Takdir Yang Mengikat
Bab 6
Genre: Umum
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
27

Bacaan






Kem latihan Dzhamaat Halifat,
Latakia, Syria


    
Ketukan pintu bertalu-talu pada pukul 8 pagi membangunkan Abu Usman daripada tidur lenanya. Sambil menggosok-gosok mata, dia duduk di atas tilam. Kepala ditoleh ke kiri dan ke kanan, melihat rakan-rakan sebilik yang masih lena dibuai mimpi selepas solat Subuh tadi.
    
Ketukan di pintu masih belum berhenti. Abu Usman mendengus geram. Dalam ramai-ramai orang di situ, mengapa dia yang terbangun akibat ketukan tersebut? Bukankah hari ini hari Sabtu dan mereka tiada latihan? Siapa pula yang mencari mereka pagi-pagi begini? Dengan rambut yang masih kusut-masai, Abu Usman bangun dan menuju ke arah pintu.
    
“Ya?” soalnya sebaik membuka pintu bilik.
    
“Abang! Saya nak minta tolong!” Abu Muhammad memandang Abu Usman dengan wajah yang resah.
    
“Hah?” Terangkat kening Abu Usman.
    
“Ada tak sesiapa dalam bilik ni yang ada tugasan mencuci tandas hari ini dan esok?” Abu Muhammad menyoal.
    
“Abu Bakar ada. Kenapa?”
    
“Abang Abu Bakar dah bangun tak?”
    
Abu Usman melontar pandangan pada Abu Bakar yang sedang nyenyak tidur. Hanya kepala sahabatnya itu sahaja yang kelihatan. Badannya dibaluti selimut daripada paras leher ke bawah. Sekali lihat, Abu Bakar nampak seperti ulat dalam kepompong. Abu Muhammad yang berdiri di hadapan dipandang kembali.
    
“Abu Bakar sedang tidur…”
    
“Agaknya abang Abu Bakar nak tak tukar dengan saya? Saya ada tugasan mengupas kentang hari ini. Hari ini sahaja…” rayu Abu Muhammad. Matanya berkelip-kelip menagih simpati.
    
“Tapi tugasan mencuci tandas Abu Bakar ada dua hari. Tidak adillah jika dia menukarnya dengan kamu.”
    
“Tak apa, tak apa. Saya suka mencuci tandas. Itu hobi saya. Saya tak pandai mengupas kentang.”
    
Aslan juga tak pandai kupas kentang…’ desis hati Abu Usman.
    
Tiba-tiba sahaja satu idea nakal muncul di minda. Abu Usman tersenyum.
    
“Okey. Nanti abang beritahu Abu Bakar yang kamu tukar dengan dia.”
    
“Terima kasih. Terima kasih abang. Saya pergi dulu.” Ceria wajah Abu Muhammad. Selepas dia pergi, Abu Usman menutup pintu bilik kembali.

*****
    
“Abu Usman!” Pintu bilik ditolak kasar. Abu Bakar masuk ke dalam bilik dengan hati yang geram.
    
Abu Usman meletak buku yang dibacanya di atas tilam. Terhibur dia melihat reaksi Abu Bakar.
    
“Kenapa?” Abu Usman sengaja menyoal.
    
“Pengkhianatan apakah ini?”
    
“Apa maksud awak?” Abu Usman berpura-pura tidak tahu.
    
“Jangan berdalih! Awak tukarkan tugas mencuci tandas saya dengan tugas kupas kentang Abu Muhammad!”
    
“Ah…itu…Kan semalam awak ada cakap yang awak tak suka cuci tandas…Jadi bila Abu Muhammad datang tawarkan penukaran, saya pun bersetujulah bagi pihak awak.” Abu Usman menjawab selamba, membuat hati Abu Bakar bertambah sakit.
    
“Awak tahu saya tak pernah kupas kentang!” Suara Abu Bakar meninggi.
    
“Jadi?”
    
“Apa akan jadi dengan kentang-kentang tu nanti?”
    
“Tentulah jadi kentang.”
    
“Awak tak faham. Saya tak pandai kupas kentang!”
    
“Jadi tukarlah balik dengan Abu Muhammad.” Abu Usman mencadangkan.
    
Abu Bakar melabuhkan punggung di atas permaidani. Dalam keadaan tertunduk, dia menggaru-garu kepalanya.
    
“Kenapa?” soal Abu Usman.
    
Abu Bakar mengangkat wajah.
    
“Itulah masalahnya. Saya tak pernah nampak orang mencuci tandas segembira itu. Dia siap nyanyi lagu ‘Masha i Medved’ lagi.”
    
Fikiran Abu Bakar melayang kepada kejadian beberapa minit yang lalu. Waktu itu dia sudah bersiap sedia untuk melakukan tugasan mencuci tandas. Setibanya di tandas tingkat dua, dia melihat Abu Muhammad sedang mencuci lantai tandas dengan penyapu. Sesekali anak muda itu menyembur cecair pencuci di atas lantai. Mulutnya tidak henti-henti menyanyikan lagu rancangan kartun ‘Masha i Medved’.
    
Tatkala terpandang Abu Bakar, Abu Muhammad menghentikan tugasnya.
    
“Abang, saya tukar tugas dengan abang. Pagi tadi saya dah beritahu abang Abu Usman. Abang Abu Usman pun dah setuju. Dia dah beritahu abang, kan? Nanti abang kupas kentang ya? Satu hari sahaja. Tugas cuci tandas abang saya ambil alih hari ini dan esok.” Ceria nada Abu Muhammad.
    
Abu Bakar terpinga-pinga, cuba memproses semua maklumat yang diterima.
    
“Maksud kamu Abu Usman….” Abu Bakar tidak meneruskan kata-kata. Dalam kepalanya sudah terbayang senyuman licik Abu Usman. ‘Dia ni memang nak kena…’ “Oh…hahaha…gembira nampaknya kamu cuci tandas, Abu Muhammad,” komen Abu Bakar.
    
“Dah tentu. Saya dapat anugerah pencuci tandas terbaik di rumah,” ujar Abu Muhammad sebelum tersenyum lebar.    
    
Anugerah apa?
    
“Oh, yakah? Baguslah tu…” Ketika itu hanya tuhan yang tahu betapa kuatnya keinginan Abu Bakar mahu mencekik Abu Usman. “Teruskan usaha kamu ya.”
    
Abu Muhammad menaikkan ibu jari kanan sambil mengenyit mata. “Serahkan kepada saya!”
    
Sambil menongkat dagu, Abu Bakar melepaskan keluhan. Tamat sudah ceritanya berkenaan Abu Muhammad sebentar tadi. Abu Usman yang mendengar ketawa terbahak-bahak.
    
“Awak kena bertanggungjawab!” arah Abu Bakar.
    
“Daripada awak marah-marah kat sini, lebih baik awak pergi kupas kentang sekarang. Tak lama lagi mereka nak mula memasak tu.”
    
“Alamak! Dah nak tengahari!”
    
Abu Bakar bagaikan terlupa kemarahannya sebentar tadi. Dia bingkas bangun lalu keluar dari bilik.
    
Abu Usman hanya tersenyum. Dia mendekati beg galasnya. Sebuah buku lukisan bersaiz A4 dan kotak pensel dikeluarkan.
    
Beberapa saat kemudian, dia membuka pintu bilik lalu menuju ke tingkat bawah.

*****
    
Kentang rebus yang berbentuk bujur direnung. Aneh betul. Seingatnya, kentang-kentang yang diambil daripada Abu Basir kelmarin bersaiz besar. Jadi kenapa kentang ini sangat kecil?
    
“Kenapa?” soal Abu Yusuf sebaik menyedari Abu Hurairah termenung lama.
    
Abu Hurairah tersentak. Kentang rebus di tangan hampir-hampir terjatuh.
    
“Tak. Tak ada apa-apa.” Abu Hurairah menggigit kentang rebusnya.
    
Abu Usman menyiku lengan Abu Bakar.
    
“Kenapa?”
    
“K-e-n-t-a-n-g,” bisik Abu Usman, sengaja mahu menyakitkan hati Abu Bakar.
    
Abu Bakar berbisik kembali. “Ada hari saya akan balas, Akhshiyat.”

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia


    
“Ruslan!” Raisa mengetuk pintu bilik anaknya berkali-kali. “Ruslan!” panggil Raisa lagi. Seketika kemudian, Ruslan membuka pintu bilik. Ibunya tercegat di muka pintu dengan raut wajah gelisah. Terdapat lingkaran hitam gelap di bawah mata wanita itu, menandakan sudah beberapa hari dia tidak tidur lena.
    
“Kenapa ni, mama?” soal Ruslan sebelum menguap. Selama 16 jam dia bekerja tanpa rehat di hospital. Dia baru sahaja tiba di rumah sejam yang lalu.
    
“Mama tak jumpa VK* milik Aslan! Facebook dia pun mama tak jumpa, Ruslan!”
    
“Mungkin abang dah tutup agaknya…” Ruslan menjawab. Dia pasti Aslan menutup semua akaun laman sosialnya sebelum berangkat ke Syria. Namun dia tidak boleh memberitahu ibunya perkara itu.
    
“Kenapa Aslan tutup? Baru hari Sabtu mama lihat Nastya tag gambar Aslan di VK!” Raisa memberitahu.
    
“Mana saya tahu? Mungkin abang dah bosan dengan semua ni…” Ada nada marah dalam suara Ruslan. Selepas mendapat tahu ke mana Aslan menghilang, hatinya geram setiap kali mendengar nama Aslan disebut.
    
“Macam mana ni Ruslan? Macam mana mama nak hubungi Aslan? Perlukah kita tampal poster muka Aslan di seluruh bandar? Mana tahu ada orang ternampak Aslan di mana-mana.” Bersungguh-sungguh Raisa memberi cadangan.
    
“Tak perlu, mama. Sudahlah! Tak payah diingat lagi orang yang mementingkan diri sendiri tu.” Keras suara Ruslan. Hatinya sakit memikirkan apa yang telah dilakukan Aslan pada keluarga mereka.
    
“Ruslan!” panggil Raisa, separa menjerit. “Dia tu abang kamu, Ruslan! Kenapa kamu cakap macam tu?” Raisa menjegilkan mata memandang anaknya.
    
Ruslan mendengus. “Nanti dia telefonlah tu. Dia bukannya mati pun!” ujar Ruslan acuh tidak acuh, menyebabkan satu tamparan melayang ke pipinya.
    
Ruslan terpaku.
    
Ibunya baru sahaja menamparnya.
    
Perlahan-lahan, Ruslan menggerakkan kepala menatap wajah ibu. Air mata Raisa mengalir ke pipi.
    
Timbul sejuta penyesalan dalam hati Ruslan. Kata-katanya telah melukakan hati ibu. Kata-katanya membuat air mata ibunya tumpah. Dia derhaka pada ibunya.
    
“Mama…” panggil Ruslan, cuba meredakan tangisan si ibu.
    
“Mama tak nak dengar apa-apa lagi dari kamu, Ruslan!” bentak Raisa. “Kamu tak nak tolong mama, tak apa! Biar mama dan papa cari abang kamu sendiri!” tegas Raisa. Biarlah! Ruslan tidak akan memahami perasaannya kerana bukan dia yang melahirkan Aslan.
    
Raisa mengesat air mata. Dengan langkah yang lemah, dia meninggalkan anaknya.    “Mama…” perlahan suara Ruslan memanggil ibunya. Sebaik sahaja kelibat ibunya hilang di sebalik tangga, Ruslan menitiskan air mata.

________________________________________________


 VK*

VK ialah laman sosial yang hampir sama seperti Facebook, namun, kebanyakan pengguna VK berasal daripada negara-negara bekas Soviet Union seperti Rusia, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, dan Tajikistan. Ia amat popular dalam kalangan pengguna yang bertutur dalam bahasa Rusia sehingga mendapat gelaran Facebook Rusia.

 





Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 | Bab 20 | Bab 21 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku