Lelaki Tak Suci Itu
Bab 2
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 02 Julai 2017
Tentang cinta - yang kadangkala manis kadangkala pahit. Kadangkala berjaya kadangkala gagal. Takdir pula adalah sesuatu yang aneh. Kadangkala cinta dan takdir bersahabat baik. Kadangkala cinta dan takdir bagai bermusuh. Namun manusia tidak pernah serik untuk jatuh cinta. Kerana cinta adalah sumber harapan yang membuatkan manusia ingin terus hidup.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
326

Bacaan






Kerja pertamaku selepas graduasi ialah dengan sebuah syarikat yang mengendalikan aktiviti perkapalan. Bos yang sudah berumur 60 tahun tetapi tidak sedar diri. Sudah beristeri tentunya. Tetapi perempuan keliling pinggang. Pantang nampak perempuan dahi licin, memang kena ngaplah kalau perempuan tu melayan.

            Kali pertama jumpa isteri bos pertamaku itu, tersangatlah kasihan aku tengok walaupun isterinya itu kelihatan sihat walafiat. Nampak baik dan sopan orangnya. Tidak sombong. Dan, kerana aku ini adalah feminis tegar, maka aku sangat sakit hati melihat perangai bosku itu. Hari-hari aku makan hati walaupun dia melayanku dengan baik. Setiap kali aku ikut bos ke mana-mana, dan melihat dia bergesel-gesel dengan perempuan muda, hati aku yang terbakar. Terasa macam nak cakar-cakar je mula lelaki tua tak sedar diri tu. Tahulah poket dia tebal. Duit melambak. Tetapi kalau miang tahap macam tu, tak lalu nak hadap juga. Entah kenapa, hatiku bengkak je setiap kali nampak muka bos. Sedangkan dengan aku, bos sangat berbudi bahasa.

            Kerana tak tahan makan hati sendiri-sendiri, akhirnya aku berhenti kerja selepas enam bulan. Adikku, Jun ada cakap;

            “Apahal Kak Long ni? Nak makan hati tak kena tempat. Bos Kak Long tu bukan suami Kak Long pun. Apa masalahnya?”

            “Hei hei hei hei. Memang dia bukan suami Kak Long. Tapi isteri dia tu perempuan. Kak Long faham macam mana perasaan perempuan bila dapat suami perangai buruk macam tu, ok?”

            “Kak Long, yang melayan bos Kak Long tu pun perempuan juga.” Jun membalas. Aku tak tahu kenapa budak tu nak melawan aku sangat. Jelas kot perangai bosku gatal dan menyakitkan mata. Kenapa dia tak nak menyebelahiku pula.

            “Yang melayan tu memang perempuan juga. Tapi perempuan jahat. Perempuan tak ada harga diri. Perempuan kemaruk duit. Ada perbezaan di situ. Jadi, haruslah Kak Long benci kedua-duanya. Bos Kak Long yang gatal dan perempuan-perempuan yang melayan lelaki gatal macam tu.” Aku tak mahu kalah. Sebab aku yakin tindakanku betul. Mana aku ada semangat nak hadap perangai bos yang gatal macam tu. Walaupun dia tak menggatal denganku, tetapi aku memang tak tahan nak tengok saja perangai dia macam tu. Aku kan feminis sejati.

            Bos kedua pula perempuan. Aku bertahan selama 4 bulan juga. Sebab aku tak tahan dia kuat sangat merokok. Aku tak kisah pasal dia nak merokok. Yang jadi masalah aku ialah, dia merokok di dalam pejabat. Kadang-kadang masa mesyuarat pun dia boleh merokok. Ya. Dia bos. Jadi tak ada orang berani menegur. Disebabkan aku alahan dengan asap rokok, jadi aku bertahan hanya 4 bulan.

            Bos ketiga, lelaki pertengahan umur. Agak kacak. Tetapi pengotor. Suka sepahkan bilik. Tisu campak merata. Suka hilangkan pen. Setiap hari kena sediakan tiga empat batang pen. Dan yang paling menyakitkan hati ialah dia selalu hilangkan kunci. Kunci kereta. Kunci pejabat. Hari minggu kadang-kadang dia telefon minta aku datang pejabat. Atau kadang-kadang sedang khusyuk buat kerja, aku kena cari kunci dia. Kumbah sana sini. Hesy. Mana boleh tahan. Nak marahkan, dia bos. Tapi memang meluat sungguh. Tak terurus. Akhirnya, selepas empat bulan, aku minta berhenti kerja. Dia merayu, aku malas nak layan. Dah separuh umur, mana boleh nak ubah dah perangai dia tu. Aku terus terang cakap, “Bos, selama empat bulan saya di sini, saya tak mampu nak fokus kepada kerja saya. Masa banyak saya habiskan cari barang bos yang hilang dan salah letak. Saya memang tak tahan. Saya minta maaf. Semoga bos dapat pengganti yang tak kisah dengan perangai bos.” Penuh kejujuran aku berikan alasan kenapa aku tak dapat tarik balik keputusan nak berhenti kerja.  Aku malas nak fikir apa reaksi dan perasaan bosku ketika itu selepas aku beri alasan yang paling jujur. Lantak dia. Cuma aku terfikir, orang yang paling kasihan dalam hidup lelaki seperti itu tentulah isteri dia. Macam manalah isteri dia menghabiskan kehidupan dengan lelaki yang tak terurus seperti itu. Semua benda tentang diri dia orang lain yang kena jaga. Aku pun tak faham macam mana dia boleh jadi bos.

            Bos keempat ialah, seorang lelaki yang nampak warak, alim dan seumpama dengannya. Tetapi selalu ajak aku keluar minum berdua. Kadang-kadang dia datang ke meja dan gesel-gesel badan dia. Ceh. Tak sampai sebulan aku terus cabut. Mana tahan. Badan banyak bulu, malaslah aku nak kutuk. Sebab bulu tu bukan dia buat sendiri. Tapi perangai dia tu. Kadang-kadang duduk di meja kerja, boleh dia buka butang kemeja bahagian atas. Agaknya nak kasi orang tengok bulu dia yang bersepah-sepah tu. Tolonglah. Setiap kali tengok muka bos, aku rasa nak cari mesen rumput dan nak cukur semua bulu dia. Katakanlah dia banyak bulu dan berangai sopan, aku tak fikir bulu tu akan jadi isu. Tetapi sebab perangainya yang entahlah. Tak reti nak jelaskan. Memang setiap kali nampak muka bos, aku tak dapat tahan. Selepas sebulan, aku terus cakap babai. Tanpa alasan.

            Akhirnya, terjadilah pertemuanku dengan bos kelima ini. Sudah dua tahun kami bersama. Hm. Maksud aku, bekerja bersama. Haha. Nama dia Marcus. Ibu warga Jerman. Ayah warga Malaysia berbangsa Cina. Tinggi. Bibir berwarna pink. Jari panjang. Runcing. Kuku pun warna pink. Bersih. Wangi. Pengemas. Baik hati. Suka ambil berat. Sangat hormat perempuan. Pendek kata tak ada benda aku nak komen pasal dia. Memang aku sangat bersemangat bekerja dengan bos seperti dia. Kalau dia suruh kerja pada hari minggu pun aku sanggup.

            Serius. Ada kes, projek nak cepat siap. Dia ajak aku datang kerja hari Sabtu dan Ahad. Dia tanya dulu kalau aku sudi. Ceh. Masakan aku tak sudi. Kerja tujuh hari seminggu selama dua puluh empat jam pun aku sanggup. Lagi pula dia akan sentiasa ada di sisi. Gitu. Walaupun kerap juga kami bekerja sampai lewat malam, tetapi selama dua tahun ini tak pernah dia menunjukkan kelakuan yang tidak senonoh dan tidak terpuji di hadapan mataku. Jika dia tiba-tiba datang nak tunjukkan sesuatu di komputerku, dia akan meminta dengan lembut agar aku alihkan tanganku dari tetikus. Dengan aroma baunya yang wangi. Aku kadang-kadang rasa tertekan juga bila perasaan sendiri gagal dikawal. Terasa diri di awan-awangan. Kali ni baru aku faham perasaan orang yang miang dan gatal. Haha. Tak menahan. Selama ni, serius aku tak pernah rasa. Memang sangat mencabar dengan bos kelima ini. Tetapi aku gembira bekerja di sampingnya. Segala arahan dan permintaan, aku laksanakan dengan penuh semangat dan keterujaan.

            Marcus Yong nama dia. Lelaki yang buat langitku sentiasa berbintang walaupun di siang hari.

            



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku