Gigi Palsu Atuk
Gigi Palsu Atuk
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 30 Julai 2017
Pemupukan Hubungan Kekeluargaan
Penilaian Purata:
325

Bacaan






 

          “Ibrahim bin Kulop”, panggil seorang wanita di hadapan kaunter di sebuah pejabat Kebajikan Masyarakat.   Tiada sahutan yang kedengaran.   Kira-kira 35 orang yang masih berceratuk dan belum di panggil namanya tidak menyahut. Suasana hingar bingar, bunyi suara berselang-seli bersoal jawab antara pegawai dan pengemis.  Ada yang menundukkan wajah dan ada pula tercangak-cangak memandang dengan wajah yang lesu dan  takut.  Ada yang membawa bungkusan pakaian dan ada pula yang berpakaian compang camping dangan keadaan diri yang tidak terurus.  Bau hapak mengapung ke seluruh ruang pejabat.  

               Kelihatan juga beberapa orang warga asing dan juga mak nyah sedang duduk di kerusi yang disediakan.  Mereka tidak menyangka aktiviti dan 'tempat tidur percuma' mereka diserbu oleh pihak berkuasa lewat malam itu.  

               Di sudut-sudut yang lain kelihatan kakitangan dari lain-lain agensi seperti PDRM, Majlis Bandaraya, Pejabat Agama, JPN dan AADK sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing. 

          “Ibrahim bin Kulop!”, panggil wanita itu lagi.  Senyap. Masih tiada jawapan.     

          “Siapa Ibrahim bin Kulop!” pegawai wanita itu memanggil dengan suara yang lebih keras dan dengan wajah yang lebih ketat.  Matanya dibulatkan.

          “Ya, saya, cik.”  Sahut seorang lelaki tua berusia lingkungan enam puluhan.  Dia memakai flat cap. Wanita separuh umur itu menjeling  geram.  Mesti dia sedang menyumpah.

          “Nak tanya ni, kenapa pak cik merayau-rayau dan tidur di kaki lima?”

          “Pak cik tak suka duduk dengan anak cucu”, jawab pak cik Ibrahim dengan nada pelat. Bibir dan pipinya kelihatan kendur. Kesemua barisan giginya sudah tiada. Rongak bahagian atas dan bawah.

          “Pulak!”, balas wanita itu sambil tersenyum mengejek.  Tak ada gigi rupanya, patutlah segan nak jawab, bisik hati kecilnya.

          “Ini mesti kes dera atau kurang perhatian dan kasih sayang keluarga ni ya”, ucap seorang lagi wanita muda yang berdiri di sebelah wanita yang sedang sibuk bertanya dan merekod.  Pak Ibrahim hanya mendiamkan diri.  Bola matanya kelihatan berkaca.  Wajahnya sayu.

          “Menurut rekod kami, pak cik ni tak pernah ditangkap dan diselamatkan oleh pihak kami sebelum ini.  Kalau ikut alamat pun, pak cik ni duduk tak jauh dari bandar ni.  Ini pertama kali kena tangkap kan?”

               Lelaki tua itu mengangguk.  Wajahnya agak bersih dan terjaga begitu juga pakaiannya yang kelihatan agak kemas, tidak lusuh dan tidak kotor seperti pengemis atau kutu rayau yang lain.

          “Dah berapa lama Pak cik merayau dan duduk di kaki lima ni?”

          “Ti...tiga ari.”

          “Pak cik tidur di situ sajakah?”

          “Kadang-kadang di bangku taman bunga, kadang-kadang di stesyen bas, di masjid.”

          “Oo...siapa beri makan?”

          “Ada. Err...ada yang beri”,  jawab Pak Ibrahim.  Dia tidak tahu siapa yang memberinya bungkusan makanan dan menunjukkan kasihan belas kepadanya.  Dia hanya menerima tetapi tidak pula pernah bertanya nama insan-insan tersebut.  Ada lelaki dan ada wanita.  Ada melayu, cina dan india.  

               Mengingatkan tentang makan, ah!, betapa siksanya dia beberapa hari itu kerana makan tanpa gigi palsu.  Semuanya ditelan setelah memamahnya dengan gusi.

          “Pak cik tak takut ke tidur di kaki lima tu?  Kawasan tu tak selamat, tak selesa dan mudah terdedah dengan aktiviti  jenayah. Lagi-lagi waktu malam gelap macam ni. Orang ramai yang tengok pun tak suka”,  soal wanita yang sedang berdiri itu lagi.  Perawakannya lebih lembut dan sopan.

               Pak Ibrahim hanya diam membisu.  Dalam hatinya apa-apa pun yang berlaku biarlah dia yang menanggungnya sendiri. Dia tidak mahu menyusahkan orang lain. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa waimah keluarganya sendiri.  Mereka yang menyusahkan dirinya.    

          “Ada keluarga terdekat yang saya boleh hubungi segera?”, soal wanita di hadapannya itu lagi.

               Keluarga?.  Fikiran Pak Ibrahim melayang.  Berputar seperti alat projector sedang menayangkan sesuatu di layar putih.  Sudah tiga hari dia mahu melupakan mereka.  Ah,jangan disebut-sebut lagi tentang  Zairuddin, isteri dan anak-anak  mereka, terutama cucunya Faez dan Firra yag nakal itu.  Dia sudah tawar hati dan benci tinggal dengan mereka.  Jika boleh dia ingin memohon untuk tinggal di rumah kebajikan.  Rumah orang-orang tua.

               Walaupun tinggal bersama anak dan cucu, Zairuddin dan isterinya Sarah sering tiada di rumah. Mereka berdua sentiasa sibuk bekerja dua puluh empat jam.  Susah nak bersua muka dengan mereka.  Banyak perkara yang ingin dibualkan dan dikongsi bersama juga terpaksa disimpan dan dipendam. Lebih-lebih lagi dengan perangai dua orang cucunya yang berusia tujuh dan sembilan tahun itu.  MasyaAllah perangai mereka membuatnya menjadi tidak keruan.  Dia sudah tidak tahan lagi.  Dia pula merasakan dirinya umpama orang yang diberi tanggung jawab menjaga dua orang cucunya itu.  Dia merasakan dirinya seperti orang gaji.

               Dia selalu diusik dan dipermain-mainkan oleh Faez dan Firra. Perkara yang tidak disukainya ialah mereka berdua sering bergurau tentang gigi palsunya.

               Dia masih ingat, gigi palsu jenama “doktor Prakash” yang dibuat di klinik doktor itu sendiri adalah yang terbaik pernah dibuat.  Jika dibuat sekali lagi pun tidak akan sama dan serupa seperti gigi palsunya yang telah hilang itu.  Klinik Doktor Prakash juga sudah berpindah ke tempat lain.   

               Sejak berusia lewat tiga puluhan, hampir kesemua giginya sudah tercabut. Tanggal sendiri satu persatu setelah lama bergoyang padahal usianya belumlah tua sangat. 

               Entahlah, mungkin giginya tidak dijaga dengan baik ataupun memang keturunannya begitu, gigi mudah tercabut.  Sejak itu sudah banyak dia menghabiskan wang simpanannya membuat gigi palsu.  Harga gigi palsu bukanlah murah.  Lagi-lagi jika jumlah gigi yang ingin ditempah itu banyak.  Ada beberapa set gigi palsu yang masih disimpan,  tetapi tidak sama dan tidak sebaik giginya yang hilang itu.

               Dia amat sayang dengan set gigi palsunya yang satu itu.  Sangat baik buatannya.  Melekap kuat tanpa dikenakan gam pelekap, tahan lama dan selesa pula memakainya.  Tidak longgar dan tidak berasa sakit bila memakainya.  Cakaplah, makan apa sahaja, jagung rebus, daging bakar, satay, ayam KFC semuanya boleh diratah, dimamah dan dilumatkan dengan mudah, masuk ke dalam perutnya.  Tiada masalah langsung. Begitu serasi dengan gusinya.

               Dia sangat berpuas hati dengan jasa bakti gigi palsunya itu.  Sehingga dia merasakan jika dibandingkan dengan gigi original pun belum tentu sebaik gigi palsunya nan satu itu. Jika dia menyuruh doktor Prakash membuatnya sekali lagi pun belum tentu sama kualitinya.

               Kini sudah lima hari dia kehilangan gigi palsu kesayangannya itu.  Hilang entah ke mana.  Puas dicari.  Ditanya kepada anak cucunya, masing-masing menggelengkan kepala. 

               Semuanya gara-gara dia yang suka melayan karaoke di rumah.  Jika dia kesunyian dia akan melayan lagu-lagu lama kesukaannya.  Sudah tentu dia akan memakai gigi palsunya terlebih dahulu sebelum mengalunkan lagu. 

          “Eleh, atuk nak masuk pertandingan lagu yang macam kat dalam TV la tu”, ujar Firra sambil menjuihkan bibir.  Dia hanya meleretkan senyuman.

          “A,ah.  Pakai gigi palsu bolehlah atuk nyanyi.  Cuba bukak gigi tu, barulah suara atuk sedap real macam Donald Duck ”, tokok Faez memerli sambil menekup telinga.

               Sebelum itu dia sudah menyimpan gigi palsu kesayangannya baik-baik di dalam gelas kaca di atas meja biliknya.  Macam mana boleh ghaib?  Ah, dia tahu Faez dan Firra selalu suka  menyembunyikannya.  Ini tentu perbuatan mereka, tapi bila berkali ditanya mereka menafikannya.  Dia mengesyaki dua orang cucunya itu sudah mempermain-mainkannya.  Setelah itu dia memendam rasa.  Dia merajuk dan mengambil langkah melarikan diri dari rumah.

               Bukan sekali itu saja,  sudah banyak kali gigi palsunya disorok oleh kedua orang cucunya yang nakal itu. Pernah satu set giginya yang lain sebelum ini patah kerana diusik dan dimain oleh mereka berdua.  Semuanya kerana dia terlupa dan tertinggal gigi palsunya di dalam bilik air.  Faez cuba menakut-nakutkan adiknya dengan mengejar Firra sambil mengunjuk-unjukkan gigi palsunya.  Dan gigi palsu itu patah dua di atas lantai bila terjatuh dari pegangan Faez.  Hatinya juga terasa patah dua.

          “Pak cik Ibrahim!”, jerit wanita di hadapannya.  Pak cik Ibrahim terkejut.  Lamunannya terhenti. Bayangan Faez dan Firra segera hilang. 

          “Pak cik dengar tak apa yang saya tanya tadi?”, tanya wanita itu lagi. Kali ini wajahnya nampak seperti mahu menelannya.  Pak cik Ibrahim kelihatan gugup.

          “Sabar Lina. Pak cik ni tak berapa dengar agaknya. Masalah usia kot?”, potong pegawai yang berdiri itu.

               Bunyi deringan telefon memecah suasana.  Pegawai wanita itu segera bergegas menjawab panggilan.  Dia mengangguk-angguk sambil memandang ke arah Pak Ibrahim.  Pak cik Ibrahim melarikan wajahnya. 

          “Ya ada.  Ibrahim bin Kulop kan?. Ha ha, ya, ya,betul.  Dia ada di sini.  Minta waris datang ambil pak cik ni di pejabat kebajikan sekarang”.  Pegawai itu menamatkan perbualan.

          “Lina, kita baru terima panggilan dari balai polis daerah.  Kejap lagi anak Pak cik Ibrahim ni datang ambil dia. Sebenarnya anaknya dah buat report kehilangan pak cik ni.  Kes pak cik ni dah selesai”, ujar wanita yang berdiri itu.

          “Baguslah.  Pak cik, lepas ni, pak cik jangan buat hal lagi ya”, pinta pegawai yang bernama Lina sambil menjeling tajam.  Pak cik Ibrahim hanya diam membisu.

               Tidak lama kemudian kelihatan kelibat Zairuddin, Sarah, Faez dan Firra. Mereka memeluk pak Ibrahim sambil menangis dan memohon maaf.  Sebuah drama keluarga disaksikan oleh mereka yang berada di situ. 

               Tidak lama kemudian pegawai wanita yang berdiri itu meminta agar Zairuddin dan isterinya masuk ke biliknya untuk membuat sesi temubual dan merekodkan maklumat.  Pak Ibrahim di suruh membersihkan diri dan menjamah makanan yang disediakan oleh pihak JKM yang membuat operasi bersepadu bersama agensi lain bagi menyelamatkan pengemis dan kutu rayau pada lewat malam itu.

          “Saya memohon maaf dan berjanji akan menjaga bapa saya dengan baik”, ujar Zairuddin kepada pegawai kebajikan tersebut.

          “Terima kasih banyak-banyak kepada puan dan kakitangan lain kerana dapat membantu kami menemui semula bapa kami”,  ucap Sarah pula.       

          “Boleh saya tau bagaimana bapa encik boleh meninggalkan rumah?”

          “Semuanya kerana gigi palsu.”

          “Hah, gigi palsu?.  Belum pernah lagi saya bertemu dengan kes seperti ini”, ujar pegawai wanita itu sambil tersenyum nipis.

          “Ya, puan.  Memang agak melucukan.  Puas kami tanya anak-anak, mereka kata ayah saya marah-marah kerana gigi palsunya hilang. Kami pun tidak menyangka bapa kami sanggup bertindak sedemikian kerana gigi palsu.  Tiga hari kami mencari bapa kami di merata tempat tapi tak jumpa”, terang Sarah.

          “Betul puan.  Bapa kami itu sayangkan gigi palsunya.  Dengan gigi palsunya itulah dia dapat meningkatkan keyakinan dirinya, dan erm...dulu bapa pernah berkata setelah memakai gigi palsu barulah dia bertemu jodoh dengan ibu saya”, terang Zairuddin sambil ketawa.  Sarah dan pegawai wanita itu turut ketawa.

          “Tadi saya ada bertanyakan kepada bapa encik, kenapa dia merayau dan tinggal di kaki lima.  Dia kata dia dah tak mahu tinggal dengan encik berdua lagi. Mengapa begitu?”.

          “Oh, itu memang salah kami sebab kami sentiasa sibuk setiap hari dan tidak dapat memberi banyak masa dan perhatian terhadapnya.  Selepas ini kami berjanji akan meluangkan banyak masa kepadanya dan juga kepada anak-anak kami.”    

          “Tentang gigi palsu tu, bagaimana boleh hilang?”.

          “Sebenarnya gigi palsu tu tak hilang.  Bukanlah disorok oleh anak-anak kami seperti yang dituduh oleh bapa kami.  Gigi tu ada di dalam kabinet pinggan mangkuk. Mungkin bapa kami yang terlupa letak di situ setelah selesai menjamah makanan.”

          “Ya puan.  Sebab itu kami perlu meluangkan banyak masa kepada bapa kami sebab sudah banyak kali dia mengalami masalah lupa.”

          “Ohh...baguslah begitu.  Saya berharap kita semua dapat memberikan lebih banyak masa kepada kedua orang tua kita. Semakin lanjut usia mereka, maka semakin banyak masa dan perhatian kita kepada mereka.  Jangan sekali-kali biarkan mereka menjadi gelandangan atau orang yang  tidak berumah.  Berbaktilah dan curahkanlah sepenuh kasih sayang kepada kedua orang tua kita selagi mereka masih ada.  Masa tua kita juga akan tiba.  Moga kita diperlakukan dan dilayan dengan baik oleh anak cucu kita kelak ”, ujar pegawai muda itu mengakhiri perbualan.  Zairuddin dan isterinya mengangguk-anggukkan kepala.  Ada rasa penyesalan dan keinsafan tertanam disanubari mereka.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku