Si Djarot Gila
Si Djarot Gila
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 09 Julai 2017
Kisah Tauladan Golongan OKU Zaman dahulu
Penilaian Purata:
460

Bacaan






             “Aku iki wong jowo lho. Mak bapak ku kabeh wong jowo. Mbien teku nang kene nunggang kapal kayu waie...Ha ha ha. Aku iki merono merene waie. Nyong arek njalok mangan...yo, ha  ha ha.” (Aku ini orang jawa. Ibu dan bapaku semuanya orang jawa. Zaman dahulu datang ke sini naik kapal kayu je. Ketawa.Aku ini ke sana ke sini nak minta makan ya...ketawa lagi).

 

               Namanya Saimon bin Sudarto. Orang kampung menggelarnya Si Djarot. Dia dilahirkan di Malaysia sekitar tahun empat puluhan. Orang ramai suka mengusiknya. Bertanyakan tentang itu dan ini, tentang asal-usulnya, bahasanya dan bermacam-macam lagi. Walau dia mengerti bahasa melayu tapi dia lebih gemar bertutur dalam bahasa ibundanya. Dengan telo yang pekat diselangi ketawa riang.  Dia akan ditanya dan akan menjawab perkara yang hampir sama setiap hari.

 

               Dia rajin berjalan keliling kampung. Suka sangat jika diberi makanan. Apa-apa sahaja yang boleh dimakan. Kerap juga dia lewat pulang ke rumah. Kadang-kadang ahli keluarganya terpaksa mencari atau menuruti jejak tempat biasa yang ditandangi. Orang kampung suka melayan kerenahnya. Mereka hanya sekadar mahu bergurau atau berjenaka. Ada juga yang berniat mahu mengganggu dan mempermain-mainkan Djarot, seorang lelaki yang kurang bernasib baik.

 

               Usianya waktu itu sekitar tiga puluhan. Sudah tentu berstatus bujang. Ya, siapakah yang sudi berkahwin dengan orang sepertinya?. Orang kampung menggelarnya sebegitu kerana dia cacat di bahagian kaki dan tangan serta bermasalah dari segi pemikiran. Orang sekarang kata OKU fizikal dan mengalami mentally retarded.  Djarot menanggungnya sejak kecil akibat demam panas yang kuat ketika masih bayi. Ketika kedua ibubapanya masih jahil tentang klinik dan hospital.  Rawatan hanya bergantung kepada adunan ubatan nenek moyang dari sumber tumbuhan semulajadi. Kadang-kadang berkesan dan kadang kala tidak.  Semua bergantung kepada izin Allah.  Kehidupan Djarot telah ditentukan olehNya.

 

               Djarot buta huruf, lantaran tidak pernah bersekolah.  Dia pernah dimasukkan ke sekolah melayu ketika berusia tiga belas tahun, tapi dia hanya boleh bertahan beberapa hari sahaja. Bapanya menghantarnya di pintu depan, Djarot merangkak keluar ikut pintu belakang.  Tiba di rumah bapanya tercengang melihat Djarot sudah berada di atas tangga sambil mengunyah pisang berangan yang digantung di tepi anak tangga rumah.  Dia tersengih-sengih memandang bapanya. Hendak di marah, tiada gunanya lagi.

 

               Dia suka makan.  Namun demikian tubuhnya tidaklah besar gemuk atau berisi.  Fizikalnya tetap begitu.  Perutnya sahaja yang membulat seperti perempuan mengandung lima bulan. Ibu dan bapanya lebih risau jika Djarot tidak mahu makan.  Jika ini berlaku, biasanya Djarot tidak sihat.     

 

               Djarot tidak pernah berkasut. Dari dahulu hanya berkaki ayam.  Tapak kaki sudah kematu.  Pijak jalan bertar yang panas dibakar mentari pun dia boleh tahan. Jalannya senget-senget dan sedikit mengengkang. Bila berjalan, perutnya nampak terkehadapan sedikit. Memberi kelucuan kepada sesiapa yang memandangnya. Jika baju kemeja lusuhnya tidak dibutang, akan kelihatanlah perutnya yang buncit licin. Tangan kirinya juga sedikit cengkok. Jari jemarinya keras, sedikit sukar hendak digerakkan, namun masih boleh digunakan untuk memegang sesuatu.  Sebilangan  penduduk kampung memanggilnya si Djarot Gila.  Kasihan.

 

               “Hoi, Djarot Gila mari sini. Kau nak makan roti canai mamak Naina tak?”, laung dua orang budak lelaki di balik pokok sena.

 

               “Iyo aku arek. Aku mau. Sebentar yaa, nyong mampir iki”, jerit Djarot riang bila sahaja terdengar roti canai Mamak Naina yang enak dicicah dengan kuah kari yang pekat. Air liurnya meleleh.

 

               Si Djarot yang berkopiah buruk penyek dan lusuh terkejar-kejar, mengengkang-ngengkang. Dia tersenyum sumbing,menampakkan susunan giginya yang berterabur dipagari ‘simen putih’ yang tebal.  Beberapa batang gigi sudah tiada di beberapa bahagian gusinya. Jika ditanya kenapa giginya rongak, dia akan menjawab dengan bersungguh-sungguh sambil menunjukkan arah rumahnya, “Nang kono. Aku sudah nganteri nang nduor bumbung ngomahku. Kue arek ke?” (Di sana. Aku sudah menghantarnya di atas bumbung rumahku. Kamu nak ke?).  Orang yang bertanya ketawa berdekah-dekah.  Ceh celaka!. Melampau betul si Djarot ni. Nak buat apa dengan batang gigi yang sudah dilontarkannya di atas bumbung?.

 

             Tiba di balik pokok, dua orang kanak-kanak berusia belasan tahun masih duduk mencangkung saling berhadapan.  Di hadapan mereka ada sesuatu yang ditutupi dengan sehelai daun pisang yang lebar.

 

               “Tunggu kami pergi dulu ye Djarot. Lepas tu baru buka. Panas lagi ni. Tengok tu masih berasap”, ujar budak lelaki berambut keriting Afro.  Mereka cepat-cepat berlalu. Berdesup, hilang lesap entah kemana dengan basikal masing-masing, meninggalkan Djarot sendirian.

 

               Djarot tidak sabar-sabar lagi mahu membaham roti canai mamak Naina yang enak.  Makanan yang disukai, jarang pula ditemui. Walhal awal pagi lagi, perutnya sudah diisi dengan beberapa ketul ubi godok yang dilenyek dengan parutan kelapa dan sedikit taburan gula pasir oleh ibunya di rumah bersama secangkir kopi o nipis. Tapi makanan itu sudah terlalu biasa baginya.

 

               Djarot meneguk liur masam.  Gembira hati tidak terkata.  Dia duduk mencangkung.  Kopiahnya diherotkan perlahan-lahan umpama kapten kapal mahu mengubah haluan perjalanan.  Seketika dia menadah tangan, berdoa kononnya. Saat dialihkan daun pisang, kedengaran deretan bunyi beberapa letupan yang kuat dan membingungkannya. Djarot terperanjat besar. Selera makannya yang tajam mati serta-merta. Bunyi letupan mercun membuatkan Djarot terlompat-lompat sambil menjerit-jerit ketakutan seperti kera kena belacan.  Dia berlari susup-sasap.Lariannya sama deras dengan degup jantungnya. Semak-samun diredah.  Beberapa kali dia tersembam. Djarot kemudiannya terjatuh ke dalam anak sungai yang dilihat boleh diseberangi.  Oh! Djarot tidak reti berenang.  Dia hampir lemas.  Mujur saja ada penduduk yang nampak kejadian itu dan sempat menyelamatkan nyawa Djarot. Tapak kakinya luka dan calar balar di tusuk serpihan kayu dan tajamnya duri rumpun lalang.  Beberapa hari dia jatuh sakit. 

 

               Walaupun dianiaya dengan pelbagai cara, Djarot tidak pernah marah atau menyimpan dendam kepada si pelakunya atau kepada sesiapa pun kerana jiwanya tidak tertanam sifat buruk itu. Sifat pengasihnya menebal terutamanya di kalangan kanak-kanak. Dia juga tidak pernah melawan jika diancam malah boleh pula menurut kehendak atau permintaan orang lain, lagi-lagi jika diupah dengan sedikit makanan. 

 

               Djarot juga dianugerahkan dengan sifat suka menghadiahkan senyuman.  Sentiasa saja tersenyum. Umpama tiada langsung menghadapi sebarang masalah atau tekanan hidup. Dia memberi senyuman kepada sesiapa sahaja dengan ikhlas walau tidak menyenangkan hati si penerimanya kerana giginya yang kuning dan kotor serta rongak. Kadang-kadang diiringi dengan lelehan air liur.  Biasanya senyumannya dibalas dengan cebikan dan kebencian. Senyuman Djarot tidak ada sebarang maksud tersurat waimah kepada kanak-kanak, orang tua, lelaki, perempuan atau kepada gadis kampung.  Malah pandai pula menegur sapa atau bergurau.

 

               “Kue iki cantik banget. Nyong arek njalok ambung, iso rak? hihihi” (Awak ni cantik betul. Saya nak mintak cium boleh tak?), pinta Djarot jika terserempak dengan perempuan cantik, tidak kira isteri orang, berstatus makcik atau anak-anak dara kampung. Bahasa yang sering diajar oleh orang kampung terutama anak-anak muda yang nakal. Manalah dia tahu semua itu. Dia hanya mengucapkannya tanpa ada sebarang niat dan perasaan. Perempuan yang terkena gurauan Djarot akan memarahinya atau menengkingnya.  Malah ada yang cuba mahu menamparnya, mengatakannya kurang ajar serta menyuruhnya diam.  Kasihan Djarot.   Tapi dia tetap ketawa mengekek dan menghadiahkan lagi  senyuman yang lebih manis.

 

               Kenapa Djarot diperlakukan sebegitu, terutama oleh kanak-kanak remaja yang nakal?. Mengapa layanan sebegitu yang diterimanya?. Ada masyarakat setempat yang menegah agar jangan mengganggu atau membuli Djarot, ada pula yang buat tak tahu malah menjadikannya seperti barang permainan. Djarot tidak mengganggu orang.  Bukanlah niatnya mahu mengganggu sesiapa.  Malah tanpa niat atau sengaja dia dapat menghiburkan orang lain pula.  Dia hanya suka makan.  Apa sahaja, terutama makanan yang dibeli.

 

               Kisah Djarot yang tidak mungkin dilupakan oleh penduduk kampung ialah tentang dirinya yang kononnya telah melarikan Senah, anak dara Pak Din Janggut pada malam hari, sehari sebelum hari pernikahannya.  Djarot juga didapati turut hilang, tiada di rumahnya setelah dijemput makan kenduri di rumah Pak Din Janggut pada malam hari majlis berinai.  Setelah puas mencari, akhirnya orang kampung menemui Senah dan Djarot di sebuah belukar kecil di hujung kampung.  Turut ditemui beberapa barang makanan lauk-pauk kenduri dan buah-buahan untuk santapan dan hantaran pengantin.  Djarot dipukul dengan teruk. Dia menangis teresak-esak sambil meminta ampun. Setelah disoal siasat sebenarnya Djarot telah diupah dengan makanan oleh Senah agar menemaninya melarikan diri.  Senah tidak mahu dikahwinkan dengan pilihan orang tuanya kerana sudah ada pilihan hati sendiri.  Djarot telah menjadi mangsa.  Kasihan sungguh si Djarot. 

 

               Sejak peristiwa itu Djarot tidak dibenarkan keluar rumah lagi.  Dia jarang dilihat berkeliaran di sekitar kampung. Dia hanya dibenarkan celam-celum di dalam rumah atau di halaman rumahnya sahaja.  Jika tidak, dia akan di kurung di dalam bilik oleh ibu bapanya.

 

               Ingatan itu kekal sehingga kini di kepala Faizal.  Malang sungguh orang yang kurang upaya seperti Djarot.  Waktu itu tidak ramai orang yang sanggup menjaga kebajikan dan kesejahteraan hidup golongan OKU kecuali ahli keluarga sendiri terutama ibu bapa.  Mereka menjadi bahan cemuhan dan ejekan serta mangsa oleh orang yang tidak bertanggung jawab. Mereka tidak pernah dilatih dan diajar untuk mengurus kehidupan seharian untuk diri sendiri apatah lagi untuk meneruskan kesinambungan hidup setelah ketiadaan kedua ibu bapa.  Kesedaran di kalangan masyarakat agar sama-sama membantu menjaga dan menghormati keperluan serta kepentingan hidup OKU juga kurang di titikberatkan.

 

               Mujur sahaja di zaman sekarang nasib golongan Orang Kurang Upaya sudah semakin terbela. Dibawah agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat, mereka didaftarkan dan diberi kad OKU khusus untuk kemudahan dan kebajikan mereka.  Sebagai pemegang kad OKU, banyak faedah yang boleh diperolehi.  Selain itu pusat-pusat latihan OKU dan rumah-rumah perlindungan di seluruh Malaysia diwujudkan bagi membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.  Mereka juga diberikan bantuan kewangan bulanan serta elaun pekerja cacat berdasarkan syarat dan kelayakan. Ini sedikit sebanyak membantu golongan ini menampung perbelanjaan sara hidup seharian mereka. 


               Di peringkat awal di sekolah, murid yang dikesan mengalami masalah pembelajaran akan diserapkan ke Program Pendidikan Khas Integrasi dan diberikan elaun oleh Kementerian Pendidikan.


               Kehidupan golongan OKU sudah banyak berbeza jika dibandingkan dulu dengan sekarang. Malah sudah ada yang berjaya mengharumkan nama negara di dalam bidang sukan, seni, perniagaan dan sebagainya.

 

               Faizal tidak pasti apakah nasib yang menimpa Djarot ketika ini. Jika Djarot masih hidup usianya sudah menjangkau lapan puluhan.  Mungkin juga dia sedang menghuni salah sebuah rumah kebajikan kerana kedua ibubapanya telah meninggal dunia manakala dua orang adik perempuannya sudah mendirikan rumahtangga dan tinggal berjauhan mengikut suami masing-masing.  Jika Djarot masih hidup Faizal ingin menemuinya semula.  Djarot bukanlah seorang yang gila. Dia seorang yang kurang upaya. Moga Djarot beroleh sejahtera di dalam lindungan Allah SWT, doa Faizal terhadap Si Djarot.

     

               Baginya Djarot bukanlah orang gila.  Orang yang suka mempermainkan, mengambil kesempatan serta  mempergunakan kelemahan  orang yang cacat seperti Djarot itulah orang yang gila.




 

 Mohd Fauzi Abdul - 090717      



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku