Lelaki Tak Suci Itu
Bab 1
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 02 Julai 2017
Tentang cinta - yang kadangkala manis kadangkala pahit. Kadangkala berjaya kadangkala gagal. Takdir pula adalah sesuatu yang aneh. Kadangkala cinta dan takdir bersahabat baik. Kadangkala cinta dan takdir bagai bermusuh. Namun manusia tidak pernah serik untuk jatuh cinta. Kerana cinta adalah sumber harapan yang membuatkan manusia ingin terus hidup.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
244

Bacaan






Kali pertama melangkah dengan kasut bertumit tinggi, terasa bumi bergoyang. Kenapa perempuan perlu menyiksa diri sebegini? April membantah dalam hati.

            “Kecantikan adalah melalui penderitaan.” Cebiknya kepada diri sendiri.

            “Siapa agaknya yang cipta doktrin kasut tumit tinggi adalah cantik untuk perempuan?”April tidak habis-habis merungut. Sehinggakan tidak sedar, dia sudah berdiri di hadapan pintu pejabat.

            “April, esok saya nak minta tolong. Boleh kan?” Teringat semalam bos melentokkan kepala minta tolong. Peristiwa itulah yang menjebakkan dirinya hari ini – dengan kasut tumit tinggi.

            “Cuma ada seperkara lagi yang saya nak minta tolong. Esok awak tolong pakai kasut yang tinggi sikit, dan mekap sikit.” Bos memberitahu tanpa rasa simpati. Terasa kejam– menikam ke hati.

            Dia tahu aku pasti tidak akan menolak. Siapakah yang sampai hati menolak permintaan bos yang baik dan memahami seperti dia? Selama ini aku nak pakai selipar tandas ke, baju kelawar ke, tudung ala makcik-makcik ke, tak pernah dia kisah. Katanya, janji kerja aku siap. Beres semua. Dan dia tak perlu pening kena nak ajar aku dari A sampai Z. Jadi, aku rasa permintaannya kali ini tentu ada sebab.

            “Tuan Basri ni pelik sikit. Nak buat temujanji siap pesan sila bawa pembantu yang kemas dan bergaya. Katanya tak suka tengok orang yang selekeh. Hm, saya pernah dengar khabar angin tentang Tuan Basri ni. Mata keranjang, berlagak dan kontrol kacak tak kira tempat. Jadi, awak bersedialah. Kita selesaikan urusan kita, lepas tu kita lupakan dia. Kena berkorbanlah sikit saja ya, April.” Itu dia penjelasan bos. Memang padat. Aku tak perlu kata apa-apa. Tak perlu tanya apa-apa. Lengkap. Itu salah satu sebab utama aku boleh bertahan bekerja dengan lelaki ini. Rupa kacak. Ya. Lelaki kacuk itu memang kacak. Tinggi. Kulit sekata cerah. Dan yang paling penting, sikapnya yang sangat menghormati wanita. Perempuan mana yang tak cair jika dapat bos seperti ini. Dia buat aku sangat bersemangat bangun pagi untuk keluar bekerja. Nak balik kerja pun berat hati. Begitulah kejadiannya.

            Balik saja dari temujanji dengan Tuan Basri, bos mengekeh-ngekeh tergelak ketika aku terus menanggalkan kasut tumit tinggi itu sebaik saja melangkah masuk ke pintu pejabat. Aku bimbit kasut sambil mengepit-ngepit kain batik yang kupadankan dengan baju kebaya itu – berkaki ayam. Sempit bos, kain ni! Aku menjerit ke arah bos.

            Itulah dia. Bos paling ideal yang pernah kujumpa. Dalam usia 27 tahun, ini kerjaku yang kelima. Inilah kali pertama aku jumpa bos yang tidak berkira tentang apa yang aku nak pakai dan apa yang aku nak buat janji kerja aku siap mengikut target. Waktu kerja pun sangat fleksibel. Namun, tak semua bos layan sama. Ada juga staf yang jenis suka ambil kesempatan, bos akan berkira. Kesimpulannya, bos layan staf dia berdasarkan sikap dan prestasi. Kalau jenis kaki ponteng kerja, tugas susah nak siap, suka beralasan, memang bos tak layan. Kiranya bos ni buat baik dibalas baiklah. Kalau sebaliknya, maka dia pun jadi sebaliknya juga.

            “April,masuk ke bilik saya sekejap.” Ah. Akulah yang paling bahagia jika bos panggil dan memberi apa-apa arahan. Arahan kerja. Susah macam mana pun, kalau bos yang suruh, memang aku rasa ringan dan mudah saja nak buat. Segala kesukaran dan halangan, terasa manis.

            “Fail Tuan Basri ni, awak tolong semak. Nanti berikan pandangan, apakah kita patut terima atau tidak tawaran dia.” Bos menghulurkan fail yang tidak berapa tebal sangat. Tidak setebal fail kes jenayah yang biasanya dikelek oleh peguam.

            “Aik, bos. Saya bos atau bos yang bos?” Tanyaku. Dia tersenyum dan kemudian tersengeh comel. Alahai. Hari-hari aku cair kerana senyumannya. Kalau jadi semut yang mati kena pijak pun aku rela, asalkan aku dapat nikmati senyuman itu setiap hari. Aku fikir, hanya orang gila dan buta sahaja yang tidak tergila-gilakan senyuman seperti itu.

            “Tuan Basri tu nampak nak menggatal dengan awak tadi. Lepas meeting terus minta nombor telefon April dari saya. Memang nampak jelas kegatalannya di situ. Dia macam tak sedar, syarikat kita ni syarikat pembinaan, bukan syarikat jual perempuan.”Jawab bos selamba. Dengan wajah manisnya seperti biasa walaupun kata-kata yang dikeluarkan kedengaran sangat tajam dan menikam – kalau Tuan Basri mendengarnya. Aku tergelak.

            “Kalau April pertimbangkan untuk tolak tawaran dia, saya akan berterus-terang cakap April yang tolak. Baru dia sedar kita buat kerja bukan main-main.” Tambah bos lagi. Aku hanya senyum. Dengan niat ingin menggodanya. Haha!

            “Baiklah,bos.” Aku tak perlu cakap banyak. Bos bukan seorang yang suka dipuji dan diberi penjelasan kenapa dia dipuji. Walaupun kata-katanya tadi jelas menunjukkan dia begitu menghormati aku -  seorang perempuan. Ya, syarikat ini syarikat pembinaan, bukan syarikat jual perempuan. Itulah bos. Itulah sebab aku rasa bos adalah lelaki paling kacak dan bos paling ideal dalam dunia. Bos yang buat aku setiap malam memejam mata dalam tenang. Untuk tidur nyenyak agar keesokannya dapat bangun dengan segar dan cergas.

             Emosi manusia sangat ajaib. Ia berubah dan bertukar-tukar. Kadang-kadang bersebab. Kadang-kadang tidak bersebab. Begitu jugalah dengan cinta. Eh, aku ni dah jatuh cinta kepada bos sendiri ke?

            Malunya! 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku