikan si anak remaja dari celah-celah daun pintu. Si hawa kemudian meninggalkan si adam keseorangan di dapur lalu duduk di ruang tamu menekup wajah.

 

Ada bibir yang pecah berdarah di sebalik dapur itu. Ada sepasang mata yang bengkak basah di ruang tamu itu. Dan ada mulut yang menyumpah serana di sebalik pintu bilik tidur itu.

 

“I hate you...” bisik si remaja.

 

“I hate you...” bisik si gadis serentak.

 

******************************


Kegelapan mengambil semula tempatnya pada ruang layar putih tersebut. Awan hitam mula memayungi keseluruhan ruangan itu. Sesekali kedengaran bunyi semacam guruh. Tapi bukan guruh.

 

Sesuatu.

 

Angin mula bertiup kencang menerbangkan dedaun kering, dan mengibarkan rambut si gadis. Dia memalingkan wajahnya ke arahku.

 

“Jika hidup adalah suatu pilihan...

 

... maka aku memilih untuk terus kekal di sini...

 

...untuk hidup bersama kamu.” katanya menyimpul senyuman.

 

Seiring dengan itu kedengaran bunyi dentuman berulang-ulang dari arah yang aku tidak pasti datang dari mana. Jantungku serasa ikut tercabut setiap kali bunyi itu kedengaran, sedang si gadis masih tersenyum sendiri.

 

Beberapa titis air tiba-tiba turun dari atas menimpa tubuhku. Aku cuba membawa dia lari bersamaku, berlindung dari titisan-titisan air yang memedihkan itu, bila tiba-tiba dia bangkit lalu berdiri. Dia mula mengorek luka lama pada pergelangan tangan kirinya sehingga luka torehan akibat perbuatan tangannya sendiri itu, mula berdarah kembali. Darah yang memancut-mancut keluar terbang bersama tiupan angin bila tangan itu mula diacungkan ke arahku.

 

Setapak demi setapak kakinya beranjak ke belakang akibat ditolak angin yang semakin kuat membadai, lalu perlahan-lahan menenggelamkannya dalam kehitaman ruang di belakangnya. Aku cuba mencapai tangannya tapi jarak semakin jauh memisahkan kami.

 

“Aku lebih rela mati dari hidup menderita di dunia itu lagi!” jeritnya yang terakhir sebelum aku direntap kasar ke belakang dan dinding pemisah di antara duniaku dan dunianya tercantum kembali. Dari kejauhan itu, aku hanya mampu mengintai dia yang kini terbaring lesu.

 

Dan aku mula berlari.

 

******************************

 

Aku penat.

 

Akhirnya aku memutuskan untuk berhenti berlari dan menerima saja peraturan alam yang sudah termaktub buatku. Asap yang tadi melingkari sekarang menjadi kabut yang menyesatkan perjalananku balik. Jalan pulang tidak ku temui. Kulit ku mula terkupas-kupas kesan air hujan tadi. Haruman pekat yang memenuhi segenap rongga tubuhku adalah haruman beracun yang menyesakkan nafasku. Dan awan hitam yang berasal dari dunia itu masih lagi mengekori aku hingga masuk ke dunia ini.

 

Semakin lama, semakin dekat suara-suara itu mendekati. Dan bila suara itu seolah-olah datang berbisik di telingaku, aku dapat merasakan bahawa masa ku sudah sampai. Sang Perantara sudah pun menghantar utusannya. Alunan ritma berulang-ulang dalam bahasa Sanskrit kuno itu semakin jelas maksudnya.

 

Ditujukan khusus untuk golongan seperti aku.

 

Aku tidak pernah tahu tentang sejarah silam bangsa kami sehingga leluhurku merelakan sengketa di antara dua golongan ini berterusan hingga ke hari ini.

 

Istilah kemungkinan dan kebarangkalian tidak wujud dalam dunia kami.

 

Yang ada hanya kepastian. Kepastian bahawa apa jua kesilapan yang berlaku dalam sejarah masa lampau adalah kesinambungan berterusan yang perlu diwariskan hingga ke penghujung masa.

 

Aku berlutut. 


Dan menanti. 


Tidak ada apa lagi yang boleh ku lakukan. Bahang hangat terasa datang dari arah belakangku. Mata ku pejam sebelum suatu tusukan tajam menembusi rongga dadaku. Sehingga pada saat akhirnya, aku terpaksa akur akan Hukum Kepastian yang mengikat takdirku.

 

Bertemu, untuk akhirnya berpisah.

 

******************************

 

“Mak... ” perkataan pertama yang keluar dari mulutnya saat menyaksikan insan yang duduk bersimpuh di sebelahnya.

 

“Mak!” jerit tangisnya lagi lantas si gadis bangun dan memeluk sang ibu.

 

“Rima!” balas si ibu dengan linangan airmata kesyukuran.

 

“Abah!”

 

Rima meluru ke arah si bapa yang sejak tadi cuba menahan takungan airmatanya. Ketiga-tiganya kemudian saling berpelukan tanda berakhirnya sengketa di antara mereka.

 

7 minggu di hospital. 7 hari di rumah. 7 tahun sengketa.

 

Rima memerhatikan sekeliling biliknya yang suram. Tidak ada perubahan. Masih sama seperti saat dia meninggalkan ruangan itu. Dia meraba-raba pergelangan tangan kirinya. Parut luka angkara kebodohannya 7 minggu yang lalu masih jelas terasa.

 

Gambar foto bulan penuh dan pokok kering dengan daun berguguran yang terpampang di hadapannya serta-merta menarik perhatiannya. Di bawah gambar tersebut, di hujung kaki tilam tempat jasadnya terbujur, duduk bersila seorang lelaki separuh abad bersongkok dan berbaju batik. Di hadapannya asap berkepul-kepul keluar dari dupa pembakaran yang memenuhi bilik sempit itu dengan bau setanggi yang menyesakkan. Lelaki itu memejamkan mata sambil mulutnya kumat-kamit membaca mantera dengan alunan ritma yang berulang-ulang. Sebilah keris dihunus ke hadapan dalam kepulan asap tersebut.

 

“Mak...” Rima bersuara lemah, titisan air di mukanya dilap dengan tangan.

 

“Mana Amir?”

 

 

Dugaan yang tak disangka

Perpisahan yang dipaksa

Kurniaan yang dalam samaran

Itu yang ku harapkan

 

 

SEKIAN

 

*Kredit lagu – Kurniaan Dalam Samaran (Siti Nurhaliza)



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku