Handsome & the Beast
Bab 3
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Ogos 2017
Memang dia handsome, pemilik sepasang mata hazel hijau. -Mia Kalesha- Ya, dia memang pembunuh. Tapi kalau dia tak ada, aku terbunuh. -Yigit Aslan Öztürk-
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
454

Bacaan






Bab 3

Yigit Aslan dan Zaki meluangkan waktu senggang sebelum pulang ke rumah masing-masing. Sesi perkenalan bermula antara mereka berdua. Zaki yang fasih berbahasa Inggeris lancar sahaja berbual-bual dengan Yigit Aslan.

Zaki sudah memberitahu Yigit Aslan tentang Zarif, Aiman dan Syukri. Malahan, tentang Tasha dan Amelia juga. Kecuali Zaiton memandangkan Yigit Aslan sudah terlebih dahulu mengenali Zaiton sebelum sempat Zaki mahu menceritakan yang baik-baik mengenai Zaiton.

“Jadi kau tahu ada seorang budak perempuan ni dia mangsa buli Tasha dan Amelia?” soal Yigit Aslan dalam Bahasa Inggeris. Cuba mengetahui tentang gadis yang tidak sengaja berlanggar bahu dengannya tengah hari semalam.

“Bukan seorang tetapi lebih daripada sepuluh orang mangsa buli mereka,” jawab Zakiyang juga berbahasa Inggeris.

“Oh, begitu...”

“Aku dah ceritakan kat kau sedikit sebanyak tentang diri aku dan pelajar-pelajar kat kolej ni. Ceritalah tentang diri kau pulak,” pinta Zaki.

Well, seperti yang kau tahu nama aku Yigit Aslam. Boleh panggil aku Yigit. Negara kelahiran North Cyprus tetapi warganegara Turki, menetap dan dibesarkan di Istanbul, Turki dan bakal menetap setahun kat Malaysia ni. Aku berdarah Melayu sebelah mak dan Turkish Cypriot sebelah ayah. Memandangkan ini hari kedua aku kat kolej ini, kaulah pelajar pertama yang aku kenal selain Zaiton.”

“Oh, aku tahulah sikit-sikit yang banyak Turkish Cypriot kat North Cyprus selepas penjajahan Turki kat Cyprus. Lepas graduate nanti kau balik ke North Cyprus?”

“Mestilah.”

“Bekerja kat sana nanti?”

“Tak. Balik bercuti kat sana rumah atuk dan nenek sebelah ayah. Lepas tu aku akan pulang ke Istanbul membantu perniagaan ayah saya kat sana.”

“Wah, hebatnya. Boleh aku tahu business apa keluarga kau jalankan?”

“Tekstil dan minyak wangi.”                       

Betullah tekaan Nurul semalam. Keluarga Yigit Aslan pemilik perniagaan minyak wangi. Bukan dia, tetapi ayah dia. Itu sebablah Mia Kalesha terhidu bau harum Yigit Aslan di atas fail-failnya yang disentuh pemuda itu. Tajam juga ya deria bau Mia Kalesha.

“Jadi apa tujuan kau pindah ke sini?” soal Zaki. “Erk, kalau kau keberatan tak payahlah cerita.”


“Tak apa. Jangan jajah cerita aku kat orang lain sudahlah. Sebenarnya aku ke sini sebagai hukuman. Ayah aku jatuhkan hukuman ke atas aku atas sebab-sebab peribadi. Sebab tu dia hantar aku ke sini? Mahu aku menjadi anak sesuai dengan acuan yang dia inginkan. Dan lebih berdisiplin. Mungkin.”

Fikiran Yigit Aslan jauh melayang. Gara-gara dia membantah ayahnya berkahwin dengan perempuan muda yang sama muda dengan dia. Pelbagai usaha Yigit Aslan lakukan untuk memastikan ayahnya tidak mengahwini perempuan itu. Yigit Aslan sudah menyiasat tujuan utama perempuan itu mengahwini ayahnya adalah kerana harta. Sedangkan perempuan itu mencintai Yigit Aslan.

“Yok, babam. Yok!” Tidak bapaku, tidak! Yigit Aslan tidak mengizinkan bapanya mengahwini perempuan itu.

“Oğulum...” Anak lelakiku. “Kau mahu melihat bapamu terus bersedih atas pemergian ibumu.” Itulah alasan yang diberikan bapanya. Berkahwin baru untuk tidak bersedih atas pemergian isteri tercinta ke rahmatullah.

Si perempuan itu pula yang dimahunya anak tetapi bertekad untuk mengahwini si ayah.Murahnya harga sebuah perkahwinan.

 

 

“Abdul Bedul Bin Beduk?” panggil jururawat yang bertugas.

“Ya, saya,” jawab Mia Kalesha. Perlahan-lahan bapanya dipapah masuk ke bilik rawatan. Petang ini sejurus pulang dari kuliah Mia Kalesha membawa bapanya ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan kaki.

Doktor yang bertugas menyoal Abdul Bedul sedikit sebanyak. Abdul Bedul sedikit sebanyak membantu doktor mendapatkan keterangan untuk mengetahui lanjut tentang tahap kesihatan kaki Abdul Bedul.

Sejurus membuat pemeriksaan, doktor mendapati Abdul Bedul tidak mengalami kecederaan serius di kaki. Melainkan, kaki kiri Abdul Bedul sedikit terkehel gara-gara tergelincir jatuh ke dalam kolam ikan akibat panahan cinta terhadap guru katering sekolah menengah tempat dia bekerja sebagai tukang kebun itu.

“Jadi pak cik, saya beri surat cuti sakit selama dua minggu ya?” soal Doktor Atikah mendapatkan pandangan pesakitnya. Kondisi kaki Abdul Bedul perlu menerima rawatan dan rehat yang secukupnya.

Selaku tukang kebun sekolah, jika Abdul Bedul kembali bertugas selepas seminggu atau beberapa hari rehat pasti akan bertambah teruk. Mungkin Abdul Bedul akan mengalami kompikasi yang lebih teruk lagi. Doktor Atikah yang merawat Abdul Bedul tidak mahu perkara itu berlaku kepada pesakitnya. Abdul Bedul bukannya pekerja pejabat. Lelaki itu tukang kebun yang memerlukan banyak aktiviti fizikal untuk bekerja.

“Tak boleh doktor. Saya kena kerja. Dua minggu cuti tanpa gaji habislah saya anak beranak nak makan apa. Saya tak mahu anak saya dan saya makan pasir. Cukuplah perut saya dah kembung ni banyak sangat minum air payau kolam ikan. Berilah saya cuti seminggu aje.”

“Pak cik minum air kolam kenapa, pak cik?” soal Doktor Atikah sambil tergelak kecil.

“Lah, salahkah saya minum. Orang kata kalau kita masuk dalam air mesti minum air tu. Macam orang lemas kat laut atau sungai tu, doktor,” terang Abdul Bedul. Macam itu pula.

“Oh, kolam ikan kat sekolah dalam ya pak cik.”

“Eh, eh.. doktor ni. Nama pun kolam ikan. Kat sekolah pulak tu. Mestilah tak dalam. Kurang paras lutut saya, doktor,” jawab Abdul Bedul beria-ria. Terbeliak mata doktor perempuan itu mendengar ejekan Abdul Bedul terhadapnya.

“Habis tu macam mana pulak boleh terminum, pak cik?” Dah tahu kolam tu cetek, buat apalah feeling-feeling lemas pulak pak cik ni.

“Saya tundukkan kepala lepas tu minumlah.” Sudah itu, sempat lagi Abdul Bedul menambah sambil menoleh ke arah anak perempuannya, “Itu pun doktor ni tak tahu,Mia.” Mia Kalesha mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Malas mahu melayan bapanya itu.

“Erk? Er.. erk.. okey, okey pak cik. Asalkan bahagia ya. Jadi saya berikan cuti seminggu. Selepas seminggu sekiranya bengkak lagi kaki pak cik tu, bolehkembali semula ke sini untuk pemeriksaan lebih lanjut ya. Jika semuanya kembali pulih, pak cik boleh bekerja seperti biasa,” ujar Doktor Atikah.

 

 

“Ayah ni jumpa semua orang memang berseloroh eh?” soal Mia Kalesha memuncungkan mulutnya. “Kan Mia dah pesan, ayah. Janganlah macam tu lagi.. tak elok. Kalau orang yang tak kenal perangai berseloroh ayah mahunya dia kata ayah tak siuman tau.”

“Alah, kamu ni Mia. Kamu macam tak tahu ayah ni kebosanan Mia. Dua puluh dua tahun ayah hidup membujang tau selepas arwah mak kamu meninggal.” Kata-kata Abdul Bedul ada benarnya. Sebulan selepas arwah isterinya melahirkan Mia Kalesha, arwah pergi menghadap Ilahi akibat pendarahan selepas bersalin. Abdul Bedul membesarkan Mia Kalesha sebagai ayah dan ibu. Hidup berdua dengan anak perempuan tunggalnya itu. Mia Kalesha puteri anugerah Ilahi yang dijaganya bagai menatang minyak yang penuh.


“Mia dah suruh ayah kahwin. Cari peneman hidup. Tapi ayah tak nak.”

“Sewel kepala budak ni. Kita ni makan pun ikat perut. Catu makanan tahu tak. Bukannya ayah tak nak kahwin, nak. Nak sangat. Tapi itulah ada dua sebab ayah bujang sampai sekarang.”

“Duda. Dudalah.”

“Janganlah betulkan ayah.” Orang nak merasa diri bujang sikit pun tak boleh.

“Mia tahu, ayah tak nak kahwin lagi sebab tak nak bahagikan kasih sayang ayah untuk orang lain. Ayah nak bagi semuanya pada Mia. Biar Mia seorang aje dapat perhatian ayah. Dan ayah juga janji yang ayah takkan kahwin lagi sebelum lihat Mia berjaya.” Mia Kalesha memeluk Abdul Bedul.

“Ya. Dan yang keduanya sebab ayah kumpul duit untuk pendidikan Mia. Sebab itulah nak mandi, nak makan, nak guna elektrik semuanya bercatu. Kalau tak, Mia tak merasa sambung belajar tau,” jelas Abdul Bedul. “Kalau ayah kahwin lagi, nanti duit gaji ayah kena bahagi tiga termasuk mak tiri kamu. Kalau dia beranak, kena bahagi empat. Kalau dia beranak anak kedua, kena bahagia lima bahagian. Lepas tu dia pun lari tinggalkan ayah sebab tak tahan hidup melarat.”

Mia Kalesha hanya tersenyum. Bercakap soal gaji macam manalah dia mahu memberitahu Abdul Bedul perkara sebenarnya. Dia baru sahaja dipecat daripada kerja separuh masanya di restoran pizza dan ayam.

“Eh,kenapa Mia tak bersiap ke restoran?”

Ah ,tidak. Baru aku terfikir soal gaji. Macam mana nak terangkan kat ayah. Dia dah tanya pulak. Rungut Mia Kalesha dalam hati.

“Mia diberhentikan,” jawab Mia penuh tenang di wajah tidak setenang hatinya yang bergelombang hebat.

“Kenapa anak ayah diberhentikan?”

“Sebab Mia curi-curi study tapi waktu masa terluang aje. Bukannya masa busy.”

Mendengar jawapan Mia Kalesha, degupan jantung Abdul Bedul berdegup pantas. “Tak apa. Nanti ayah usahakan untuk tambah pendapat. Nanti ayah ambil kerja part-time mesin rumput rumah orang sebanyak yang boleh.”

Abdul Bedul dipeluk erat. Mia Kalesha tidak mampu mengungkap sebarang kata. Matanya berkaca mengenangkan kesetiaan seorang ayah kepadanya. Anugerah TUHAN yang terindah buat dirinya. Alhamdulillah, Tuhan. Kau mengurniakan aku seorang bapaseperti dia walau miskin harta, kaya kasih sayang. Daripada dia aku belajar tingginya nilai setia.

Ayah, Mia tahu ayah terlalu cintakan arwah ibu. Mia tahu ayah tidur dengan gambar arwah ibu. Mia tahu. Tapi ayah yang tak tahu yang Mia tahu. Mia selalu selimutkan ayah. Ayah selalu pegang gambar ibu. Ayah jaga Mia sebagai amanah perkahwinan ayah dan ibu.

 

 

Yigit Aslan diberitahu oleh orang gajinya, Bik Yati daripada Indonesia untuk menghadap bapanya segera di taman. Yigit Aslan akur.

“Ayah ubah fikiran. Ayah hanya akan pulang ke Istanbul selepas berjaya mencari guru Bahasa Melayu untuk kamu. Merangkap pengasuh kepada kamu,” ujar Aslan Kemal.

Melampau betul usia sedewasa Yigit Aslan mahu dicarikan seorang pengasuh. Ya, pengasuh. Ini semua memandangkan Yigit Aslan sudah tidak lagi berdisiplin dalam pelajaran selepas pemergian arwah ibunya. Pelajaran Yigit Aslan jatuh merosot.

“Ayah, please. Tak perlu sampai ada pengasuh. Saya bukan budak kecil lagi. Saya dah besar panjang. Saya tahu apa yang perlu dibuat. Apa yang tak patut dibuat.”

“Tidak. Kamu tak tahu. Sedangkan bapa kandung kamu sendiri kamu tak mengizinkan mengecap kebahagian. Inikan pulak perkara yang baik untuk kamu. Kamu bukan lagi Yigit Aslan yang dulu. Kamu Yigit Aslan yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati bapamu.”

“Ayah.. Uhfff....” Yigit Aslan mengeluh.

“Dengar sini anak, memilih untuk berkata ‘ya’ atau pulang ke Cyprus untuk selama-lamanya. Jangan pernah kembali ke Istanbul. Bakal adik tiri kamu yang akan mengambil alih perniagaan ayah bila dia dewasa kelak.”

Bagus. Kahwin dengan perempuan tu pun belum lagi dah berniat untuk dapat anak denganperempuan tu. Menari-nari bahagialah perempuan kalau bakal anak dia dan ayah nanti yang akan ambil alih semua hasil kejayaan ayah selama ni. Yigit Aslan menggeleng kepala.

“Ben..” Saya.. “Tak buat semua ni untuk harta. Tapi untuk arwah ibu tercinta. Tak ada siapa yang boleh pisahkan anak yang dikandungnya sembilan bulan dengan lelakiyang dikahwininya 24 tahun yang lalu.”

Yigit Aslan melangkah mahu meninggalkan ayahnya di taman. Biarlah ayahnya ditemani oleh dua orang gajinya. Tak ingin Yigit Aslan hendak berlama-lama di situ.

“Ayah ambil kata-kata kamu itu sebagai ‘ya’,” ujar Aslan Kemal. Lagipun, tempat Yigit Aslan dihatinya tidak boleh diambil oleh anaknya yang lain sekiranya perempuan muda yang bakal dinikahinya selepas kembali ke Istanbul dikurniakan anak.

“Minggu ini kamu akan dapat pengasuh,” sambung Aslan Kemal lagi. Langkah Yigit Aslan terhenti.

 

 

Mia Kalesha bertungkus lumus menyiapkan latihan tutorial Tasha dan Amelia. Setiap satu latihan tutorial dia boleh menjana RM5. Malang sungguh, minggu ini tidak ada pula assignment baru yang perlu disiapakan. Satu assignment mudah berharga RM10. Jika dapat assignment yang susah untuk dibuat, bolehlah Mia Kalesha menjana RM15. Tapi selalunya Tasha akan beri RM20 aje kalau dia takada not RM5.

Bila Mia Kalesha nak pulangkan baki RM5, Tasha akan memarahinya. Kalau Mia Kalesha masih berdegil mahu memulangkan juga, maka bersiap sedialah menahan telinga dengan pedasnya kata-kata menghiris kalbu keluar daripada mulut munggil Tasha.

“Eh, kenapa kau yang datang kat kita orang sebelum kita orang sendiri yang datang pada kau?” soal Amelia. Mia Kalesha menundukkan wajah.

“Hei ,Bulan. Kau jangan main-main. Sehari aje kau siapkan tutorial ni. Jangan-jangan banyak salah agaknya tak?” Tasha mencela.

“Mana ada Tasha. Aku buat sungguh-sungguhlah. Kalau kau tak percaya. Kau boleh check sekarang ni depan aku. Kalau ada satu soalan yang salah aku pulangkan RM1. Kalau salah lima soalan aku pulangkan semua RM5 ni pada kau orang,” ujar Mia Kalesha.

“Hah, bagus jugak pulangkan duit kita orang,” Amelia menghulurkan tangan menanti not RM5 dikembalikan kepadanya.

“Wei, kau check pun tak lagi,” sampuk Zaiton.

“Hei minah muka pecah seribu, kau menghina akukah apa ni Bulan?” soal Tasha menculakan matanya kepada Mia Kalesha yang berseorangan dan tidak ditemani Nurul.

“Menghina apa pulak ni,” rungut Mia Kalesha.

“Kau tahu otak aku kosongkan. Bukan main lagi kau perli aku. Siap suruh aku check depan kau lagi. Memang senanglah kau kelentong aku,” jawab Tasha yang mengaku otaknya kosong.

“Itu namanya bunga dedap,” selamba mulut Mia Kalesha mengeluarkan kata-kata sebegitu. Rupa cantik tapi otak udang.

“Bunga apa? Dedap?” soal Amelia. “Tasha aje? Aku tak?”

“Samalah. Kau pun sekali. Dua-dua bunga dedap.”

“Adakah bunga nama dedap?” soal Tasha. Mahu hendak terburai ketawa Zaiton. Tapi ditahankan juga memandangkan Tasha dan Amelia itu sudah bersahabat dengannya sejak dari semester satu, tahun satu lagi.

“Adalah, macam kau oranglah. Bunga dedap. Hanya sesuai untuk perempuan macam kau orang aje,” balas Mia Kalesha.

“Oh, bagus. Bagus. Zaiton tak?” Amelia menyoal.

“Eh, aku pulak. Tumbuk karang baru tahu!” bentak Zaiton.

“Wei Ton, kau pehal tiba-tiba nak menengking pulak. Tak nak jadi bunga dedap sudahlah. Kau punya pasal. Cakaplah baik-baik sikit. Tengok macam aku ni. Bunga dedap tau. Walaupun mulut aku macam longkang penuh penghinaan kat si Bulan berkawah ni tapi aku cakap sopan santun,” ujar Tasha panjang lebar.

“Bila masa kau sopan dengan Bulan?” soal Amelia.

“Kau diamlah,” jawab Tasha menyiku Amelia. “Okey, aku submit latihan ni hari ni juga. Tapi kalau tak dapat markah tinggi siap kau aku pial-pial telinga kau macam sem lepas. Aku kurung kau kat dalam setor sukan,” ugut Tasha.

“Sem lepas aku jatuh sakit sebab tu fokus aku terganggu...” jawab Mia Kalesha. Peristiwa telinga dipulas kuat sehingga berdarah dan dikurung dalam bilik setor sukan semalaman begitu mengerikan. Malam itu Abdul Bedul mencari satu-satunya anak yang menjadi peneman hidupnya dalam hujan lebat dengan motosikal buruknya.

Keesokan paginya, pensyarah sukan membuka setor dan menjumpai Mia Kalesha nyenyak ketiduran.

“Kalau kau nak tahu keesokan pagi tu mata aku lebam sebab nangis tak henti-henti sepanjang malam. Aku berlari ke rumah. Aku ponteng semua kelas dan kuliah haritu. Aku balik rumah cari ayah aku tapi..”

“Hei, Bulan stop membebel okey. Dah. Kita orang blah dulu,” kata Tasha mematikan bicara Mia Kalesha.

Mata Mia Kalesha berkaca ditakungi air mata sambil melihat kelibat Tasha, Amelia dan Zaiton semakin menjauh. “...aku hanya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tak dikenali. Dia terjumpa bapak aku tersadai kat tepi jalan dalam keadaan basah lencun dan pengsan. Ada luka-luka di dahi dan tangan bapak aku mungkin motosikal dia tersasar akibat jalan raya yang licin dan jatuh pengsan.”

Are you talking alone?” Sapa suara lelaki daripada arah belakang. Mia Kalesha menoleh ke belakang. Terpana dengan kelibat Yigit Aslan yang entah sejak bila berdiri di belakangnya. Kedatangan Yigit Aslan tidak dapat menampung luka dihati. Mutiara jernih jatuh juga membasahi lekuk pipi Mia Kalesha.

“Hei, hei, hei... girl.. ohhhh I’m sorry.. what happened actually?” Apalah yang aku dah buat. Kenapa dia nangis. Argh, tidak!.. Aku baru aje datang sini! Jerit suara hati Yigit Aslan.

Tanpa mengendahkan pemuda yang disukainya saat kali pertama melihat wajah tampan pemuda itu, Mia Kalesha melangkah pergi. Pantas. Meninggalkan Yigit Aslan yang terkedu dengan kejutan air mata yang mambasahi pipi Mia Kalesha.

Mungkin kawan-kawan Zaiton buli dia. Getus hati Yigit Aslan.


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku