Takdir Yang Mengikat
Bab 9
Genre: Umum
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
59

Bacaan






Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

    
Mata biru si gadis menatap ke arah bingkai gambar yang tergantung pada dinding bilik. Senyuman gembira dia dan Aslan ketika memegang skrol ijazah masing-masing di dalam gambar tersebut kini terasa bagaikan pisau yang menyiat-nyiat setiap inci tubuhnya. Dengan mata yang merah, Anastasia tertawa kecil. Bagaimana hidupnya bisa berubah kerana seorang lelaki yang bernama Aslan Sakaev?
    
Anastasia memeluk kedua-dua lututnya. Sungguh, dia menyesal. Menyesal kerana tidak punya keberanian untuk meluahkan rasa cinta kepada Aslan. Walaupun dia tahu yang hati Aslan tidak pernah dimiliki oleh mana-mana perempuan, dia tidak mahu mengambil risiko untuk mencuba. Asalkan dia boleh melihat Aslan selalu, itu sudah mencukupi baginya.
    
Tidak pernah terlintas dalam fikiran yang Aslan akan pergi jauh. Ke tempat di mana Anastasia tidak dapat bertemunya lagi.

*****
8 bulan yang lalu…

Universiti Perubatan Bashkir
Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

    
Makmal yang menempatkan beberapa replika tengkorak manusia kini riuh dengan suara-suara pelajar tahun keenam Fakulti Pediatrik, Universiti Perubatan Bashkir. Sambil berbual, mereka bergerak dari meja masing-masing menuju ke hadapan, ke meja pensyarah.
    
“Aslan, mari ambil gambar bersama!” Anastasia memanggil Aslan. Aslan yang sedang membaca, menghentikan bacaannya lalu berjalan merapati Anastasia.
    
“Nastya, Aslan sahaja ke? Saya tak diajak pula…” ujar Akhshiyat, nadanya seakan-akan merajuk.
    
Spontan Anastasia berpaling ke belakang. Akhshiyat pura-pura membuat muka sedih.
    
“Cepat sikit Akhshiyat!” Anastasia kemudian terpandang Ruslan yang masih lagi tidak berganjak daripada kerusinya. Ruslan sedang menulis sesuatu di dalam buku nota. Si gadis rambut perang mengeluh. “Ruslan!” Dia memanggil.
    
Ruslan mengangkat kepala, melihat ke arah abangnya dan Anastasia. “Kenapa?” Sengaja dia menyoal.
    
“Kita nak ambil gambar bersama Prof ni, mari!” Anastasia mengajak. Tangannya menunjuk ke arah rakan sekelas mereka yang sedang mengambil tempat masing-masing di sebelah-menyebelah Profesor Olga. Profesor wanita separuh abad itu membetulkan kot panjang warna putih yang dipakai. Tangan kanannya memegang sejambak bunga, hadiah daripada pelajarnya.
    
Ruslan bangun lalu mengikuti Aslan dan Anastasia. Akhshiyat sudah terlebih dahulu mengambil tempat berdiri di sebelah Radik. Mereka disertai oleh Aslan, Anastasia, dan Ruslan. Salah seorang rakan mereka, Viktor, menetapkan timer 10 saat. Viktor kemudian berlari pantas menyertai rakan-rakannya yang kini berdiri dalam satu barisan horizontal.
    
Anastasia tersenyum ke arah kamera. Tangannya memaut erat lengan Aslan. Empat saat selepas itu, kamera tersebut memancarkan cahaya sepantas kilat.
                        
*****
    
“Selamat hari lahir, Nastya,” ucap Aslan lalu menghulurkan bungkusan yang dibalut dengan kertas pembalut hadiah warna merah jambu. Anastasia menyambut huluran bungkusan tersebut bersama senyuman.
    
“Terima kasih, Aslanchik!” ucap Anastasia manja. Aslan tertawa mendengarnya. Matanya memandang sekeliling ruang tamu rumah Anastasia yang dihiasi dengan lampu dan belon yang  berwarna-warni. Muzik berentak pantas benar-benar menghidupkan suasana parti hari jadi tersebut. Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakan-rakan universiti mereka yang kebanyakannya tidak dikenali Aslan.
    
“Aslan, mana Ruslan?” Anastasia menyoal apabila melihat Ruslan tidak datang bersama abangnya.
    
“Ruslan ke Grozny.” Aslan menjawab.
    
“Kenapa?”
    
“Ada saudara berminat untuk mengenali dia.”
    
“Apa maksudnya?”
    
“Ada saudara jauh berkenan nak jadikan Ruslan menantu. Jadi mama dan papa suruh Ruslan ke sana untuk bertemu mereka.”
    
“Oh...maksudnya tak lama lagi kahwinlah Ruslan,” seloroh Anastasia.
    
Aslan ketawa. “Tak mungkin. Dia bukannya jenis yang akan kahwin awal.”
    
“Manalah tahu. Akhshiyat pun balik ke Grozny, kan? Dia berjumpa dengan bakal mertua juga ke?” Anastasia menyoal lagi.
    
“Tak… Dia sambut hari lahir ibunya.”
    
“Oh…hari ini ke hari lahir ibu dia?”
    
“Ya.”
    
“Wah, kebetulan pula…” ujar gadis itu. “Oh ya, marilah makan, Aslan!” Anastasia mempelawa. Dia mengajak Aslan ke meja makan.
    
15 minit kemudian, Anastasia berdiri di hadapan sebuah kek bulat yang dilapis dengan krim warna putih dan merah jambu. Di atas kek tersebut berdirinya dua batang lilin besar dan tiga batang lilin kecil. Rakan-rakan Anastasia kini mengerumuni meja yang menjadi tempat letaknya kek.
    
Mereka yang berada di situ mula menepuk tangan dan menyanyi.
    
Selepas menyanyikan lagu untuk Anastasia, mereka beramai-ramai mengucapkan ‘Selamat hari lahir’ kepadanya. Tanpa berlengah, Anastasia terus memotong kek.
    
“Woohooo!!” Rakan-rakannya menjerit lalu bertepuk tangan sekali lagi. Anastasia tersenyum gembira.
                        
*****
    
Aslan menatap langit malam yang dipenuhi dengan pancaran bunga api warna-warni sempena Victory Day. Victory Day yang disambut pada 9 Mei setiap tahun ialah hari cuti bagi memperingati tarikh Nazi Jerman menyerah diri kepada Soviet Union pada penghujung Perang Dunia Kedua.
    
Selain itu, 9 Mei juga ialah tarikh hari lahir Anastasia, gadis pertama yang menegurnya di universiti. Anastasia merupakan perempuan pertama yang berkawan rapat dengannya. Demi menghadiri majlis hari lahir Anastasia, Aslan sanggup menolak rayuan Ruslan yang memintanya ikut bersama ke Grozny.
    
Aslan menghela nafas. Suasana riuh-rendah di dalam rumah membuatnya tidak selesa. Lalu dia memilih untuk duduk di luar rumah, di atas bangku kayu di tepi rumah dua tingkat milik keluarga Anastasia. Walaupun bunyi letupan bunga api di bandaraya Ufa turut membingitkan telinga, namun Aslan tidak kisah. Sekurang-kurangnya dia tidak berasa sesak nafas di situ.
    
Aslan bersandar pada bangku lalu memejamkan mata. Perjalanan hidupnya sepanjang 5 tahun lebih di universiti diimbas kembali. Dia bakal menamatkan pengajiannya semester ini namun kenangan bersama rakan-rakan, pensyarah, dan pesakit, akan sentiasa disimpan dalam ingatan.
    
Tiba-tiba satu wajah yang langsung tidak asing menerpa ke minda. Spontan Aslan mencelikkan mata.
    
Ulyana.
    
Anak kecil yang dikenalinya di hospital setahun lalu. Ulyana yang berusia 4 tahun dan berambut perang memiliki muka yang comel bagaikan anak patung. Namun, Tuhan lebih menyayangi Ulyana. Dia meninggal selepas dua minggu dimasukkan ke hospital. Waktu itu Aslan betul-betul merasakan yang dirinya sudah gagal sebagai seorang bakal doktor. Dia tidak mampu menyelamatkan seorang anak kecil, lantas, apa yang mampu dia lakukan?
    
“Aslan…”
    
Lamunan Aslan pecah sebaik terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh ke belakang. Anastasia sedang berdiri di belakang bangku kayu. Terukir senyuman manis di bibir Anastasia. “Kenapa termenung di sini?” soal si gadis manis.
    
“Saja…nak menikmati udara segar. Awak? Tak apa ke awak berada di sini dan bukannya di dalam?” Aslan menyoal kembali. Dia memerhatikan gerak-geri Anastasia yang masih lagi belum menjawab soalannya. Gadis rambut perang itu mengambil tempat duduk di bangku yang sama.
    
“Awak okey?” Aslan menyoal lagi.
    
Lama Anastasia diam, membiarkan soalan Aslan tidak berjawab.
    
“Saya rasa macam awak akan pergi jauh dari sini, Aslan…” ujarnya perlahan. Matanya menatap bunga api yang dilepaskan ke langit malam.
    
Aslan tertawa.
    
“Dan ke mana pula saya nak pergi?”
    
“Entahlah…” Anastasia menundukkan kepala, memandang ribanya.  “Saya cuma rasa sahaja.” Wajah dipaling ke arah Aslan. “Awak tahu, firasat perempuan selalunya tepat.”    

“Mungkin benar kata awak. Mungkin juga saya nak pergi jauh. Tinggalkan tempat ni.” Langit malam ditatap kembali.
    
Kata-kata Aslan membuat hati gadis itu gundah-gulana. Ke mana Aslan mahu pergi? Adakah Aslan ingin kembali ke Chechnya?
    
“Awak…nak balik ke Chechnya ke?” soal Anastasia dengan nada risau. Matanya merenung Aslan. Pemuda itu menoleh, menatap muka si rambut perang. Rasa lucu pula mendengar Anastasia menyoal begitu.
    
“Saya bergurau sahaja. Ke mana lagi saya mahu pergi? Sini ialah tempat saya. Saya hidup dan mati di sini.”
    
“Jangan cakap tentang mati!” Tiba-tiba sahaja Anastasia naik angin. Dia tidak suka jika ada orang menyebut perkataan ‘mati’ di depannya. Dia tidak suka mendengar perkataan ‘mati’.
    
Aslan tersentak, terkejut dengan reaksi tidak dijangka daripada sahabatnya. Dia tidak pernah mendengar Anastasia berbicara begitu keras.
    
“Ma…maaf,” pinta Anastasia, kesal dengan kata-katanya sebentar tadi.
    
Gadis bermata biru itu cepat-cepat memalingkan wajah ke arah lain. Matanya merenung buaian yang tergantung pada pokok di halaman rumah. Buaian itu bergerak-gerak perlahan ditiup angin malam.
    
“Papa saya seorang askar.” Anastasia membuka cerita.
    
“Askar?”
    
“Ya. Papa saya terkorban dalam pertempuran ketika umur saya 8 tahun.” Anastasia diam seketika sebelum menyambung. “Kami tinggal di Orenburg. Lepas tu, papa dihantar bertugas ke tempat lain. Jadi mama bawa saya kembali ke rumah ibunya, nenek saya, di Ufa. Beberapa bulan lepas tu, mama beritahu saya yang papa dah tak ada, terkorban dalam pertempuran. Mereka kebumikan papa di Orenburg. Mama tak bawa saya ke Orenburg. Kata mama, keluarga papa nak ambil saya daripada mama. Sebab tu saya tak pernah pergi ke Orenburg lagi.”
    
Anastasia menghela nafas. “Saya dah 23 tahun. Saya sepatutnya dah kahwin sekarang. Tapi bila fikirkan yang mama akan berseorangan selepas saya kahwin, saya rasa tak nak kahwin pula.”
    
“Kalau macam tu, pergilah kahwin, Nanti bawalah mama awak tinggal bersama awak,” cadang Aslan.
    
Anastasia menongkat dagu. “Tapi tak ada orang ajak saya kahwin pun…”
    
“Mungkin awak tak perasan. Saya rasa ada ramai lelaki yang sukakan awak.”
    
Ayat Aslan membuat Anastasia sedikit terkejut. Tangan yang menongkat dagu tadi jatuh ke riba. Wajah lelaki itu kini dipandang. Aslan membalas pandangannya bersama senyuman yang lebar. Terkesima gadis itu seketika. Renungan penuh makna Aslan membuat dadanya berdebar-debar.
    
“Si…siapa?” Soalnya sedikit gugup.
    
“Rinat, Viktor, hm…saya rasa ada beberapa lelaki  selain mereka yang suka awak. Tapi saya tak pasti sangat…” Aslan mengusap-usap tengkuk, cuba mengingati jika dia ada ‘terperasan’ mana-mana lelaki yang meminati gadis di sebelahnya.
    
Tapi bukan awak, kan Aslan?
    
Anastasia sudah lama menaruh hati pada Aslan. Wajahnya yang selalu kelihatan tenang, sikap dan tutur bicaranya yang sopan, senyumannya yang manis, Anastasia sukakan kesemuanya. Tapi dia tahu, Aslan hanya menganggapnya sebagai seorang teman rapat. Hubungan mereka tidak akan dapat pergi lebih jauh. Mungkin inilah yang terbaik. Jika dia meluahkan perasaan kepada Aslan, dia mungkin akan ditolak. Hubungan mereka pasti bertukar kekok. Dia tidak sanggup mengambil risiko. Biarlah hubungan mereka kekal begini. Sekurang-kurangnya, dia boleh berada di sisi Aslan selalu.
    
“Awak masih 22 tahun, kan?” Anastasia sengaja menyoal.
    
“Ya. 1 Oktober nanti saya 23 tahun.”
    
“Pelik, bukan? Waktu saya dah pandai bergolek, awak baru lahir.”
    
“Memang pelik. Tapi, nak tahu tak apa yang lebih pelik?”
    
Anastasia kelihatan teruja. “Apa dia?”
    
“Bila ada orang lain yang sama muka dengan awak di dunia ini.”
    
Gadis itu ketawa terkekeh-kekeh. “Awak maksudkan Ruslan ke?”
    
“Ya.”
    
“Awak ni luculah, Aslan.”
    
“Terima kasih.”
    
“Jomlah masuk dalam. Sejuk ni dekat luar.” Anastasia bangun daripada bangku yang diduduki lalu menapak langkah ke pintu rumah.
    
“Nastya!” laung Aslan. Anastasia berhenti, lalu berpaling ke belakang.
    
“Saya doakan agar awak bertemu lelaki yang mencintai dan menghargai awak sepanjang hayatnya.”
    
Ayat Aslan membuat Anastasia terkedu seketika. Namun kemudian, dia menguntum senyuman.
    
“Terima kasih. Saya juga doakan agar awak bertemu dengan gadis yang akan mencintai dan menghargai awak sepanjang hayatnya.”




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 | Bab 20 | Bab 21 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku