Silakan Cinta
1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Julai 2017
Kapsyen : Saat kasih sudah berada di pintu hat, tidak perlu mengetuknya. Masukkan ke dalam hatiku! Logline : Sayang itu Boleh saja dengan sesiapa. Tapi kalau cinta, hanya terkadang hadir. Andai hilang, hampir mustahil dapat gantinya.
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)
814

Bacaan






Zain Arash masih mengukir senyuman. Kehadiran pelanggan lain yang memenuhi restoran pinggir kota ini tidak dihiraukan. Kemunculan orang yang dirindui membuat dia berasa amat bahagia. Serasa bagai mereka berdua sahaja di situ.

Miya pula berlagak selamba. Pada pandangannya, senyuman lelaki itu bukan sahaja di bibir, boleh nampak di matanya juga. Malah lebih terserlah! Begitu rupanya apabila mata mula memberi reaksi menggambarkan rasa hati yang tersembunyi.

“Kanapa? Ada yang tak kena dengan saya ke?”

Pertanyaan Arash membuat Miya termalu sendiri. Namun dia pandai menyembunyi perasaan yang menyerangnya. Terkejut dan bagai tidak percaya ketika ini dia bersama Zain Arash. Nama yang sudah lama melayang ditiup angin. Entah bagaimana boleh mendarat semula di tempat yang penuh dengan kenangan suka duka.

“Miya?” panggil Arash. Lembut dan perlahan sahaja suaranya, namun boleh membuai halwa telinga yang mendengar. 

“Hmm… awak nampak sangat berbeza,” komen Miya.

Begitulah yang dapat dia simpulkan pada pertemuan yang tidak dijangka ini. Setelah bertahun tidak bersua, alih-alih ada rezeki berjumpa.

People can change…” balas Arash. Pandangannya seperti merenung jauh kehidupan yang telah dilalui. Ada yang mengusik jiwa, ada juga yang mengajarnya tentang hakikat kehidupan yang lebih bermakna.

Yup, but it is very hard to transform. Unless, after facing a severe stimulant. Otherwise, they will just be more and more of who they really are,” balas Miya pula.

“Betullah tu. Dah berapa orang anak Miya?” tanya Arash tiba-tiba. Sengaja mahu mengubah topik agar tidak tertumpu pada dirinya sahaja.

“Jap,nak kira…” jawab Miya bersahaja. Lagaknya seolah-olah kesemua jarinya tidak cukup untuk menghitung!

Arash terus tertawa. Entah kerana terasa terlalu lucu, entah kerana terlalu gembira mendengar jawapan spontan Miya.

Seketika Miya terpegun melihat Arash yang tidak segan meledakkan tawa tanpa ditahan-tahan. Lucu sangatkah? Dia sengaja mencebik, sedikit tidak selesa. Juga berasa segan apabila ada pelanggan bersebelahan yang menoleh ke arah mereka.

Sorry… saya ketawa kerana gembira dan bukannya sebab ketawakan Miya,” ucap Arash apabila menyedari wajah gadis itu berubah serius. ‘Gadis!’ detiknya dengan berbagai rasa yang turut menyapa benaknya.

“Awak pulak, dah ada berapa orang?”

“Miya dah pun tahu jawapannya, kan?” Mendatar sahaja suaranya.

“Mana nak tahu, kini sudah bertambah? Nanti tolong carikan lelaki yang soleh dan berjaya untuk saya. Boleh?” pinta Miya bersahaja. Hendak kata kaya-raya, melampaulah pulak.

“Soleh dan berjaya? Hmm…” Arash berjeda sambil otaknya cuba menyusun ayat yang bakal diucapkan.

“Kalau ada la…” sambung Miya.

“Kalau minggu depan saya suruh Tuan Bakri dan Puan Sharifah datang ke rumah Miya,boleh?” tanya Arash pula.

Miya terus tergamam, tak terkata! Lama dia memandang wajahnya.

“Boleh Miya?” ulang Arash. Dadanya berdebar-debar menanti jawapan gadis itu.

“Sebenarnya pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk tetamu yang datang.” Miya terpaksa juga memberikan jawapan. Berlapik dan tidaklah terlalu menunjukkan rasa di hati.

“Semudah itu?” duga Arash.

“Apabila diri memang menginginkannya, ikhlas itu sudah berada di pintu hati.”

“Oh,ya?” Senyuman di bibir Arash semakin melebar dan manis. Tiba-tiba dia bagai kehilangan kata-kata.

“Awak?” tegur Miya apabila Arash asyik merenungnya.

“Jom kita pergi beli cincin,” ajak Arash tanpa membuang masa. Apabila si gadis sudah memberikan hint, baik dia cepat bertindak.

“Awak ni betul-betul serius ke?” Miya sedikit terkejut dengan respons yang lelaki itu berikan.

“Saya nak terus fokus pada apa yang saya inginkan.”

“Awak ni… perlahan-lahan la.”

“Perkara yang baik, tak elok bertangguh.”

“Tapi saya tak nak terlalu tergesa-gesa. Nanti orang lain ingat apa pulak?”

“Ingat apa?”

“Apa-apa ajelah. Awak faham maksud saya kan?” Miya beralasan sambil melontarkan pandangan ke arah lain. Hatinya semakin tidak keruan pula apabila Arash asyik menatapnya tanpa berkelip.

“Kita hidup bukan dengan kata-kata orang lain Miya...”

“Ada ketikanya betul, tapi selalunya memang begitulah bila kita hidup bermasyarakat,” tutur Miya.

“Saya tak nak buang masa.Hmm... Miya nak cincin yang macam mana?”

Miya senyap sahaja. Dalam sekelip mata kenangan lalu terus terimbau di ingatan.

“Miya?”

“Kalau awak masih simpan cincin yang dulu tu, saya nak yang itu aje,” putusnya.

Arash mengukir senyuman. “Kata tak suka?”

“Saya tak pernah pun kata tak suka,” jawab Miya dalam segan.

“Tapi Miya tak sudi menerimanya.”

“Bukan tak sudi, cuma belum tiba masanya.”

“Biar lambat, asal selamat, ya?” usik Arash kemudian tertawa. 

 

  

 





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku