SETERU : KORBAN 2
PROLOG
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 Julai 2017
SATU KEBANGKITAN SERIBU KEHANCURAN
Penilaian Purata:
686

Bacaan






500 Tahun lalu

DERETAN rumah kayu beratap rumbia ranap dibadai ribut. Separuh daripada perkampungan lenyap dan mengorbankan banyak nyawa. Tangisan sayu kesengsaraan terus berkumandang menjadi simfoni yang bercampur dengan alam.

            Ribut yang bertandang bukan sebarangan, melainkan angkara kejahatan yang berniat memporak porandakan kemakmuran hidup manusia. Suara tawa yang sinis saling bercampur meningkah tangisan penduduk yang malang. Langit gelap yang dibawa awan mendung mewujudkan kesuraman yang berpanjangan. Harapan manusia untuk meneruskan hidup terus terkubur dengan cepat.

            Raja Syaitan merupakan sang pembuat angkara.Kesaktiannya tidak tertingkah oleh kudrat manusia biasa. Tangannya mampu mengeluarkan api marak untuk membakar apa saja yang dikehendakinya. Segala bencana wujud untuk meluaskan ketakutan manusia. Dia sangat berbangga dengan kerosakan yang telah dilakukan.

            Semenjak kemunculannya pada 40 hari yang lalu, banyak Kerajaan telah ditakluk oleh tangannya seorang. Andai dirinya ditentang, maka dalam sekelip mata sahaja tanah Kerajaan itu akan bertukar menjadi padang jarak padang tekukur. Melenyapkan segala kehidupan di atasnya. Raja Syaitan dianggap kebal. Tiada sesiapa sanggup bertentang mata dengan makhluk segerunnya!

            Penderitaan bertali arus. Keamanan telah lenyap dalam kamus hidup manusia. Raja Syaitan berterusan melakukankerosakan dan pembunuhan yang melibatkan jutaan nyawa. Keperkasaannya memaksa seluruh penduduk dunia tunduk kepadanya. Menjadikan Raja Syaitan sebagai yang paling berkuasa di dunia.

Sebuah mahligai emas dibina di atas awan. Menjadi tempat persemayamannya. Juga bertujuan sebagai jurang darjat dirinya dengan manusia yang dianggap sebagai hamba dan hina. Tiada sesiapa yang pernah menjejakkan kaki di atas lantai mahligai emasnya kerana akal manusia biasa sudah pasti tidak mampu terbang meredah angin untuk mencapai awan.

            Pada suatu hari yang dipenuhi guruh dan petir di langit, sejarah mula terlakar apabila muncul seorang pemuda mencemarkan lantai mahligai emas dengan memijak masuk ke dalamnya. Pemuda itu berambut hitam lebat yang panjang mencecah ke pinggang. Berbusana lagaknya seorang pendekar Melayu yang terbilang. Renungan matanya tajam menikam ke jiwa lawan. Tersisip sebilah keris pada pinggang yang dililit sehelai selendang.Raja Syaitan tidak berasa kagum melihat kebolehan pemuda itu melainkan memandangnya dengan cebikan kebencian. ‘Kesucian’ mahligai emasnya dicemari oleh manusia dan dia begitu tekad mahu membunuhnya!

            “Siapa kau yang begitu berani menempah maut?” soal Raja Syaitan dengan sinis.

            “Namaku Darma Timur. Hanya seorang hambaTUHAN yang berasa tanggungjawab untuk menumbangkan kezaliman,” jawab pemuda itulalu mencabut bilah keris yang berlok tiga dan berbentuk kepala helang pada hulunya.

            “Hanya engkau seorang? Tidakkah kau mengetahui bahawa aku pernah melenyapkan armada perang yang berjumlah 300 ribu orang dalam beberapa detik sahaja. Bagaimana mungkin engkau seorang diri dapat menewaskanku? Aku ialah Raja Syaitan! Pemimpin sebenar umat manusia!” katanya angkuh menjulang diri sendiri.

            Darma Timur terdiam dengan aturan nafas yang kemas. Bibirnya bergerak mengalunkan sesuatu. Satu doa yang dipanjatkan kepada TUHAN sebagai penyerahan jiwa hamba dan tawakal kepada YangMaha Esa.

            “Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

            Dengan Nama ALLAH TUHAN sekalian alam.

            Dengan Nama ALLAH yang memiliki Arasy yang agung.

            Dengan Nama ALLAH, Maha pengampun lagi Maha mengasihani.

            Dengan Nama ALLAH, Maha memiliki keagungan suci.

            Dengan Nama ALLAH TUHAN Jibril.

            Dengan Nama ALLAH TUHAN Mikail.

            Dengan Nama ALLAH TUHAN Israfil.

            Dengan Nama ALLAH TUHAN Izrail.

            Dan malaikat yang menghampiri kepada mereka.

            Dan ALLAH, TUHAN yang menguasai seluruh alam.

            Dengan rahmatMU, wahai yang maha pengasih lagi maha menyayanyi.”

            “Hari ini adalah hari terakhir kau mendabik dada sendiri, wahai makhluk tercela,” Darma Timur membuka langkah kuda-kuda. Raja Syaitan tertawa sinis. Namun, sesuatu yang luar biasa telah berlaku. Raja Syaitan tersentak apabila bayang pemuda itu lesap dari pandangan matanya.

            “Di belakangmu,” kata Darma Timur yang tiba-tiba muncul di belakang Raja Syaitan dan pantas menghamburkan serangan pertama tanpa memberi peluang untuk lawannya bersedia.

            Akibatnya, Raja Syaitan terpelanting lalu terseret memecahkan lantai emas dalam bentuk parit yang panjang sehingga merempuh 20 lapisan dinding emas yang tebal di sepanjang laluannya. Raja Syaitan mencengkam kuku jarinya yang tajam di atas lantai untuk mengimbangi diri lantasmeluru semula untuk membalas serangan. Wajahnya tegang dan timbul urat kemarahan yang menyeruak. Ini merupakan sejarah pertama makhluk perkasa sepertinya disentuh malah dicederakan oleh seorang manusia!

DarmaTimur melepaskan genggaman kerisnya tetapi tidak pula senjata itu jatuh menyembah lantai sebaliknya terbang berapungan mengikut gerak tari tangannya.Seperti ribut, keris itu dilurukan sehingga mencetuskan gelombang yang kuat dan menggegarkan seluruh binaan mahligai emas. Raja Syaitan terpaksa menghadang dengan jurus saktinya untuk melindungi diri daripada serangan Darma Timur.

Tekanan semangat yang terluah menyulitkan Raja Syaitan untuk terus bertahan sehingga sekali lagi dia tercampak menghempas dinding di belakangnya.

            “Siapa kau yang sebenarnya? Manusia biasa tidak mungkin mempunyai tenaga yang ampuh seperti itu! Dan senjata apa pula yang kau gunakan sehingga mampu mencederakan aku?!” bentak Raja Syaitan seraya mengesat darah yang mengalir di bibirnya.

            “Hanya sebilah keris biasa yang diberi sedikit keistimewaan oleh ALLAH. InsyaALLAH, keris ini akan aku wariskan dari satu generasi ke generasi dalam zuriat keturunanku supaya mereka dapat menyambung perjuangan menentang kegelapan sepertimu,” kata Darma Timur dengan tenang.

            “Mewariskan kepada zuriat keturunankau? Mimpi di siang hari! Manusia hina seperti kau tidak akan kembali lagi ke dunia bawah. Tengkorakmu akan aku hancur leburkan menjadi debu yang bersatu dengan angin!” tempikan Raja Syaitan menggegarkan mahligai emas. Tekanan semangatnya dilonjakkan kemudiannya.

            Permukaan bumi merasai getaran yang kuat. Ombak di lautan menjadi ganas dan buas. Tiupan angin yang kencang mula menghadirkan ketakutan di hati manusia. Petir berdentum lagi dengan suara tempikan yang paling keras. Awan hitam bercampur antara warna merah dan biru.Lantas awan memuntahkan ribuan panahan petir ke atas permukaan bumi. Manusia bertempiaran lari. Ramai menjadi mangsa korban sehingga jasad hancur bersepai menerima tujahan petir yang menggila.

            Keadaan di langit juga semakin genting. Raja Syaitan mengerahkan seluruh tenaga untuk menghabisi riwayat pemuda yang berani menentangnya. Mereka berdua bertembung dan terbang bak helang yang meluncuri udara. Raja Syaitan memuntahkan serangan yang maha dahsyat. Walaupun Darma Timur dapat mengelak serangan itu namun ia telah membentuk kawah seluas 20 batu di atas permukaan bumi sehingga kehidupan yangmenghuni di atasnya lenyap dalam sekelip mata.

            Masa berlalu, pertarungan yang sengit mula menampakkan garisan penamatnya. Raja Syaitan cedera parah ditikam keris Darma Timur pada bahagian dada. Malahan Darma Timur juga tidak kurang kecederaan yang dialami sehingga selepas menujamkan tikaman itu, Darma Timur rebah tidak bermaya.

Raja Syaitan terlutut di tanah sambil cuba mencabut keris itu daripada dadanya namun usahanya gagal. Mulutnya memuntahkan darah yang banyak. Matanya merenung jasad pemuda itu dengan sepenuh kebencian yang menjalari nadi jiwanya.

            “Semua ini tidak akan berakhir dengan mudah. Sampai masa kelak, keturunanmu, keris generasimu ini, akan pasti aku hancurkan dengan tanganku sendiri,” Raja Syaitan menahan kesakitan yang semakin berpencak.

            “Keturunanku tidak akan mengalah dengan mudah!” ujar Darma Timur. Dia berusaha bangkit tetapi lututnya terasa longlai dan lemah.

            Raja Syaitan tertawa sinis sekuat hati. Kemudian nafasnya mula tersekat-sekat. Bisa tusukan keris menghadirkan rasa yang tidak selesa pada organ dalamannya. Raja Syaitan tersenyum kelat.Kedua tangannya digenggamkan sehingga urat belirat timbul di pergelangan tangan dan mengeluarkan jeritan yang menggemakan ruang kawasan bumi rata itu.

            “Dunia ini masih belum aman. Akan lahir Empat Kezaliman di muka bumi ini meneruskan kejahatan yang dibawa oleh ku.Mereka akan membangkitkan aku kembali ke dunia ini. Biar terpaksa merempuh ratusan tahun, malah ribuan tahun, mereka akan kekal hidup sehinggalah nyawaku dibangkitkan semula! Persengketaan ini belum berakhir, orang muda. Waktu itu,tiada sesiapa lagi yang dapat menghalang aku! Ha! Ha! Ha! Ha!” ucap Raja Syaitan.

            Darma Timur memaksa tubuhnya untuk bangkit, selajur dia berlari merapati Raja Syaitan dan menekan hulu kerisnya agar terbenam lebih dalam lagi ke jantungnya. Dengan lafaz kalimah yang terluah di bibirnya, tanah pun merekah. Batu-batu kecil terapung dan hancur satu persatu. Pemuda itu berusaha menamatkan riwayat Raja Syaitan dengan sisa tenaganya yang terakhir. Jeritannya berkumandang lagi. Badannya meretak,menimbulkan kegusaran pada Raja Syaitan.

            “Apa yang kau lakukan?!” tempik Raja Syaitan.

Tanpa mengendahkan pertanyaannya,  Darma Timur meningkatkan lagi tekanan semangatnya. Mata Raja Syaitan terbeliak. Anggota badannya pecah beruraian menjadi serpihan-serpihan yang kecil. Seraya cahaya yang benderang melingkari mereka. Anggota badan Raja Syaitan yang saling terpisah itu terangkat dan meluru laju ke udara sebelum kesemuanya ghaib begitu saja.Keadaan menjadi sunyi sepi. Desiran angin masih lagi menegangkan suasana. DarmaTimur merenung tajam ke langit, lantas tubuhnya menjadi lemah dan tumbang ketanah.

            “Kami akan bersedia...” katanya,lalu pengsan di bumi tandus yang bertiupan angin sayu.

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku