IMAMKU ENCIK PILOT
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 Julai 2017
QASHA IRDINA, memilih untuk berkahwin dengan lelaki pilihan ayahnya setelah menghilang dan memutuskan pertunangan secara tiba-tiba. Dia cuma harapkan perkahwinan ini bakal menjadi bahagia. Namun, siapalah dia untuk mengecapi bahagian sedangkan dirinya tidak sempurna pun. Kemunculan pelbagai manusia telah menambahkan lagi rencah dalam kehidupan rumah tangganya. Namun, yang menariknya, siapakan lelaki yang sentiasa menyelamatkannya tanpa dia kenal identiti lelaki itu? Adakah lelaki itu suaminya... atau orang lain? Follow Pena Putera di : FACEBOOK : Pena Putera BLOG : karyapenaputera ILHAM : Pena Putera WATTPAD: PenaPutera NOVEL+ : PenaPutera
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
348

Bacaan






CAMERON HIGHLANDS terasa sejuk pada malam ini. Aku pandang luar jendela bilik hotel. Menikmati keindahan pekan Brinchang. Memang cantik pada malamnya. Waktu-waktu macam ini, memang tak ramai mana orang. Cuba kalau musim cuti sekolah, pastinya bersesak dengan pelbagai manusia yang bercuti.


Daniel pula kulihat sibuk mengemas barang-barang kami. Aku nak tolong, tapi dia melarang. Nak tunjuk baik la kononnya. Tapi dia memang baik pun. Dulu kalau cikgu suruh padam papan hitam, dialah lelaki paling berani angkat tangan untuk menolong.


Lelaki lain… Sembang saja anak jantan. Tolong padam papan hitam, semua surrender mengalahkan ayam jantan. Buat malu aje.


“Termenung apa itu?” Dia menghampiriku dan peluk pinggangku dari belakang. Mahu aku tak terkejut. Daniel ini, ada-ada aje nak bermanja. Tahulah dia anak paling manja dalam keluarganya. Sampai dengan aku nak manja.


“Biasalah… Fikir tentang aktiviti untuk esok.”


“Awak nak buat apa aje esok?” Makin erat dia peluk aku. Dan makin selesa aku berada dalam pelukannya.


“Jalan-jalanlah. Tak akan datang sini nak kerja pula.”


Dia senyap. Aku pun senyap juga.


Satu fakta tentang Daniel, dia memang pendiam tetapi sangat riuh bila dia bercakap dengan orang yang dia rapat. Maknanya, aku tak cukup rapat dengannya. Sebab itulah dia selalu diam dengan aku.


Well… Kalau awak tak keberatan, boleh saya jadi tour guide untuk awak esok?”


Aku tak kesah. Dia nak jadi apa pun, dia tetap suami aku. Juga. Sudahnya, aku mengangguk. Tak sabar nak tahu ke mana dia akan bawa aku esok. Yang pasti, tempat paling wajib pergi haruslah strawberry farm.


Somehow, I feel warm with you.” katanya tiba-tiba. Dia memusingkan badanku dan menghampiri wajahku. Aku terkejut dengan perbuatannya. Apa yang dia nak buat ini? Kenapa perasaan ini semakin menggila?


Well, I said before. The one hug, will make us warm, right?”


Apa maksud dia? Atau… Dia nak goda aku? Waaa… Imam saya lemahlah kalau macam ini. Mana aku nak lari? Aku tak sedia lagi. Aku rasa macam berat untuk lakukan. Walaupun bersama Daniel.


“Errr… Saya nak mandi. Badan rasa berlengas.” Aku cipta alasan.


“Awak nak saya tolong set, kan alat mandian panas ke?”


“Tak apa. Saya boleh buat sendiri.”


“Baiklah.”


Aku mula menapak masuk ke dalam bilik mandi dengan baju dan alat kebersihan diri. Aku dah rancang nak salin baju terus di dalam bilik. Ketika masuk bilik mandi, aku benar-benar gembira. Ada tab mandi.


Bolehlah relaks ketika ini.


Usai mandi, aku keluar daripada bilik air dengan berpakaian lengkap. Ketika aku keluar, mataku tertancap pada sesuatu. Pada Daniel! Ya Allah, kuatkanlah hati hamba-Mu ini. Bagaimana aku boleh melihat Daniel dalam keadaan begitu?


Dia hanya bertuala paras pinggang saja. Menampakkan tubuhnya yang lawa. Aduh, kenyang aku tiba-tiba. Gatal!


“Awak dah siap mandi?”


Aku geleng. Eh, silap pula. Cepat-cepat aku angguk. Dia tersengih. Mesti dia ingat aku ini seorang yang clumsy. Hakikatnya, memang aku clumsy pun. Tak dinafikan. Baru tengok bodi lawa suami kau, terus tak keruan, ya?


“Nanti lepas ini, kita keluar cari kedai makan sama-sama. Okey?” katanya sebelum masuk ke dalam bilik mandi. Aku labuhkan punggung di birai katil. Macam manalah aku boleh jadi seperti ini?


Haih… Apa-apa pun, dapat juga tengok Daniel payung sesuatu. Gatal juga aku ini, ya? Haha.


Telefonku galak menyanyi dumb dumb dumb… Macam tengah perli aku aje sekarang ini. Saman karang Red Velvet nanti. Aku pandang skrin telefon. Nama Adara tertera. Apa kes pula adik aku telefon ini? Nak pinjam duit?


“Kenapa telefon ini?” Aku tanya selepas jawab salam. Adara ketawa terbahak-bahak. Aku buat lawakkah tadi? Rasanya tidak. Aku tanya dia soalan kut.


“Amboi, marah pengantin baru kita ini. Nak tanya, betul ke Kak Sha pergi berbulan madu di Cameron Highlands? Jangan risau, Adara tak tanya bukan-bukan.”


Tak payah nak tanya sebab kalau gatal sangat mulut itu bertanya, memang aku sekolahkan cukup-cukup.


“Kalau ya pun, kenapa?”


“Nak kirim buah strawberi la.”


Memang menjadi satu kemestian kalau datang ke Cameron Highlands dan bawa pulang strawberi. Kalau tak dapat pergi, kirim saja dengan orang yang pergi. Sudahnya, kereta Daniel jadi mangsa. Penuh bonet dia dengan kiriman orang.


“Boleh aje. Tapi ada limit, tau.”


“Siap ada limit pula. Macam nak bawa balik air zam zam daripada Mekah pula.”


“Masalahnya, bukan Adara sorang yang kirim. Ibu dan ayah kirim, Kak Anita kirim, Abang Firdaus kirim, keluarga belah Daniel kirim. Kami yang berbulan madu ini, rasa macam berniaga pula.”


Adara ketawa. “Biasalah itu. Lain kali, jangan berbulan madu kalau tak nak orang kirim.”


“Selepas ini kalau nak pergi bercuti, nak pergi senyap-senyap. Biar tak ada siapa kirim.”


“Uiks, janganlah. Nanti sekali Kak Sha bercuti London, tak dapatlah Adara nak rasa ole-ole London.”


Aku ketawa. Amin. Kalau ada rezeki nak ke sana, memang aku nak pergi. Boleh tengok menara Big Ben sambil layan lagu Big Bang.


Whatever… Tunggulah Adara dah kaya nanti, waktu itu Adara tak main dah kirim-kirim. Adara beli sendiri. Kalau rasa nak dinner di Tokyo, Adara naik flight terus terbang ke Tokyo untuk makan sushi di sana.”


Sebab itulah agaknya Allah tak bagi Adara ini kaya lagi. Sebab tak insaf lagi.


“Dah siap?” Daniel muncul dengan pakaian tak formal. Maknanya, dia sudah bersiap untuk keluar sementara aku sibuk telefon dengan Adara. Bila dia selesai mandi aku tak perasan.


“Siap apa itu?” Adara tanya. Tapi, jelas kedengaran nada suaranya jadi miang.


“Nak bersiap untu keluarlah! Siap apa lagi?”


“Ooo… Adara dah tak tanya lagi. Selamat menikmati bulan madu, Kak Sha.”


Setelah menamatkan panggilan, aku mula kelam-kabut bersiap mahu keluar. Again, I show my clumsy side.




PASAR MALAM BRINCHANG benar-benar meriah malam ini dengan kunjungan orang ramai. Aku memang menanti-nantikan saat ini sebab sudah lama aku tidak jejakkan kaki ke sini. Rasanya, tiga tahun lepas aku menjejakkan kaki ke sini. Itupun sebab family trip. Sekarang, couple trip.


Bila nampak gerai yang jual bunga-bunga, aku terus tarik Daniel ke situ. Aku tahu, bunga-bunga yang dijual di sini pasti murah dan bukannya bunga plastik tetapi bunga yang segar. Sudahlah cantik bunga-bunganya.


“Awak nak beli, ke?” Daniel pandang aku. Tak akanlah aku cakap tak nak. Mestilah nak. Perempuan dan bunga mana boleh dipisahkan. Daniel dan aku pilih bunga yang sesuai untuk dibeli.


“Yang ini cantik tak?” Dia tunjukkan aku seplastik bunga lavender. Aku angguk.


“Yang ini pula?” Dia tunjuk bunga ros di dalam plastiknya. Lagilah cantik.


“Semua cantik, kan?”


Pun aku angguk. Itu pun nak tanya lagi.


“Nanti saya belikan kedai bunga untuk awak.”


“Buat susah-susah aje.” Sebab nanti aku akan bunuh bunga-bunga itu. Aku bukannya reti sangat jaga bunga. Sebab itulah, kalau beli bunga hidup, memang cepat innalillah. Beli bunga plastik jugalah menjadi pilihan hati.


Selepas beli bunga di gerai tadi, aku singgah ke gerai yang jual nasi lemak sambal strawberi. Aku terbayang, pedas tak sambal strawberi dia itu? Rasa macam kelakar pula mendengarnya. Tapi, nampak menyelerakan.


Selesai membeli beberapa makanan, kami cari tempat untuk makan. Tapi, tak jumpa juga tempatnya. Semuanya penuh. Maklumlah, hujung minggu. Masa untuk relaks dengan ahli keluarga dan kawan-kawan. Jadi, makan di hotel sajalah kami malam ini.


“Sedap ke nasi lemak strawberi itu?” Dia tanya seraya suapkan nasi goreng ke dalam mulutnya.


“Bolehlah. Rasa macam strawberi juga,” komenku. Cuma, sedap lagi nasi lemak yang original. Dengan sambal pedasnya itu.


“Nak sikit.”


Daniel ini memang suka sangat bermanja. Asyik nak kena suapkan saja. Aku pun tak hairan sangat sebab terserahlah dia nak buat apa pun. Bukan jadi masalah kalau aku nak suapkan dia pun.


“Esok kita pergi kebun strawberi. Mesti awak dah kempunan nak kutip, kan?”


Yeay! Dapat juga pergi kutip. Tak sabar rasanya aku nak pergi kutip.




SELEPAS seronok mengutip buah strawberi sebentar tadi, aku dan Daniel berehat sekejap sambil menikmati angin tengah hari yang sangat sejuk walaupun di bawah terik matahari. 


Peluh pun segan nak menitik di dahi. Tak pernah-pernah aku pakai baju sejuk siang hari di luar ini. Bukan selalu juga, kan?


“Banyak betul awak kutip strawberi tadi.”


“Mestilah banyak. Bukan selalu datang sini.”


“Tapi, dah macam stok untuk setahun.”


“Orang kirim, mestilah nampak macam stok setahun.”


Kami diam selepas itu. Layan perasaan masing-masing. Aku hirup strawberry milk shake di dalam bekas cawan. Tiba-tiba, mataku tertangkap akan sekujur tubuh yang berdiri jauh di sana. Dia seolah-olah sedang memandangku.


“Kenapa?” Aku menoleh kepada Daniel bila dia tanya. Kemudian, mata mencari susuk tubuh itu, namun telah pun hilang. Perasaan aku aje kut.


“Awak…” Aku panggil dia.


Call me abang. It’s better.”


Aku telan liur. Panggil dia abang? Kami sebaya kut! Ya, kalau ikutkan, dia lebih tua berbanding aku. Dia lahir bulan Feburari, dan aku lahir bulan Jun. Well, dia suami kau, kut Qasha. Memang berhaklah dia dapat gelaran abang.


“Okey. Abang…” Aku sebut dengan perasaan yang sangat janggal.


Awkward?” Dia meneka. Aku geleng. Tak naklah dia terasa pula nanti.


“Jadi, kenapa macam lain sangat sebutan awak itu? Awak panggil saya abang, tapi rasa awak macam panggil saya benda lain. Awak tak memaksudkannya,” sambungnya lagi.


“Saya cubalah ini.” Bagaimana aku mahu memaksudkannya? Nampak sangat aku ini kayu. Cubalah berlakon betul-betul kalau tak boleh nak memaksudkannya pun. Biar nampak natural.


“Saya cuba, ya. Abang…” Cubaan pertama.


“Kaku.”


“Abang…” Cubaan kedua. Lebih manja.


“Terlebih manja.”


“Abang…” Cubaan ketiga. Cuba tahan geram.


“Macam nak pukul abang aje.”


“Abang!” Akhirnya, geram sudah aku. Dia gelak. Main-main pula dengan aku.


“Nampak dah natural itu.”


Wayar putus agaknya Daniel ini.



JALAN-JALAN di Cameron Highlands memang tak puas. Dari sana ke sini, sini ke sana… Sekejap saja tempohnya. Terburu-buru kami ke sana ke sini. Akhirnya, tibalah di MARDI, destinasi kami yang seterusnya.


Kali ini aku tak tahu berapa lama. Lepas seronok posing-posing di sini, Daniel nak ajak aku pergi minum teh BOH pula. Sungguhlah. Jalan-jalan dengan lelaki, memang tak tahan. Atau, aku seorang saja yang terasa cepat sangat masa berlalu?


“Kita selfie di sini, nak? Cantiklah bunga-bunga ini!” Aku buka telefon dan mahu ambil gambar.


Puas berswafoto di MARDI, Daniel bawa aku ke ladang teh pula. Di sinilah aku rasa nak menari-nari macam dalam filem hindustan itu. Subhanallah… Cantiknya ladang teh ini. Hijau terbentang luas di bawah sana.


“Kita ambil gambar di bawah ya?”


Dia angguk. Tanggung beres!


Sungguh. Percutian bulan madu kami ini, memang seronok!




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku