Puaka Rumah Sewa
Puaka Rumah Sewa
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 25 Julai 2017
Gangguan di rumah sewa
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
1162

Bacaan






          “Assalamualaikum Mak?.  Bila Mak dan abah nak ambil Puteri?.  Kejap lagi ayah si Intan tu datang ambik dia.  Puteri tinggal sorang-sorang ni.  Puteri takut lah mak.  Cepatlah datang!”

          “Sabar la Eri.  Kejap lagi ayah kau balik, mak terus ajak dia pergi ambil puteri ya.  Sabar ya sayang.”

          “Ala Mak, Puteri takut ni.” 

          “Macam ni Puteri.  Cakap dengan Intan, minta tolong dia tunggu kejap.  Jangan balik dulu.  Tunggu sampai kami datang.  Mungkin dalam pukul 8.00 atau 9.00 nanti habislah duty ayah kamu tu.”

          “Mak janji tau.  Jangan lambat sangat tau.”

          “Okey sayang, mak janji.”

               Malam semakin larut.  Bulan mengambang penuh.  Ya, Zaleha, ibu Puteri tahu malam itu adalah malam pertengahan bulan Jamadil Akhir, bulan Islam.  Cahaya bulan menerangi lebuhraya PLUS.  Jarum jam sudah menunjukkan hampir ke angka12.00 tengah malam.  Sudah mahu menginjak ke hari yang lain.  Zaleha begitu bimbang.  Dia sudah menghubungi Puteri beberapa kali di rumah sewanya, namun panggilannya tidak dijawab.  Dia sedar, dia sudah memungkiri janji.  Mungkinkah Puteri sudah merajuk?.  Perasaan kesal tebal bersarang dijiwanya.

               Malam itu dia dan suaminya perlu mengambil Puteri dari rumah sewa kerana ujian dan peperiksaan amali yang dijalani selama dua minggu telah selesai. Dua orang anak mereka, Zara dan Zarish tidak mahu ikut sama.  Mereka lebih suka duduk di rumah melayari internet atau menonton televisyen.

               Suaminya lewat pulang ke rumah kerana mempunyai tugasan luar yang perlu diselesaikan segera.  Pak Zaid yang juga nampak keletihan terpaksa memandu keretanya dengan laju.  Sebentar tadi dia ditembak dengan kamera had laju AES.  Isterinya memandang suaminya dengan perasaan cemas.  Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. 

          “Nasiblah”, kata Pak Zaid pendek tanpa diminta.

          “Cuba awak telefon Puteri sekali lagi.  Mana tau tadi dia sedang charge telefonnya tu atau dia tertidur agaknya.”

          “Iya lah bang.  Minta-minta macam tulah.  Puteri tu bukan boleh lewat sikit.”

          “Ahh...perangai budak-budak zaman sekarang, begitulah”, keluh Zaid.

               Zaleha menekan punat handphonenya.  Tidak lama kemudian dia bingkas mematikan talian dan mencampakkan telefon bimbitnya ke dalam handbag.

          “Eiii!”, Zaleha menjerit kecil.  Wajahnya berubah.

          “Kenapa?”

          “Dia tak jawab lagi lah bang.  Tapi tadi ada bunyi er...erm...”

          “Hah, bunyi apa?”

               Zaleha tersentak. “Errr...tak ada apa-apalah bang.” Dia cuba menyembunyikan sesuatu.  Ah, mungkin mainan perasaannya saja.  Dia mahu menyedapkan hati.

          “Abang, tekan pedal minyak tu kuat sikit boleh tak?”

          “Ah, awak ni.  Cuba tengok jarum odometer tu.  Dah 120 km sejam.  Sabarlah. Saya tahu awak bimbang.  Saya pun bimbang juga.”

               Zaleha semakin resah.  Hari itu adalah hari terakhir Puteri dan rakan-rakannya menjalani ujian di Kolej Vokasional yang diadakan selama dua minggu.  Setelah selesai latihan praktikal selama empat bulan, mereka perlu menjalani beberapa ujian di kolej berkenaan. Sebelum itu mereka sudah menghabiskan masa selama empat tahun bagi mempelajari dan mendalami bidang kemahiran yang diceburi. Hari itu mereka perlu menjemput anak mereka pulang.

               Ingatan terhadap rumah sewa anak sulungnya itu kembali menghantui.  Rumah yang disewa bersama tiga orang teman sekuliah di sebuah kolej itu nampak menyeramkan.  Rumah jenis papan berlantai simen itu sudah lama ditinggalkan. Lokasinya terletak jauh sedikit ke dalam kawasan dusun dan terpaksa melalui lorong kecil yang bersemak samun. Sedikit terpencil, jauh dari rumah orang.  Keadaan rumah agak kotor dan uzur.  Sawang bergantungan disana-sini.  Kertas surat khabar, tin dan botol minuman, tikar buruk dan daun terup terdampar, berterabur disana-sini.  Di bawah katil dia menjumpai beberapa barang lama dan botol-botol kecil yang di balut dengan kain kuning,seperti barangan mistik. Perasaan takut mula menyelubungi dirinya.  Sehelai kelambu lama masih tergantung disebuah bilik yang berkatil.  Pinggan mangkuk plastik yang tidak bercuci penuh di dalam singki.  Dahulunya dikatakan disewa oleh beberapa orang pekerja asing dari seberang.  Letih mereka bergotong royong membersihkan kawasan luar dan dalam rumah. 

               Dia dan ibubapa rakan Puteri bersepakat untuk menyewa rumah tersebut memandangkan tiada lagi rumah sewa di kawasan itu.  Mereka sudah puas mencari rumah penginapan yang sesuai tetapi hampa. Itu sahaja rumah yang hampir sedikit dengan jalan raya untuk mereka mudah menunggu bas atau teksi untuk ke kolej. Puteri dan rakan-rakan senior yang lain terpaksa mencari rumah sewa, menjadi outsider kerana asrama kolej tidak mampu menampung jumlah penuntut yang ramai.  Asrama hanya diperuntukkan kepada pelajar junior.

          “Tak apalah Puteri.  Duduklah dulu di sini.  Bukannya lama pun dua minggu je.”

               Lamunannya terhenti bila kereta yang dipandu suaminya tiba di halaman rumah sewa anaknya.  Keadaan sekeliling kelihatan suram kerana dilindungi pohon kekabu yang besar dan merimbun. Cahaya bulan seperti tidak mampu menembusinya. Buah kekabu yang lebat kelihatan bergantungan seperti telur kambing.  Ada yang sudah tua dan pecah,menyerakkan kekabunya yang putih, halus dan gebu. 

               Zaleha tergesa-gesa keluar dan mengetuk pintu rumah.  Laman rumah kelihatan suram.  Dahinya berkerut kerana lampu luar tidak dipasang.  Mana perginya Puteri? Sudah tidurkah? Beberapa kali dia memanggil nama anak sulungnya itu namun tiada sebarang jawapan.

               Di halaman rumah yang agak lapang, Pak Zaid mengundurkan kereta. Perlahan dia menekan brek bila sensor keretanya berbunyi pantas berturutan, mengesan ada objek di belakang kereta.  Dia memandang cermin pandang belakang.  Bimbang terlanggar sesuatu. Dahinya berkerut.  Aneh, dilihat tiada sebarang objek yang menghalang keretanya yang sedang mengundur.  Tapi kenapa sensor keretanya berbunyi.  Ah, mungkin ada kucing di belakang keretanya tadi.

          “Hah, Leha mari.  Puteri dah ada tunggu bawah pokok kekabu tu.  Dah, jom kita dah lewat sangat ni.”

               Puteri segera masuk ke dalam kereta.  Sebuah beg berada di sisinya.  Dia hanya menunduk.  Wajahnya samar dilitupi rambutnya yang panjang melepasi bahu.  Dia seolah-olah tidak mahu mengangkat kepala.  Zaleha rasa begitu bersalah.  Mungkin Puteri sedang marah padanya.  Bersalam dengannya dan bapanya pun tidak.  Biasanya, Puterilah yang dahulu menghulurkan tangan sambil menghadiahkan senyuman.  Tak mengapalah, dibiarkan saja.  Biarkan Puteri begitu. Biarlah api yangmembara di dalam hati sejuk dengan sendirinya. Itu lebih baik, fikirnya.  Dia sudah masak dengan perangai Puteri.

               Pak Zaid menggerakkan kereta.  Bau harum semerbak mula menguasai ruang dalam kereta.

          “Minyak wangi apa yang Eri pakai ni?.  Tak pernah pun mak cium bau minyak wangi ni.  Macam bau minyak wangi orang dulu-dululah!” Ujar Zaleha mahu mengajak Puteri berbual-bual.  Hidungnya kembang kempis.  Puteri tidak menjawab.  Masih menundukkan kepala.

          “Hishh...awak ni, jagalah mulut awak tu sikit.  Dah jauh malam ni.”

          “Eri, mak dan abah mintak maaf sebab lewat jemput Eri.  Maafkan kami ya sayang”, tokok Zaleha lagi mahu mengambil hati Puteri.

          “Ya Puteri, maafkan abah.  Abah yang salah.  Abah yang lambat.  Banyak sangat kerja hari ni.  Abah terpaksa out station”,  tokok Pak Zaid pula. 

               Puteri masih seperti tadi, masih menundukkan wajah kemudian kedengaran Puteri menangis teresak-esak.  Nada tangisan yang tidak pernah didengari oleh Pak Zaid dan Zaleha.  Kedengaran agak ganjil.  Puteri menangis atau ketawa?.  Pak Zaid dan Zaleha berpandangan sesama sendiri.  Tidak pernah Puteri berkecil hati terhadap mereka sebegitu rupa. Puteri nampak begitu sensitif dan terlalu beremosi padahal usianya sudah menginjak ke angka dua puluh.  Puteri masih tidak bersuara. 

               Zaleha menoleh kebelakang memerhatikan keadaan anak gadisnya itu. Dahinya berkerut.  Mengapa Puteri tidak memakai tudung kepala?  Selalunya Puteri akan memakai tudung bila keluar rumah. Sekurang-kurangnya pun selendang. Ah!, mungkin Puteri sudah tahu dia tidak akan pergi ke mana-mana lagi atau tidak akan turun dari kereta.  Hanya duduk di dalam kereta dan terus sampai ke rumah.  Dia tidak mahu menegur.  Takut rajuk Puteri bertambah kuat. 

               Namun dia berasa tidak sedap hati bila melihat pakaian yang disarung ke tubuh anaknya itu.  Pakaian jenis apakah yang dipakai oleh Puteri?  Sudahlah warnanya putih suram, bentuk kelawar yang berjurai-jurai dan nampak seakan-akan meliliti tubuhnya.  Ah, biarkanlah.  Orang belajar fesyen, begitulah.  Macam-macam bentuk rekaan pakaian boleh dicipta sendiri, fikirnya.  Bidang itulah yang diminati oleh Puteri sejak kecil. Dia sudah tidak mahu bertanya lagi.  Biarlah Puteri melayan perasaannya sendiri.  Pak Zaid juga tidak banyak bercakap.  Letih sangat agaknya.

               Rembulan yang berwarna perak masih kelihatan indah, menyinarkan cahayanya ke seluruh pelusuk alam. Gumpalan awan yang mengelilinginya kelihatan seperti gulungan ombak mati yang tergantung di angkasa.  Suasana sunyi sepi.  Hanya kedengaran enjin kereta serta bunyi radio kereta yang mengalunkan lagu-lagu lama.  Zaleha dan suaminya melayan perasaan masing-masing sehingga tidak menyedari kereta yang dipandu sudah pun sampai dipintu pagar rumah.

               Tiba di rumah, Puteri terus menuju ke biliknya.  Si Korie, kucing jantan kesayangan keluarga yang sedang duduk di atas sofa seakan-akan terperanjat.  Pantas dia melompat, berlari keluar dan hilang dalam kegelapan.  Seperti mahu melarikan diri dari sesuatu.

               Pak Zaid tidak kelihatan.  Mungkin dia sudah masuk ke bilik air.  Zarish sudah tidur di biliknya manakala Zara masih di ruang tamu mahu menghabiskan kerja sekolahnya. Zaleha bergegas ke dapur mahu menyediakan makanan yang dimasak petang tadi.  Kemudian dia membancuh air.  Dia memanggil Puteri untuk makan.  Puteri tidak menyahut.  Zaleha merasa sedikit kesal dan kecewa.  Dibiarkan saja hidangan di bawah tudung saji. Kalau lapar nanti makanlah dia.

               Zaleha terjaga dari tidur. Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi.  Kedengaran bunyi pinggan mangkuk berbunyi kasar. Hai dah pukul 1.30 baru nak makan? Puteri ni betul-betul merajuk dengan aku ni, fikirnya.  Dia keluar dari biliknya dan cuba meninjau kebahagian dapur di tingkat bawah.  Pinggan mangkuk masih berbunyi.  Diiringi bunyi seperti ‘sesuatu’ sedang memamah tulang dengan lahap.

          “Krap...krup...krap...krup...horr...horr...hhuarh...syrupp.”

               Eh, mengapa gelap je?  Tak pasang lampu ke?  Takkan Puteri makan dalam gelap?.  Puteri ni betul-betul merajuk dengan aku ni, leter Zaleha sendirian.  Zaleha pergi ke dapur mahu menemani anaknya.  Manalah tahu dalam menjamu selera dan perut sudah diisi itu Puteri sudah melupakan peristiwa malam itu.  Berharap Puteri dapat memaafkannya.  Mudahlah dia memujuk Puteri.  Bunyi-bunyi pelik tidak dihiraukan.  Mungkin Puteri terlalu lapar.

          “Tap”, suis lampu dipasang. Zaleha terpana.  Dirasakan ada makhluk berpakaian putih berdesup melintasinya seperti angin yang berlalu.  Makhluk tersebut berhenti sebentar dan sempat merenung tajam kearahnya.  Kemudian kedengaran hilai tawa yang sangat menggerunkan.  Zaleha benar-benar terperanjat. Wajah yang dilihat  begitu hodoh dan sangat menakutkan.  Lututnya menggeletar.  Tubuhnya terasa seram sejuk.  Bulu tengkuknya mengeremang.  Tubuhnya kaku kejang tidak mampu bergerak.  Dia sempat melihat makhluk itu menyelinap masuk ke bilik Puteri.

               Dia mahu menjerit memanggil suaminya tapi suaranya tidak keluar. Tapi mujur saja dia dapat mendengar suaminya memanggil-manggil namanya dengan nada cemas.  Pak Zaid pantas menuruni tangga dibuntuti Zara dan Zarish yang juga terjaga dari tidur bila dikejutkan dengan hilaian seorang perempuan yang sangat menakutkan.  

               Mereka berpandangan sesama sendiri.  Makanan yang dihidangkan diatas meja sudah licin.  Kelihatan sisa tulang ayam yang telah hancur berserakan di bawah meja.  Sisa ayam mentah dan telur yang disimpan di dalam freezer juga bertaburan di sana-sini. Lantai kelihatan kotor, basah berlendir dan berbau busuk.   

          “Ya. Allah! makhluk apa yang makan sebegini rupa?”, terpacul kata-kata dari Pak Zaid.  Tidak lama kemudian kedengaran hilaian yang lebih kuat dan nyaring dari bilik Puteri.

          “Aa...abang, abang..., panggil Zaleha tersekat-sekat.  Anak kita bang.  Puteri!, Puteri bang!”

          “Ya, Allah apa dah jadi ni?. Ya Allah selamatkanlah anakku”, Pak Zaid bersuara terketar-ketar.  Dia memanggil Zarish agar ikut bersamanya mahu menjenguk Puteri di biliknya.  Zara menemani ibunya yang masih lemah.

               Pak Zaid mengambil air sembahyang.  Kemudian dia mengambil senashkah Al Quran.  Perlahan-lahan daun pintu bilik Puteri di buka.  Bau yang teramat busuk menguasai ruang bilik dan mula meresap ke seluruh rumah.  Pak Zaid dan Zarish terpaksa menutup hidung dengan gumpalan kapas.

               Huh, tidak kelihatan kelibat Puteri. Di mana dia?, Pak Zaid bertanya sendiri.  Hatinya rungsing.  Puas di cari. Kemudian dia mendengar Zarish menjerit. “Abah, kakak di bawah katil!”

               Pak Zaid bingkas menunduk.  Dilihat Puteri sedang mengerekot di bawah katil.  Hanya berpakaian tidur.  Sah anaknya itu sudah dirasuk oleh syaitan, bentak hatinya.  Dia memanggil nama anaknya itu.  Seketika kemudian dia dapat melihat Puteri berpaling memandangnya.  PakZaid terperanjat.  Dilihat wajah Puteri sudah berubah.  Bukanlah wajahnya yang sebenar. “Ya, Allah, selamatkanlah anakku Puteri”. 

               Pak Zaid mula beristighfar, membaca selawat dan mula membuka Al Quran. Dia membaca Al Fatihah dan Surah Yaasin. Dia membacanya dengan kuat.  Zarish setia menemani bapanya.  Puteri menjerit-jerit, menggelepar di bawah katil. Pak Zaid meneruskan bacaan.  Tidak lama kemudian katil Puteri mula bergoyang dan bergegar kuat.  Seketika kemudian tubuh Puteri kelihatan terapung-apung di awangan.  Pak Zaid menguatkan bacaannya.  Puteri yang dirasuk mula bertindak balas.  Barangan yang berada di biliknya di baling  kearah Pak Zaid dan Zarish.  Laptop, frame gambar, pasu bunga, buku dan semuanya seperti mahu menyerang Pak Zaid dan Zarish. Pak Zaid menghentikan bacaannya. Dia tahu makhluk itu bukanlah calang-calang dan dia tidak mampu melawannya.  Pak Zaid berundur seketika.

               Puteri kemudian pantas melompat-lompat di dinding, tingkap dan kemudian melekap di atas kipas siling.  Kepalanya terjuntai ke bawah.  Rambutnya berjuraian.  Sesuatu perlakuan yang jauh dari logik akal.  Manusia normal tidak mampu berbuat begitu.  Puteri ketawa mengilai sambil menjelirkan lidahnya, mengejutkan seluruh kejiranan yang tinggal di sekitar kawasan perumahan 

               Sudah seminggu Puteri berkeadaan begitu.  Heboh seluruh pelusuk taman perumahan dan kampung berhampiran tentang cerita seorang gadis dirasuk jembalang yang dibawa dari rumah sewa.  Ibu Puteri sudah puas menangis dan menyalahkan diri sendiri. Beberapa orang bomoh sudah dipanggil untuk mengubati dan menghalau gangguan tersebut tetapi gagal.

               Pak Zaid tidak mahu mengaku kalah.  Dia mesti menyelamatkan nyawa Puteri.  Mesti.  Dia memanggil pula seorang ustadz yang tinggal di Hulu Kelantan. Ustadz Hamzah memang arif dalam hal-hal sebegitu.

             Ustadz Hamzah tiba dengan membawa perkakasan seperti lada hitam, garam dan kacang hijau.  Setelah berbual seketika, Pak Zaid segera membawa ustadz Hamzah ke bilik Puteri.  Puteri sudah kembali ke bawah katilnya semula sambil ketawa dan mengilai-ngilai pendek. Ustadz Hamzah mula membaca sesuatu.  Membaca ayat-ayat Ruqyah dan kemudian menaburkan barangan yang di bawanya tadi ke seluruh bilik.  Puteri hanya tertawa mengilai.  Seperti tadi, dengan kuasa ghaib dia melontarkan semua barangan dan peralatan yang ada di dalam bilik kearah ustadz Hamzah.  Ustadz Hamzah terpaksa mengelak dan berundur.

               Dia menuruni anak tangga dan terus menuju ke keretanya.  Pak Zaid kehairanan.  Adakah ustadz Hamzah juga tidak berani berhadapan dengan puaka itu? Tidak lama kemudian Ustadz Hamzah kembali semula dengan beberapa helai daun yang jarang dilihat.  Daun itu berbentuk lebar dan mempunyai bulu-bulu halus di permukaannya.

          “Kita cuba dengan cara ini pula.  Mudah-mudahan usaha kita ini berhasil.”

          “Daun apa ni ustadz?”

          “Daun Jelatang Gajah”, jawab ustadz Hamzah pendek.

               Mereka kembali semula ke bilik Puteri.  Ustadz Hamzah memejamkan mata dan mula membaca ayat-ayat Al Quran dengan penuh konsentrasi.  Dia begitu fokus terhadap usahanya.  Puteri mula menangis teresak-esak.  Ustadz Hamzah tidak mahu sebarang diplomasi atau tidak mahu berkompromi langsung dengan makhluk tersebut.  Jika tidak mampu dihapuskan, makhluk durjana itu perlu diusir.  Sambil mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci, Ustadz Hamzah mengunjuk-unjukkan daun tersebut kearah Puteri.  Puteri yang sedang dirasuk menjerit-jerit ketakutan. Wajahnya pucat dan matanya merah menyala. 

               Beberapa saat kemudian ustadz Hamzah mencampakkan daun tersebut ke tubuh Puteri yang masih mengerekot di bawah katil.

          “Nyah kau dari sini!. Jangan kau hendak mengganggu anak cucu adam lagi!”,ustadz Hamzah bersuara keras. 

               Satu jeritan kuat dan panjang memecahkan suasana.  Beberapa ketika kemudian, Pak Zaid merasakan ada sesuatu yang melintasi mereka yang bergerak dari bawah katil, terbang seperti kabus menyusup keluar menerusi jendela yang terbuka.  Puteri menggelepar dan meraung kesakitan. Tubuhnya lemah tidak bergerak. Tidak lama selepas itu kedengaran satu hilaian panjang bergema di atas sebatang pokok besar di hujung belukar sana.   

               Sebulan telah berlalu.  Puteri sudah pulih seperti sediakala.  Di suatu petang, ketika mereka sekeluarga beriadah bersama di halaman rumah Pak Zaid mula membuka kisah seram itu.

          “Rumah itu telah disewa oleh pekerja asing sebelum Puteri dan rakan-rakannya menginap disitu.  Mengikut cerita tuan rumah, mereka sering berjudi di rumah itu dan menurun nombor ekor. Ada yang membawa barang-barang mistik, syirik dan salah di sisi agama.”

          “Iya lah abah.  Masa  Puteri sorang-sorang tunggu mak dan abah sampai, puteri ada kemas barang di bawah katil lama tu.  Puteri jumpa sebuah botol kecil yang dibalut kain kuning.  Puteri cuba buka balutan itu dan nampak ada sebuah patung kecil yang pelik.  Entah macam mana botol tu jatuh dan pecah berderai ke lantai.  Puteri kutip dan campak di bawah pangkal pokok kekabu tu.  Lepas tu Puteri dah tak ingat apa-apa lagi.”

          “Hah, masa tu pukul berapa?  Kenapa Puteri tinggal sorang-sorang?  Kan mak suruh Puteri cakap pada Intan, tunggu dulu hingga emak sampai.”

          “Lebih kurang pukul 9.00 malam.  Intan dah balik dengan keluarganya.  Dia nak cepat sebab rumahnya jauh.  Kan mak telefon Puteri, mak kata dah nak sampai dalam pukul 9.00 malam tu?”

          “Eh, emak call pukul 9.00 malam tu masa mak ada kat rumah lagi.  Banyak kali Mak call, kau tak angkat-angkat. Mana ada mak kata dah nak sampai.  Kami bergerak dari rumah pun pukul 11.00 malam.  Tapi...”, kata kata Zaleha terhenti.  Bulu romanya mula mengeremang.  Wajah Puteri juga kelihatan pucat. 

          “Mak ada telefon Puteri pukul 11.00 lebih tu.  Emak ada dengar satu suara aneh.  Dia kata "jangan kacau aku."  Eii...”, Zaleha menggeliat-geliatkan tubuhnya, menyatakan perasaan takutnya. 

          “Ohh...itu yang saya tengok muka awak malam tu tiba-tiba berubah tu?  Awak terkejut dan terus campak handphone awak ke dalam handbagkan?”

          “ie...ya bang.”

          “MashaAllah.  Awak nak tau masa abang undur kereta masa di laman rumah sewa tu, sensor kereta berbunyi. Abang tengok tak ada apa-apa halangan pun kat belakang.  Hairan.”

          “Ish..., perkara begini tak perlu dihairankan.  Makhluk ghaib macam tu memang ada.  Kita je harus berhati-hati dan minta dijauhkan.”

               Pak Zaid, Zaleha dan Puteri merasa amat bersyukur kerana segala-galanya telah berlalu.  Mereka berharap perkara seperti itu tidak akan berulang lagi.  Biarlah ianya menjadi pengalaman dan pengajaran bagi keluarga mereka.

 

                   

        

 

 

  

       



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku