Lelaki Tak Suci Itu
Bab 4
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 02 Julai 2017
Tentang cinta - yang kadangkala manis kadangkala pahit. Kadangkala berjaya kadangkala gagal. Takdir pula adalah sesuatu yang aneh. Kadangkala cinta dan takdir bersahabat baik. Kadangkala cinta dan takdir bagai bermusuh. Namun manusia tidak pernah serik untuk jatuh cinta. Kerana cinta adalah sumber harapan yang membuatkan manusia ingin terus hidup.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
222

Bacaan






            Balik kerja, sampai rumah, aku terus mandi membersihkan diri untuk terus bergegas ke rumah bos.

            “Kak Long, saya dah masak  bubur untuk bos Kak Long. Tapi dia makan 2 sudu saja.” Ogos memberitahuku sebaik saja aku sampai. Masuk ke rumah bos, kelihatan Ogos sedang rileks di hadapan tv. Wajahnya kelihatan sedikit kebosanan.

          “Terima kasih. Kalau awak tak ada, tak tahulah apa yang Kak Long nak buat. Terima kasih.” Aku melabuhkan duduk ke sofa. Macam rumah sendiri pula.

           “Demam dia macam mana?” Tanyaku. Sambil menjeling ke arah pintu bilik bos.

           “Saya cek suhu badan dia jam 5 tadi, dah kurang sikit demamnya.” Beritahu Ogos. Hatiku terasa lega. Ogos ini memang lelaki serba boleh. Bukan nak puji adik sendiri, tetapi memang begitulah realiti perangai adik bongsuku itu. Kalau aku berada dalam kesusahan, dialah orang pertama yang menjelma dalam kepalaku. Bukan kerana dia satu-satunya lelaki dalam keluarga kami. Tapi memang sikap dia mudah membantu dan serba boleh. Walaupun dia ambil bidang kejuruteraan nuklear, kemas rumah boleh, masak boleh, menjahit boleh. Bab baiki kereta dan kerja baiki membaiki lagilah dia boleh buat. Setakat jaga bos demam, macam makan kacang je bagi dia. Cuma, adik bongsku ini, satu saja yang mungkin orang biasa tak tahan dengan dia – perfectionist. Bagi aku itu tak jadi isu sebab Mohd Ogos ni jenis tak kacau orang. Tak suka menyibuk hal orang. Cuma, kalau nak buat kerja dengan dia, kena tahanlah. Sebab dia akan buat kerja sehabis sempurna. Bilik tidur dia ringkas, wangi dan kemas. Dia juga seorang yang mininalis. Katanya, tak perlu bazirkan masa hidup untuk menguruskan barang-barang yang sebenarnya tidak perlu pun untuk menjadi seorang manusia. Sebab kebanyakan orang tak mampu nak mengatasi kehendak diri. Yang penuh dalam rumah kita sebenarnya adalah kehendak nafsu, bukan keperluan. Begitulah katanya. Itulah adik bongsuku.

          “Lepas maghrib saya keluar.” Mata Ogos kembali tertumpu ke skrin tv. Dia ada kelas malam. Jam 8 hingga 9.30 malam. Kelas ganti. Nasib baik kondominium bos ni tak jauh dari UTM Jalan Semarak. Aku berasa sedikit lega.

           Sebelum keluar ke kelas, Ogos sempat menjenguk bos, buka pintu dan biarkan ia terbuka.Katanya, senang kalau ada apa-apa, bos boleh panggil namaku tak perlu bangun atau pun menjerit.

          “Pergi dulu, Kak Long.” Susuk tubuh Ogos mula menghilang dari pandanganku selepas itu. Aku mengunci pintu geriji, dan pintu rumah kubiarkan saja terbuka. Walaupun bosku itu kacak, aku tak mahu merosakkan reputasi dan meruahku sendiri. Nak menggatal biar bertempat ok. Selepas itu aku merebahkan badanku ke sofa. Betulkan urat-urat dan rasa lenguh badan. Aku pun sambung aktiviti Ogos tadi. Mengadap tv. Sesiapa yang lalu lalang di depan pintu, akan nampak aku dengan jelas. Nasib baik adik keduaku, June berada jauh di Melaka. Kalau tidak, dia akan turut menjadi mangsaku pada malam ini. Habis akanku angkut adik beradik dan saudara maraku datang berkumpul rumah bos. 

            Aku terasa pelik benar kalau sakit demam kena duduk sorang diri. Sebab aku sentiasa ada keluarga di sisi baik ketika sihat atau sakit. Kalau demam, bawah ketiak ibulah tempat tidurku.

             “April…”

             Tiba-tiba terdengar suara bos memanggilku. Kedengaran lemah. Tiba-tiba aku jadi panik.Tak seperti ketika bos memanggilku di pejabat. Yalah. Ini rumah bos, beb! Mana pernah aku masuk rumah lelaki bujang sebelum ini. Nak jeling pun tak pernah ada niat. Tapi sekarang….

             “April…”Panggilan itu berulang. Aku akur. Perlahan-lahan aku menapak ke pintu bilik.

             “Ya,bos?”

              “Ambil duit dalam dompet saya. Pergilah cari makanan. Awak tentu belum makan malam.”

              “Eh, tak apa, bos. Saya dah makan siap-siap kat rumah tadi. Bos tak payah risaukan saya.”

              “April..”Suaranya terhenti.

              “Maaf kerana menyusahkan. Saya tak terfikir awak akan buat untuk saya sampai macam ni.”

            “Tak apa, bos. Saya kan biasa buat kerja-kerja macam ni. Hm, maksud saya, saya dah biasa  buat kerja selepas balik kerja.Errr.” Entah kenapalah ayatku bunyi macam berbelit-belit je. Adoi. Ada dua perkara penting yang perlu semua orang pertimbangkan di sini. Pertama, aku memang ada sedikit perasaan miang dan gatal terhadap bos. Yang kedua, bos sedang dalam keadaan sakit. Hal pertama dan hal kedua bertembung. Jadi, dalam momen yang seperti sekarang ni, aku tak tahu nak dahulukan perasaan yang mana.

                Bos diam.

                “Saya keluar dulu ya, bos.” Aku cepat-cepat menyelamatkan diri. Malas nak sebut di sini. Tapi kena sebut juga. Bos walaupun sedang sakit, dia tetap kacak, ok. Berbaring dengan t-shirt putih dan seluar tidur, aku rasa aku perlu cari jalan untuk sentiasa menyelamatkan diri.

                Bos sedang sakit tetapi keselamatan bos lebih terjamin. Aku sihat dan normal. Sebab itulah keselamatan emosiku kurang terjamin. Jadi kena pandai-pandailah. Jika tidak, sia-sialah ibu melahirkan aku. Fitrah manusia memang suka dan tertarik kepada lawan jantina. Tetapi, yang memuliakan fitrah itu ialah bagaimana kita menggunakan akal. Jika fitrah itu dilaksanakan dengan cara yang rendah, tak adalah bezanya manusia dan haiwan. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, kenalah kita laksanakan fitrah itu pada yang yang tinggi, iaitu pada jalan yang terhormat sebagai makhluk bernama manusia.

                Demikian aku menasihati diri sendiri. Sehinggalah Ogos pulang dari kelas. Sebelum meminta diri untuk pulang, aku sempat menjenguk bos di dalam biliknya dan meletakkan segelas susu segar. Kalaulah bos tahu, berat hati saya nak tinggalkan bos dalam keadaan macam ni. Tetapi saya ni manusia. Kena bertindak berpandukan akal yang sihat. Jika tidak, saya akan merosakkan kehidupan orang lain dan kehidupan saya sendiri. Harap bos faham ya. Chewah. Walaupun hati terasa macam sayu tetapi sempat lagi aku menasihati diri sendiri untuk kali yang terakhir sebelum beredar dari rumah bosku yang kacak itu. Aku tahu, Ogos akan menjaga bos dengan baik. 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku