Lelaki Tak Suci Itu
Bab 3
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 02 Julai 2017
Kadangkala cinta dan takdir bersahabat baik. Kadangkala cinta dan takdir bagai bermusuh. Namun, aku akan beranikan diri, kerana cinta ini bagaikan hujan. Ia telah membuatkan aku lebih hidup dan tumbuh.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
464

Bacaan






“April, saya demam.” Terdengar suara lemah di hujung talian. Bayangkan bos yang kacak menelefon jam 6 pagi dan memberitahu dia demam. Nasib baik aku sudah mandi dan solat subuh. Jika tidak, mungkin mandiku tak basah. Dan solatku tak khusyuk.

        Selama 2 tahun bekerja dengannya, ini kali pertama bos menelefonku jam 6 pagi dengan suara yang lemah.

        “Boleh awak datang? Saya perlu ke klinik.” Ah. Dadaku tambah cemas. Tidak pernah walau sekali bos membuat permintaan begitu. Dan aku tidak tahu di mana rumahnya.

        “Nanti saya hantar lokasi saya.” Akhirnya bos menamatkan panggilan. Aku melengkapkan pakaianku, kemudian terus keluar.

        Apakah bosku yang kacak itu sakit teruk? Kalau tak teruk, masakan sampai dia telefon aku? Ah, takkan orang kacak tak boleh sakit, kan? Tetapi kenapa aku? Kenapa bukan famili dia? Kenapa bukan kawan-kawan dia? Aku hanya seorang pembantu yang tak pernah masuk ke wilayah peribadinya. Hatiku berbalas-balas tanya. 

        Tidak susah untuk mencari rumah bos. Tetapi, yang susah ialah, macam mana aku nak masuk rumah bos? Boleh ke aku masuk? Kalau dia telefon aku, bermakna memang tiada orang lain di rumahnya ketika itu. Apakah?

        Oh, jangan fikir yang negatif, April. Bosmu itu bukanlah lelaki durjana. Namun, untuk keselamatan semua pihak, aku meminta tolong salah seorang daripada pengawal di kawasan kediaman bosku itu agar menemaniku naik ke tingkat 17. Kalau bos sakit teruk, macam mana aku nak bawa dia ke klinik? Tentulah aku memerlukan tenaga lelaki untuk menolong. Dan ternyata perkiraanku tidak meleset.

        Suhu badan bos tersangat panas. Aku terpaksa bertindak ala-ala doktor – memeriksa suhu bos dengan meletakkan tangan ke dahinya. Aku halalkan sajalah. Kecemasan. Selepas di bawa ke klinik, demam bos mencecah 41˚C. Patutlah mata bos sampai merah berair. Kesian sungguh aku lihat muka bos ketika  aku mula-mula masuk ke rumahnya. Sebelum encik pengawal keselamatan memapah bos keluar dari pintu, bos memberi arahan kepadaku supaya mengambil dompetnya di dalam bilik.

        “Ada sesiapa yang perlu saya hubungi?” tanyaku ketika berada di dalam kereta. Bos menggeleng. Aneh. Selama dua tahun ini, aku tahu ayahnya ada di dalam negara. Hanya ibunya saja yang berada di Jerman. Dan 2 orang adik beradik bos yang lain memang menetap di Malaysia. Aku juga tahu, bos ramai kawan. Setiap kali ada janji temu di luar kawasan, bos memang sering bertemu dengan kawan-kawan. Ada juga yang kerap datang menyinggah di pejabat. Cuma aku ni jenis malas nak ambil kisah hal peribadi orang lain, walaupun ada beberapa kawan bos yang selalu menyapa dan menegurku, tetapi aku hanya tahu nama. Ya. Bosku itu memang kacak. Dan baik. Tetapi aku tetap tak suka campur hal peribadi orang. Walaupun bos dah macam magnet yang menarikku bersemangat untuk datang kerja dan selesaikan semua tugasan, tetapi aku memang tetap tak suka campur hal peribadi orang. Melainkan kalau ibu atau ayah bos yang datang pejabat, aku akan ambil kisah. Bakal ayah dan ibu mertua, kot? Hahaha. Sempat lagi aku menggatal dalam keadaan darurat.

        Kenapa bos tidak mahu menghubungi sesiapa? Biasanya jika bos MC, dia hanya hantar pesanan di telefon. Dan paling lama pun tiga hari aku tak akan nampak muka dia. Tanpa menyuruh aku datang ke rumahnya dan membawa dia ke klinik. Aneh. Kali ini bos memang aneh.

        “Sekarang, macam mana saya nak tinggalkan bos seorang diri di rumah dalam keadaan demam macam ni?” Tanyaku selepas membawa bos pulang dari klinik. Pengawal keselamatan pun sudah keluar. Aku tidak boleh berlama.

        “Tak mengapa. Sudah ada ubat. Saya boleh jaga diri sendiri.” Jawab bos. Masih lemah.

        “Mana boleh, bos. Paling kurang, biarlah saya hubungi sesiapa yang boleh temankan bos untuk sehari dua. Macam mana bos nak cari makan? Nak mandi? Nak basuh baju? Nak macam-macam.” Aku sangat tak sampai hati.

        “Kalau macam tu, awaklah duduk sini jaga saya.” Jawab bos selamba. Kalau bos tak demam waktu tu, nescaya jantung aku dah keluar melompat-lompat naik sampai bumbung kondominium dia ni. Namun, aku masih waras. Kalau aku nak miang pun, bukan dalam keadaan bos demam macam ni. Hakikatnya, aku hanya seorang perempuan normal yang masih tak ada calon suami. Mustahil jantung tak berdebar bila bos yang aku sanjung tinggi tu cakap macam tu.

        “Bagilah saya telefon sesiapa, bos. Kalau tak, berat hati saya nak balik. Kalau balik pun, tentu saya tak boleh buat kerja. Macam mana kalau tiba-tiba bos, hesy.!! Nanti saya juga yang menyesal.” Aku tak mahu berselindung dengan kerisauanku sendiri. Mahunya esok pagi aku dapat berita bos meninggal? Tentu aku akan dihantui rasa bersalah seumur hidup sebab tinggalkan bos mati keseorangan.

        “Saya rasa saya belum mahu mati lagi. Tapi kalau mati betul-betul, itu fitrah, April. Semua orang akan mati seorang diri. Mati tak akan berteman.” Aduh. Bos macam dapat baca apa yang ada dalam kepalaku.

        “Bos.” Aku buat muka kesian. Mohon kalau-kalau hati dia terbuka untuk benarkan aku hubungi seseorang. Namun bos tetap berkeras dan cakap dia tak akan apa-apa. Dia dah ok selepas makan ubat. Katanya. Tetapi aku tetap tak puas hati. Aku diam di muka pintu sebelum keluar. Otakku ligat mencari solusi.

        Tiba-tiba aku teringat seseorang.

        “Mohd Ogos, hari ni sila ponteng kuliah. 15 minit lagi Kak Long sampai hostel ambil.” Aku memberi arahan tanpa dengar respons adik bongsuku itu.

        “Bos, minta kunci rumah? Ada lebih?” Aku berpatah balik. Menuju ke bilik bos.  Lelaki itu yang masih berbaring dan kelihatan letih memandangku dengan tanda tanya.

        “April, selama ni awak seorang yang baik. Tentu awak sayangkan saya. Sebab awak tak pernah bantah apa yang saya suruh. Mungkin sebab awak anggap saya ni memang seorang bos. Tapi selama ni saya tak pernah harap awak patuh dengan semua arahan dan suruhan saya. Kerana saya tahu awak juga manusia. Tetapi kali ni, saya harap awak dengar cakap saya. Saya baik-baik saja. Cuma perlu berehat. Awak baliklah. Jangan risau. Pergilah kerja, selesaikan apa yang patut.” Suara bos agak sayu.

        Alahai bos. Jangalah buat hati saya ni semakin berat nak tinggalkan bos. Memang saya sayangkan bos. Bukan sahaja sayang. Tetapi lebih banyak hormat. Sebab bos tak pernah suruh yang bukan-bukan. Bos tak pernah marah tak tentu pasal. Bos tak pernah paksa saya buat apa yang saya tak mampu. Bos sangat bertolak ansur dengan kemampuan dan kebolehan saya. Jadi, kenapa saya nak bantah bos? Hatiku pun dah mula turut berasa sayu. Tetapi betul. Ya, aku perlu ke pejabat. Banyak kerja dan tugasan yang sedang menunggu.

         



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku