Haji Zabary Serunding Daging
Haji Zabary Serunding Daging
Genre: Alternatif
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 19 Julai 2017
Usahawan ternakan dan hiliran
Penilaian Purata:
502

Bacaan






        Hari semakin tua.  Matahari yang semakin pudar cahayanya semakin condong ke barat. Beberapa kumpulan burung kelihatan terbang melintasi susuh bukit yang semakin samar kerana dilindungi bayangnya sendiri.

               Nun di sebelah selatan kedengaran bunyi peluit keretapi berdesing membingitkan telinga.  Kemudian kelihatan jujukan deretan gerabak keretapi yang membawa berpuluh-puluh tangki yang besar menyusuri landasan yang terletak di dalam kawasan laluannya yang berpagar besi kukuh setinggi kira-kira tiga meter.  

              Haji Bary menegakkan badannya sebentar.  Melepaskan lenguh- lenguh di pinggang akibat lama membongkok.  Matanya turut dihalakan mengikut gerakan keretapi yang bergerak ke arah utara.  Mungkin mahu mengisi bekalan gas atau simen di depoh Ipoh, fikirnya.  Dia berpaling semula ke arah bekas lombong setelah gerabak terakhir hilang dari pandangan.  Dia mahu meneruskan kerjanya.  Di sekelilingnya kelihatan padang rumput yang menghijau  di selangi dengan pokok-pokok angsana dan akasia, kecil dan besar yang tumbuh sendiri sejak sekian lama.  Tanah itu adalah tanah miliknya yang berkeluasan seluas tiga puluh hektar yang berpagar. Private Property.

               Hah! Hah! Hoh! Hohh! Laung Haji Bary ke arah paya yang seluas dua buah padang bola sepak.  Beberapa ekor kerbau jantan dan induknya segera terjun ke dalam paya yang sudah dipenuhi hampir seratus ekor kerbau, kecil dan besar.  Kebanyakannya sudah berada di dalam air seperti kumpulan badak yang mahu menyejukkan badan.  Kelihatan terjongol kepala dan tanduk-tanduk yang panjang sedepa, melengkung dan meruncing di atas permukaan air. Kebanyakan badan kerbau sudah tidak kelihatan, hilang ditelan lumpur kecuali kerbau yang berbadan besar dan gemuk dipenuhi daging pejal.  Berbonggol timbul seperti busut.  Bau lumpur mula mengapung namun tidak dipedulikan oleh Haji Bary.  Dia tersenyum puas bila melihat haiwan peliharaannya itu dalam keadaan baik.

               “Hai kerbau. Kamu ini ibarat rezeki dan hartaku yang tertimbus di dalam lumpur,” ujar Haji Bary bermonolog sendiri bila melihat gelagat kerbau-kerbaunya yang mengerdip-ngerdipkan mata sambil mulut masing-masing masih bergerak-gerak, tidak henti-henti mengunyah makanan.  Kelihatan aman tenteram merendam tubuh di dalam lumpur yang sejuk.

               “Ooi Haji!, jaga kerbau ke? Laung seorang lelaki bertubuh kurus panjang sebayanya dari atas motorsikal yang sedang bergerak.  Dia berlalu begitu sahaja.  Haji Bary hanya sempat meleretkan senyuman dan mengangkat tangan.  Dia kenal sangat dengan Rambli, sahabatnya dari kecil yang dahulu tinggal sekampung dan bersekolah bersama.  Mungkin tergesa-gesa mahu pulang ke rumahnya di Seputeh.

               Hari itu dia menjaga kerbau-kerbaunya. Pekerjanya Ramesh, Anisah, Saini dan Rozmi ke Kuala Lumpur mengikuti kursus yang dianjurkan oleh sebuah agensi kerajaan berkaitan industri makanan berasaskan daging.  Dia yang menyarankan agar mereka mengikuti kursus tersebut.

               “Hai Haji! takkan tauke pun kena jaga kerbau?”, seorang lagi sahabatnya menegur dari sebuah lori satu tan yang bergerak semakin perlahan. Kali ini sapaan yang diterima lebih bersopan. Seorang lelaki keturunan india memberhentikan lori berkepala merah.  Haji Bary tersengih sambil bergerak mendekati Jaswant Singh. 

               “Apa nak buat. Kerja kita dari kecil. Takkan kau dah tak ingat Singh?...ha ha”,ujar Haji Bary sambil menghulurkan tangan mahu bersalaman.

               “Ah, saya ingat lah Aji. Tapi perangai Haji ni masih tak berubah. Masih nak bermain dengan kerbau.  Kalau dia orang tak ada, upah je la pada orang lain.  Patut Aji dah bermain dengan anak cucu di rumah.  Tengok tu, Mercedes Aji tu nanti busuk dengan bau lumpur kerbau...haha”,  perli Jaswant Singh yang masih tetap berada di tempat duduk pemandu.    

               “Tak apalah, bukannya selalu.  Kadang-kadang kita ni nak kena tengok-tengok jugak kerbau-kerbau ni.”

               “Haji kan dah jadi penternak dan usahawan berjaya.  Upahkan ajalah pada orang lain.  Ramai yang nak bekerja dengan Aji.”

               “Itu memang dalam perancangan saya.”

               “Ha, macam mana Aji, okey kesemua kerbau-kerbau ni?  Tak ada masalah ke nak menjaganya?”

               “Setakat ni okeylah.  Yang sakit tu biasalah. Mintak-mintak tak ada masalah besar yang timbul”, jawabnya jujur. Di kepalanya teringatkan peribahasa orang melayu lama yang menyatakan, menjaga kerbau sekandang lebih senang dari menjaga anak dara seorang.  Dia tersenyum sendirian.  Dari sudut pandangan yanag lain mungkin ada kebenarannya.

               “Baguslah kalau begitu.  Saya dah tak larat nak melayannya”, tokok Jaswant Singh.

               “Tak mengapalah Singh.  Kita berganti karier lah pulak ya...haha”,gurau Haji Bary.  Jaswant Singh turut ketawa.

               “Okeylah Aji, saya jalan dulu.  Ada hal nak diselesaikan segera. Nanti senang-senang kita sembang sambil minum teh di kedai kopi Pak Mat”, pinta Jaswant Singh sambil menghulurkan tangan mahu beredar.

               “Bagus juga, kita pun dah lama tak minum bersama.”

               Haji Bary menyambut salam dan kemudian melambai-lambaikan tangan kepada Jaswant Singh yang mula menggerakkan lorinya. 

               Haji Bary masih tercegat di pintu pagar. Kenangan lama berputar kembali. Dahulu dia langsung tidak mempunyai seekor kerbau pun.  Keluarganya tidak pernah memelihara kerbau, hanya memelihara 16 ekor lembu sahaja. Kerbau-kerbau itu asalnya adalah milik Jaswant Singh dan keluarganya.  Jaswant Singh menjual semua kerbau-kerbau peliharaan kepadanya yang ketika itu berjumlah tidak sampai 40 ekor. Sebelum itu Jaswant menjual sedikit demi sedikit bagi mengurangkan jumlah kerbau peliharaannya kepada orang lain. Dia membeli kesemua kerbau yang tinggal dengan membayar separuh harga dan bakinya dibayar secara beransur-ansur.  Jaswant Singh sudah tidak larat menjaganya.  Sekarang Jaswant Singh sudah membuka perniagaan membeli dan menjual besi buruk di pekan Batu Gajah.

                     “Lebih mudah dan senang berurusan dengan benda-benda yang mati dan tidak bergerak ni, tak seperti menjaga kerbau atau lembu”, kata Singh.

                     Dahulu di kampungnya, dia dan Jaswant Singh adalah pengembala.  Keluarganya memelihara lembu manakala keluarga Jaswant Singh memelihara kerbau.  Di sekolah dia dan Jaswant selalu diejek oleh rakan-rakannya.  Waktu petang, setelah tamat waktu sekolah dia membantu bapanya mencari rumput di tepi-tepi jalan dan lombong tinggal sekitar Batu Gajah.  Kadang-kadang terpaksa meredah bekas lombong untuk menyabit rumput-rumput yang tumbuh segar di tepi lombong tersebut.   Rumput-rumput itu di masukkan ke dalam beberapa buah karung dan kemudian di letakkan di atas motorsikal untuk diberikan kepada lembu-lembunya di dalam kandang.  Kadang-kadang dia dan bapanya bertembung dengan Jaswant Singh dan bapanya yang juga sedang menyabit rumput.  Mereka menggunakan motorsikal roda tiga.

               Waktu remajanya dia rajin membantu bapanya membersihkan kandang. Menyodok tahi lembu dan mengumpulnya untuk dijadikan baja.  Mencari batang kayu hutan untuk menggantikan kayu pagar yang reput, menggali tanah untuk membuat tiang kandang dan sebagainya.  Dia gembira jika lembu bapanya bunting dan dia rasa terhibur bila dapat melihat wajah anak lembu yang baru dilahirkan. Comel dan bersih.

                Setelah lembunya melahirkan anak, bapanya sering memerah susu bagi mendapatkan susu awal lembu yang dipanggil colustrum.  Susu tersebut akan dimasak dahulu oleh ibunya dengan api yang sederhana sehingga menjadi pekat seperti bubur. Dia gembira dapat menikmati susu yang terbaik dan sangat berkhasiat itu kerana rasanya yang enak. Bukan selalu dia dapat menikmatinya. Ibunya pernah berkata susu awal lembu dapat meningkatkan tahap kesihatan, mencerdaskan otak dan mengelakkan tubuh dari mudah dihinggapi penyakit.

                Dia masih ingat rakan-rakannya yang diketuai oleh Karim dan Rambli mengejeknya ketika dia sedang sibuk membantu bapanya menyabit rumput.

                “Bary lembu!, Bary lembu yey. Bary kawan dengan Singh jaga. Singh kerbau. Bary lembu, Bary kerbau yey, Bary babi...hahaha!”

               “Hoi!, dia mengejar Karim dan Rambli.  Tapi mereka lebih pantas melarikan diri.  Dia berasa marah.  Hatinya panas dikata begitu.

               Kira-kira sepuluh tahun yang lalu, Jaswant Singh selalu mengadu kepadanya bahawa susah nak jaga kerbau.  Kerbaunya kuat makan.  Waktu malam disangkanya kerbaunya tidur di tepi lombong  tanah reserve kerajaan yang ditinggalkannya.  Rupa-rupanya merayap mencari makanan di dalam kawasan taman perumahan yang semakin rancak dibangunkan di sekitar pinggir bandar Ipoh dan Batu Gajah.  Ketika itu mereka tinggal di sempadan kedua-dua kawasan yang sedang pesat membangun. 

               Tidak seperti tiga puluh atau empat puluh tahun yang lalu, kawasan padang ragut amat luas.  Ada kawasan belukar, padang ragut, anak sungai dan tempat untuk kerbau-kerbaunya bermalam. Di mana-mana sahaja.  Tiada gangguan ketika itu.  Kerbau-kerbaunya bebas makan di mana-mana sahaja.  “Itu kerbau kerja makan saja. Badan kerbau pun besar serupa gajah”, kata Singh. Siang malam dibiarkan sahaja merayau di sempadan daerah Batu  Gajah dan pinggir Bandar Ipoh.  Tidak payah di jaga sangat.  Kini tidak lagi.  Kawasan ragut semakin mengecil akibat ledakan urbanisasi.  Di mana-mana sahaja ada kawasan perumahan baru yang sudah diduduki.

               “Hei Bary, awak tau semalam aku kena kompaun RM 2000.00 ringgit sama Majlis Bandaraya tau.  Penguat kuasa dapat tangkap dua ekor kerbau saya yang sedang merayau dan berak merata di tengah jalan di Taman Botani.  Penduduk taman buat aduan.  Mati aku nak membayarnya.  Kalau nak kira duit aku dah habis dekat RM50,000.00 untuk bayar kompaun aja. Sekarang aku kena jenguk siang malam.  Waktu hujan pun kena tengok.  Takut terlepas keluar masuk ke kawasan taman perumahan.  Itu belum lagi masalah anak-anak kerbau yang mati dihambat anjing liar dan anjing ladang jagung Tauke Chong.  Huh! entahlah pening kepala aku.”

               "Nasib baik tak ada kes orang mati langgar lembu atau kerbau macam dalam surat khabar tu. Kalau tidak lagi naya", tokok Aji Bary.

               “Betul tu Aji. Memang susah kalau tak dijaga.  Aji tau kalau kerbau-kerbau itu berpecah dari kumpulannya lagi susah mahu mengejar dan mencarinya semula.  Itu yang saya nak pencen jaga kerbau tu. Yang kena curi usah cakap lah, dah berpuluh-puluh ekor lesap tak tau siapa punya kerja. Cilaka!”

               “Macam mana dia orang curi?”,tanya Haji Bary.

               “Ah, itu senang aja lah Aji.  Curi zaman sekarang bukan macam mencuri zaman dulu-dulu.  Sekarang zaman moden.  Dia orang tembak guna ubat pelali.  Kemudian mereka guna perenjat elektrik untuk bangunkan kerbau dan terus tarik naik atas lori guna tali.”

              “Mbueh, uwekhh, muehk.” Bunyi kerbau mematikan lamunan Haji Bary.  Dia teringat dengan cara itulah juga dia memindahkan sebilangan kerbau-kerbaunya yang liat dan degil ke tanah lapang yang baharu di beli, di atas tanah yang  terbentang di hadapannya sekarang.  Dia mengupah Jaswant Singh menggunakan lorinya untuk memindahkan kerbau-kerbau tersebut.  Sebelum itu, kerbau-kerbau lain di hambat dengan motorsikal menyusuri bahu jalan.

               Haji Bary mempunyai perancangan lain.  Dia adalah penternak yang membekalkan daging lembu dan kerbau di sekitar daerah Kinta. Dia tidak bimbang dengan bekalan daging kerana lembu dan kerbau peliharaannya banyak. Mudah membiak dan cepat membesar. Kini dia merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan memajukan industri makanan berasaskan daging pula.  Dia bercadang untuk menjual produk serunding daging lembu, kerbau dan ayam.

               Haji Bary tahu ramai orang suka makan serunding namun masih belum ada lagi syarikat yang serius dalam bidang perniagaan itu.  Serunding boleh di makan bersama pulut, nasi, roti, dijadikan inti kuih, dicampur dengan makanan lain malah boleh diratah begitu sahaja.  Dia sendiri suka makan serunding.  Dia merancang mahu membekal secara bungkusan besar dan kecil dan diedarkan di seluruh Malaysia dengan menggunakan jenamanya sendiri.

               Dia tidak bimbang dengan kualiti produk, pasaran dan tenaga kerja. Dia boleh menghantar mereka mengikuti kursus. Dia tahu ramai orang di kawasan kampungnya yang mahu bekerja dengannya. Tapak untuk IKS nya juga sudah ada. Dia yakin dengan industri makanan sampingan yang akan diceburi kelak.  Banyak agensi yang  berkaitan sudi membantu merialisasikan hasratnya.

               Haji Bary tahu dia bukanlah seorang yang hebat seperti Kolonel Jesse Driskill jutawan Amerika yang kaya raya dan terkenal yang mampu membina hotel terkemuka kerana menjadi pembekal daging pada tahun 1880an, tapi sekurang-kurangnya dia mempunyai impian dan empayarnya perniagaannya sendiri sebagai pembekal daging dan bakal pengusaha makanan serunding yang berjaya.  Dia optimis mahu menubuhkan syarikat Haji Zabary Serunding Enterprise.  Dia berharap serundingnya nanti akan menjadi makanan kegemaran semua orang.  Dia percaya niat yang baik disertai keupayaan yang dimiliki, ilmu pengetahuan, kesungguhan dan doa, pasti hasratnya akan menjadi realiti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku