Takdir Yang Mengikat
Bab 8
Genre: Umum
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
30

Bacaan






Kem latihan Dzhamaat Halifat,
Latakia, Syria

Abu Bakar memandang ke kiri dan ke kanan. Anak mata kelabunya menyoroti setiap wajah yang berada di ruang makan.
    
Pelik.
    
Dia langsung tidak melihat kelibat Abu Muhammad di situ. Setahunya, hari ini Abu Muhammad tidak ada sebarang tugasan di dapur. ‘Ke mana budak tu pergi?’ Hatinya menyoal.
    
Abu Bakar menyiku lengan Abu Usman yang duduk di sebelah. Abu Usman yang sedang berbual-bual dengan beberapa orang rakan mereka, menoleh.
    
“Kenapa?” soal Abu Usman.
    
“Tak nampak Abu Muhammad pun…” ujar Abu Bakar sambil matanya melilau di segenap ruangan makan. Kelihatan rakan-rakan yang lain sedang mengeratkan silaturahim sesama sendiri. Ada yang sedang rancak berbual, ada yang ketawa, ada juga yang hanya menjadi pendengar setia.
    
Abu Usman memusingkan kepala sambil matanya turut liar mencari kelibat Abu Muhammad. “Tadi ada nampak dia waktu solat subuh. Ke mana dia pergi?”
    
“Mungkin dia di dalam bilik. Biar saya pergi panggil dia…” Abu Bakar memberitahu.
    
Abu Usman tersenyum memerhatikan Abu Bakar melangkah keluar dari ruangan makan.
    
Tipikal Aslan…selalu sangat risau hal orang lain…

*****
    
Pintu bilik Abu Muhammad dikuak luas. Sebaik melangkah ke dalam, Abu Bakar melihat Abu Muhammad sedang terbaring sambil tubuhnya ditutupi dengan beberapa lapis selimut. Mata Abu Muhammad terpejam rapat. Pipinya pula kemerah-merahan.
    
Demam?’ Abu Bakar meneka. Dia duduk bersila di tepi kanan tilam Abu Muhammad lalu meletakkan belakang tangan kanan pada dahi si anak muda.
    
“Panasnya…” ujar Abu Bakar. Dengan senyap, dia bangun lalu bergerak keluar daripada bilik Abu Muhammad.
    
Abu Bakar masuk ke biliknya yang terletak di sebelah lalu merapati beg pakaiannya.  Sehelai sapu tangan dikeluarkan dari dalam beg. Dia terpaku sejenak. Di bucu kanan sapu tangan tersebut tersulam nama Ruslan. Abu Bakar tersenyum tawar. Macam manalah dia boleh tersalah ambil sapu tangan Ruslan?
    
Sapu tangan Ruslan diletak ke tepi. Dia cuba mencari sapu tangan lain. Namun Abu Bakar tidak menjumpai mana-mana sapu tangan. Satu lagi keluhan dilepaskan.
    
Berat hatinya mahu meminjamkan sapu tangan Ruslan kepada Abu Muhammad. Sapu tangan itu satu-satunya barang milik Ruslan yang ada padanya. Satu-satunya barang milik kembarnya yang berada jauh di Ufa.
    
Ufa.
    
Sudah dua minggu bandaraya itu dia tinggalkan. Dia selalu teringat akan keadaan keluarganya di sana. Apa khabar mereka? Adakah mereka menjalani kehidupan seperti biasa?
    
Abu Bakar meraup wajah. Mulutnya mengucap lafaz istighfar. Dia menutup zip beg bagasi berodanya kembali. Kemudian dia mengambil sapu tangan Ruslan lalu keluar dari bilik. Dia membasahkan sapu tangan itu di bilik air sebelum berjalan kembali ke bilik Abu Muhammad.
    
Baru sahaja tangannya hendak memusing tombol pintu bilik Abu Muhammad, Abu Bakar mendengar namanya dipanggil. Dia menoleh.
    
“Kenapa lama sangat? Dah nak sarapan dah ni…” Abu Usman memberitahu.
    
“Abu Muhammad sakit. Saya nak tengok keadaan dia sekejap,” jawab Abu Bakar. Dia masuk ke dalam bilik anak muda itu. Abu Usman menurutinya dari belakang.
    
Abu Usman tidak perlu bertanya untuk mengetahui apa yang telah berlaku pada Abu Muhammad. Melihat tubuhnya yang ditutupi berlapis-lapis selimut, dia sudah dapat mengagak yang remaja itu demam. Abu Usman menggeleng-gelengkan kepala. ‘Mungkin inilah akibat bermain hujan semalam…
    
Sambil itu, mindanya memutar kembali peristiwa yang berlaku kira-kira 12 jam yang lalu. Abu Muhammad dan beberapa orang anak  muda lain bermain hujan selepas kembali ke kem latihan. Bukan itu sahaja, mereka turut bergusti di atas tanah ketika hujan lebat mencurah ke Bumi. Sebaik sahaja berita ‘gusti dalam hujan’ mereka sampai ke pengetahuan tenaga pengajar, mereka didenda mencuci tandas dan bilik air selepas solat Isyak dan makan malam.
    
Batuk Abu Muhammad mematikan putaran memori Abu Usman. Dia mendekati Abu Bakar yang sedang meletakkan sapu tangan pada dahi Abu Muhammad. Abu Usman duduk di sebelah sahabatnya.
    
“Panas sangat ke?” soal Abu Usman.
    
“Ya.”
    
“Ini mesti sebab dia main hujan kelmarin…”
    
Abu Bakar mengangguk.
    
Mata masing-masing kini tertumpu pada Abu Muhammad yang sedang tidur hingga tidak menyedari kehadiran mereka berdua.
    
“Mesti rakan biliknya tahu yang dia demam. Tengoklah ketinggian selimut ni…Agaknya mereka dah beritahu tenaga pengajar tak pasal budak ni?”
    
“Tak tahu pula. Tapi seseorang kena tinggal dekat sini untuk tengok-tengokkan dia,” ujar Abu Bakar.
    
“Bukan biasanya ada dua tenaga pengajar yang tinggal di sini ke setiap kali kita ke tapak latihan? Mereka boleh tolong tengok-tengokkan dia, kan?”
    
“Ya. Hari ni rasanya Abu Basir tak ikut kita…Saya pergi cari dia sekarang.”
    
Baru sahaja Abu Bakar mahu bangun, Abu Usman menarik tangannya untuk terus duduk. “Biar saya pergi. Awak tunggu di sini,” arahnya. Dia bingkas bangun lalu keluar dari bilik.
    
Abu Bakar menghalakan pandangan pada Abu Muhammad. Setelah beberapa ketika, Abu Muhammad membuka mata. Dia menggerakkan kepalanya ke kanan sedikit. Matanya dan mata Abu Bakar bertautan. Bibirnya menggaris senyuman.
    
“Abang nampak risau…”
    
“Mengarut saja kamu ni…”
    
“Abang dah makan?”
    
“Belum.”
    
Senyum Abu Muhammad melebar.
    
“Apalah abang ni. Sepatutnya abang jawab abang dah makan supaya saya tak risau.” Abu Muhammad bergurau.
    
“Kalau abang jawab macam tu, nanti bila perut abang berbunyi, apa yang abang nak jawab pada kamu?” Abu Bakar membalas kembali.
    
Abu Muhammad tersengih menampakkan gigi-giginya. Dia menggerakkan kepala, memandang siling bilik. Satu helaan nafas dilepaskan. Tiba-tiba sahaja hatinya mahu berkongsi sesuatu dengan Abu Bakar.    

“Kenapa?” Abu Bakar menyoal.
    
“Saya nak beritahu abang sesuatu.”
    
“Apa dia?”
    
“Nama sebenar saya Magomed,” ujar Abu Muhammad.
    
“Kamu tak sepatutnya beritahu abang nama kamu…” Abu Bakar menegur.
    
“Tapi saya nak beritahu juga.”
    
Abu Bakar terdiam. Mendengar nada suara Abu Muhammad, dia cukup pasti ada banyak lagi yang anak muda itu ingin beritahu.
    
“Ya. Nama saya Magomed. Magomed, dot dot dot. Saya tak tahu siapa nama ayah saya, atau apa nama keluarga saya. Saya juga tak tahu siapa ibu saya.” Abu Muhammad berhenti seketika. Kemudian dia menyambung lagi, “Saya ditinggalkan di rumah anak yatim ketika saya berusia 2 tahun. Satu kad yang mengandungi ucapan maaf dan tarikh lahir disertakan sekali. Penjaga rumah anak yatim mengambil dan memberikan saya nama Magomed Abdullanovich Abdullaev.” Senyuman di bibirnya mengendur.
    
“Saya hidup dan membesar di rumah anak yatim. Kawan-kawan di rumah anak yatim bagaikan adik-beradik saya. Dan penjaga kami, Valida, bagaikan ibu saya. Hidup saya gembira. Namun, saya sentiasa tertanya-tanya siapa ibu bapa saya yang sebenar dan mengapa mereka meninggalkan saya.”
    
Abu Bakar masih lagi senyap, cuma menjadi pendengar setia. Simpatinya pada Abu Muhammad makin lama makin menebal.
    
“Suatu hari ketika saya berusia 13 tahun, saya perasan sesuatu ketika memandang cermin. Muka saya tak kelihatan seperti seorang Chechen. Ia kelihatan seperti…seseorang yang berbangsa Rusia. Pada waktu itu, baru saya faham kenapa saya ditinggalkan.
    
Abang tahu, bukan? Perang Chechen pertama, bermula pada Disember 1994 hingga Ogos 1996. Saya pula lahir pada tahun 1995. ”
    
Lama Abu Muhammad diam.
    
“Secara tradisinya, perempuan Chechen tidak boleh berkahwin dengan lelaki yang bukan Chechen. Dan rupa saya pula tidak seperti Chechen. Jadi saya buat kesimpulan saya.
    
Ibu saya…ibu saya barangkali ialah salah seorang mangsa kekejaman tentera Rusia. Mungkin dia diperkosa dan akhirnya melahirkan saya. Setiap kali saya fikirkan tentang itu, saya jadi sebak. Kerana saya ialah anak yang dia tak mahu lahirkan.”
    
Air jernih mula bergenang di kelopak mata Abu Muhammad. Sebak hatinya mengenangkan diri yang hidup sebatang kara di dunia, tidak diperlukan oleh sesiapa. Dan tidak punya ahli keluarga yang bisa mengasihi dirinya.
    
“Pelik bila saya mengaku saya ialah Chechen dan menggunakan kunya Abu Muhammad Shishani sedangkan saya bukanlah orang Chechen sebenar.” Air mata Abu Muhammad menitis. Dia mengeluarkan tangan kanannya daripada selimut lalu menutup matanya dengan belakang tangan.
    
Abu Bakar mula tidak keruan. Dia tidak tahu apa yang harus diucapkannya ketika ini. Bagaimana dia mahu meredakan air mata si adik? Apa yang harus dilakukannya?
    
Abu Muhammad bangun daripada pembaringan. Tangannya mengesat-esat air mata yang menitis. Sapu tangan di dahinya terjatuh di atas selimut. Dia terpandang nama yang disulam di bucu sapu tangan.
    
“Ruslan…” ujarnya. “Nama abang?” dia menyoal untuk kepastian sebelum memandang Abu Bakar.
    
“Nama adik abang.” Abu Bakar menjawab. Kemudian dia menambah lagi, “adik kembar sebenarnya…”
    
Abu Muhammad tersenyum hambar. “Rupanya ada seorang lagi ‘abang’ di luar sana.” ujarnya perlahan. “Dia sama macam abang tak? Maksud saya, kalau saya terserempak dengan dia, saya boleh tahu ke yang dia bukannya abang?”
    
Abu Bakar senyum.
    
“Tidak. Walaupun rupa kami sama, tapi dia tak sama macam abang.”
    
“Ya ke?”
    
“Ya. Dia jenis pemalu dan tak banyak cakap.”
    
“Oh….”
    
Mata kelabu Abu Muhammad merenung lama sapu tangan tersebut. Terdetik rasa cemburu di hati. Alangkah bagus jika dia juga mempunyai seorang abang.
    
“Bagusnya…saya juga nak ada keluarga. Ada ayah, ibu. Ada adik-beradik.”
    
Sapu tangan Ruslan dihulur kepada Abu Bakar.
    
“Terima kasih,” ucapnya.
    
“Kamu gunalah dulu.”
    
“Tak apa ke?”
    
“Tak ada masalah.”
    
“Terima kasih. Saya akan cuci dulu sebelum kembalikan…” ujar Abu Muhammad. Dia kemudian memicit-micit kepalanya yang terasa berat dan sakit. “Saya tak sepatutnya bermain hujan kelmarin…” keluhnya. Abu Bakar mengusap-usap kepalanya.
    
“Lain kali jangan nakal-nakal lagi,” nasihat Abu Bakar, persis seorang abang.
    
“Okey. Lain kali saya tak nakal lagi…” Abu Muhammad menjawab.
    
“Bagus.”
    
Lama Abu Muhammad memerhati wajah Abu Bakar. Pandangan mata lelaki itu redup dan mesra. Mungkin itulah yang membuat dia mahu berkongsi kisah hidupnya bersama Abu Bakar walaupun mereka baru dua minggu berkenalan. Abu Bakar bagaikan abang yang tidak pernah dia miliki.
    
“Abang…akan sentiasa mengingati saya, bukan?”
    
Soalan Abu Muhammad membuat Abu Bakar tertanya-tanya sendiri. Apa yang anak muda ini mahu sampaikan? Kenapa dia tiba-tiba menyoal sebegitu?
    
“Jika saya ditakdirkan untuk mati, boleh tak abang terus mengingati saya?” Abu Muhammad menyoal lagi. Matanya merenung ke dalam mata Abu Bakar. Untuk seketika, Abu Bakar seolah-olah merasakan yang Abu Muhammad dapat melihat apa yang ada di dalam hatinya. Melihat jauh ke dalam jiwanya.
    
Diingati.
    
Ia satu permintaan yang ringkas.
    
Abu Muhammad cuma mahu rakan-rakannya menyimpan kewujudannya dalam hati mereka. Agar dia terus hidup. Walaupun jasadnya sudah tidak wujud lagi.
    
Abu Bakar mengusap kepala Abu Muhammad sambil tersenyum.
    
“Abang akan sentiasa mengingati kamu. Tak kira di mana kamu berada.”
    
Untuk mengatakan yang dia akan sentiasa mengingati Abu Muhammad walaupun selepas anak muda itu tiada, Abu Bakar tidak sanggup. Tidak pernah terlintas di fikirannya Abu Muhammad akan pergi menemui Allah sebelum dia.
    
“Terima kasih abang.”




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 | Bab 20 | Bab 21 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku