Takdir Yang Mengikat
Bab 2
Genre: Umum
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
82

Bacaan






 
Deringan telefon pintar membangunkan Aslan daripada tidur yang lena. Dengan mata yang belum celik sepenuhnya, Aslan mengambil telefon. Panggilan daripada Akhshiyat segera dijawab.
    
“Assalamualaikum,” ucap Akhshiyat di hujung talian. Suaranya terdengar ceria.
    
“Waalaikumsalam,” balas Aslan. Dia bingkas duduk.
    
“Marah tak?” Akhshiyat menyoal sebelum ketawa terkekeh-kekeh, sengaja mahu menguji kesabaran sahabatnya.    
    
Aslan mencebik geram. “Ya, sangat marah.”
    
“Maaflah, kereta api ada masalah sikit tadi. Sekarang saya di hotel.” Akhshiyat terbatuk-batuk seketika sebelum menyambung, “Awak nak datang melawat?” Dia melepaskan batuknya lagi. Sungguh, dingin musim luruh Rusia membuat dia yang menghidap asma sering sahaja ada masalah tekak dan pernafasan.
    
“Hotel mana?” Aslan menyoal.
    
“Azimut.” Sepatah Akhshiyat menjawab. Batuknya kembali.
    
“Akhshiyat, Ventolin. Awak tak lupa bawa, kan?” Terdetik risau di hati Aslan mendengar batuk Akhshiyat.    
    
“Ada ekstra 2 unit dalam beg.”
    
2 unit? Dia ni…’ gerutu Aslan dalam hati. Dia melepaskan keluhan. Aslan bangun lalu melangkah ke meja tulis. Laci paling atas ditarik keluar.
    
“Hotel Azimut tu dekat dengan supermarket Bayram ke?” Aslan mahu memastikan kedudukan hotel yang dikatakan Akhshiyat tadi. Tangannya mengambil ubat sedut asma berlabel ‘Ventolin’ milik Akhshiyat dari dalam laci paling atas.
    
“Ya.”
    
Ubat sedut asma tersebut dimasukkan ke dalam poket seluar. “Okey. 30 minit. Saya bawa bersama beg pakaian. Sebab ahli keluarga saya tak ada di rumah sekarang ni.” Aslan menyorong laci ke dalam semula.
    
“Baik. Jumpa dalam 30 minit,” putus Akhshiyat. Talian dimatikan.
    
Aslan menguap. Mata yang masih mengantuk digosok-gosok. Dia mengambil kunci kereta di atas meja.
    
Beberapa minit kemudian, Aslan sudah berada di luar rumah bersama beg galas dan beg bagasi berodanya.

*****
    
Honda Civic putih itu dipandu melintasi deretan bangunan di Jalan Oktyabrya. Kereta-kereta lain meluncur laju di kiri dan kanan. Aslan memberhentikan kereta yang dipandu sebaik lampu isyarat bertukar merah.
    
Di hadapannya, ada beberapa orang pejalan kaki sedang melintasi zebra crossing. Gelagat mereka diperhatikan dengan penuh minat. Ada ibu yang sedang memegang tangan anak perempuannya, ada gadis berambut hitam yang berjalan sambil bermain telefon pintar, ada juga wanita berambut perang yang berpegangan tangan dengan seorang lelaki berbadan sasa. ‘Pasti lelaki itu seorang ahli gusti…’ Aslan meneka. Senyuman terukir di bibir. Uniknya bandaraya Ufa. Ia didiami oleh masyarakat daripada pelbagai enik seperti Bashkir, Tatar, dan Slavic. Ada juga sebilangan kecil etnik Chechen sepertinya.
    
Senyuman Aslan mengendur tatkala mengingati keadaan hidup warga Syria. Dengan keadaan sekarang, dia sendiri tidak pasti jika tempat tinggalnya di Syria nanti memiliki zebra crossing yang menjadi tumpuan pejalan kaki. Apa yang dilihatnya di internet hanyalah jalan-jalan raya yang hancur akibat bedilan bom. Jalan raya di sana ada yang sudah tidak serupa jalan raya lagi.
    
Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, Aslan memasukkan gear dan menekan pedal minyak. Kereta yang dipandu membelok ke kanan apabila tiba di satu simpang sebelum bergerak melintasi bangunan yang menempatkan ATM Invest Kapital Bank dan QIWI Bank. Hotel Azimut terletak di sebelah kiri.
    
Di bawah sebatang pokok besar bersebelahan hotel, Akhshiyat yang memakai jaket hitam dengan seluar jeans biru sedang berdiri sambil memerhati kereta yang lalu-lalang di hadapan. Apabila terpandangkan kereta Aslan, Akhshiyat melambai-lambaikan tangan. Aslan terus memarkir kereta di ruang yang disediakan pihak hotel.

*****
    
“Assalamualaikum.” Akhshiyat menyapa Aslan yang sedang mengeluarkan beg bagasi beroda daripada bonet. Tangan dihayun ke tubuh Aslan. Lelaki berketinggian 187 sentimeter dan berambut coklat muda itu tersengih.
    
“Waalaikumsalam,” balas Aslan seraya menutup bonet kereta.
    
Akhshiyat terbatuk-batuk. Mendengar itu, Aslan cepat-cepat mengeluarkan ubat sedut asma daripada poket lalu menghulurkannya kepada Akhshiyat. Terangkat kening Akhshiyat, menagih penjelasan.
    
“Awak tertinggal di rumah saya waktu konvokesyen dulu.”
    
Ubat sedut asma bertukar tangan.
    
“Terima kasih. Awak tak guna, kan?”
    
“Siapa nak guna?”
    
“Yalah. Hahaha.” Akhshiyat menggoncang-goncang ubatnya terlebih dahulu sebelum membuka penutupnya. Dia menghembuskan nafas lalu memasukkan corong ubat sedut ke dalam mulut. Nafas ditarik dalam-dalam. Jarinya menekan kanister ubat sedut. Kemudian dia menjauhkan corong ubat sedut daripada mulut dan menahan nafasnya dalam 10 saat. Akhshiyat seterusnya menghembus nafas yang ditahan lama.
    
“Ahhh….lega rasanya…”
    
Aslan tersenyum. Gembira hatinya dapat bertemu dengan Akhshiyat. Lantas, dia memeluk tubuh sahabat karibnya. “Makin sihat awak ni,” usik Aslan sambil memicit-micit lengan kiri Akhshiyat.
    
Dakapan Aslan dibalas. “Baru sebulan lebih kita tak jumpa. Tak usah menipu.” Akhshiyat membetulkan.
    
Pelukan mereka terlerai.
    
“Tumpang letak beg satu malam.”
    
“500 ruble. Lebih boleh, kurang tak boleh,” seloroh Akhshiyat.
    
“Awak memang mata duitan.”
    
“Terima kasih.”
    
“Itu bukannya pujian.”
    
Akhshiyat ketawa.
    
“Dah, dah. Jom masuk.”

*****
    
Aslan meletak beg bagasi beroda miliknya di sebelah beg bagasi beroda Akhshiyat. Beg galasnya pula diletak di atas beg bagasi. Selepas itu, dia melompat ke atas katil super single di bilik itu.
    
Akhshiyat menggeleng-gelengkan kepala melihat perangai Aslan. ‘23 tahun tapi macam budak-budak…’ Dia mengambil tempat duduk di birai katil.
    
Mereka berdua menyepi seketika, memikirkan kehidupan yang bakal berubah esok hari. Berapa lama mereka akan bertempur di Syria? Bolehkah mereka kembali ke Rusia? Dan di mana mereka akan ditempatkan nanti?
    
“Aslan…” Akhshiyat memanggil sahabatnya.
    
“Ya?”
    
“Awak masih tak nak beritahu Ruslan? Sekurang-kurangnya dia tak terkejut…”
    
Aslan diam. Siling bilik yang bercat putih direnung.
    
“Dah terlambat. Kita akan bertolak esok. Saya tak nak dia menghalang perjalanan kita.”
    
Akhshiyat menggaris senyuman sedih. “Kita takkan dapat jumpa mereka lagi, kan?”
    
Aslan tahu siapa ‘mereka’ yang dimaksudkan Akhshiyat.
    
Mungkin tidak…’ hati kecil Aslan menjawab. Namun masakan dia tergamak meluahkannya.     
    
“Ashura pasti bangga ada abang macam awak.”
    
Akhshiyat terdiam. Walaupun dia sudah membulatkan tekad untuk berjihad di Syria, ada sebahagian kecil dalam dirinya masih meragui keputusan itu. Tidak seperti Aslan yang merahsiakan pemergiannya, Akhshiyat memberitahu ibu, bapa, dan adik perempuan akan rancangannya untuk berjihad di Syria. Ibu bapanya tidak membantah, berlainan dengan adiknya, Ashura.
    
Kelmarin, ayah, ibu, dan adiknya melepaskan dia pergi dengan berat hati di stesen kereta api. Dakapan dan pelukan erat mereka masih terasa hingga hari ini.

*****
    
“Ashura sayangkan abang. Ashura sayangkan abang.” Suara gadis 16 tahun itu tenggelam timbul dalam sedu-sedan. Bagaikan kaset yang rosak, ayat itu diulang berkali-kali. Dia mendakap erat tubuh Akhshiyat, tidak mahu melepaskan abangnya pergi. Air mata pula sudah lama membasahi wajah.
    
Akhshiyat menepuk-nepuk tubuh adiknya. Dia tidak sampai hati melihat Ashura menangis seperti itu. Lalu dia cuba memujuk dengan mengusap lembut kepala si adik.     
    
“Jangan risau, Ashura. Kita pasti akan jumpa lagi,” ujarnya, cuba meyakinkan adik yang dikasihi.
    
Ibu dan bapanya yang berdiri di belakang cuma memerhatikan mereka berdua. Sesekali ibunya mengesat air mata yang mengalir dengan lengan baju. Hiba di hati ibu cuma Allah yang tahu. Sebak hatinya membiarkan satu-satu anak lelaki yang dimiliki pergi.
    
“Abang, tolonglah jangan pergi…” Ashura merayu. Sudah beratus kali rayuan yang sama diucapkan namun Akhshiyat tetap tegas dengan keputusannya. Biarpun begitu, Ashura masih mengharap yang Akhshiyat akan mengubah fikiran. Jika hari-hari sebelum ini dia tidak berjaya, mungkin kali ini dia akan berjaya.
    
“Ashura…”
    
Orang ramai yang lalu-lalang di stesen kereta api tidak mempedulikan Akhshiyat dan keluarganya. Sangkaan mereka, Akhshiyat cumalah salah seorang daripada ribuan anak muda Republik Chechen yang meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki di bandaraya besar seperti Moscow; anak muda yang pergi meninggalkan keluarga dan akan kembali satu hari nanti seperti yang lain. Tapi mereka silap. Akhshiyat bukannya meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki. Namun dia meninggalkan keluarga untuk menolong saudara seagama yang ditindas di Syria. Tidak seperti anak muda lain yang akan kembali ke tempat asal mereka, Akhshiyat tidak pernah merancang untuk kembali. Sebaik sahaja dia memasuki bumi Syria, gelarannya sebagai doktor pelatih akan gugur dan bertukar kepada pengganas. Kemungkinan besar Federal Security Service of the Russian Federation (FSB) akan menyenarai hitamkan namanya dan memenjarakannya jika dia pulang ke Rusia.
    
“Jangan menangis Ashura. Abang akan selalu menghubungi Ashura di sana,” pujuk Akhshiyat. Ashura mengangguk. Janji Akhshiyat mengurangkan sedikit sedih di hati.
    
“Abang kena hubungi kami selalu.” Perlahan gadis itu memesan.
    
“Abang janji akan hantar mesej selalu.”
    
“Setiap hari?” Ashura inginkan kepastian.
    
“Insha Allah…”
    
“Kita akan jumpa lagi kan, abang?” Ashura menyoal penuh harapan.
    
Akhshiyat terkedu. Janji itu susah untuk ditepati. Namun demi Ashura, demi melihat adik kesayangannya tersenyum, Akhshiyat terpaksa mengiyakan, walaupun dia tahu itu ialah suatu pembohongan.
    
“Ya, Ashura.”
    
Akhshiyat tidak menyedari air mata yang ditahannya sejak beberapa jam lalu sudah menitis ke pipi.
    
“Kita akan jumpa lagi,” ujarnya perlahan.
    
Maaf, Ashura…maafkan abang…
    
Ashura melepaskan pelukan dalam keterpaksaan. Kereta api yang bakal dinaiki Akhshiyat akan bertolak dalam beberapa minit.
    
Melihat wajah adiknya dibasahi air mata, Akhshiyat segera mengesat air mata Ashura dengan jari-jemarinya. Ashura mengetap bibir, cuba menahan air matanya daripada tumpah kembali.
    
“Jangan risau, kita pasti jumpa lagi…”    
    
Bibir Ashura membentuk senyum. Dia menghulurkan jari kelingking di hadapan abangnya.
    
“Janji?” Matanya merenung ke dalam mata Akhshiyat.
    
Akhshiyat mengukir senyum. Jari kelingking ditaut pada jari kelingking adiknya.     
    
“Abang janji.”
    
Selamat tinggal Ashura, mama, papa…

*****
    
Aslan melambai-lambaikan tangan di hadapan muka Akhshiyat. Sahabatnya itu tersentak.
    
“A..Aslan… Kenapa? Eh?” Akhshiyat terkejut sendiri. Jari-jemari kanannya menyentuh bahagian pipi yang basah. ‘Air mata? Sejak bila?’
    
Pandangan Akhshiyat kembali pada Aslan yang kini duduk berhadapan dengannya. Aslan mengerut dahi.
    
“Akhshiyat, awak okey?” Risau Aslan melihat Akhshiyat tidak henti-henti mengalirkan air mata sejak tadi.
    
“Ahh…itu.” Akhshiyat menyeka air mata dengan tapak tangan. ‘Malunya…Kenapa dengan aku ni?’ kritiknya dalam hati.
    
Wajah sahabatnya yang basah dengan air mata, direnung lama. Aslan tahu Akhshiyat sudah mula merindui keluarganya. Pemergian Akhshiyat kali ini tidak sama seperti ketika dia melanjutkan pelajaran ke Ufa. Aslan sendiri tidak pasti jika Akhshiyat bisa kembali ke pangkuan keluarganya satu hari nanti.
    
Akhshiyat sengaja ketawa, cuba meredakan duka di hati. Tangan kanannya menekup kedua-dua mata.
    
“Ha..haha…jangan risau… Ini kali terakhir…”

*****
    
Tok! Tok! Tok!
    
Ruslan yang sedang membaca meletakkan buku di atas meja. Kepala dipusing ke arah pintu yang kini terkuak luas. Aslan tercegat di situ bersama senyuman yang lebar.
    
“Abang…” Ruslan melirikkan mata pada jam dinding. 11.45 malam. ‘Abang belum tidur?
    
Selamba Aslan melangkah ke dalam bilik adik kembarnya.
    
“Biasa waktu macam ni abang dah tidur…” komen Ruslan. Matanya mengikuti gerak langkah abangnya dari pintu bilik hinggalah ke atas katil. Aslan tersengih. Dia menepuk-nepuk tilam Ruslan.
    
“Jom tidur sama malam ni.” Aslan mencadangkan.
    
“Hah?” Ruslan terlopong. Abangnya itu biar betul? Mereka bukannya kanak-kanak lagi mahu tidur bersama.
    
“Jangan main-mainlah abang…”
    
“Abang tak main-main. Jom tidur sama-sama malam ni.” Aslan mengulang. Kali ini dia senyum sehingga menampakkan gigi.
    
Ruslan mengeluh.
    
“Abang tidurlah dulu. Saya nak habiskan baca buku ni…” Dia mengangkat buku yang sedang dibaca.
    
“Buku tu esok pun boleh baca, kan? Tapi peluang tidur dengan abang cuma sekali ni saja…Nanti kalau kamu dah kahwin mesti kita tak dapat tidur sama.” Lembut suara Aslan memujuk. Dia tahu lama-kelamaan Ruslan akan tewas juga dengan pujukannya.
    
Sekali lagi Ruslan melepaskan keluhan. Dia meletakkan buku di atas meja. Kemudian dia merenung Aslan. “Cuma malam ini sahaja tau!” tegasnya.
    
Aslan tersenyum kemenangan. ‘Ya, Ruslan. Cuma malam ini sahaja…
    
Ruslan menuju ke suis lampu. Aslan pula siap-siap mengambil tempat di atas katil Ruslan. Dia membungkus diri di dalam selimut. Cuma kepala yang dikeluarkan. Ruslan menutup lampu bilik. Berpandukan cahaya bulan yang masuk ke celahan langsir, Ruslan berjalan ke katil. Dia memanjat katil lalu memasukkan badan ke dalam selimut.
    
“Ruslan…”
    
“Kenapa?”
    
“Kamu masih marahkan Zelimkhan?”
    
Ruslan tidak menjawab.
    
Setelah beberapa ketika, Aslan berbicara lagi. “Kamu tahu tak? Sikap kamu yang tak banyak bercakap ni membuat orang sekeliling susah nak mendekati kamu.”
    
“Saya tak perlukan orang untuk mendekati saya.”
    
“Yalah tu. Kamu selalu diam sahaja waktu perbincangan kumpulan dahulu, sampai ramai kawan-kawan kita mengadu dengan abang pasal perangai kamu. Dan, abang lihat kamu jarang senyum dengan pesakit. Kita ni doktor, Ruslan. Kena bersikap peramah.”
    
“Abang membebel macam perempuan…” kritik Ruslan. “Abang tak rasa ke yang abang tak sepatutnya rapat sangat dengan mereka.” Ruslan cuba mengalihkan topik.
    
“Kita sedang bercakap pasal kamu di sini, bukan pasal abang. Dan, apa masalahnya abang rapat dengan mereka? Kita semua kawan universiti.” Aslan cuba membela diri.
    
“Bila abang tak berhati-hati, ada hati yang akan terluka.”
    
“Maksud kamu?”
    
“Nastya.” Ringkas Ruslan menjawab.
    
“Kenapa dengan Nastya?” soal Aslan. Hairan dia bila Ruslan tiba-tiba mengaitkan nama Anastasia dalam perbualan mereka.
    
“Saya rasa dia menaruh hati pada abang.”
    
Tekaan adiknya membuat Aslan ketawa.
    
“Dia Kristian, kita Muslim. Mustahil dia ada hati pada abang. Mana mungkin dia menukar agamanya semata-mata untuk abang?” Aslan mengingatkan.
    
“Apa bezanya abang dan dia? Abang kata diri abang Muslim tapi bila bergambar, abang biarkan rakan-rakan perempuan kita peluk abang. Dan kadangkala, abang peluk mereka. Bila mereka mengadakan parti, abang tidak menolak untuk pergi, walaupun mereka menghidangkan alkohol di parti. Sekarang, beritahu saya apa bezanya abang dengan Nastya yang beragama Kristian itu?”
    
Ayat dan soalan Ruslan membuat Aslan terkedu.
    
“Ruslan, abang…abang dah berubah. Abang dah tak lengah-lengahkan solat. Dan abang tak akan ambil gambar dengan perempuan lagi. Walaupun Nastya memintanya sekalipun.” Bersungguh-sungguh Aslan meyakinkan adiknya.
    
Ruslan tersenyum. “Abang…” panggilnya.
    
“Ya?”
    
“Saya minta maaf…”
    
“Kenapa nak minta maaf? Memang abang salah selama ini.” Aslan mengakui.
    
“Bukan pasal tu…”
    
“Jadi?”
    
“Ingat tak masa kita kecil dulu, seekor katak keluar dari dalam beg abang waktu kita di kelas?”
    
“Ah… itu...Sekejap! Kamu yang masukkan katak tu dalam beg abang?”
    
“Bukan! Saya tak masukkan!” Ruslan berdehem sebelum menyambung. “Saya tangkap katak tu untuk buat eksperimen. Saya simpan dalam bekas di bilik saya. Lepas tu abang bawa masuk beg abang dalam bilik saya waktu kita belajar sama-sama. Saya rasa masa tu katak tu melompat keluar daripada bekas dan masuk dalam beg abang…” terang Ruslan panjang lebar.
    
“Kenapa kamu tak beritahu yang katak tu untuk eksperimen? Malu abang kena ejek kawan-kawan di sekolah…” Aslan teringatkan peristiwa dia diejek selama seminggu kerana katak tersebut. Dia berasa sungguh malu sehingga dia memberitahu ibunya dia ingin berpindah sekolah.
    
“Saya tak berani beritahu. Saya takut abang laporkan pada mama dan papa yang saya tangkap katak. Mama tak suka ada binatang dibawa masuk dalam rumah. Lebih-lebih lagi katak.”
    
Ketawa Aslan terburai sebaik mendengar pengakuan adiknya.
    
“Sebab itulah kamu kena buka mulut untuk bercakap. Jangan hanya berdiam diri dan mengharap semua akan jadi baik. Kalau kamu beritahu abang yang katak kamu hilang masa tu, mesti abang akan tolong dan cari bersama-sama kamu. Tak mungkin abang laporkan pasal kamu dengan mama dan papa. Kembar kan saling tolong-menolong.”
    
“Ya, tolong-menolong…”
    
Aslan berpaling ke kiri. Wajah Ruslan yang berbaring di sebelahnya samar-samar kelihatan. Biarpun begitu, Aslan tahu, Ruslan sedang tersenyum. Mungkin ini yang dikatakan naluri seorang kembar. Walaupun Ruslan tidak banyak bercakap, Aslan biasanya tahu apa yang adiknya itu fikirkan.
    
“Abang harap kamu cepat kahwin.”
    
“Saya harap abang dan Akhshiyat cepat-cepat kahwin dan berhenti kacau saya,” sinis nada Ruslan. Aslan tertawa mendengarnya.
    
“Selamat malam, abang…” Ruslan mengucapkan.
    
“Selamat malam juga, adik.”
    





Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 | Bab 20 | Bab 21 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku