Lelaki Tak Suci Itu
Bab 5
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 02 Julai 2017
Tentang cinta - yang kadangkala manis kadangkala pahit. Kadangkala berjaya kadangkala gagal. Takdir pula adalah sesuatu yang aneh. Kadangkala cinta dan takdir bersahabat baik. Kadangkala cinta dan takdir bagai bermusuh. Namun manusia tidak pernah serik untuk jatuh cinta. Kerana cinta adalah sumber harapan yang membuatkan manusia ingin terus hidup.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
354

Bacaan






             Hari ke-4, bos kembali sihat. Datang ke pejabat seperti biasa. Mohd Ogos menjaga bos dengan baik sekali. Sampai bos cakap kepadaku,

            “April, adik awak tu manusia atau malaikat?” Ah, terlalu tinggi pujian bos terhada Ogos, adik bongsuku itu. Sebagai kakak, haruslah aku berbangga tetapi tidaklah secara berlebihan. Kerana hakikatnya, manusia bukanlah malaikat. Mustahil ada manusia yang tak ada kekurangan.

            “Tetapi, lain kali, kalau saya demam lagi, saya lebih rela awak yang jaga saya di rumah. Seperti awak jaga saya ketika di pejabat.” Kata-kata bos itu buat aku rasa rohku melayang-layang naik, kemudian tersangkut di tiang elektrik.

            “Bos jangan nak buat pikat line sangat, bos. Nanti bos yang tak selamat.” Aku cuba meredakan keadaan sendiri. Sah-sah bos tak tahu aku hampir mati terkena kejutan elektrik.

            “Saya akan lebih selamat dengan awak, April.” Walaupun muka bos kelihatan serius ketika berkata begitu, aku tetap rasa nak nafikan keseriusan itu kerana aku rasa bos ni belum betul-betul sembuh.

            “Kalau pun bos nak berterima kasih kepada saya sebab hantarkan adik saya jaga bos ketika demam, janganlah bos cakap benda-benda pelik macam ni. Nanti saya pula yang demam.”

            Aku terus berlalu meninggalkan bos terkulat-kulat di mejanya. Aku perlu menyelamatkan diri. Tak mahu terkena kejutan elektrik banyak kali. Tak best langsung. Dada rasa bergegar macam nak pecah. Nafas terasa pendek. Sampaikan otak pun terasa macam bergegar-gegar. Memang tak best langsung perasaan macam ni.

            Keluar dari bilik bos, aku pura-pura mengemas meja yang sudah kemas. Terasa kulit mukaku setebal tapak kasut. Atau mungkin lebih tebal dari itu. Janganlah, bos. Rayu hatiku di dalam. Janganlah berikan saya harapan yang tinggi. Lebih tinggi kita terbang, kalau jatuh, lebih parah, bos. Janganlah bermulut manis sangat dengan saya ni, bos. Saya ni perempuan biasa-biasa saja. Kalau dah hari-hari mengadap muka bos yang kacak tu, dan sikap bos yang memahami, pekerti bos yang mulia tu, yang tak pernah maki saya ketika salah, tak pernah buat benda-benda yang tak baik kepada saya, macam mana saya tak jatuh hati bos? Lagi-lagi, bos masih bujang. Saya rasa, kalau saya ni buta pun, saya tetap tak dapat tahan untuk jatuh hati kepada orang seperti bos. Mengertilah, wahai bos. Simpan saja kata-kata manis bos yang boleh buat saya rasa diri seperti terperangkap di dalam bilik bom. Tolonglah, bos. Sekian.

            Aku menarik fail Building Energy Assessment untuk audit tahun lepas. Aku semak apa yang patut dan pastikan fail tersebut betul sebelum Encik Farid datang mengambilnya sebentar lagi. Ketika leka menyelak beberapa fail, bos panggil masuk ke biliknya.

            “Dah buat keputusan untuk projek Tuan Basri?” Tanya bos. Dia bersandar di kerusinya dalam keadaan yang sangat rileks.

            “Kalau ikut pandangan saya, projek Tuan Basri tu patut diserahkan kepada MPOC. Mereka lebih arif tentang ladang kelapa sawit. Lagi pun, saya tak nampak pihak Tuan Basri yang mencadangkan audit ini adalah untuk mendapatkan ketelusan. Sebaliknya, yang saya tahu rekod FURGT sangat teruk. Kalau kita nak audit FURGT, kita tak perlu nak berikan cadangan untuk pembaikan, tetapi kita perlu serahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan. Tetapi terpulanglah kepada bos. Kerana bayaran yang ditawarkan sangat tinggi.”  Ucapku jujur.

            “Ok. Saya bersetuju dengan awak. Ketika Tuan Basri menghubungi saya untuk berjumpa, saya sudah rasa pelik. Syarikat kita ni, syarikat konsultasi alam sekitar. Tapi cara dia cakap, macam kita ni agensi jual perempuan pulak. Dan semalam baru saya tahu, dia pernah nampak saya dengan Laura. Mungkin dia fikir Laura adalah PA saya. Saja nak cari alasan. Salah orang.” Beritahu bos. Fikiranku terus singgah ke wajah jelita Laura, teknologis yang sekali pandang semua orang ingat dia adalah model catwalk. Memang wajah dan penampilan Laura menepati selera lelaki buaya tak sedar diri macam Tuan Basri tu. Padan muka. Mesti Tuan Basri nak termuntah hijau bila nampak aku yang datang bersama bos pada hari itu – bukan Laura. Kalau nak bekerja, buat cara nak bekerja. Jangan nak menggatal tak kira siapa. Hormatlah sikit orang yang tak berapa kita kenal. Ini main redah saja. Tahulah dia banyak duit.

            “Jadi?” Tanyaku kemudian setelah puas membebel dalam hati.

            “Jadi, tolak sajalah.” Jawab bos. Senang. Aku mengangguk.

            “Kalau begitu,saya keluar dulu, bos.”

            “Hm, tunggu. Hari ni awak keluar makan tengahari dengan saya, ya. Bukan urusan kerja. Kita makan-makan saja.” Bos memandang tepat ke mataku. Aku rasa dadaku terbakar serta merta. Siapa kata cinta itu indah? Kalau indah, kenapa setiap kali bos berkelakuan yang menjentik hati seperti itu, kurasakan wajahku dan dadaku terbakar. Ada bau hangus.

            Ops. Apakah ini cinta? Kalaulah begini yang dikatakan cinta, sumpah. Sumpah aku tak mahu simpan perasaan ini lama-lama. Aku tak sanggup nak terbang naik tersangkut di tiang elektrik setiap kali bos cuba beromantik denganku. Atau ketika dia senyum manis sambil memandang tepat ke dalam anak mataku.

            Bos. Janganlah dera saya sebegini. Saya ni perempuan biasa saja bos. Tak banyak duit pula. Tak cantik. Ada masalah penampilan, keras kepala, dan banyak lagi serba kurang. Janganlah buat jiwa saya mencair. Kerana sekali ia cair, saya mungkin terus hangus, bos.

 

            



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku