Takdir Yang Mengikat
Bab 10
Genre: Umum
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
116

Bacaan






Kem latihan Dzhamaat Halifat
Latakia, Syria


    
Jarum jam sudah melepasi pukul 11 malam. Namun Abu Bakar, Abu Usman dan rakan sebilik mereka yang lain masih rancak berbual. Macam-macam perkara menjadi topik perbualan mereka, daripada senjata, kereta kebal, hinggalah ke isu politik Rusia dan Syria. Dalam mereka rancak berbual, Abu Basir masuk ke dalam bilik. Perbualan mereka serta-merta terhenti. Semua mata tertumpu pada Abu Basir.
    
“Lampu kena tutup sebelum jam 11.30 malam. Cepat masuk tidur. Esok kamu boleh sambung lagi cerita kamu.” Abu Basir mengingatkan dengan nada yang tegas.
    
“Baik!” Mereka menjawab serentak.
    
“Bagus!” ujar Abu Basir lalu keluar dari bilik.
    
Abu Amin yang duduk di bawah suis lampu, berdiri.
    
“Lampu dah nak tutup.” Dia memberitahu rakan-rakannya yang kini sudah berada di atas tilam masing-masing.
    
Tiba-tiba, pintu bilik mereka diketuk. Sekali lagi semua mata memandang ke arah pintu bilik. Pintu kayu itu dikuak perlahan. Abu Muhammad menjengukkan kepala daripada bukaan pintu. Dia tersengih menampakkan gigi-giginya.
    
“Kenapa, Abu Muhammad?” soal Abu Amin.
    
“Hehe…” Abu Muhammad masuk ke dalam bilik mereka. Tangan kirinya memeluk bantal manakala tangan kanannya memegang selimut.
    
Melihatkan Abu Muhammad, Abu Bakar dan Abu Usman cepat-cepat merebahkan diri di atas tilam lalu menarik selimut masing-masing sehingga paras kepala. Abu Muhammad yang melihat mereka berdua berbuat begitu pura-pura merajuk.
    
“Ah, liciknya! Tak adil!” Dia cepat-cepat berjalan ke tilam mereka lalu dengan sengaja merebahkan diri di antara tilam Abu Usman dan Abu Bakar. Merasakan yang lantai agak keras tanpa tilam dia menggoyang-goyang tubuh Abu Usman dan Abu Bakar. “Sambunglah tilam ni…” Dia merengek. Kedua-dua pemuda itu pura-pura tidak mendengar. “Sambunglah…” rengeknya lagi. Dia baring mengiring, menghadap ke arah Abu Bakar. Digoncangnya tubuh Abu Bakar dengan lebih kuat. “Abang, sambunglah…” rayunya kepada Abu Bakar.
    
Abu Bakar menurunkan selimut yang menutupi kepala. Dia tersenyum. “Kenapa manja sangat hari ini?” soalnya.
    
“Malam kedua akhir di sini, mestilah nak manja-manja…” Abu Muhammad tersengih lebar.
    
“Lampu dah nak tutup ni. Kamu nak gabung tilam atau tidak?” Abu Amin menyoal tidak sabar. Bimbang kalau-kalau Abu Basir datang dan memarahi mereka.
    
“Kejap, kami gabung.”
    
Abu Muhammad dan Abu Usman menolak tilam Abu Usman merapati tilam Abu Bakar. Abu Bakar cuma melihat sahaja. Selepas itu Abu Bakar berguling ke tepi, memberi ruang agar Abu Muhammad boleh tidur di tengah-tengah. Sebaik sahaja Abu Usman dan Abu Muhammad baring, Abu Amin menutup suis lampu. Keadaan bertukar gelap gelita.
    
“Abang?”
    
“Siapa?” soal Abu Bakar.
    
“Abang berdualah…”
    
“Kenapa?” Kali ini Abu Usman menyoal.
    
“Jom cerita hantu sebelum tidur,” Abu Muhammad mencadangkan.
    
“Jangan cerita benda-benda pelik di sini…Nanti tiba-tiba mati, macam mana?” Abu Bakar mengingatkan.
    
“Apa kaitannya dengan mati?” Abu Muhammad tidak faham apa yang Abu Bakar cuba sampaikan.
    
Dengan suara garau yang dibuat-buat, Abu Usman menyoal “Wahai Abu Muhammad, apa perkara terakhir yang engkau lakukan semasa hidupmu?”
    
Abu Bakar menjawab, “Perkara terakhir yang saya lakukan ialah bercerita tentang hantu sebelum tidur.”
    
Abu Muhammad mencebik.
    
Dalam kegelapan malam, Abu Bakar dan Abu Usman tersenyum lebar. Pasti Abu Muhammad akan membatalkan niatnya selepas mendengar ayat mereka berdua tadi.
    
“Itu tak adil…”
    
“Bertaubatlah sebelum tidur. Ingat Allah. Ingat mati.” Abu Bakar memberi nasihat.
    
“Yalah, yalah,” ujar Abu Muhammad acuh tidak acuh.
    
“Selamat malam,” Abu Usman mengucapkan.
    
“Selamat malam.” Abu Bakar dan Abu Muhammad membalas serentak.

*****
    
Abu Bakar membuka mata. Dia terjaga apabila tangannya yang tersentuh muka Abu Usman, ditolak kembali oleh lelaki itu. Abu Bakar segera menelentang. Cahaya bulan yang menembusi langsir tingkap membolehkannya melihat di dalam gelap. Dia menggosok-gosok matanya lalu duduk. Di  sebelah kiri dia melihat rakan-rakan yang lain sedang lena dibuai mimpi. Dia sebelah kanan pula, Abu Usman sedang tidur nyenyak.  
    
Waktu itu barulah dia perasan yang Abu Muhammad tidak berada di tempat tidurnya.
    
Ke mana Abu Muhammad pergi?
    
Abu Bakar menggosok-gosok tengkuk. Dia terasa mahu ke tandas. Cepat-cepat dia bangun dan keluar dari bilik.
    
Sesudah membuang air kecil, Abu Bakar terasa mahu meneguk air.
    
Langkah diatur ke dapur yang terletak di tingkat bawah. Perlahan-lahan, satu-persatu anak tangga dituruni. Di tingkat bawah, dia terserempak dengan Abu Yusuf yang sedang dalam perjalanan ke tingkat atas.
    
“Ke dapur?” soal Abu Yusuf berbasi-basi. Dia ditugaskan untuk berjaga malam bersama 4 orang rakan yang lain. Tiga daripada mereka berkawal di luar. Seorang lagi meronda di tingkat atas. Mereka ditemani oleh seorang tenaga pengajar setiap malam.
    
“Ya, haus sikit.” Abu Bakar menjawab.
    
“Oh…” Abu Yusuf mengangguk.
    
“Pergi dapur dulu,” beritahu Abu Bakar.
    
“Okey.”

*****
    
Langit malam dipenuhi dengan bintang-bintang yang bertaburan. Abu Muhammad memeluk tubuh tatkala bayu malam yang dingin menghembus perlahan. Langit pada malam itu tampak mempesonakan. Hampir tiada bezanya dengan langit malam di Gudermes.
    
Melihat langit yang indah membuat fikirannya menerawang sebentar.
    
Adakah ibu kandungnya juga sedang menatap langit yang sama?
    
Abu Muhammad memejam mata, cuba membayangkan wajah ibu kandungnya. Mata biru yang redup, hidung yang mancung, kulit seputih salji, dan rambut warna coklat muda. Perempuan dalam bayangan itu memberinya senyuman manis.
    
“Mama…” gumam Abu Muhammad. Mata dibuka. “Mama…” gumamnya lagi. Wajah perempuan yang dipanggil ‘Mama’ semakin lama semakin pudar. Abu Muhammad memejamkan matanya kembali, tidak mahu bayangan itu hilang begitu sahaja.
    
Jangan pergi. Tolong jangan pergi.’ Rayu hatinya.
    
Wajah perempuan itu perlahan-lahan bertukar ke wajah perempuan lain. Gambaran wajah gadis berambut perang yang tiba-tiba menerpa ke ingatan membuat dia cepat-cepat mencelik mata.

*****
    
“Magomed, saya tak dapat jumpa awak lagi lepas ni. Saya akan berkahwin.”
    
Kata-kata yang diucapkan gadis itu bagaikan batu besar yang menghempap kepalanya. Jantung bagaikan terhenti sebentar kerana terlalu terkejut
    
“Kahwin? Dengan siapa? Bagaimana dengan saya? Awak tak sayangkan saya?” Bertalu-talu soalan diajukan kepada si gadis rambut perang. Namun gadis itu membisu seribu bahasa.
    
“Zaira, pandang saya,” pintanya.
    
“Maaf…” Gadis itu mengucapkan sebelum melangkah pergi.
    
Magomed berdiri membatu, tidak percaya dengan apa yang didengarinya beberapa saat yang lalu. Zaira baru sahaja memutuskan hubungan cinta yang mereka bina selama dua tahun dengan tiga patah perkataan, ‘Saya akan berkahwin’. Hancur hati Magomed mendengarkan ayat tersebut. Perkataan ‘Maaf’ yang diucapkan Zaira sebentar tadi tidak bisa mengubat hati yang luka.
    
Magomed terduduk di atas dedaunan berwarna merah. Hembusan angin musim luruh meniup dedaun merah pokok-pokok oak yang berdiri teguh di taman. Taman yang menjadi saksi permulaan dan pengakhiran cinta dia dan Zaira. Sampai hati gadis itu berkahwin dengan orang lain. Lalu bagaimana dengan dirinya? Bagaimana dengan cinta mereka?

*****
    
“Tiada gunanya mengejar cinta manusia. Mengejar cinta manusia hanya akan membuat kamu terluka. Kejarlah cinta Allah, kamu tidak akan kecewa dan terluka,” nasihat Valida ketika dia membalut pergelangan tangan Magomed dengan kain pembalut.
    
Percubaan Magomed untuk membunuh diri dengan mengelar urat pada pergelangan tangan tidak berjaya. Mungkin kerana takut mahu mengambil nyawa sendiri, kelaran Magomed pada tangannya tidak begitu dalam sehingga membuatkan darah mengalir deras.
    
“Mama takkan mengerti apa yang saya rasa,” ujar Magomed. Dari tadi lagi matanya merenung lantai. Dia tidak mahu bertentang mata dengan Valida yang menjaganya sejak bayi di rumah anak-anak yatim itu.
    
“Mengarut! Mama terlebih dahulu makan garam daripada kamu, Magomed,” tegas Valida.
    
Magomed jadi sakit hati mendengar kata-kata Valida. Wanita itu langsung tidak mengerti perasaannya ketika ini. Bukannya dia mahu memberi galakkan untuk mendapatkan Zaira kembali.
    
“Mama tak mengerti. Dia istimewa. Dia bukan perempuan biasa.”
    
“Apa istimewanya dia?” Valida menyoal. Magomed mengangkat muka. Mata wanita yang dipanggil ‘mama’ itu ditenung.
    
“Berada di sisinya membuat saya bahagia. Dia buat saya lupa tentang kekurangan saya, kerana dia menerima saya seadanya. Dia membuat saya rasa sempurna.” Magomed menjawab.
    
“Jadi selama ini kamu tidak bahagia di sini? Bersama saudara-saudara yang lain?”     

Tergamam Magomed dengan soalan Valida. Soalan itu membuat dia berfikir akan kehidupan yang dilaluinya sepanjang berada di rumah anak yatim. Wajah-wajah riang saudara-saudara di rumah anak yatim muncul silih berganti. Keikhlasan dan persahabatan yang mereka hulurkan tidak mungkin dapat dia lupakan.
    
Betul kata mama. Tidak bahagiakah dia di sini?
    
Wanita 50-an itu tersenyum. Dia tahu apa Magomed fikirkan. Dia juga pernah melalui masa muda.
    
“Jika kita ikhlas mengejar cinta Allah, Insha Allah, segala urusan kita akan dipermudahkan. Termasuklah urusan mahu mengejar cinta manusia,” ujar Valida.
    
“Percintaan yang baik itu sebaik-baiknya ialah percintaan selepas nikah. Kalau kamu mahu, mama boleh carikan jodoh untuk kamu. Kamu mahu, Magomed?” Valida bergurau.
    
Muka dan telinga Magomed bertukar merah. Malu dia bila Valida bertanya sebegitu. “Tak... Tak perlu,” jawabnya.
    
Melebar senyuman di bibir Valida. “Siap!” ujarnya.
    
Magomed memerhati pergelangan tangan kirinya yang berbalut. Terdetik penyesalan di hati kerana membuat sesuatu yang sia-sia.
    
Ah! Bodohnya aku! Bagaimana aku boleh terfikir untuk membunuh diri? Orang yang membunuh diri tidak akan dapat masuk syurga!

*****
    
Abu Muhammad meraup wajah. Mengapa dia mengenang lagi kisah lalu? Bukankah sewaktu dia membuat keputusan datang ke Syria, dia sudah berjanji untuk melupakan siapa dirinya yang dahulu? Dia tidak mahu ada apa-apa yang mengganggu jihadnya di sini, baik cerita hidupnya, atau pun penjaga rumah anak yatim yang disayangi bagaikan ibu kandungnya.
    
“Lama mengelamun? Fikirkan apa?”
    
Soalan daripada suara yang dikenalinya itu membuat Abu Muhammad kaget. Dia memusing kepala ke arah pemilik suara tadi. Abu Bakar, lelaki yang sudah dianggap seperti abang sendiri, menghulurkan secawan susu panas kepadanya. Abu Muhammad mengambil cawan susu dengan berhati-hati. Kemudian dia mengomen, “Saya bukan bayi.”
    
“Bayi sahaja ke minum susu?” soal Abu Bakar lalu mengambil tempat duduk di sebelah Abu Muhammad.
    
“Tak dapat tidur?”
    
“Terbangun sebab nak ke tandas,” jawab Abu Bakar.
    
“Oh…”
    
Untuk beberapa ketika, cuma sunyi menemani mereka. Masing-masing sibuk melayani fikiran sendiri. Abu Bakar selesa dengan hanya melihat bintang-bintang di langit. Manakala Abu Muhammad masih lagi merenung cawan susunya. Mereka sama-sama duduk membisu.
    
Akhirnya, Abu Bakar mengambil inisiatif untuk memulakan bicara. “Nama sebenar abang, Aslan.” Dia  memberitahu.
    
“Aslan?” ulang Abu Muhammad.
    
“Ya. Aslan Sakaev. 23 tahun. Doktor pelatih di Ufa.”
    
Abu Muhammad hampir tidak percaya dengan apa yang didengarinya. “Doktor di Ufa? Kenapa abang datang ke sini?” soal Abu Muhammad dengan mata yang besar.
    
Abu Bakar menyoal kembali bersama kening yang terangkat. “Tak boleh ke?”
    
“Tak, maksud saya…abang ada masa depan yang cerah sebagai seorang doktor…” Semakin lama semakin perlahan suara Abu Muhammad. Abu Bakar ketawa kecil. Sungguh, anak muda di hadapannya ini sememangnya seorang yang sangat jujur dalam berbicara.
    
“Habis maksud kamu, mereka yang datang ke sini tidak ada masa depan yang cerah di tempat asal mereka?”
    
“Bukan, bukan! Maksud saya…arghhh….macam mana saya nak terangkan…susah betul…” balasnya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dahinya berkerut-kerut mencari ayat yang sesuai.
    
Abu Bakar rasa lucu melihat anak muda itu kalut. Dia mengusap-usap kepala Abu Muhammad.
    
“Kamu ni kan…” usik Abu Bakar. “Masa lalu tidak seharusnya kita lupakan. Kerana masa lalu yang mencorak kehidupan kita sekarang. Dan, ya, abang ada masa depan yang cerah di Ufa. Tapi itu tidak bermakna abang menguburkan masa depan yang cerah itu dengan datang ke sini. Abang melakukan semua ini ikhlas…” Abu Bakar berhenti seketika, “untuk masa depan akhirat yang cerah…”
    
“Macam tu rupanya…”
    
“Habiskan susu kamu, bayi kecil,” arah Abu Bakar seraya berdiri. Abu Muhammad merenung cawannya. Ada sesuatu yang ingin dia katakan pada Abu Bakar. Namun dia malu mahu mengucapkan. Abu Bakar mengerut dahi. “Kenapa, Abu Muhammad?”
    
“Kalau…kalau semua ini berakhir, dan Assad dikalahkan… suatu hari nanti, boleh abang bawa saya melawat Ufa?” soal Abu Muhammad.
    
Abu Bakar menggaris senyum. “Bukan Ufa sahaja, abang akan bawa kamu melawat seluruh Rusia. Dari Vladivostok, hingga ke Makhachkala.”
    
Abu Muhammad mendongak, menatap wajah lelaki itu.
    
Pelik, bukan?
    
Mereka tidak tahu bila perang ini akan tamat. Mereka juga tidak tahu bila maut akan menjemput mereka. Namun mereka menjanjikan sesuatu seolah-olah hari esok pasti wujud buat mereka.
    
“Jangan takut dengan apa yang Allah sediakan untuk kita pada hari esok. Takutlah sekiranya kita tidak sempat menempah tiket ke syurganya.”
    
Abu Muhammad diam. Matanya masih merenung wajah Abu Bakar.
    
“Habiskan susu itu. Mari solat tahajud bersama selepas ini,” putus Abu Bakar.
    
Abu Muhammad hanya mengangguk.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 | Bab 20 | Bab 21 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku