Handsome & the Beast
Bab 11
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Ogos 2017
Memang dia handsome, pemilik sepasang mata hazel hijau. -Mia Kalesha- Ya, dia memang pembunuh. Tapi kalau dia tak ada, aku terbunuh. -Yigit Aslan Öztürk-
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
78

Bacaan






“Apa maksud kau Yigit accident hah?” soal Tasha dengan matanya yang mencula. “Kau tipu aku eh? Oh.. kau sengaja nak takut-takutkan aku.” Tasha menepuk dada bidang Zarif beberapa kali sehingga membuatkan jejaka itu berganjak selangkah ke belakang.

“Betullah I tak tipu. I cakap benda betul. Buat apalah I nak tipu-tipu you.”

“Tak! Aku tak percaya. Kenapa dia boleh accident pada hari dan masa yang sama dengan budak kuliah aku? Aku tak percaya... tak mungkin,” ujar Tasha yang tidak mahu menerima hakikat yang didengarinya sendiri daripada mulut Zarif.

Mungkinkah ni semua hanya kebetulan aje kot. Tapi.. manalah tahu dia orang ada apa-apa hubungan special yang disorokkan daripada pengetahuan umum? Tak, tak..Mia muka sikitlah macam kerak kuali dipanah semarak api dapur gas. Tak mungkin Yigit Aslan terpikat kat dia.

“Betullah budak perempuan tu accident dengan Yigit sekali,” tambah Zarif lagi. Bahang betul telinga Tasha mendengar kata-kata Zarif.

“Mana you tahu budak kuliah Iada yang kemalangan? Mana you tahu dia perempuankah, lelakikah, pondankah. Mana you tahu hah?” tanya Tasha tersekat-sekat.

“Lah, dah memang dia orang kecelakaan samakan. Habis tu nak cakap apa lagi?”

“Apa?!”

“Hah, dia orang kemalangan sama-sama. Di tempat yang sama. Waktu yang sama, naik kereta yang sa...” Belum sempat Zarif menamatkan kata-katanya Tasha sudah terpekik.

“Tidak!” pekik Tasha. “Ini tak mungkin. Ma.. Mana you tahu.. Eh, silap, silap. Mana kau tahu semua ni hah?!”

“Semua orang tahu. Prof. Chandran buat pengumuman kat dalam kuliah,” jawab Zarif selamba. Sekejap berlembut dengan aku, sekejap berkasar dengan aku. Getus hati Zarif.

“Kau pasti? Yakin? Tak silap?”

Zarif menganggukkan kepalanya. Beritahu Zarif, “Surat daripada hospital pun dah ada. Ada lelaki bersut serba hitam datang hantar. Kebetulan Zaki ada kat blok pentadbiran so senanglah dia tunjukkan jalan kat lelaki tu. Dan I dah pastikan yang cerita ni betul. I curi-curi dengar perbualan Zaki dengan Prof. Chandran. Nak tipu apanya lagi,” terang Zarif panjang lebarnya. “Kalau tak silap I budak perempuan tu yang selalu jadi kadam you. Siapa ya nama dia.. alah, yang you panggil Bulan tu. Mia namanya.”

“Argh!” Tasha menolak Zarif. Kasar. Sakit hatinya. Macam mana Mia Kalesha boleh bersama dengan Yigit Aslan bermain diminda Tasha.

 

 

Mia Kalesha seronok bermain-main dengan hamster yang berada di dalam sangkar kecil. Yigit Aslan cuma memerhati sahaja. Mereka berdua berada di taman luar kediaman besar itu.

“Kau sepatutnya luangkan masa dengan aku tau. Bukannya sibuk bermain dengan hamster,” ujar Yigit Aslan. Wajahnya yang masih berkesan bengkak itu penuh dengan senyuman manis yang tidak lekang di wajah.  Hari ini cuaca baik. Samalah seperti mood Yigit Aslan.

“Butakah mata tak nampak yang aku tengah luangkan masa dengan kau? Sebab aku ikut ke hulu ke hilir jejak kaulah aku berada kat sini sekarang tau,” jawab Mia Kalesha. Muncungnya panjang sedepa. “Bosanlah asyik temankan kau aje. Jadi aku main-mainlah dengan hamster ni. Lagipun, kau dah sihat kot.”

“Alah, tiba-tiba aku rasa sengal-sengal badanlah,” gurau Yigit Aslan meraba-raba ke seluruh tubuhnya. Kononnya badannya itu rasa sakit.

“Mengada,” balas Mia Kalesha. Pemuda itu dijelingnya. Yigit Aslan tergelak kecil. “Itulah aku nak mulakan sesi pembelajaran kau tak nak. Macam-macam alasan kau bagi. Itulah inilah. Kau ambil kesempatan,  mentang-mentanglah kau sakit. Tapi tak berapa nak sakitlah.”

“Eh, kau yang kata kau nampak dengan mata kepala kau sendiri yang aku pengsan. Masih tak nak percaya lagi?”

“Yigit, dua hari lepas memang aku nampak yang kau betul-betul sakit. Tapi hari ni aku rasa kau dah pulih sepenuhnya. Adatlah kesan-kesan luka dan lebam kau tak hilang lagi. Bila kau nak mula belajar hah?” soal Mia Kalesha. Menoleh kepada Yigit Aslan. Pemuda itu menggaru-garu dagunya. Berfikir.

“Minggu depan. Confirm. Buat masa nikau bagilah aku habiskan cuti aku dulu ya yang bersisa kurang empat hari setengah lagi ni.” Yigit Aslan menunjukkan wajah suci tidak berdosanya. Mia Kalesha mencebikkan muka. “Kau bukannya tak tahu, sekarang ni budak-budak sekuliah aku mesti dah heboh kononnya aku ada kat hospital terlantar sakit gara-gara kemalangan,” ujar Yigit Aslan yang teringat akan kepalsuan mengenai dirinya yang direka oleh bapanya sendiri.

“Ah, Yigit. Aku nak tanya kau sikit boleh tak?”

Yigit Aslan menyuakan secawan teh panas kemulutnya. “Tanya apa?”

“Kenapa Tuan Aslan reka yang kononnya kau kemalangan eh?” soal Mia Kalesha yang berasa pelik dengan alasan yang dibuat-buat itu.

“Em.. Well kita orang semua sama pemikiran. Selagi hayat dikandung badan kau kena tahu menjaga reputasi kau di mata orang ramai,” jawab Yigit Aslan. Mudah.

Bergayanya kau berkata-kata. Itu baru bercakap belum lagi kenyit mata. Padah hati aku dah tertaut pada kau. Aku harap aku suka biasa-biasa aje kat kau sebab fizikal kau yang tampan. Ya, aku tak cintakan kau. Tak sama sekali. Cuma ketampanan dan kekacakkan kau menarik minat aku. Bisik Mia Kalesha di dalam hatinya.

“Kita orang? Maksud kau?” soal Mia Kalesha lagi.

Well-known people,” jawab Yigit Aslan. Ringkas. Mia Kalesha menganggukkan kepalanya tanda faham. Ya, mereka perlu menjaga reputasi mereka.

“Tapi.. satu lagi aku musykil. Macam mana kau nak buktikan pada pihak pentadbiran kolej yang kau kemalangan?”

“Itu senang aje. Pandai-pandailah hidup. Dalam hidup ni kau kena banyak cawangan barulah boleh tutup imej kau yang jatuh dengan apa yang kau rancang jadi mudah.”

“Cawangan?”

“Uhfff... otak kau kosong, Kesha. Lupakan ajelah. Bila nak mula kelas Bahasa Melayu?”

Mia Kalesha menoleh Yigit Aslan dengan mata yang dibesarkan. Galak matanya. Seakan tidak percaya yang pintu hati Yigit Aslan untuk belajar telah terbuka. “Oh, baguslah. Sekarang pun boleh. Aku ingatkan kau nak mulakan minggu depan.”

“Oh, ya aku lupa. Semua minggu depan.”

“Hah?” Mia Kalesha memandang Yigit Aslan dengan rasa jengkel. Pemuda itu buat selamba sahaja. “Mula sekarang ajelah. Jangan jadi pemalas.”

“Alah.... Aku nak rehat.”

“Okeylah. Aku ambil beg balik sekarang,” ugut Mia Kalesha.

“Okey jom belajar.”

Tahu takut aku balik. Mia Kalesha tersengih seorang diri.

 

 

Yigit Aslan ketiduran selama dua jam. Belajar disaat motivasi berada pada tahap negatif memang memerlukan pengorbanan jiwa. Mia Kalesha kehabisan idea kreatif untuk buat Yigit Aslan kekal bertahan dengan kelas tidak formal Bahasa Melayu yang dikelola sendiri oleh Mia Kalesha.

Menjerit suruh Yigit Aslan bangun. Sudah. Menampar bahu lelaki itu beberapa kali supaya bangun. Sudah. Menipu yang kononnya Aslan Kemal sudah pulang ke rumah. Sudah. Meletakkan hujung rambutnya sendiri ke lubang hidung Yigit Aslan supaya lelaki itu bersin. Sudah. Menconteng tapak kaki Yigit Aslan supaya rasa geli juga sudah.

Mia Kalesha menatap wajah Yigit Aslan. “Tidurkah mati dia ni?” Argh tolonglah bangun.

Tatap punya tatap tanpa disedari dia makin lama makin mendekati Yigit Aslan. Seolah-olah  ada magnet yang ada pada Yigit Aslan yang membuat Mia Kalesha makin lama makin mendekati pemuda itu. Mia Kalesha betul-betul mengamati wajah Yigit Aslan seperti orang kena pukau. Sehingga jarak antara kedua-dua muka mereka hanya beberapa sentimeter sahaja.

“Ah!..Ah!..shem!” Yigit Aslan bersin. Ada habuk masuk ke lubang hidung pemuda itu. Bersin yang dikeluarkan oleh Yigit Aslan tepat mengena muka Mia Kalesha.

Pergh, menyakitkan hati. Getus hati Mia Kalesha. Ini satu penghinaan. Sudah terang lagi bersuluh yang muka aku ada masalah jerawat dan berminyak. Boleh pulak kau menambah lagi kuman kat muka aku ni. Kalau ikutkan hati nak aje aku bleach muka aku nanti. Argh! YIGIT ASLAN!!! Jerit suara hati Mia Kalesha.

“Hah!” Yigit Aslan menjerit terkejut melihat makhluk aneh lagi menyeramkan yang berada tepat di hadapannya. Sehingga dia rasa turun naik nafas Mia Kalesha menahan geram. Lalu dengan pantas makhluk itu ditolak daripada terus merapatinya. Mia Kalesha yang disangka makhluk aneh lagi seram itu tidak diberi keizinan untuk mendampinginya.

“Aduh!...” keluh Mia Kalesha. “Sakitlah biol. Kau nak ganti punggung aku kalau ranap ke hah?” Jeritan Mia Kalesha menahan sakit berjaya membawa Yigit Aslan ke dunia nyata. Terus hilang mamai pemuda itu.

“Eh, kaukah yang aku tolak? Ingatkan....”

“Ingatkan apa?!”

“Erk.. Alah, sorrylah.”

“Ah, banyaklah kau punya sorry. Punggung aku dah naik retak ni siapa yang nak bertanggungjawab hah? Kau nak ganti punggung aku dengan yang baru?”

Punggung boleh digantikah? Soal Yigit Aslan kepada dirinya sendiri.

“Kalau betullah aku sanggup bayar ganti rugi mencederakan punggung kau adakah kau nak tukar punggung?”

“Mestilah. Ini aset kau tahu tak. Antara aset aku yang paling berharga bila nak beranak nanti,” jawab Mia Kalesha sambil bangkit dari karpet tebal yang mengalasi lantai ruang tamu di dalam kamar besar Yigit Aslan.

“Kalau macam tu baik aku buat pelaburan untuk kau tukar muka aje. Kan senang?” cadang Yigit Aslan. Cadangan yang begitu menyakitkan telinga Mia Kalesha.

“Ewah, ewah. Bab-bab muka jangan buat main okey. Isu sensitif tahu tak. Lainlah kau banyak duit. Buruk rupa pun boleh jadi wajah dambaan sesiapa aje tau kalau ada duit banyak. Macam-macam produk kecantikan boleh beli. Aku ni pencuci muka pun tak ada.”

“Hah? Pencuci muka pun tak ada?” soal Yigit Aslan. Melopong mulut kawan itu mendengar pengakuan jujur Mia Kalesha.

“Tak...” jawab Mia Kalesha. Selamba. Dia duduk di atas kerusi empuk berdekatan Yigit Aslan. Mia Kalesha tahu yang Yigit Aslan masih menatap dirinya dengan rasa tidak percaya. Tapi apa boleh buat. Memang itulah kenyataanya. Mia Kalesha yang menahan malu itu buat-buat kemas meja yang kebetulan berselerak dengan buku, kertas dan alat tulis kepunyaan Yigit Aslan.

“Maksudnya selama ni memang kau tak pernah pakai apa-apa jenis pencuci muka pun yang wujud kat planet bernama bumi ni?” soal Yigit Aslan. Betul-betul tidak mempercayai kejujuran Mia Kalesha.

“Pernah. Banyak dah aku cuba. Tapi semuanya menampakkan kesan yang buruk. Lebih buruk daripada sekarang ni,” jelas Mia Kalesha.

“Lebih buruk?” soal Yigit Aslan.

“Ya..” lemah nada suara Mia Kalesha. “Kenapa pandang aku macam nampak hantu? Kau tak percayakah?” soal Mia Kalesha. Yigit Aslan menggeleng kepala memberitahu yang dia tidak percaya kata-kata Mia Kalesha. Oleh kerana Yigit Aslan seperti kucing parsi yang pertama kali berjumpa dengan kucing liar, Mia Kalesha tergelak kecil. “Betullah. Buat apa nak bohong. Kalau kau tak percaya aku boleh tunjuk beberapa keping gambar aku kat kau.”

“Okey. Aku nak tengok.”

“Hah?” Alahai, aku gurau aje. Bukannya serius pun.

“Mana gambarnya?”

“Tak payahlah. Malulah aku.”

“Kau nak malu sekarang atau kau nak malu buat selama-lamanya?”

“Maksud kau?” Mia Kalesha tidak faham maksud Yigit Aslan.

“Bagi aku tengok gambar kesan kulit kau pakai mana-mana produk kecantikan yang kau pernah cuba sebelum ni dulu. Biar aku fikirkan jalan keluarnya. Sayang, perempuan sebaik kau berhak menjalani kehidupan normal seperti insan lain, Kesha. Semua manusia berhak mendapat penghormatan yang sama tanpa mengira siapa pun mereka.”

“Ah?” Mia Kalesha terpana dengan kematangan Yigit Aslan bersuara. Ada benar kata-kata pemuda itu. Yigit, kalaulah semua insan kat muka bumi ni punya hati nurani sama seperti kau.. alangkah indahnya. Tapi hidup tak sebegitu. Getus hati Mia Kalesha.

Kesha, sebenarnya kau ada isu kulit sensitif yang tak ada pada orang yang kulit normal atau hormon kau tak stabil. Sebab tu apa yang sesuai kat orang lain tak sesuai kat kau. Perkara macam ni kadang-kadang nasib. Tak salahkan aku bantu kau keluar daripada delima kau. Getus hati Yigit Aslan pula. Pandangan mereka saling menatap antara satu sama lain.

Hendak tidak hendak Mia Kalesha terpaksa juga menunjukkan gambar-gambarnya yang terdahulu kepada Yigit Aslan. Bahkan yang beberapa bulan lepas juga ditunjukkan. Senang kata, semualah dia terpaksa tunjukkan kepada pemuda itu.Yigit Aslan begitu menaruh harapan untuk melihat wajah Mia Kalesha sebelum dia bertemu dengan gadis itu.  Malu memanglah malu tapi apa boleh buat. Kalau dia tak tunjukkan pun Yigit Aslan bukannya buta tak boleh melihat wajah sensitif Mia Kalesha itu.

“Kesha, kiranya sekarang ni muka kau lebih okey daripada dalam gambar-gambar ni semua,” bicara Yigit Aslan setelah lama berdiam diri. Fokus menatap satu per satu gambar-gambar Mia Kalesha. Gadis itu mengangguk membenarkan kata-kata Yigit Aslan.

“Dah berapa banyak produk kecantikan yang kau dah cuba?” Yigit Aslan menyoal.

“Emmm.... banyaklah. Aku tak nak cakaplah soal ni. Sebab hati aku sakit. Kalau perempuan lain ada masa nak menangis dan terluka dengan cinta. Hati aku lagi luluh dengan duit-duit yang aku dah korbankan untuk mereka, produk-produk kecantikan itu semua tau.”

“Terangkanlah kat aku satu per satu. Aku nak tahu..”

Aduhai Yigit. Ratapan mata kau buat aku lemah tahu tak. Dengan kau aku kenal betapa susahnya untuk berkata tidak. Alahai pemilik mata seksi!

“Ada jenama yang aku cuba pakai sedaya upaya aku untuk habiskan produk tu tapi makin lama makin tumbuh teruk dan besar sehingga sebesar ibu jari tangan. Ada yang..”

“Seriuskah?” soal Yigit Aslan. Menyampuk kata-kata Mia Kalesha.

“Ya...” jawab Mia Kalesha. “Dengarlah dulu apa aku nak cakapkan ni.”

“Okey sorry. Sambunglah lagi...”

“Ada yang aku pakai dan pakai dan pakai jerawat tak tumbuh menggila tapi kesannya kulit aku jadi bercapuk. Tona putih tak sekata. Ada juga produk yang mengeringkan kulit muka aku sehingga mengelupas dan berkedut. Ada yang aku kumpul duit gaji kerja part-time tau sebab produk tu beratus-ratus mahalnya. Tapi.. muka aku naik panau. Jerawat hilang. Tapi tak bestlah bila panau. Kulit brtompok-tompok,” terang Mia Kalesha panjang lebarnya.

“Oh... jadi sekarang ni basuh guna air ajelah?” Yigit Aslan meminta kepastian.

“Yup! Dan dengan sabun badan anti bakteria,” jawab Mia Kalesha. Menepis rasa malu dan rendah diri yang kini menyelubunginya. Lebih-lebih lagi membicarakan topik sensitif ini bersama lelaki yang kacak seperti Yigit Aslan.

“Kalau kau izinkan. Boleh aku tengok kulit muka kau dengan jelas?” pinta Yigit Aslan.

“Hah?” bulat mata Mia Kalesha. “Em.. boleh..” Dengan berat hati Mia Kalesha mengizinkan. Yigit Aslan tidak membuang masa. Diperhatikan satu per satu. Sudut demi sudut.

“Banyak perubahan daripada dalam gambar ni. Jerawat yang ada kat muka kau sekarnag ni bersaiz normal. Tapi lebih kurang enam butir jerawat yang ada.”

Mak aih, sempat lagi dia bilang berapa butir jerawat yang ada kat muka aku. Terbeliak mata Mia Kalesha. Tersekat nafasnya sesat tidak menjumpai paru-paru. Aduh!

Sambung Yigit Aslan lagi sambil fokus kepada kulit wajah Mia Kalesha, “Taklah seteruk dulu. Nah, ambil balik handphone kau.” Yigit Aslan menghulurkan telefon pintar China itu kepada Mia Kalesha.

Puas sudah Yigit Aslan membelek semua gamabr-gambar Mia Kalesha yang ada dalam telefon itu. Mia Kalesha mengambil semula telefonnya.

“Jangan risau Kesha, setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya. Beri aku masa untuk fikirkan jalan yang sesuai untuk kau. As a friend? Janganlah anggap aku anak asuhan kau sudahlah,” ujar Yigit Aslan yang bangun daripada duduknya itu.

Baiknya. Tak sangka tak semua orang kaya dan berwajah tampan tu sombong dan bongkak. Silap besar aku selama ni fikir semua orang kaya tu mendongak ke langit aje.

By the way, Kesha. Kau ada sesuatu yang perempuan-perempuan lain tak ada,” ujar Yigit Aslan sambil mengjulurkan kepalanya di sebalik daun pintu. Selepas melangkah masuk ke bilik air.

“Apa dia?” soal Mia Kalesha.

“TUHAN anugerahkan kau mata yang cantik,” jawab Yigit Aslan lalu menutup pintu bilik air.

Tapi kecantikan mata kau tertutup dengan masalah kulit yang kau ada. Berapa ramai gadis kat luar sana mempunyai kulit yang putih mulus tapi tidak dianugerahkan mata segalak dan secantik kau. TUHAN Maha Adil. Dan kecantikan hakiki kau ada pada hati kau.

“Untuk melihat kau, seseorang tu perlu menggunakan mata hati,” ujar Yigit Aslan kepada dirinya sendiri di depan cermin bilik air.

“Hah.. ah..” Mia Kalesha terkesima.

Kata-kata yang keluar daripada mulut Yigit Aslan begitu menyentuh kalbunya. Nalurinya yang selama ini sering kali terluka dengan cacian dan pandangan menjengkelkan masyarakat menemui ketenangan di sebalik kata-kata lelaki itu. Yigit Aslan merangsang Mia Kalesha untuk menjadi insan yang lebih berkeyakinan. Bertambah rasa hormat dan malu Mia Kalesha terhadap pemuda berdarah kacukan bernama Yigit Aslan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku