Komrad ke Syurga
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Julai 2017
"Mereka bertiga. Seorang ada Schizoid Personality Disorder, seorang lagi Avoidant Personality Disorder. Hanya seorang sahaja normal. Tak takut gilakah dia?" Cinta pun gila. Kita saja tidak sedar.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
223

Bacaan






            “Saya nak petang esok, boleh?”

            Serentakitu, pelajar-pelajar Tahun 2 pengkhususan Grafik Komunikasi melopong bagai ikanmenagih air untuk bernafas. Mata masing-masing tidak berkerdip. Madah Encik Alias memberi impak yang padu ke jiwa mereka 38 orang.

            “Cepatnya deadline, Encik Alias! Kenapa cepat sangat?” soal Bell, mewakili suara-suara rakan sekelasnya yang lain.

            “Lembaran kerja kreatif aje pun cik kak oi. Tak sampai 4 muka surat. Saya nak cepat sebab lepas ini, kamu semua kena buat tugasan berdasarkan lembaran itu nanti. Saya kena nilai dulu sebelum laksanakan tugasan seterusnya,” jelas Encik Alias.

            “Alaaa...Encik Alias. Kalau lusa, boleh tak?” Hidayah cuba membuat perundingan.

            Majoriti pelajar Tahun 2 mengangguk setuju dengan cadangan Hidayah ekoran separuh daripada mereka ada kelas pagi esok, manakala selebihnya mengangguk sekadar menjadi penyokong semata-mata.

            Encik Alias menghela nafas berat.

            “Come on, guys. You shouldn’t deal the dateline with me like this. You’re already Year 2! Be matured, please!” tegas Encik Alias, sedikit berang.

            “Payah betul. Bagi sajalah dateline lambat sikit,” rungut Raisya perlahan. Encik Alias menoleh ke arah gadis itu. Matanya terbuntang seperti bila-bila masa sahaja dia boleh menelan Raisya. Gadis itu menelan liur. Dia tertunduk, gerun hendak bertentang mata dengan pensyarah itu.

            “Your dateline is 8 a.m sharp tomorrow! Sesiapa yang terlewat walau lima minit, aku bagi markah sifar termasuk yang merungut macam tongkeng ayam!!” pekik Encik Alias.

            Masing-masing mengurut dada terkejut. Nampaknya, waktu penghantaran kerja semakin dipercepatkan. Mereka sekadar membisu tanpa berani hendak mempersoal lagi. Redha sahajalah. Sesetengah daripada mereka memandang marah ke arah Raisya. Si kurang ajar itulah penyebabnya!

            Kelas Literasi Teks & Penerbitan tamat dengan keluhan daripada 38 orang pelajar itu. Mereka keluar dari Studio Grafik dengan tergesa-gesa mahu melaksanakan lembaran kerja dengan segera. Nurin masih lagi dengan terhegeh-hegehnya. Dia sendiri melopong ketika Encik Alias mengajar mengenai lembaran kerja kreatif. Satu ilmu pun tidak terlekat dalam otaknya. Bukan kerana tidak faham, tetapi dia sememangnya sedang ketandusan ilham.

            Ah, kena bertapa di studiolah malam ini! Nak tak nak, terpaksalah aku berkerah otak.

            Raisya,Siti, Fadhilah dan Dayana mengemas barang untuk keluar dari studio. Mereka berempat agak diam, tidak seperti selalu. Perlahan-lahan Nurin mendekati mereka berempat dengan buku nota dipeluk erat ke dadanya. Kehadiran Nurin mengundang cebikan mereka.

            “Kau nak apa? Nak maki aku sebab jadi punca dateline cepat?” herdik Raisya. Suaranya yang nyaring cukup menggemakan studio itu.

            “Aku...dah cari isi-isi untuk tugasan Dr. Annur,” ujar Nurin tergagap-gagap lalu menyelak bahagian isi yang ditulis olehnya semalam.

             Belum sempat dia hendak menghulurkan buku notanya, Fadhilah terlebih dahulu melemparkan buku nota Nurin ke belakang. Buku tersebut betul-betul mengenai kepala Abbas yang sedang berbincang dengan ahli kumpulannya yang lain. Lelaki itu mengadu kesakitan.

             “Hoi, nak baling barang pandang-pandanglah sikit ada orang ke tak,” tegur Abbas. Kepalanya diusap perit. Tegurannya mengundang tawa ahli kumpulannya.

             Mereka berempat tidak menghiraukan teguran Abbas, sebaliknya terus bertindak mengusik Nurin dengan menolaknya hingga terundur ke meja. Pinggul Nurin diasak perit akibat terkena bucu meja itu. Wajahnya berkeriut menahan sakit.

            “Hei, bila masa kau jadi ahli kumpulan aku ha? Kau ingat kitorang nak ke ambil manusia pembawa bala macam kau ni? Kenapa terhegeh-hegeh nak masuk kumpulan kitorang lagi? Sebab nak gagalkan kitorang macam dulu?” herdik Siti lalu melepaskan satu tolakan kasar ke bahu Nurin. “Cermin diri, Nurin! Kau tu bukan tolong naikkan markah, tapi menjahanamkan pointer!”

            Air mata Nurin tertumpah. Dia tidak tahu hendak bermadah apa setelah mendengar cacian Siti. Tidak lama selepas itu, Raisya pula menolak Nurin hingga gadis itu terlanggar meja-meja lain pula. Tindakan kasar Raisya semakin tidak terbendung lagi.

            “Berhentilah, Raisya. Sudah-sudahlah tu hukum si Nurin,” Fahmi menyampuk. Selaku rakan sekelas, dia tidak tahan melihat semua ini lagi.

            “Kau jangan nak sibuk hal kitorang. Pergi jaga ahli kumpulan kau sajalah!”

            “Orang penakut dan tak matang saja yang kuat membuli, kau tahu tak? Seriuslah umur kau dah 20-an? Kenapa perangai macam budak kecil yang masih makan hingus sendiri?” Abbas tenang memerli. Mai membawa Nurin jauh daripada mereka.

            “Sekurang-kurangnya, pointer aku lagi tinggi daripada kau!” sambung Raisya. Abbas mengetap gigi menahan marah.

            “Eh, eh perempuan rambut kerinting ni. Kau tazkirah sikit dia ni, Fahmi. Silap-silap hari bulan, terbotak terus si keding ni aku kerjakan.” Abbas berdiri di belakang Fahmi. Dapat lihat jelas tangannya tergenggam kuat menahan marah,

            “Pointer tinggi, tapi sikap kelaut tak ada gunanya juga. Pointer tak boleh bawa ke liang lahadlah. Sikap kita saja yang boleh tentukan sama ada mayat kita boleh dibawa masuk ke liang lahat atau tak ada sesiapa yang mahu bawakan. Tapi kalau kau yakin kau boleh golek sendiri badan kau ke keranda, just keep that attitude,” balas Fahmi dengan berani.

            Raisya menahan amarah. Dia berasa malas hendak bertikam lidah dengan semua orang. Semua ini tidak akan berlaku jika Nurin tiada di dunia kampus ini! Dia mengerling tajam ke arah Nurin sebelum mereka berempat melangkah keluar dari studio. Habis semua bahu ditolaknya.

            Tangisan Nurin semakin berahi biarpun Mai cuba memujuknya. Hidayah menghulurkan tisu kepada Nurin agar gadis itu dapat mengelap air mata yang kian membasahi pipinya. Abbas dan Fahmi duduk kembali di kerusi masing-masing manakala Akiff mengutip buku nota Nurin semula.

            “Benjol kepala aku dikerjakan saka tu,” rungut Abbas, masih mengusap-usap kepalanya dengan wajah sugul. Akiff sekadar tersengih lantas merangkul leher sahabatnya itu lalu memutar-mutarkan penumbuknya pada bahagian usapan tadi. Abbas meraung sakit meminta tolong.

            “Mengada-ngada. Jangan sampai kau kalah di tangan perempuan macam itulah, Abbas,” pesan Akiff.

            Mereka semua menumpahkan pandangan ke arah Nurin. Masing-masing membuat bahasa tubuh di antara satu sama lain sebagai komunikasi secara senyap. Gadis itu teresak-esak dan tertunduk, berasa hilang semangatnya hari ini. Mahu sahaja dia berhenti belajar hari ini juga.

            “Ermm...Nurin. Apa kata kau masuk kumpulan kami saja? Daripada kau kena seksa mental dengan pesakit mental macam diorang tu, ada baiknya kau masuk kumpulan kami yang kanak-kanak Ribena ni,” ajak Akiff.

            “Kaulah kanak-kanak Ribena. Aku kanak-kanak Sunquick,” sampuk Abbas.

            “Hahaha. Kelakar, Abbas.” Akiff meletakkan kedua-dua tangannya ke bahu dan matanya memandang ke atas. Sepantas kilat, lengan Akiff ditumbuk. Nurin masih kalut-kalut hendak berbicara memandangkan dia memang jarang berkomunikasi dengan rakan-rakan sekelasnya. Dia hanya mampu tersedu-sedu.                “Tak apa. Setiap orang ada kekurangan. Mereka yang menghina kekurangan orang tu cuma perasan diri sendiri sempurna saja padahal hakikatnya merekalah yang banyak hinanya. Lupakan hal lama yang diorang sibuk canangkan, Nurin. Lagipun, kau tak sengaja waktu tu,” pujuk Mai sambil mengusap belakang Nurin.

            Pujukan Mai disokong dengan anggukan laju Akiff, Fahmi, Abbas dan Hidayah. 

            "So, Nurin. Here's your notebook," Akiff menghulurkan buku nota kepada Nurin dengan dialek British. Rakan-rakannya yang lain berpura-pura memuntahkan angin, meluat melihat cara Akiff memberikan buku nota kepada Nurin.

           Nurin terdiam, amat terharu kerana masih ada menerimanya dalam tugasan berkumpulan itu. Dia tidak putus-putus mengucap terima kasih. Tengah hari itu, mereka berenam duduk semeja sambil membincangkan hal tugasan tersebut. Biarpun Nurin 'berkomunikasi' dengan menulis buku nota, tetapi tidak sedikitpun menjanggalkan mereka untuk berinteraksi.        

***

            Haruman bau ayam masak merah menerawang ke segenap ruang rumah apatmen tingkat 13. Bunyi kelentang-kelentung terhasil saat sudip dan kuali berlaga di atas dapur memasak. Periuk nasi turut menggelegak menandakan hampir tanak. Penghuni rumah mula keluar dari bilik dengan perut mulai bergendang.

            “Eh, nak pergi Studio Grafik balik ke?” soal Kak Am. Nurin sudah pun bersiap-siap memakai tudung. Dia mengangguk sebagai jawapan kepada soalan Kak Am. Tangannya sibuk mencari barang-barang tugasan yang perlu dibuat termasuklah tugasan yang ditolak minggu ini.

            “Elok juga. Nanti bawakan bekal makanan untuk Sarah. Dia kat Bilik Komputer lagi tu dari semalam,” cadang Kak Aima. Dia yakin bahawa Sarah pasti tidak makan lagi akibat kesibukan kerjanya.

            Ya tak ya juga. Sekarang ini, mahasiswa pengkhususan Media Baharu agak sibuk menyiapkan projek besar mereka tahun ini. Mereka tiada pilihan lain selain terpaksa bertapa di dalam Bilik Komputer. Oleh kerana itulah Nurin jarang bertembung dengan mereka, termasuklah Sarah.

            Perjalanan dari apartmen ke Pusat Pengajian Seni mengambil masa 20 minit untuk tiba. Kaki Nurin menggigil keletihan. Berkali-kali dia tersengguk-sengguk menarik nafas, terlalu letih memanjat tangga ke Aras 3.

            Pintu Bilik Komputer diketuk bertalu-talu. Sarah membuka pintu. Suasana Bilik Komputer sunyi sepi biarpun ada 12 penghuni di situ. Kelihatan wajah masing-masing dilimpahi cahaya pada skrin komputer. Tiada seorang pun perasan akan kehadiran Nurin. 

            “Uih, mai school sebab nak hantar makanan ja ka, Nurin?” Sarah menyoal, serba salah kerana terasa seperti sudah menyusahkan rakan serumahnya itu.

            “Tak. Nak buat kerja kat Studio Grafik.”

            “Kalau nak balik rumah, beritahu Sarah. Kita balik sama-sama. Letih pula seharian kat sini,” ujar Sara sambil menggeliat. Nurin mengangguk faham.

            Perbualan mereka berdua diakhiri dengan lambaian. Dalam langkahan menuju ke tangga, Nurin terhenti ke arah Studio Muzik. Dia terjenguk-jenguk seketika sambil mata melilau-lilau ke segenap studio yang mempunyai enam bilik itu. Sunyi tiada penghuni. Harap-harap penggesek biola itu hadir memunculkan irama lagunya.

            Kakinya menyambung langkahan. Tiba sahaja ke Studio Lukisan, Nurin terjenguk-jenguk seperti tadi juga. Studio tersebut turut tiada penghuni. Entah mengapa, dia teringat akan satu lakaran di dalam sketchbook Irsyad. Lakaran tersebut menunjukkan keadaan Studio Lukisan itu sendiri. Ditepi lakaran tersebut terukir bait-bait yang memeningkan.

           “Menanap materi tak diketahui. Mengepal landas melindap. Lesap tak berbekas, ghaib tak bertikas. Lalu dia pegari, mengguling semula sinopsis. Lesap lagikah, atau tekal selama-lama?”

            Nurin tersenyum saat teringat kesemuanya. Irsyad sememangnya lelaki aneh hingga membuatkan Nurin teringin hendak tahu apakah setiap maksud bait aneh di dalam sketchbook-nya. Oleh kerana itulah, dia cuba hendak berkawan dengan lelaki itu. Ah, suka betul menyibuk hal orang, Nurin!

            Langkahnya kembali menapak ke Studio Grafik.

***

            Studio Catan haru-biru.

            Bengkel Produk hingar-bingar.

            Studio Arca hiruk-pikuk.

            Studio Lukisan barangkali gelita sekarang.

            Studio Grafik? Sunyi sepi kerana hanya Nurin sahaja penghuninya.

            15%, 10%, 7% dan akhirnya, tinggal1%. Nurin tersenyum lebar.

            Bagaikan tidak percaya apabila dia berjaya menyelesaikan semuanya. Otaknya terbayangkan katil sekarang. Dia tidak mahu berfikir apa-apa melainkan hanya tidur setelah seharian bersengkang mata menyelesaikan dua tugasan. Setelah mengemas, langkahnya diderap dengan penuh ria menuju ke Bilik Komputer untuk bertemu dengan Sarah.

            “Dah pukul berapa, Nurin?” soal Sarah.

            Kelihatan lingkaran gelap pada bawah matanya semakin menebal akibat impak tidur hanya sejam sejak 2-3 hari ini.Tugasan videonya masih belum selesai. Akibat tidak terdaya untuk menyambung kerja, dia berhasrat untuk berehat di rumah sahaja hari ini.

            Nurin membuka skrin telefon bimbitnya. Jam digital memampangkan angka 4.45 pagi. Dia menunjukkan skrin telefon bimbitnya kepada Sarah. Mata gadis itu terkerdip-kerdip melihatnya. Rasa kantuk betul-betul mengganggu penglihatannya.

            “Sikit lagi nak subuh. Kalau kita tertidur, alamatnya memang terlajaklah solatnya,” ujar Nurin dalam nada agak mamai.

            Mereka berdua melangkah masuk ke rumah. Masing-masing cuba menahan rasa kantuk untuk menanti azan berkumandang. Lagipun, agak bahaya jika Nurin tidur sekarang kerana dia perlu menghantar tugasan Encik Alias sebelum pukul 8 pagi sepertimana yang diarahkan.

            Sementara menunggu lembaran kerja kreatif habis mencetak, Nurin sengaja melekakan matanya dengan melihat video lucu di Instagram. Yeah! Nurin kuat! Jangan tertidur! Bertahan!

***

            Kak Am terpisat-pisat sambil melepaskan sisa kantuknya dengan menguap. Dia menggeliat kelenguhan hingga terhasilnya bunyi derapan sendi-sendinya sambil menuju ke ruang tamu. Aktiviti menggeliatnya terhenti akibat terkejut.

            “Allahuakhbar budak-budak ni,” ujar Kak Am. Dadanya diurut meredakan kejutannya.

            Kedua-dua sofa di ruang tamunya terbaring dua tubuh yang longlai dan lena dibuai mimpi. Mereka berdua tidur dengan kepala masih bertudung litup dan masih memakai stoking. Beg sandang juga masih dipakai di tubuh mereka. Kak Am menggeleng-geleng. Dia menatap seketika jam pada skrin telefon bimbit.

            “Alamak, baru pukul 7.20 pagi rupanya,” ujar Kak Am, spontan.

            Nurin terbeliak. APA?! 7.20 PAGI!!

            Dia bingkas bangun hingga memeranjatkan Kak Am. Kelam-kabut Nurin membersihkan diri, berpakaian, berbedak dan mengemas barangan yang perlu dibawa dalam masa hanya 15 minit sahaja. Belum sempat Kak Am hendak bertanya, Nurin sudahpun berdesup keluar dari rumah.

            “Hmm...kejar dateline agaknya,” Kak Am menebak.

            Skrin telefon bimbit mempamerkan angka 7.35 pagi. Hati Nurin semakin tidak keruan. Tiada pilihan lain selain lalu kawasan jalan pintas ke Pusat Pengajian Seni yang sedikit memenatkan itu. Ah, redahlah! Nurin berlari bagai tidak cukup tanah.

            Daun kemuncup hidup memanjang hingga ke pinggang. Namun, Nurin tetap mengharungi kawasan tersebut. Setiap parit dan paip dilangkah penuh bertenaga. Sekarang, dia perlu mendaki 100 baris tangga untuk tiba ke kawasan berbukit pula. Dia melangkau hampir 3 baris dalam satu langkahan supaya dia cepat mendaki ke kawasan atas.

            Nafasnya semakin termengah, tetapi semangatnya tetap membara tatkala terlihat bangunan Pusat Pengajian Seni tersergam megah di bukit sana. Kini, dia sudah tiba di kawasan pusat pengajian. Dia memanjat tangga yang terakhir menuju ke pejabat dan akhirnya.........

            Encik Alias keluar dari pejabatnya sambil membimbit cawan bersisa air nescafe. Dia terkejut melihat Nurin yang secara kebetulan mahu meletakkan lembaran kerja kreatif di atas rak. Encik Alias terkedu melihat beratus-ratus kemuncup melekat di sekeliling tubuh Nurindan bajunya juga basah sepenuhnya akibat diserap peluh. Mata mereka tidak berkelip.

            “Err...kamu ni baru redah hutan ke?” tegur Encik Alias.

            Muka Nurin berona merah. ARGH MALUNYA!!!!

***

            Ahh...kemuncup yang terakhir.

            Nurin menarik nafas lega. Dia mengetuk-ngetuk belakang badannya bagi mengurangkan rasa lenguh akibat terlalu lama membongkok sewaktu leka mencabut kemuncup pada seluarnya.

            Kepalanya digeleng-gelengkan. Mengantuknya, Ya Allah! Walau apapun, dia berasa lega kerana berjaya menghantar kesemua tugasan pagi ini. Mujurlah hari ini hanya ada kelas pagi sahaja. Jadi, petang ini dia bolehlah tidur sepuas hati.

            Nurin mengerut dahi. Dia dapat merasai denyutan perit pada kepalanya. Ah sudah, migrain kembali menyengat.Sejak akhir-akhir ini, dia cepat mendapat migrain jika dia tidak tidur seharian. Tangannya meraba poket kecil pada bahagian depan beg sandang. Kini, hatinya mula gerun apabila mendapati bahawa dia tertinggal ubat migrain di rumah.

            Alamak!

            Nurin membuka kesemua zip komponen beg, masih berharap agar dia ada selitkan ubat migrain di mana-mana. Nampaknya, harapannya hampa tetapi dia menemui botol ubat kecil berwarna jingga. Ini bukan botol ubat miliknya. Fikirannya ligat mengingat kembali bagaimana dia peroleh ubat itu.

            Oh...rasanya ini milik Irsyad. Nampaknya, dia tersilap masukkan beg tempoh hari.

            Ah, cuainya kau Nurin!

            Ubat apakah ini? Mungkinkah ini ubat penahan sakit juga? Bentuk dan warnanya pun sama macam ubat migrain. Barangkali ini ubat migrain juga.............kot?

            Ah! Makan sahajalah! Nurin menelan dua biji pil dengan rakus. Dia mahu migrainnya segera hilang sebelum kelas Tipografi berlangsung dalam sejam lagi. Setelah memakan ubat, Nurin duduk tenang di meja hujung, tempat ketenangan buatnya. Seorang demi seorang rakan sekelasnya mula muncul. Mereka turut hadir awal kerana mahu menghantar lembaran kerja kreatif.

            Pukul 9 pagi bertandang. Professor Rahman masuk ke Studio Grafik dengan bersemangat. Dia terkedu, bagaikan tidak percaya bahawa semua mahasiswa Tahun 2 hadir awal daripada dirinya sendiri. Buang tabiatkah masing-masing? Selalunya ada sahaja yang datang lambat. Padahal dia tidak tahu bahawa mereka semua hadir awal hanya kerana mahu mengejar dateline Encik Alias.

            “Okey, saya nak edarkan assignment kepada kamu semua hari ini dan nak kritik setiap seorang. Sila datang ke depan apabila saya panggil nama,” ujar Professor Rahman.

            Masing-masing mula gusar, tidak senang duduk rasanya. Seperti yang dikatakan, Professor Rahman memanggil seorang demi seorang sambil mengkritik tugasan. Kritikan setiap pelajar mengambil masa hanya 2-3 minit sahaja. Meskipun tidak sampai lima minit, tetapi mereka berasa seperti sejam lamanya.

            “Nurin Marliyanah,” panggil Professor Rahman, sedikit meninggikan suara ekoran mahu melawan kebingitan suara di studio itu. Dahinya berkerut-kerut melihat tugasan Nurin. Dia perlu banyak mengkritik tugasan gadis ini.

            “Nurin.” Professor Rahman memanggil lagi setelah merasakan Nurin masih belum datang kemejanya.

            “Prof!!” Secara tiba-tiba, Aini menjerit dan serentak itu juga, kesemua mahasiswa Tahun 2 menjadi panik. Professor Rahman mengangkat kepala. Matanya terbuntang luas.

           “Astaghfirullahal’azim!”

           Professor Rahman segera mendapatkan Nurin yang tersengih tetapi sudah tidak sedarkan diri dengan darah mengalir dari hidungnya. Pipinya ditampar-tampar dengan jeritan agar dia bangun, tetapi Nurin tidak terdaya. Dia kekal tersengih khayal dan lama-kelamaan, suasana menjadi gelap sepenuhnya dan tiada sebarang suara kedengaran.

***

            Kedengaran bunyi barang jatuh beberapa kali di bahagian rak buah-buahan. Bunyi bising tersebut menarik fokus Farah untuk berpaling ke belakang. Tiada orang di kawasan buah-buahan itu melainkan hanya seorang pekerja AEON yang tertunduk-tunduk sambil menekan perutnya.

            Farah serba panik melihat pekerja lelaki itu mengerang kesakitan dalam serakan buah epal. Tidak tahu apa yang telah berlaku kepadanya. Aduhai, kenapalah pagi-pagi sudah ada perkara mencemaskan? Farah ingin membantu pekerja itu, tetapi pada masa yang sama dia mahu memanggil pekerja AEON lain dari bahagian barang basah.

            Pekerja lelaki itu menyedari akan pemerhatian Farah. Dia kemudiannya berlagak biasa dan cuba untuk berdiri. Namun, keperitannya tidak dapat tertanggung hingga menyebabkan dia melutut kesakitan. Lagilah bertambah panik Farah.

            “Tolong! Tolong!” laung Farah sambil melambai-lambai ke arah bahagian barang basah. Jeritannya menyedarkan beberapa pekerja AEON di situ, Mereka mendapatkan Farah dan pekerja lelaki AEON yang sudah menggelupur kesakitan.

            “Encik, encik! Encik tak apa-apa ke?” panggil Farah biarpun dia sendiri merasakan bahawa soalannya agak bodoh.

            Pekerja lelaki AEON itu tidak menjawab apa-apa melainkan hanya merintih sakit hingga wajahnya berubah merah. Perutnya ditekan-tekan. Farah kelam-kabut mendail nombor telefon kecemasan sementara pekerja-pekerja membantu lelaki itu. Belum sempat hendak menekan butan hijau pada skrin telefon bimbit, pekerja lelaki AEON tersebut merangkul telefon  bimbit Farah. Farah terkedu.

            “Telefon...Pusat Sejahtera,” pinta pekerja lelaki AEON itu dalam nada kegigilan.

            Pusat Sejahtera? Bagaimanakah dia tahu.......ah! Tiada masah untuk persoalkan hal-hal ini buat masa sekarang. Tanpa berlengah, Farah mendail nombor telefon Pusat Sejahtera sepertimana yang dipinta oleh lelaki itu.

***

            Kepala Nurin berdenyut-denyut membuatkan dia berasa tidak selesa. Dia mengurut dahi seketika sebelum mata dicelik perlahan-lahan. Berkali-kali dia mengelipkan mata supaya pandangannya jelas kembali. Perkara pertama yang dilihat adalah....?

            “Encik Shahrul?” panggil Nurin lemah. Kemudian, Nurin terlihat Professor Rahman dan Farah yang turut berada di sisinya. Nurin kebingungan. Dia baru tersedar bahawa tangannya telah dilekati branula. Dia mula melilaukan mata ke sekeliling dirinya.

            Pusat Sejahterakah ini?

            “Alhamdulillah. Mujurlah tak ada apa-apa,” ucap Professor Rahman sambil mengurut dada. Dia masih terimbau-imbau akan darah pekat yang mengalir di hidung gadis itu. “Ada rasa tak selesa kat mana-mana ke, Nurin?” soalnya.

            Nurin sekadar menggeleng. Dia masih bingung dengan keadaan dirinya. Kelihatan Farah sudah mula bertakung air mata. Bagaimanakah rakan serumahnya boleh ada di sini? Adakah Encik Shahrul dan Professor Rahman memanggil Farah supaya datang ke sini?

            Berlainan pula dengan ekspresi Encik Shahrul. Pensyarah itu memandang tajam ke arahnya seolah-olah dia sudah membuat satu kesalahan paling besar. Nurin berteka-teki,aku terlupa hantar assignment diakah?

            Bermacam-macam perkara yang difikirkan oleh Encik Shahrul. Tidak kiralah apapun, yang pasti dia sudah tahu siapakah nama pelajar minor yang terbaring di katil wad ini. Benar sangkaannya, inilah Nurin Marliyanah, si gadis aneh bagai kecelaruan personaliti.

            “Sekejap ya. Saya panggil doktor yang merawat kamu,” ujar Professor Rahman lalu berlalu pergi. Waktu itu, wajah Encik Shahrul semakin serius. Nurin menelan liur, kegerunan.

            “Nurin ada sorokkan sesuatu daripada kami ke?” soal Farah tiba-tiba. Entah mengapa, soalan itu menjadi sensitif buat dirinya. Semakin lama, air matanya semakin deras mengalir hingga membuatkan Nurin semakin bertambah keliru.

            “Ha? Nurin sorokkan apa?” Nurin tertanya-tanya.

           Encik Shahrul mengerut dahi. Petah pula budak ini berkata-kata sedangkan sewaktu di dalam kelas aku, bukan main bisu lagi. Siap tulis pada buku nota sebagai wakil daripada mulut.

            Belum sempat Farah mahu menjelaskan,Dr. David dan Professor Rahman mendekati katil Nurin dengan senyuman. Dia memeriksa tekanan darah dan denyutan jantung Nurin dengan menggunakan stetoskop. Setelah diyakini tiada sebarang masalah, Dr. David mula berubah serius kembali.

            Nurin bertambah-tambah keliru. Aku ada buat salah ke???!!!!

            “Nurin, kita perlu berbincang sikit,” kata Professor Rahman. Kesemuanya menjadi serius, terutama sekali Dr. David,

            “Cik Nurin. Sepanjang awak pengsan tadi, pensyarah awak jumpa ubat ini di dalam beg awak. Soalan saya sekarang, sejak bila awak ambil ubat ni ya? Sebab berdasarkan rekod kesihatan awak dalam universiti ini, tiada sebarang penerangan yang mengesahkan bahawa awak perlu ambil ubat ni.”

            Dr. David mempamerkan botol ubat berisikan pil jingga ke arah Nurin. Farah semakin galak menangis. Nurin sendiri tidak tahu kenapa Farah menangis sebegitu rupa.

            “Err...tu bukan ubat saya,” jawab Nurin, jujur. Kali ini, Dr. David pula menjadi keliru.

            “Sudahlah, Nurin. Jangan nak berdalih lagi! Semuanya dah terbongkar. Mengaku sajalah,” Farah bertegas membuatkan Nurin semakin berkerut dahi.

            “Sumpah, Farah. Itu bukan ubat Nurin. Kenapa semua ni?”

            “Kalau bukan ubat awak, macam mana ubat ini ada di dalam beg awak?” Dr. David mula menyoal. Nurin tergaru-garu kepala. Kenapa semua ini menjadi begitu kompleks?

            “Saya terambil ubat daripada kawan saya. Saya ingatkan itu ubat painkiller. Maksud saya, ubat migrain saya bentuk dan warnanya sama macam ubat tu. Sumpah,itu bukan ubat saya. Percayalah,” rayu Nurin bersungguh-sungguh. Encik Shahrul, Professor Rahman dan Dr. David saling berpandangan manakala Farah masih teresak-esak.

            “Awak tak sepatutnya makan ubat orang lain sesuka hati. Setiap ubat punyai dos yang berlainan walaupun bentuk dan warna seiras. Awak tak semak dulu ke nombor yang tertulis pada setiap pil ini?” tegas Dr. David. Suaranya kedengaran sedikit tertekan.

            “Betul ke ini bukan ubat kamu, Nurin?” soal Professor Rahman, cuba mendapatkan kepastian. Nurin sekadar memandang sayu ke arah pensyarah itu. Berdasarkan lirikan mata Nurin, tahulah Professor Rahman bahawa gadis ini berkata jujur.

            “Berapa biji kamu makan ubat ini?” soal Encik Shahrul pula setelah sekian lama membisu.

            Nurin menunjukkan dua jari. Dr. David lantas terbelalak, terkejut dengan jawapan Nurin sebentar tadi. Ekspresi wajah doktor separuh abad itu membuatkan Farah bertambah bimbang hingga menangis teresak-esak.

            “Sebenarnya, apa yang dah terjadi? Saya tak faham,” soal Nurin berterus terang dengan kebingungannya.

            “Nurin sakit apa sebenarnya? Apa yang Nurin sorokkan daripada kami?” Farah menyoal dalam keadaan tersedu-sedan.

            “Ha? Nurin tak sakitlah! Apa sebenarnya dah berlaku?”

            “Betul ke ini bukan ubat awak, Cik Nurin?” soal Dr. David lagi, cuba menadah kepastian. Nurin menggeleng-geleng laju. Matanya semakin memerah resah. Sudah beberapa kali dia menjawab soalan yang sama, tetapi mengapakah mereka tetap tidak percaya.

            “Bukan ubat saya. Itu ubat kawan saya. Saya terambil. Sebelum makan tadi, saya migrain dan ingatkan itu ubat painkiller biasa sahaja sebab botol tu tak ada tulis apa-apa penerangan pil. Sebab itulah saya makan dua biji, jumlah yang sama dengan ubat migrain saya,” terang Nurin dengan panjang lebar.

            “Kawan? Maksud kamu, diakah?” soal Encik Shahrul kembali lalu tunjuk ke arah katil sebelah kanan Nurin.

            Nurin tercengang. Kelihatan Irsyad yang masih berpakaian uniform AEON sedang duduk bersantai di sebelah katilnya sambil membuat isyarat dua ke arah mereka semua. Nurin tidak menyedari akan kelibat Irsyad kerana terlitup oleh kerumunan mereka berempat itu.

          "Ya Allah, Irsyad! Kau okey?" soal Nurin kerisaukan setelah melihat tangan lelaki itu turut terlekat branula dan IV.

          “Kamu/Nurin kenal dia?” soal Encik Shahrul dan Farah serentak. Nurin memicit kepala, semakin pening dengan keadaan sekarang. Giginya diketap rapat.

           "Ya, saya kenal Irsyad dan ubat oren tu ubat dia. Kenapa tak tanya dia saja dari tadi dan minta dia jelaskan juga?" soal Nurin, berang tatkala dirinya disoal bertalu-talu sedangkan Irsyad bersenang-lenang di atas katil wad dengan IV yang melekat di tangannya.

          "Dia? Kena tunggu bulan terbelah dua pun belum tentu boleh jelaskan," sinis Encik Shahrul membalas madah Nurin.         

            “Awak dah buat kesalahan besar pada Encik Irsyad. Saya tak tahu nak kata apa. Kalau dia masih tak sedarkan diri tadi, saya terpaksa hantar dia ke Hospital Pulau Pinang,” tegas Dr. David dan sempat lagi mengerling ke arah Irsyad. "Kalau ikutkan, memang nak hantar kawan awak ni ke sana terus. Tapi cepat pula dia terbangun. Macam tahu-tahu sahaja."

          Irsyad sekadar mencebik. Ayat sarkastik Dr. David tidak sedikitpun mencairkan emosinya. Nurin semakin keliru. Tidak sedarkan diri?

            “Dia pengsan ke tadi?" soal Nurin.

            "Ya, pengsan. Farah ada waktu dia pengsan semasa dia bekerja tadi," jawab Farah pendek. Jawapan yang pendek itulah membuatkan Nurin lagi tertanya-tanya. Kenapa tidak jelaskan dengan lebih panjang lebar lagi supaya dia pun senang faham akan situasi serabut itu??

          "Ha'ah pengsan, sebab tak makan ubat oren tu. Kenapa tak makan ubat? Sebab ubatnya ada pada kamu," sampuk Encik Shahrul pula. Nadanya cukup sinis dan marah.

         “Oh, maknanya memang bukan Nurin punyalah ya? Mati-mati ingatkan Nurin ada sakit apa-apa,” rungut Farah. Dia mula menyeka air matanya, terasa membazir kerana menangiskan sesuatu yang sia-sia. Akibat kegeraman, dia memukul bahu Nurin sekuat hati. “Kenapa tak cakap awal-awal! Kalau tak, tak adalah Farah menangis bagai nak rak!”

         “Kan Nurin dah beritahu itu bukan ubat Nurin."

          Irsyad membatu di antara konflik mereka berlima. Dia bangkit dari katil dengan tiba-tiba hingga mencuri perhatian mereka semua. Branula yang melekat di tangan Irsyad dicabut dengan selamba seolah-olah dia sudah biasa melakukan sebegitu.

         "Ha, nak pergi mana? Aku pelangkung kau nanti kalau kau terus pergi kerja atau studio!" ugut Encik Shahrul. Hampir bergema Wad Kecemasan Pusat Sejahtera itu dek herdikannya. Mujurlah hanya Nurin dan Irsyad sahaja pesakit di situ.

         Ugutan Encik Shahrul tidak memberi kesan ke jiwa Irsyad. Lelaki itu hanya menonong keluar sambil menolak sesiapa sahaja yang cuba menghalang laluannya. Jururawat-jururawat di situ tercengang-cengang.

         "Doktor, pesakit tu lari lagi," lapor jururawat itu biarpun tindakan Irsyad sudah disaksikan oleh semua orang termasuklah Dr. David. Doktor separuh abad itu sekadar menggeleng-geleng.

         Nurin ternganga melihat tindakan drastik Irsyad. Berani sungguhlah budak itu!

         "Saya pun dah letih nak halang dia. Biarlah," Dr. David beralah.

         "Sebenarnya itu ubat apa? Ubat terhad ke?” Sebaik sahaja menyoal, Nurin terdiam seketika. Dia berfikir sejenak. “Irsyad sakit apa, Dr?” soalnya ragu-ragu.

            Dr. David membisu.

            "Aih, kamu kata kamu kawan Irsyad. Mestilah kamu tahu keadaan dia, betul tak?" soal Encik Shahrul penuh ragu. Dia seboleh-bolehnya mahu melucutkan sahaja perkataan 'kawan' yang terpacul dari mulut gadis itu.

            Bibir Nurin tergerak-gerak, tidak tahu hendak menjawab apa lagi. Akhirnya, dia tertunduk kesugulan. 

            "Kamu kawan Irsyad ke? Sejak bila?" soal Professor Rahman. Nurin tidak dapat hendak menjawab ekoran terlalu letih menjawab soalan yang hampir sama. Dia berasa aneh apabila mereka berempat menyoal soalan bertubi-tubi kepadanya tanpa henti. 

            “Jadikan ini sebagai pengajaran kamu. Lain kali, jangan makan ubat aneh-aneh sesuka hati, lagi-lagi jika ternampak ubat macam ni. Periksa dulu kod nombor pada pil atau lebih mudah, pulangkan semula ubatnya kepada empunya badan. Pengambilan ubat dan kecuaian ubat jangan dibuat main. Silap-silap, boleh membawa maut sama ada pada diri kamu atau pada diri pemilik ubat itu sendiri,” tegas Encik Shahrul dengan ayat yang tersusun tetapi menusuk. Professor Rahman membuat isyarat agar Encik Shahrul bertenang.

            Nurin terpempan mendengar madah serius Encik Shahrul. Wajahnya pula kian memutih akibat ketakutan yang semakin bersarang di dalam dirinya. Tidak semena-mena, Nurin mengetuk kepalanya berkali-kali. Ah, bodohnya kau Nurin! Kenapa terlalu cuai hingga tidak sedar ubat Irsyad ada di dalam beg kau?!

***

            Kesunyian menghuni Wad Sementara di Pusat Sejahtera. Dalam 12 buah katil, hanya satu sahaja yang mendamparkan seorang pesakit. Titisan ubat dari PPN boleh kedengaran hanya kerana Nurin dan Farah membisu hampir 2 jam di situ.

            Farah sudah pun tersengguk-sengguk menahan kantuk. Masih belum ada tanda-tanda Nurin boleh pulang dari situ kerana tekanan darahnya masih meninggi. Nurin memandang sayu ke arah rakan serumahnya. Nampaknya, dia sudah menyusahkan dua orang sekaligus. Nurin menepuk-nepuk peha Farah hingga gadis itu terbangun dari kantuknya.

            "Farah nak balik dulu, baliklah. Nanti lepas semuanya stabil Nurin boleh balik sendiri," pujuk Nurin. Dia kasihan melihat Farah yang agak keletihan.

           "Tak apa. Farah tunggu. Lagipun, penatlah pasal tadi. Lenguh rahang ni ha bila tanya macam-macam."

           Nurin mendengus. Baru kau tahu perasaan aku apabila diacu soalan bertubi-tubi macam peluru!

            “Farah, maafkan Nurin. Nurin dah banyak susahkan Farah hari ni,” ujar Nurin penuh kesayuan. Farah menggosok-gosok mata agar rasa mengantuknya sirna. Setelah itu, dia tersenyum manis.

            “Eh, tak adalah. Memang kebetulan Farah ada kat sini. Tak sampai 15 minit, tiba-tiba ternampak Nurin ada kat sini juga. Farah asalnya dari Queensbay Mall dan sampai sini dengan ambulans Pusat Sejahtera. Tak sangka pula lelaki itu kawan Nurin,” terang Farah dengan jujur.   Nurin kebingungan.

            “Ha? Tak faham. Apa sebenarnya yang dah berlaku?” soalnya lagi. Rasanya sudah beratus-ratus kali dia menyoal perihal sama, tetapi tiada seorang pun yang mahu menjawab.

            Farah menggigit bibir. Dia menjelaskan semula segala insiden di AEON Queensbay Mall kepada Nurin.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku