Takdir Yang Mengikat
Bab 11
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
60

Bacaan






Para pelatih yang berada di kem latihan Dzhamaat Halifat diminta berkumpul di perkarangan kem. Pagi itu mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada sebahagian pelatih yang berada di kem latihan tersebut. Mereka akan dipindahkan ke markas jamaat dan mula terlibat dalam pertempuran. Sebentar lagi, empat buah pacuan empat roda akan tiba dan mengambil mereka untuk dibawa ke markas.
    
Abu Bakar dan Abu Usman berpelukan dengan Abu Muhammad. Berat hati mereka berdua mahu membiarkan Abu Muhammad pergi. Terutama sekali Abu Bakar. Dia sudah menganggap Abu Muhammad seperti adiknya sendiri.
    
Abu Muhammad memeluk erat tubuh Abu Bakar. Perpisahan kali ini dirasakannya lebih menyedihkan berbanding ketika teman wanitanya memutuskan hubungan mereka tidak lama dahulu. Adakah ini bermakna Abu Bakar lebih penting daripada apa-apa yang pernah dia miliki sepanjang hidupnya?
    
Abu Bakar menepuk-nepuk tubuh Abu Muhammad untuk memberinya semangat. “Jangan takut, Magomed…” bisiknya pada anak muda itu. Dalam dakapannya, Abu Muhammad terangguk-angguk.
    
Kuatkan hatimu, Magomed! Tak lama lagi abang juga akan berada di markas bersamamu!
    
Perlahan, Abu Muhammad merenggangkan pelukan. Kemudian dia menatap wajah Abu Bakar. Lelaki itu tersenyum.
    
“Jangan nakal-nakal di sana.” Abu Bakar mengingatkan.
    
Abu Muhammad mengangguk.
    
“Saya rasa cemas pula…”
    
“Jangan cemas,” tutur Abu Usman. “Allah ada bersama kamu.”
    
“Ya. Kami akan tiba di sana tak lama lagi,” ujar Abu Bakar, seakan memahami apa yang ingin didengari Abu Muhammad.
    
“Jumpa seminggu lagi, abang.”

*****
    
Suhu dingin bulan Disember langsung tidak mematahkan semangat mereka.
    
Abu Bakar dan rakan-rakannya yang lain mengengsot dengan pantas di bawah kawat berduri yang menjadi halangan keempat mereka untuk lulus dalam ujian kecergasan kali ini. Di hadapan kawat berduri pula berdiri gagah sebuah palang gayut yang panjang. Di bawah palang ada kolam air kecil. Mereka harus memanjat palang dan memastikan diri mereka tidak terjatuh ke dalam kolam air.
    
Setelah melepasi kawat berduri, Abu Bakar berlari ke arah palang di hadapannya. 2 orang rakannya sudah melepasi palang tersebut. Abu Bakar mengelap kedua-dua tapak tangan pada baju bagi memastikan tapak tangannya kering agar mudah bagi dia memanjat palang monyet.
    
Abu Bakar melompat, tangannya pantas menyambar besi palang. Kemudian, dengan laju tangan kanan dan kirinya bergerak dari satu palang ke palang yang lain hinggalah akhirnya dia sampai ke hujung palang gayut tersebut. Abu Bakar melompat ke atas tanah lalu meneruskan lariannya ke halangan terakhir; melepasi tembok setinggi 2.5 meter. Dia berlari pantas ke arah tembok. Kakinya melompat ke arah tembok manakala kedua-dua tangannya cepat sahaja dipautkan pada bahagian atas tembok. Abu Bakar menarik tubuhnya ke atas lalu melompat ke sebelah. Dia berlari ke tempat berkumpul rakan-rakan yang lain.
    
“2 minit 45 saat.” Abu Basir memberitahu sebaik sahaja Abu Bakar tiba di tempat berkumpul. Abu Bakar yang tercungap-cungap kepenatan cuma mengangguk. Itu ialah masa yang dia habiskan untuk melalui kesemua halangan tadi. Sesiapa yang tiba melebihi masa empat minit, gagal dalam ujian dan harus mengulang kembali ujian ini sehingga berjaya.
    
Abu Daud, salah seorang daripada mereka yang mengambil ujian, mendekati Abu Bakar dan menghulurkan air minuman kepadanya.
    
“Terima kasih,” ucap Abu Bakar.
    
“Sama-sama.”
    
“Ada ramai lagi ke?” Abu Bakar menyoal.
    
“3 orang lagi,” jawab Abu Daud.  
    
Hati Abu Bakar lega melihat Abu Usman berlari ke arah mereka.
    
“3 minit 15 saat,” ujar Abu Basir pada Abu Usman sebaik sahaja Abu Usman tiba. Abu Bakar segera merangkul tubuh sahabatnya.
    
“Tahniah!”
    
Abu Usman cepat-cepat mengeluarkan ubat sedut asma dalam poket baju lalu menyedut ubatnya. Rasa sesak di dada beransur-ansur pergi.
    
“Saya ingat saya akan mati akibat kepenatan.”
    
“Jangan merepek.”
    
“Hahaha...” Abu Usman ketawa kecil.
    
Abu Daud menghulurkan air minuman kepada Abu Usman. Abu Usman mengambilnya.
    
“Terima kasih.”
    
“Lepas ni tinggal beberapa hari saja lagi kita di sini,” ujar Abu Daud.
    
“Ya. Mari buat yang terbaik.”

*****
    
Malam itu tiba giliran Abu Bakar dan Abu Usman untuk berjaga. Mereka bertanggungjawab meronda kawasan kem bersama tiga orang pelatih lain. Hassan yang merupakan tenaga pengajar, turut menemani mereka. Abu Bakar, Abu Usman, Hassan, dan seorang lagi pelatih memilih untuk berkawal di luar sementara 2 orang lagi berkawal di dalam rumah.
    
Dengan AK-47 di tangan, Abu Bakar dan Abu Usman meronda bersama di bahagian belakang kawasan kem latihan.
    
“Apa agaknya yang Abu Muhammad sedang buat sekarang?” soal Abu Usman. Suasana sekeliling yang kelam membuat dia terpaksa membuka matanya luas-luas bagi membolehkannya melihat dengan lebih jelas. Lampu di luar kem latihan pula sengaja tidak dibuka semua bagi mengelakkan pihak musuh yakni tentera Assad berasa curiga akan cahaya di dalam hutan.
    
“Entahlah…mungkin dia dah tidur…” jawab Abu Bakar. Kakinya melangkah dengan berhati-hati bagi mengelak daripada tersadung sesuatu di hadapan.
    
“Awak nampak tenang sahaja, Aslan. Tak risaukan dia?” Abu Usman menyoal lagi.    “Dia dah dewasa. Dia pasti baik-baik sahaja di sana,” jawab Abu Bakar.
    
“Dewasa? Dia cuma 18 tahun. Dia masih budak.” Abu Usman merasa sedikit geram kerana melihat Abu Bakar seolah-olah kurang prihatin dengan Abu Muhammad.
    
“Awak tinggalkan rumah dan datang ke Ufa waktu umur awak 17 tahun. Awak rasa diri awak masih budak ke waktu tu?”
    
“Itu…itu untuk belajar. Ianya berbeza. Lagipun Ufa bukannya tempat yang ada konflik…”
    
“Bukankah sama sahaja?”
    
“Sekurang-kurangnya saya masih di Rusia. Masih berada di tanah yang sama dengan keluarga saya,” jawab Abu Usman.
    
“Sama sahaja. Di mana pun dia berada, dia tetap berdiri di atas bumi Allah. Sama macam kita juga. Dan sama macam keluarganya di Gudermes juga.”
    
Masih terngiang-ngiang di telinga Abu Bakar akan kata-kata Abu Muhammad minggu lalu, “saya ditinggalkan di rumah anak yatim ketika saya berusia 3 tahun”.    
    
Abu Bakar menghela nafas. “Jangan risau tentang budak tu. Dia dikelilingi mujahidin yang boleh melindungi dia di sana. Mereka pasti jaga dia dengan baik. Percaya pada mereka.”
    
Kedua-dua pemuda tersebut melakukan tugasan meronda tanpa banyak bicara selepas itu. Abu Usman meninjau-ninjau kawasan semak samun di belakang kem latihan sementara Abu Bakar melilaukan matanya ke sekeliling kawasan berkumpul mereka. Tidak lama kemudian, Abu Bakar merapati Abu Usman.
    
“Semuanya okey.” Abu Bakar memberitahu. Abu Usman mengangguk.
    
Ketika mereka berdua hendak pergi dari situ, telinga masing-masing menangkap bunyi pergerakan di dalam semak samun tadi.
    
“Dengar tak tu?” Abu Usman berbisik perlahan.
    
“Ya.”
    
Kali ini telinga mereka menangkap suara orang sedang berbual.
    
“Perlukah kita beritahu saudara Hassan?” soal Abu Usman dalam nada berbisik.
    
“Mari kita cari tempat sembunyi dulu dan perhatikan,” cadang Abu Bakar.
    
Mereka berdua bergerak dengan perlahan dan bersembunyi di belakang sebuah tong air yang besar. Abu Usman segera mematikan walkie-talkienya. Bunyi daripada walkie-talkie bisa menarik perhatian mereka yang bersembunyi di dalam semak-samun. Abu Bakar pula sedang memusing tuil pilihan AK-47 ke kanan. Tuil pengunci ditarik ke belakang lalu dilepaskan. Senapangnya sudah bersedia untuk memuntahkan peluru.
    
Abu Bakar berbisik pada Abu Usman. “Beritahu Hassan ada bunyi di belakang sini. Maklumkan juga pada Abu Amin yang ada di bumbung. Mungkin dia tak perasan ada orang dalam semak-samun tu.”
    
“Habis, awak tinggal di sini sendiri?” Abu Usman menyoal cemas.
    
“Jangan risau. Saya okey. Pergi sekarang. Cepat,” arah Abu Bakar.
    
Abu Usman meninggalkan tempat persembunyian mereka sesenyap mungkin. Dia mencari tenaga pengajar mereka yang sedang meronda di bahagian hadapan kem latihan dan memberitahu tentang bunyi yang didengari mereka berdua di kawasan semak-samun. Menggunakan walkie-talkie, Hassan menyampaikan maklumat yang diperolehinya kepada Abu Amin dan Abu Ibrahim.
    
Dengan senapang penembak tepat model Dragunov SVD tersilang di belakang, Abu Ibrahim terus meluru ke arah bumbung.
    
Pintu ke bumbung dikuak seperlahan mungkin. Abu Ibrahim bergerak pantas dalam keadaan mengengsot menuju ke hujung bumbung. Abu Amin sudah berada di hujung bumbung terlebih dahulu. Dalam keadaan meniarap, Abu Amin mengeluarkan teropong yang mempunyai fungsi penglihatan malam. Sambil menaikkan kepala ke atas sedikit, dia meneropong ke arah kawasan semak-samun yang dikatakan Hassan.
    
“4 orang. Berhampiran pokok besar tu,” bisik Abu Amin ketika Abu Ibrahim sudah berada di sebelahnya.
    
Abu Ibrahim mengengsot ke pintu bumbung kembali dan bergerak jauh dari pintu untuk memaklumkan apa yang dilihat Abu Amin kepada Hassan dan Abu Usman melalui walkie-talkie.
    
Abu Bakar yang sedang bersembunyi tidak jauh dari semak-samun menelan liur berkali-kali. Jantungnya berdegup pantas. Dia bohong bila mengatakan dirinya baik-baik sahaja. Hakikatnya, dia sendiri takut. Apa yang mampu dia lakukan sekarang hanyalah menunggu kepulangan Abu Usman.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku